Sabtu, 21 April 2012

PAKATAN PEMBANGKANG YANG BERADAP ATAU BIADAP???






Adab berpolitik dan bukan politik biadab
Datuk Dr. Aziz Jamaludin Mhd Tahir
Yang dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)



BILA tidak menghormati sesuatu majlis yang sedang berlangsung, orang yang melanggar adat itu dikatakan biadab. Bagi mereka yang bersalah atau menyokong perilaku melanggar adat, memberikan alasan perilaku tersebut adalah remeh, adalah termasuk golongan yang mempersendakan pemimpin atau ketua negara.

Antara makna adab adalah menghormati tatasusila, berbudi bahasa dan merendah diri. Jika melakukan tingkah yang bertentangan dengan pengertian adab itu maka ia dipanggil biadab. Kamus Dewan (edisi ketiga, 1997) pada halaman 152 mentakrifkan biadab itu sebagai:

(i)            tiada budi bahasa, tidak beradat; dan
(ii)          tidak bertamadun, belum maju. Maka dalam konteks ini, bolehlah dikatakan mereka yang biadab itu "tidak berbudi bahasa" ataupun "tidak beradat."

Sementara perkataan remeh pula bermaksud (halaman 1122): tidak mustahak, tidak penting, dan tidak berharga. Apabila menganggap tindakan "tidak berbudi bahasa" ataupun "tidak beradat" itu sebagai "tidak mustahak, tidak penting" dan "tidak mustahak", ia sebenarnya menampakkan ada unsur anarkisme dalam diri orang tersebut.

Anarkisme berakar umbikan perkataan "anarkis" dan membawa maksud "keadaan tidak ada atau tidak berasaskan undang-undang (keterlibatan umum atau pemerintahan yang teratur)"; dan, kekacauan atau porak peranda (dalam negeri dan lain-lain)." Anarkisme pula membawa maksud "fahaman (pendirian) bahawa segala bentuk kerajaan atau pemerintahan bersifat menindas dan wajar dimansuhkan, penolakan segala bentuk kekuasaan atau kawalan paksaan." (halaman 42)

Berdasarkan makna tersebut, jelaslah bahawa anarkisme telah menjadi agenda oleh pihak yang tidak menganggap menghormati "adat" dan mengamalkan "budi bahasa" ketika berada dalam majlis penuh beristiadat.

Kenapa persoalan itu timbul ketika hadir dalam Majlis Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong di Balairong Seri pada 11 April lalu? Jawabnya kerana pada majlis tersebut, ia mudah mendapat perhatian dan juga kerana berhadapan dengan situasi untuk menyampaikan petunjuk institusi yang sudah dilembagakan sekian lama perlu diubah atau kalau boleh digantikan dengan sistem baharu, bersesuaian dengan kehendak dan kepentingan politik pihak yang memperlihatkan kelakuan anarkis itu.

Setelah terdedah kepada umum perlakuan sedemikian, gema kemarahan sebahagian besar masyarakat membuka perdebatan benci, meluat dan menyumpah, hidup bersendikan adat sudah ada petunjuk bakal diruntuhkan oleh segelintir ahli politik yang tersangat laparkan kuasa. Keparahan menghormati adat itu menjangkitkan pula kepada pertanyaan sudah hilangkah seni berpolitik ataupun etika berpolitik di Malaysia?

Al-Ghazali pernah memberikan panduan mengenai etika berpolitik dengan menekankan bahawa dalam apa situasi pun yang berlaku, menghormati pemimpin yang sah adalah suatu tanggungjawab yang tidak boleh diketepikan. Sebagai bentuk politik yang beradab, al-Ghazali meskipun ada ketikanya tidak bersetuju dengan tindakan pemerintah, beliau tidak pernah menunjukkan sikap memberontak dan cuba memperbaikinya menerusi perantaraan nasihat.

Beliau menggunakan akal untuk menyatakan kebenaran dan menjauhkan tindakan berasaskan perasaan. Bahkan, menerusi sebuah nukilannya, al-Ghazali berkata, kita perlu menyibukkan diri dengan mengadakan pembaikan dari dalam terlebih dahulu. Kerosakan dari dalamlah yang menyebabkan adanya serangan dari luar.

Dalam memperkatakan kepentingan akhlak, al-Ghazali yang dinilai telah memberikan sumbangan terbaik bagi menghidupkan falsafah etika, termasuk etika berpolitik, mencipta suasana "hidup baik bersama dan untuk orang lain" sebagai hakikat perjuangan dan amalan ahli politik budiman. Seseorang ahli politik yang budiman sentiasa berkata dengan jujur, santun, mempunyai integriti, menghargai orang lain, memiliki keprihatinan untuk kesejahteraan umum dan tidak memperlekehkan orang lain.

Bagi al-Ghazali, nilai yang hendak dicapai menerusi politik adalah kesantunan dan keutamaan moral. Suasana tersebut boleh dicapai menerusi pengakuan timbal balik dan hubungan yang ramah di antara pelaku. Maknanya, tidak menghormati adab dan adat yang sudah sekian lama dilembagakan adalah sama dengan tindakan menjauhkan diri daripada tabiat ahli politik bermoral.

Bahkan, naluri yang diasaskan atas keinginan berkuasa sebenarnya telah mencabar perintah Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang yang beriman taatilah Allah dan taatilah Rasul- Nya dan penguasa (atau pemerintah) dari kalangan kamu. (Surah an-Nisaa: 59). Apa yang lebih manis adalah setelah merasakan diri bersalah atau melanggar adat, dengan memohon maaf akan menghidupkan semula keinginan besar kepada kejujuran.

Dengan mengaku silap atas keterlanjuran, seseorang ahli politik ataupun manusia tidak akan luntur keluhuran budi bahasa, bahkan dalam jangka panjang memberi kekuatan moral. Inilah sebenarnya matlamat dan tingkah laku seorang ahli politik budiman, menjadikan akhlak sebagai sempadan dan kerangka yang menentukan sebarang tindakan ataupun keputusan.

Muhammad al-Ghazali seorang cendekiawan muslim Mesir yang mendokong perjuangan Ikhwanul Muslimin beberapa tahun lalu mengingatkan umat Islam agar tidak mudah terjerat dengan "tragedi pemujaan diri".

Tragedi pemujaan diri menyebabkan ketidaktentuan, akhlak yang tercela, perilaku yang menyeleweng dan kegemaran mencela orang lain. Ia merupakan penyakit yang sukar disembuhkan, kerana orang yang menghidapinya "tetap berkeras membela kesalahannya padahal setelah dia tahu mana yang benar, tetapi pengetahuan yang benar itu tidak bermanfaat buatnya." (Baca, Warisan Pemikiran Islam, 2009, halaman 75-80).

Sikap sedemikian sebenarnya menghampiri dengan perangai iblis, kerana Allah SWT mengingatkan kita bahawa Iblis pernah mendakwa: Aku lebih baik darinya, Engkau jadikan aku dari api dan Engkau jadikan dia dari tanah." (Surah Shad: 76) Tetapi Allah SWT tetap tidak mengiktiraf Iblis lebih baik dari Nabi Adam a.s. dan kerana itulah pemujaan diri "merupakan salah satu bentuk syirik". Dalam hal ini, para ulama muafakat bersetuju, "kemaksiatan hati itu adalah lebih buruk daripada kemaksiatan anggota badan." Ertinya, hatilah yang akan menentukan seseorang itu membara semangat anarkis ataupun muncul sebagai seorang ahli politik yang budiman.

Persoalannya, antara "persenda raja sebagai isu remeh?" seperti yang didakwa oleh golongan yang bersubahat ataupun "tidak menghormati adat atau tindakan biadab", manakah yang wajar untuk kita jadikan sempadan dalam usaha membentuk diri sebagai manusia yang jujur, luhur dan bersusila? Kita sendirilah boleh memilihnya, kerana pilihan itulah yang akan menyenaraikan di manakah sebenarnya kita berada dan akan berada.

Manakah yang hendak kita pilih: Politik beradab ataupun politik biadab? Kalau politik beradab pilihan pertama, maka beruntunglah rakyat dan negara kerana semuanya bersatu hati, semangat dan tujuan mensejahterakan seluruh yang ada.

Kalau politik biadab menjadi pilihan, maka tunggulah saat kehancurannya, menang jadi arang dan kalah jadi abu. Arang akan hanya berguna sebagai bahan bakar, untuk dijadikan tiang penegak rumah tidak sekuat ketika masih dalam bentuk asalnya, kayu atau sebelumnya pokok. Pokoknya, adat terpelihara, adab kekal selama-lamanya.

Khamis, 5 April 2012

PAS : ROSAK DARI DULU, KINI DAN SELAMANYA.......



PAS ADALAH PARTI SERPIHAN: PAS ROSAK SEJAK AWAL PENUBUHAN LAGI

Tuesday, 20 March 2012





"PAS ROSAK SEJAK DARI DALAM TELUR!!!"


Satu persidangan ulama telah diadakan di Muar, Johor pada tahun 1950 yang dipengerusikan oleh Tuan Haji Mohd. Noh Omar yang bertujuan untuk memikirkan pembanguna Islam di negara ini. Persidangan itu dianjurkan oleh UMNO di bawah kepimpinan Dato' Onn Jaafar. Persidangan itu menghasilkan penubuhan Persatuan Islam Se Malaya atau PAS sebagai salah satu sayap UMNO di dalam menggerakkan agenda perjuangan agama, bangsa dan tanahair yang program utamanya ialah memerdekakan negara darpada penjajahan.

Persidangan itu juga turut menonjolkan seorang tokoh ulama dari Terengganu iaitu Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan yang kemudiannya menduduki jawatan penting di dalam UMNO sebagai ahli MKT dan rapat dengan presiden parti iaitu Dato' Onn bin Jaafar. Haji Ahmad Fuad turut mengetuai sayap ulama di dalam UMNO iaitu PAS.

Apabila berlaku krisis di dalam UMNO yang membawa perletakan jawatan Dato' Onn daripada presiden UMNO, Haji Ahmad menjadi salah seorang daripada calon presiden disamping Tunku Abdul Rahman Putra dan Dato' Zainal Abidin. Tunku Rahman telah dipilih sebagai presiden setelah mengalahkan calon-calon yang lain.

Haji Ahmad tidak menerima kekalahan itu dengan hati terbuka sebaliknya beliau keluar dari UMNO dan membawa bersamanya PAS. Pada tahun 1951 PAS ditubuhkan sebagai persatuan yang berasingan daripada UMNO, sebagai parti politik baru. Ternyata bahawa kemunculan PAS sebagai parti politik adalah serpihan daripada UMNO. Serpihan yang bukan dari hati yang suci dan murni, tetapi kerana kecewa. Kekecewaan telah menjadi faktor utama wujudnya parti-parti serpihan di dalam arena politik di negara ini. Serpihan-serpihan itu menyebabkan UMNO sedikit sumbing. Walaupun sumbingan-sumbingan itu boleh diperbaiki, tetapi serpihan-serpihan yang membawa parti induk menjadi sumbing ini, adalah fenomena yang negatif di dalam perjuangan UMNO untuk memartabatkan agama, bangsa dan negara. Ia seharusnya tidak dibiarkan berlaku berulang-ulang kali. Namun kelemahan dan ketamakan manusia, tidak mudah dikawal dan tidak sesiapapun yang dapat menjamin politik serpihan ini tidak berulang sehinggan kesumbingan di dalam perjuangan bangsa dapat dibendung. Disini perlu diperingatkan pentingnya niat yang bersih menjadi nadi kepada keikhlasan di dalam perjuangan. Rasulullah bersabda ertinya:

Hanyalah amalan-amalan itu dinilai dengan niat dan hanyalah habuan bagi seseorang itu mengikut apa yang ia niatkan.

Jika sesuatu perjuangan itu didokong oleh niat yang berudang disebalik batu dan pepat di luar rencung di dalam ia membawa bersamanya elemen-elemen kemusnahan dan kehancuran. Apabila PAS keluar daripada UMNO hasil daripada kekecewaan perasaan itu, sering menghantui perjuangannya dan sehingga kini, PAS tidak dapat memperbaiki dirinya daripada tindakan-tindakan yang meruntuhkan. Niatnya yang kecewa terhadap UMNO dan niatnya untuk menyaingi UMNO, menghantui perjuangannya dan setiap tindak tanduk dan gerak gerinya sehingga lupa kepada pertimbangan yang adil dan saksama di dalam membuat sesuatu kenyataan dan hukuman. Tindak-tanduk seperti ini, tentunya merupakan elemen meruntuhkan. Imam Al-Ghazali, didalam Ehya 'Ulumuddin menyebut sepotong hadis yang berbunyi :

Ertinya: Manusia semuanya binasa melainkan orang yang berilmu. Orang-orang berilmu semuanya binasa melainkan orang-orang yang beramal dengan ilmunya dan orang-orang beramal semuanya binasa melainkan orang-orang yang ikhlas di dalam amalannya dan orang-orang ikhlas itu berhadapan dengan cabaran besar.


Meskipun hadis itu disebutkan oleh Zain Al-Iragi sebagai daif, namun yang terkandung di dalamnya, tidak berlawanan dengan Al-Quran dan hadis-hadis lain yang sahih, kerana itu hadis ini boleh dipakai untuk menjelas sesuatu pengertian daripada ajaran Islam. Dalam hal ini, ia menjelaskan tentang pentingnya keihklasan di dalam sesuatu perbuatan dan tindakan manusia. Niat PAS ditarik keluar daripada UMNO, kerana didorong kecewa, tidak membawa kebaikan kepada umat Islam hingga ke hari ini. Berbagai masalah dan angkara berlaku, akibat tindakan-tindakan PAS