Selasa, 14 Ogos 2012

JUJURKAH PAS???











Pas harus jujur pada pendukung
ASYRAF WAJDI DUSUKI
Ketua Hubungan Kajian, Akademi Kajian Syariah Antarabangsa untuk Kewangan Islam (ISRA)



BEBERAPA minggu kebelakangan ini polemik mengenai hudud dan negara Islam kembali hangat diperkatakan. Isu ini bermula apabila Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan Tantawi dalam perdebatannya pada 19 Julai lalu dengan Ulama Muda UMNO Fathul Bari Mat Jahaya, mendakwa bahawa Karpal Singh dan DAP sejak bersama Pas sudah berubah sikapnya dan semakin lunak kepada idea perjuangan Pas mengenai hudud dan negara Islam.

Namun kenyataan Nasrudin bagaikan menyergah harimau sedang tidur apabila dengan pantas disanggah Karpal yang juga Pengerusi DAP, menekankan bahawa pendiriannya dan DAP tetap tegas menentang sebarang usaha untuk melaksanakan hudud. Beliau juga turut menegaskan bahawa agenda negara Islam tidak pernah dibincangkan mahupun termaktub dalam terma-terma persepakatan Pakatan Rakyat yang hari ini mempopularkan istilah Negara Berkebajikan.

Hakikatnya umum maklum bahawa DAP sebagai parti sekular amat konsisten sejak dari dulu sehingga kini tidak pernah berkompromi dengan ideologi perjuangan Islam. Malah ketika Pas bersama UMNO dan parti-parti komponen lain dalam Perikatan pada 1973, DAP kekal sendirian memperjuangkan ideologinya yang kekal sehingga ke hari ini.

Persoalannya apakah asas sebenar Pas bersama dengan sebuah parti yang bukan sahaja tegar menentang perjuangan dan prinsip-prinsip kenegaraan Islam bahkan konsisten sejak dulu tidak berkompromi dengan sebarang agenda hudud dan negara Islam sebagaimana yang menjadi teras

Kalau kita menelusuri hujah-hujah pemimpin Pas termasuk jawapan Nasrudin Tantawi dalam sesi perdebatannya dengan Fathul Bari, ternyata Pas sering menggunakan alasan tahaluf siyasi sebagai asas kerjasama mereka dengan DAP. Tahaluf siyasi bolehlah difahami dengan maksud kerjasama politik antara orang Islam dengan orang kafir.

Prinsip tahaluf siyasi ini banyak diperdebatkan ulama-ulama silam dalam disiplin ilmu Islam khususnya siyasah syariyyah atau ilmu politik Islam. Ia juga termasuk dalam aspek ijtihadi atau perkara-perkara yang diperselisihkan di kalangan ulama. Hukum asal persepakatan dengan bukan Islam ini dalam perbincangan siyasah syariyyah adalah al-bara iaitu berlepas diri daripada perbuatan golongan bukan Islam yang mensyirikkan Allah dan sebarang pencabulan terhadap hak-hak Allah. Malah sesetengah ulama mengharamkannya berasaskan beberapa dalil syarak sebagaimana diungkapkan dalam al-Quran:

Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). (Ali-Imran: 28)
Penceramah

Sebenarnya ayat ini jugalah yang seringkali dikumandangkan oleh para penceramah Pas satu ketika dalam menghujahkan bahawa UMNO telah jatuh kepada kekufuran lantaran bekerjasama dengan MCA dan MIC dalam membentuk Perikatan dan Barisan Nasional. Namun sejak akhir-akhir ini ayat seperti ini tidak lagi kedengaran dibacakan lantaran mereka sendiri kini membentuk pakatan dengan bukan Islam demi menjatuhkan Barisan Nasional dalam pilihan raya.

Sebab itulah kita harus berhati-hati dalam menghukum sesuatu perkara. Setiap ayat al-Quran yang dibaca tidak boleh sewenang-wenangnya ditafsir dan dijadikan hujah bagi memenuhi selera politik masing-masing. Harus difahami konteks ayat yang dibacakan terutamanya yang melibatkan hukum-hakam. Apatah lagi melibatkan aspek ijtihadi yang berkaitan siasah yang banyak terkait dengan pelbagai prinsip-prinsip fikah seperti mengambil kira kemaslahatan rakyat, kemudaratan, keadilan dan lain-lain.

Berbalik kepada isu kerjasama politik atau kaedah tahaluf siyasi, ulama fikah hakikatnya mempunya pandangan yang berbeza-beza mengenai hukumnya. Ada yang secara tuntas mengharamkannya dan ada pula yang mengharuskannya dengan syarat-syarat yang amat ketat.

Antara yang mengharuskan termasuklah pandangan ulama-ulama daripada Mazhab Hanafi seperti yang mengatakan bahawa tahaluf adalah termasuk dalam urusan pemerintah yang perlu mematuhi beberapa syarat ketat antaranya hukum Islam yang mendominasi, bekerjasama dengan orang kafir yang boleh dipercayai, tidak boleh menjadikan mereka berada di barisan hadapan dan hendaklah dalam persepakatan tersebut umat Islam yang menjadi majoriti.

Jika ditelusuri syarat-syarat yang digariskan dalam prinsip tahaluf siyasi sebagaimana ditetapkan oleh ulama yang mengharuskannya, ternyata kerjasama Pas dan DAP masih boleh dipertikaikan keabsahannya. Manakan tidak, jika syarat dominasi dijadikan kayu ukur, berasaskan komposisi kerusi yang dimenangi Pas dalam Pakatan Rakyat, Pas hanya mempunyai 22 kerusi daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen ketika ini.

DAP adalah parti dominan kerana memiliki 29 kerusi Parlimen dan PKR kedua dengan memenangi 23 kerusi Parlimen. Justeru Pas sebagai parti yang membawa aspirasi Islam bukanlah merupakan parti majoriti. Sebaliknya DAP selaku parti sekular yang jelas dan konsisten menentang hudud dan konsep Negara Islam dari dulu sehingga ke hari ini merupakan parti majoriti yang mempunyai suara dominan dalam kerjasama politik atau tahaluf siyasi Pakatan Rakyat.

Ini berbeza sama sekali dengan UMNO sebagai parti Melayu Islam yang masih menjadi teras persepakatan parti-parti dalam Barisan Nasional. Dalam Pilihan raya Umum ke-12 lalu, UMNO memenangi 78 kerusi dan merupakan parti dominan dan majoriti dalam Barisan Nasional yang memiliki 137 kerusi Parlimen. Parti MCA yang mewakili kaum Cina hanya mempunyai 15 kerusi, manakala MIC yang mewakili India empat kerusi. Lain-lain parti komponen berkongsi

Mungkin berpijak atas hakikat inilah DAP seolah-olah dilihat berjaya melunakkan Pas untuk tidak lagi menyebut mengenai hudud bahkan turut berjaya merubah agenda perjuangan Pas daripada memperjuangkan slogan negara Islam kepada Negara Berkebajikan. Malah Presiden Pas, Hadi sendiri terpaksa menerangkan bahawa Negara Islam tidak pernah disebut dalam al-Quran. Bahkan ketika beliau diberi peluang oleh Allah untuk menjadi Menteri Besar Terengganu dari tahun 1999 hingga 2004, pernah menyatakan pada 6 Mac 200 bahawa keutamaan melaksanakan hudud hanyalah 0.0001 peratus atau 1/10,000 sahaja.

Prinsip

Pastinya kenyataan dan sikap Pas yang tampak sudah berubah dan longgar dalam mempertahankan prinsip perjuangannya selama ini membingungkan ramai pihak. Apakah dakwaan pemimpin Pas yang berkali-kali mengatakan kehadiran mereka dalam Pakatan Rakyat berjaya mendakwah pemimpin-pemimpin bukan Islam seperti Karpal Singh, Lim Kit Siang dan lain-lain benar-benar suatu realiti atau omongan kedai kopi?

Ataupun yang kena dakwah sebenarnya adalah Pas sendiri yang kelihatan sudah meleburkan segala idealisme perjuangan mereka yang dilihat begitu keras suatu ketika sehinggakan ramai di kalangan pengikut yang menjadi mangsa ketaksuban hingga sanggup menggadaikan nyawa dan harta demi perjuangan.

Bukan itu sahaja kekerasan memperjuangkan hudud dan konsep negara Islam acuan Pas jugalah yang seringkali menjerumus umat ke dalam kancah kafir-mengkafir yang merungkai pertalian ukhuwah dan meleburkan perpaduan umat Malaysia berpuluh tahun lamanya. Masih terngiang-ngiang di telinga penulis mengingatkan ucapan-ucapan para pencacai Pas membacakan beberapa potongan ayat terpilih al-Quran yang menjadi silibus doktrin politik para ahli dengan menghukum UMNO sebagai kafir atas dakwaan menolak hudud seperti:

Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Agama Islam secara keseluruhannya (dengan mematuhi segala hukum-hukumnya); dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata".

Dan barang siapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir" (Al-Maidah:44).

UMNO hakikatnya tidak pernah menolak Islam ataupun mana-mana hukum yang ditetapkan syarak sebagaimana tuduhan Pas. Namun dalam konteks pelaksanaanya terutama berhadapan dengan realiti masa kini harus melalui proses beransur-ansur atau istilah syaraknya tadarruj yang mengambil kira pelbagai pertimbangan strategik dari segi keperluan, kemampuan dan kesediaan. Ini termasuklah mempersiapkan masyarakat untuk bersedia menerima perubahan sama ada dari segi mental atau psikologinya.

Hal ini juga diperakui kini oleh pimpinan-pimpinan Pas yang mulai menggunakan hujah yang sama dalam mempertahankan sikap dan pendekatan mereka yang tidak lagi mengarus perdanakan slogan negara Islam dan hudud.

Cuma apa yang penulis kesali, masih ada pendukung-pendukung Pas di akar umbi yang masih dikaburi dengan slogan-slogan perjuangan Pas dulu kala sehinggakan masih bersikap keras terhadap UMNO dengan berpegang kepada hujahan yang sama. Malah, Pas kadangkala dilihat tidak berlaku jujur terhadap pendukungnya dengan memberikan pelbagai harapan palsu untuk terus bersekongkol dengan parti yang jelas menentang Islam.



Ahad, 5 Ogos 2012

PAS YANG MENOLAK UNTUK BERSATU???










Bersatu tegakkan hukum Allah
Prof Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Ketua Jabatan
Jabatan Kenegaraan dan Ketamadunan
Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia



UMAT Islam perlu berlapang dada menerima hukum Allah dan melaksanakan suruhan-Nya.
Terbaharu, Ketua Pemuda Pas mengeluarkan kenyataan, Pas tetap mahukan hukum hudud dilaksanakan. Orang Islam yang menolaknya boleh menjadi kafir. Tidak semena-mena pengerusi parti ultra kiasu mengulangi pendirian tegas mereka, sebarang cubaan Pas sekarang untuk memperkenalkan hudud atau mengisytiharkan negara ini sebagai negara Islam, akan ditentang kerana bercanggah dengan apa yang diputuskan di Muktamar Pas Ke-57 tahun lepas, dalam usaha menawan Putrajaya.

Pas sebelum ini pernah menyebut bahawa perkataan negara Islam tidak ada dalam al-Quran, melainkan negara kebajikan. Hudud tidak termasuk dalam kerangka dasar bersama pakatan pembangkang, Buku Jingga. "Tidak ada siapa, tidak ada parti, tidak juga organisasi yang boleh mendakwa mempunyai monopoli terhadap Tuhan", ujar ultra kiasu.
Kenyataan ultra kiasu ini benar-benar mencabar maruah Islam. Sudah terang lagi bersuluh, ultra kiasu langsung tidak menghormati tuntutan agama Islam dalam sebuah negara 'bertuankan' ketuanan Islam (Melayu).

Sikap anti Islam ultra kiasu telah wujud sejak dahulu lagi. Sudah berkali-kali ultra kiasu atau kafir harbi menolak konsep negara Islam dan undang-undang Islam. Namun, kita terus bersangka baik atas kepentingan politik. Pas mendakwa mereka perlu berkawan dan bersekongkol dengan ultra kiasu bagi tujuan dakwah dan menumbangkan UMNO. Pas yakin suatu hari nanti ultra kiasu akan menerima hukum Islam. Pas menuduh UMNO gagal untuk menyampaikan mesej Islam ini.

Jika begitulah hujahnya, persahabatan Pas dengan ultra kiasu agak lama juga. Namun, semakin lama berkawan dan berdakwah kepada ultra kiasu, semakin kuat ultra kiasu menentang Islam. Mungkin alasan Pas selepas ini, mereka masih baharu berkawan dengan ultra kiasu, hasilnya belum nampak, berbanding UMNO yang telah sekian lama berkawan dengan komponen Barisan Nasional (BN) melebihi 50 tahun.

Lama atau baharu bukanlah ukuran untuk mendakwahi seseorang. Tepuk dada tanya iman, adakah kita ikhlas dalam memartabatkan Islam atau kita asyik berpolitik tidak pernah habis? Almarhum Tunku Abdul Rahman tidaklah lama pemerintahannya, tetapi ada juga tokoh-tokoh besar yang memeluk Islam. Jika Tunku ada keinginan melaksanakan hudud, mungkin hukum ini sudah tertegak. Kenapa hari ini terlalu sukar untuk kita mengikuti jejak Tunku? Jawapannya mudah. Kita tidak ikhlas, kita ada agenda lain. Sebab itulah, ultra kiasu tidak pernah lembut terhadap Islam.

Pas begitu cepat melatah dengan desakan ultra kiasu. Naib Presiden Pas terpaksa memberi respon dengan berkata bahawa Pas sentiasa "bersetuju untuk tidak bersetuju" dengan DAP berkenaan isu hudud. Perbezaan ini tidak dapat dielakkan. Namun, masih terdapat persamaan seperti mahu membanteras rasuah, menuntut keadilan dan hak asasi manusia. Apa yang penting bagi Pas dan DAP adalah kedua-duanya saling memahami dengan proses demokrasi. Persoalan saya, ke manakah hendak dicampakkan agenda hudud?

Lanjutan itu, Pengerusi Biro Perpaduan Nasional Pas mengatakan isu hudud tidak perlu dibangkitkan sekiranya pakatan pembangkang memerintah. Fokus pakatan pembangkang adalah pada isu ekonomi, kebajikan, gaji minimum rakyat dan sebagainya. Maknanya, sekiranya pakatan pembangkang memerintah, yang hanya akan wujud adalah negara kebajikan sahaja. Persoalan saya lagi, tidakkah kita akan diazab oleh Allah nanti kerana melupakan hudud? Kenapa tidak disahut cadangan ADUN Kemelah (UMNO), Ayub Rahmat?

Semua sedia maklum, ADUN UMNO ini pernah membangkitkan cadangan menjadikan Johor sebagai negeri pertama melaksanakan hukuman berkenaan. Cadangan ini dikemukakan pada 20 Jun lalu dalam mesyuarat pertama penggal Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor ke-12 dan Sidang DUN pada Disember tahun lalu.

Kata Ayub, "Kanun Jenayah Syariah dilaksanakan Pas seperti Kanun Jenayah Syariah II (1993) (Hudud Kelantan) tidak menggambarkan kehendak Islam (hudud) yang menyeluruh dan melibatkan semua kaum. "Jadi, saya mencadangkan hukum hudud sebenar yang meliputi semua kaum di negara ini dapat diterajui Johor. Kefahaman yang betul adalah kunci utama hudud diterima semua kaum merentasi kefahaman agama ketika zaman pemerintahan Nabi Muhammad SAW".

Kenyataan Ayub ini harus dipuji kerana tidak ramai orang UMNO yang berani bersuara isu ini. Pada saya, jika kita boleh menerima hukum buatan manusia seperti demokrasi dan komunis, kenapa kita harus bersangka buruk atau menolak hukum Allah? Bukankah kita makhluk Allah?
Selepas kenyataan ini dikeluarkan, pemimpin-pemimpin UMNO dan Perkasa turut memberikan respon yang positif, kerana memikirkan kepentingan dan kebaikannya umat Islam di Malaysia. Sekretariat Ulama Muda UMNO turut menyokong, dengan cadangan untuk "menghimpunkan pakar-pakar terlebih dahulu bagi memberikan pandangan supaya hukum ini benar-benar dapat dilaksanakan."

Seorang Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri turut bersetuju dengan syarat persediaan perlu dibuat seperti kemudahan mahkamah, hakim dan pegawai pendakwa bagi melaksanakan hudud.

Melalui semua kenyataan, saya dapat katakan sebahagian besar umat Islam di Malaysia mahukan hudud, tidak kira UMNO atau Pas. Jika berlaku penolakan oleh ultra kiasu, adalah perkara biasa kerana mereka adalah kafir harbi.

Begitulah cerdiknya ultra kiasu berpolitik. Kita sahaja yang terpedaya. Persoalan saya, kenapa kita perlu tunduk kepada telunjuk mereka? Adakah hidup mati kita sebagai umat Islam ditentukan oleh mereka ini? Adakah umat Islam langsung tidak ada hak untuk menentukan cara hidup sendiri?

Saya berpendirian, isu besar ini boleh diselesaikan jika Pas berlembut dengan UMNO, begitulah sebaliknya. Malangnya, semakin UMNO mula cenderung kepada hudud, Pas pula semakin tidak mempercayai UMNO. Pas sanggup menggadaikan prinsipnya bersekongkol dengan ultra kiasu semata-mata untuk menguasai Putrajaya. Sedangkan kita semua tahu, ditakdirkan pakatan pembangkang berjaya menawan Putrajaya, hudud Pas hanya tinggal hudud. Pas tidak pernah dihargai dalam pakatan pembangkang, walaupun kekuatan Pas jauh melebihi ultra kiasu dan PKR.
Ingatan saya kepada Pas, janganlah terlalu ghairah dengan perlantikan Salleh Man sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang. Jawatan tersebut amatlah kecil nilainya di mata ultra kiasu berbanding dengan jawatan Exco Kerajaan Negeri. Jawatan tersebut bukanlah jawatan pembuat dasar. Segala peruntukan tertakluk kepada keputusan kerajaan negeri yang dibolot oleh ultra kiasu.

Janganlah kita terlalu bangga dengan peruntukan tambahan terhadap program atau aktiviti Islam, sekolah agama dan sebagainya. Jika mereka tidak melakukan lebih daripada apa yang UMNO lakukan, sudah tentu kerajaan ultra kiasu ini tidak dapat bertahan lama.

Lakonan ini amat jelas. Janganlah kita mudah kelabu mata. Saya tidak pula kata apa yang UMNO buat selama ini betul belaka. UMNO perlu membetulkan diri untuk mendapat kepercayaan rakyat, terutama dalam perkara melibatkan hukum Islam, integriti dan umat Islam. Apa yang penting hari ini adalah umat Islam secara keseluruhan mesti diselamatkan daripada keruntuhan berpanjangan.

Dalam menyelesaikan kemelut politik umat Islam, kita semua perlu berlapang dada. Langkah pertama yang boleh dilakukan adalah, terimalah hukum Allah ini dengan lapang dada dan ada keinginan untuk melaksanakannya.

Kedua, jika belum bersedia, bentuklah terlebih dahulu sekumpulan pakar untuk mengkaji undang-undang ini. Kita tidak perlu takutkan ultra kiasu. Undang-undang ini bukan untuk mereka tetapi hanya untuk orang Islam. Perlembagaan Persekutuan sudah baik untuk menjadi rujukan mereka. UMNO dan Pas tidak perlu hiraukan sokongan mereka dalam pilihan raya. Jika UMNO dan Pas boleh berbincang, kecut perutlah mereka.

Ketiga, berikan pendidikan dan kefahaman mengenai hukum Islam. Umat Islam perlu disedarkan bahawa kita berhak untuk menentukan cara hidup kita sendiri, bukan orang lain.

Saya tertarik dengan pandangan, bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Wan Mohamad Abdul Aziz, Malaysia mempunyai banyak kelebihan apabila Islam diangkat sebagai agama rasmi negara, justeru tiada alasan untuk melengahkan lagi pelaksanaan undang-undang Islam. Menurutnya, Islam sebagai agama Persekutuan merupakan tunjang kekuatan umat Islam, Yang di-Pertuan Agong, Sultan dan Raja-Raja Melayu ini adalah Ketua Agama Islam dan ini juga adalah lambang keutuhan umat Islam di negara ini.

Pendek kata, semua ini terletak di bahu kita sama ada mahu memulakan usaha ini, atau tunggu dan lihat. Kita akan terus ketinggalan berbanding dengan negara yang sebelum ini dimomokkan seperti negara sekular Turki dan Mesir yang telah mula menapak ke hadapan. 


Justeru, apa yang ditunggu lagi.