Rabu, 20 April 2011

PAS DILEWATI OLEH ANWAR???




Petunjuk dedah watak sebenar ketua pembangkang tak diendah

Oleh Jamhariah Jaafar
bhnews@bharian.com.my
2011/04/18



"ENOUGH is enough" (Cukup-cukuplah tu). Ini adalah perkataan yang diluahkan oleh Datuk Shazryl Eskay, Datuk Zulkifli Noordin (Bebas-Kulim Bandar Baharu) dan Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bebas-Bayan Baru) mengenai Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bermula sebagai kawan dan berakhirnya menjadi lawan.

“Saya ke Makkah berdoa di depan Kaabah supaya diberi petunjuk dan ini keputusannya,” kata Eskay ketika dihubungi mengenai tindakan menyiarkan video seks didakwa membabitkan ketua pembangkang itu yang terus berkeras menafikan rakaman video yang disahkan tulen oleh pihak berkuasa.

Sebenarnya ramai berdoa di depan Kaabah, malah membuat solat hajat untuk mendapatkan kebenaran mengenai soal moral Anwar yang tidak pernah melepaskan cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri.

Sejak dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri, begitu banyak solat hajat dibuat termasuk dalam negara sehingga ke Masjidil Haram dan Masjid Nabawi supaya Allah menunjukkan kebenaran terhadap perlakuan sumbang yang membawa kejatuhannya sebagai pemimpin besar negara.

Malah, Saiful Bukhori Azlan yang mendakwa menjadi mangsa liwatnya bukan saja turut membuat solat hajat di hadapan Kaabah dan Masjid Nabawi, malah membuat sumpah laknat supaya ditunjuk kebenarannya.

Menurut Zulkifli, kali terakhir solat hajat secara besar-besaran dibuat pengikut Anwar pada 6 April lalu memohon kepada Allah supaya diberi petunjuk. Namun, walau bukti sudah di depan mata ramai yang masih taksub dengan orang yang pernah dianggap isterinya sebagai ‘manusia anugerah Tuhan’ ini.

“Tidak pernahkah mereka nak bertanya dalam hati kecil, kalau Anwar boleh bohong satu dunia pasal 16 September dan langsung tidak menunjukkan rasa bersalah, apatah lagi bertaubat dan meminta maaf, tidak mungkinkah dia boleh berbohong dalam hal-hal lain.

“Tidakkah pernah mereka nak bertanya dalam hati kecil, kenapa Anwar liat sangat nak bersumpah laknat. Mengapa yang kelihatan semakin ‘dilaknat’ bukan Saiful, tapi dia?

“Tidak pernahkah mereka hendak bertanya dalam hati kecil, kenapa Anwar liat sangat hendak beri sampel DNA, sedangkan dia tidak rugi satu habuk pun jika menyerahkan sampel DNA kepada mahkamah jika dia yakin benar! Kebenaran apa lagi yang anda tunggu untuk Allah hantarkan,” soal Zulkifli bertalu-talu di laman blognya.

Melihat pada perlakuan selama ini, Anwar tidak mungkin mengaku sebarang kesalahannya walau bagaimana jelas pun rakaman video yang ditunjukkan kepada umum.

Sebagai seorang berbintang Leo, Anwar kini bagai singa tersepit yang akan mencakar sesiapa saja yang cuba menghapuskannya. ‘Singa’ ini sudah pasti akan menggunakan apa dan siapa saja untuk mempertahankan dirinya, tanpa sedikit pun rasa bersalah.

Cuma yang menghairankan ialah rakan seperjuangannya, terutama ulama PAS yang kelihatan masih berdiri teguh di belakang Anwar walaupun semakin hari semakin banyak ‘dosa’ Anwar didedahkan bekas pengikutnya.

“Sejak dari awal, seorang demi seorang sahabat baik serta orang kepercayaan Anwar meninggalkan beliau dan semuanya atas sebab sama – tidak percaya kepada Anwar, politikus rakus, cakap tak serupa bikin, hanya berminat nak jadi Perdana Menteri, punya masalah moral yang serius, dikhianati Anwar, pembohong dan lain-lain.

“Sejak Prof Dr Chandra Muzaffar, Zainur Zakaria, Ezam Mohd Nor, Anuar Shaari, Datuk Jeffrey Kitingan, Roslan Kassim, Ng Lum Yong, N Gobalakrishnan, Wee Choo Keong, Zahrain, Prof Dr Uthman el-Muhammady, Dr Mohd Yusri, Eskay, rakan pengasas Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan ramai lagi mereka yang terkenal dengan kewibawaan serta integriti yang baik.

“Mereka tidak duduk diam selepas meninggalkan Anwar, malah hampir semua memilih untuk mendedahkan topeng sebenar Anwar, bak kata Zahrain – ‘bagai raksasa pelbagai wajah’.” kata Zulkifli.

Sebaliknya kata Ahli Parlimen ini yang masih merapati Anwar ialah pemimpin Yahudi dan mereka yang bencikan Islam. Antaranya, Michael Danby (Ahli Parlimen Australia yang juga pejuang gay), Paul Wolfowitz (Yahudi yang menjadi arkitek serangan Iraq/Afghanistan), Martin Indyk (Yahudi bekas Duta AS ke Israel), James Wolfehnson (Yahudi bekas Presiden Bank Dunia), Al Gore (Yahudi bekas Naib Presiden Amerika Syarikat), William Cohen (Yahudi bekas Setiausaha Pertahanan AS), Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Karpal Singh, yang pernah berkata ‘langkah mayat mereka dulu sebelum Malaysia menjadi sebuah negara Islam’.

Kata Zulkifli, begitu banyak petanda dan isyarat diberi untuk mendedahkan siapa Anwar – pembohongannya mengenai rampasan kuasa pada 16 September 2008, pengakuan Saiful yang mendakwa ketua pembangkang itu meliwatnya, rakaman video yang ditunjukkan Eskay dan terakhir mungkin selepas persoalan membabitkan jam ‘Omega’ dileraikan.

“Jadi persoalan besar yang teman nak tanya diri teman dan anda semua, tidakkah terfikir yang Allah mungkin sudah memberi petanda, bukti, isyarat dan amaran serta menjawab semua doa dan solat hajat memohon petunjuk dan kebenaran tu. Tepuk dada tanyalah iman masing-masing,” kata Zulkifli.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan