Jumaat, 30 September 2011

HUDUD ISLAM VS HUDUD PAS : PAS TERLUPA IA PENCACAI???

Elak hukum hudud dipolitikkan kerana ‘kegilaan kuasa’ memerintah
Oleh Aziz Jamaludin Mhd Tahir

Istana Kehakiman Untuk Hudud?

TITAH Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah agar semua pihak tidak mengkompromikan kedudukan Islam dan Melayu sebagaimana dipersetujui oleh semua kaum yang menjadi teras Perlembagaan adalah hakikat yang perlu dipatuhi bagi menjamin kesejahteraan masyarakat dan negara.

Semua pihak tidak seharusnya menggunakan sebarang alasan, muslihat dan matlamat bagi mencapai sesuatu kepentingan, kerana ia boleh mengundang konflik kaum menjadi serius dan sengketa berdarah pada masa depan.

Pengalaman sejarah membuktikan, akibat terlalu ingin membuktikan mempunyai pengaruh yang kuat, maka tercetusnya rusuhan kaum 13 Mei 1969. Peristiwa hitam itu adalah satu natijah yang sudah diterima umum adanya masalah dalam hubungan kaum.

Hari ini, perjuangan sedemikian turut disambut oleh sebuah lagi parti politik yang merupakan serpihan daripada UMNO dengan mengarahkan falsafah perjuangan dalam bentuk sosialisme-pluralisme di mana setiap orang mempunyai hak sama tanpa mempedulikan nilai dan budaya yang menjadi asas kontrak sosial.

Persoalan itu akhirnya telah menjerat kepada political bashing yang keterlaluan sehingga orang Melayu-Islam yang cuba mempertahankan haknya dilihat sebagai rasis manakala bukan Melayu yang cuba menimbulkan aspirasinya dilihat sebagai sesuatu yang wajar dan patut.

Dikotomi politik itu terus menerus bergeser sehingga boleh memberikan gambaran bahawa negara ini sentiasa berkonflik dan panas, ada gerakan memecahbelahkan usaha menyatukan perpaduan ummah kepada beberapa kumpulan yang lebih kecil.

Keadaan ini seolah-olah memberikan natijah bahawa orang Melayu-Islam sudah terbahagi kepada lima kumpulan yang lebih kecil, dan dari segi politik boleh dilihat berasaskan tiga fraksi, pro-UMNO, pro-Pas, pro-PKR, nonpartisan dan tidak peduli.

Mencabar undang-undang adalah satu bentuk propaganda yang telah memberikan warna pengaruh parti politik pembangkang, termasuk mengisytiharkan setiap dakwaan yang dikenakan sebagai satu pembohongan, berkepentingan politik dan seterusnya suatu konspirasi.

Pembangkang di Malaysia turut menggunakan strategi itu dalam setiap kempen politiknya termasuk menganggap bahawa kegagalan melaksanakan hukum hudud di Kelantan selepas diluluskan pada 1993 dan di Terengganu pada 2002 sebagai sabotaj dari Barisan Nasional yang menguasai Kerajaan Persekutuan. Pas tidak melihat penolakan peraturan itu kerana banyak kelemahan terkandung di dalamnya, kerana ia dilakukan atas matlamat politik dan bukannya mencari keadilan.

Dalam menetapkan sesuatu peraturan, khususnya mengenai agama di negara ini, ia perlu dilihat dari sudut perundangan terlebih dahulu kerana setiap perkara ada peraturan-peraturannya. Pertama sekali ia perlu dilihat dari sudut Perlembagaan Malaysia. Keadilan bukan sahaja terletak pada undang-undang tetapi keadilan yang dimaksudkan ada hubung kaitnya dengan pelaksanaan undang-undang itu sendiri.

Keadilan juga boleh dipertikaikan jika prosedurnya tidak adil, keterangan yang diberikan bercanggah dan penyiasatan tidak lengkap. Undang-undang tetap dianggap tidak adil jika cara melaksanakannya tidak dijalankan seadil-adilnya. Umpamanya dalam menjatuhkan hukuman rejam. Sebelum hukuman dijatuhkan, ia perlu diadili dengan sebaik-baiknya.

Kita menyokong niat baik mereka untuk melaksanakan hukum hudud tetapi ia perlu mengambil kira hal-hal lain yang menuju ke arah keislaman, tidak hanya menggunakan undang-undang yang dikatakan Islam sahaja.

Untuk mencapai keadilan yang diharapkan bukanlah mudah kerana ia perlu kepada pelaksanaan yang betul. Prosedur, keterangan-keterangan serta penyiasatan semuanya mesti betul.

Ia bukanlah sesuatu yang boleh dilihat dengan mudah. Contohnya hukum hudud seperti yang pernah dikemukakan oleh kerajaan Pas Kelantan yang dikatakan tidak dapat memberi keadilan. Kanun Jenayah Syariah II 1993 Kelantan dikatakan tidak mencerminkan hukum syarak yang sebenar. Dilema yang ada ialah dari segi perundangannya.

Selain, Kanun Jenayah Syariah II 1993, Kelantan juga mempunyai Kanun Jenayah Syariah 1985 yang memperuntukkan beberapa kesalahan sama dalam undang-undang yang lama dan baru. Keadaan ini menimbulkan kekeliruan kerana kerajaan Kelantan membenarkan kedua-dua bentuk hukuman jenayah syariah ini kerana kedua-duanya kekal sebagai undang-undang.

Contohnya, adakah orang yang disabitkan dengan kesalahan dalam undang-undang pertama juga boleh dihukum berdasarkan undang-undang kedua? Selain itu, jika terdapat undang-undang baru, adakah undang-undang yang lama akan terbatal?

Dari segi perundangan juga, undang-undang bagi jenis-jenis kesalahan dan bentuk hududnya 
sudah terkandung dalam Kanun Keseksaan. Contohnya, melakukan pembunuhan atau kesalahan dalam melakukan kecederaan. Ia menimbulkan masalah kerana hanya satu kesalahan, tetapi terdapat dua atau tiga undang-undang bagi kesalahan sama.

Keadaan ini menimbulkan kesulitan kerana mengikut undang-undang negara, mencuri merupakan satu kesalahan. Kerajaan Kelantan turut membuat undang-undang sama bagi kesalahan mencuri. Kebiasaannya, hanya satu pemakaian undang-undang bagi sesebuah negara. Persoalannya, adakah seseorang yang didakwa berdasarkan hukum hudud boleh terlepas daripada Kanun Keseksaan? Persoalan inilah yang perlu dijelaskan.

Keindahan dan keistimewaan undang-undang Islam akan dapat dinikmati apabila tertib keutamaan maslahah seperti memelihara keperluan asasi, memelihara kepentingan manusia dalam keperluan sampingan dan memelihara keselesaan dan keharmonian hidup, dijadikan ukuran untuk menggubal undang-undang yang bertepatan dengan roh syariah yang menegakkan keadilan.

Dari segi ruang lingkupnya pula, maslahah terbahagi kepada tiga bahagian iaitu kepentingan awam (maslahah ‘ammah), kepentingan orang kebanyakan (maslahah ‘aghlabiyyah) dan kepentingan orang perseorangan (maslahah khassah). Keutamaan maslahah ini harus dipelihara mengikut yang sewajarnya dalam pembinaan hukum dari semasa ke semasa.

Tegasnya undang-undang yang didasarkan kepada kepentingan atau maslahah yang kebelakangan, tetapi bercanggah dengan kepentingan dan maslahah yang lebih utama bukanlah undang-undang Islamik kerana tidak dapat mencapai matlamat dikehendaki oleh syariat Islam.

Dalam menginterpretasikan hukum hudud, kita sebenarnya harus memisahkan antara Hukum Hudud yang digariskan oleh al-Qur‘an dan Hadis, dengan hukum hudud yang digubal oleh yang mempunyai kepentingan politik semata-mata.

Setiap orang Islam tidak menentang Hukum Hudud yang sebenar, tetapi yang ditentang sekarang ialah hukum hudud ciptaan mereka yang gila kuasa untuk memerintah.

PENULIS ialah Yang Dipertua Yayasan
Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

Khamis, 22 September 2011

PAS : PENIPU AKHLAK & SIASAH/SAHSIAH








Pas Dan Mat Sabu Sedang Tipu Tuhan…



Secara jujur penulis meramalkan Pas akan terus menerima dugaan dan ujian dari tuhan terhadap perjuangannya dalam menegakkan Islam seperti yang sering dilaungkan.

Secara jujur juga penulis menjangka bahawa Pas akan terus tersepit dan terbelit selama mana Pas terus gagal mengutamakan perjuangan Islam melebihi kepentingan politik.

Satu demi satu peristiwa yang berlaku sedang menghambat Pas ke tebing. Ironinya, tiada sesiapa yang mencipta isu dan peristiwa ini, melainkan Pas lah yang menciptanya sendiri.

Jika baik hasilnya nanti maka Pas lah yang bertanggungjawab melakukannya, tetapi jika terjatuh ke lubang kubur ia juga adalah disebabkan Pas sendiri yang menggali lubangnya. Tiada siapa-siapa yang bersalah di dalam hal ini.

Siapa yang pernah terfikir Pas akan menggugurkan perjuangan menegakkan hukum Hudud ciptaannya sendiri?

Siapa yang terfikir bahawa satu hari minyak boleh bercampur dengan air? Hari ini Pas dan DAP sudah bersekutu dan bersekedudukan secara intim.

Siapa boleh terfikir bahawa suatu hari Pas boleh mengiktiraf perjuangan DAP yang jelas menentang dasar perjuangan Pas sehingga sanggup melangkah mayat?

Lebih memeranjatkan, Pas bukan saja mengiktiraf DAP, malah Pas telah mengiktiraf perjuangan komunis hanya disebabkan ada nama-nama Melayu Islam yang menganggotainya.

Hanya kerana ada nama Melayu Islam seperti Mat Indera yang menentang British di dalam PKM sudah cukup bagi Pas untuk menterbalikkan sejarah dengan menukar status Dato Onn dan Tunku Abd Rahman dari seorang negarawan dan pejuang bangsa dan kemerdekaan kepada pengkhianat negara!

Hanya kerana ada nama Melayu Islam seperti Mat Indera yang menentang British di dalam PKM sudah cukup bagi Pas untuk menterbalikkan sejarah dengan menukar status Dato Onn dan Tunku Abd Rahman dari seorang negarawan dan pejuang bangsa dan kemerdekaan kepada pengkhianat negara!

Demi untuk menukar label UMNO dari parti yang diiktiraf sebagai parti yang bertanggungjawab membebaskan negara dari penjajah, Mat Sabu sanggup berkalau-kalau dari mengakui hakikat yang benar-benar telah terjadi dan terpahat dalam sejarah.

Hakikat sebenar yang telah berlaku ialah, negara ini merdeka hasil dari kesinambungan perjuangan Dato Onn dan Tunku Abd Rahman melalui UMNO dan gabungan parti MIC dan MCA.

Itu hakikat yang telah termaktub dalam sejarah. Itulah takdir yang ditetapkan oleh Allah swt terhadap jalan kemerdekaan yang telah berlaku terhadap tanah air ini.

Di mana ilmu, iman dan pengakuan Mat Sabu kepada Allah, apabila diacuba berkalau dengan andaian-andaian yang tidak mungkin lagi terjadi.

Statistik dan analisa apa yang digunapakai oleh Mat Sabu yang berhujah mengatakan Dr Burhanuddin Helmi akan mengatasi Tunku Abd Rahman jika dibuat referandum rakyat.

Apakah rakyat negara ini sudah begitu bodoh untuk mempercayai teori berkalau dan andaian Mat Sabu yang cuba menafikan takdir tuhan sebagai mana yang telah terjadi?

Kenapa sampai begini jadinya Pas?

Apa yang menyebabkan Pas seperti sudah hilang hidayat dan petunjuk tuhan?

Apakah tuhan sudah menarik segala hidayat dan ilmu pengetahuan yang hak dari jiwa dan minda para pemimpin Pas sehingga mereka sudah tidak dapat membezakan antara takdir dan andaian dan antara yang hak dan yang batil?

Jika Pas itu kita andaikan sebagai al-Quran,cuba kita bayangkan apa nasib yang sedang menimpa kitab suci itu sekarang ini?

Sanggupkah kita lihat jika ada manusia yang menjadikan helaian kitab suci ini sebagai bungkusan nasi lemak?

Sanggupkah kita lihat jika ada manusia yang menjadikan helaian kitab suci ini sebagai alas tempat duduk? Sanggupkah kita lihat ada manusia yang memijak kitab suci ini di depan mata?

Inilah yang sedang terjadi kepada Pas dan perjuangan Islamnya. Menjadi mangsa kepada keadaan yang berlaku.

Tersepit di atas kehendak hukum dan realiti politik demokrasi. Terjerat dengan permainan halus DAP. Terkhilaf di atas kelicikan Anwar Ibrahim memainkan propaganda dan psywar mahu mengambil-alih kuasa pemerintahan.

Sebuah kitab dan helaian perjuangan yang selama ini difatwakannya sebagai suci dan merupakan amanah dari tuhan telah menjadi mangsa korban agenda permainan politik sulit musuh Islam dan musuh tanah air.

Perjuangan Islam Pas secara teknikalnya sudah terkubur di dalam lubang yang mereka gali sendiri.

Demi keserakahan kepada kuasa yang sudah tidak dapat dikawal, Pas semakin hari sudah semakin hilang pedoman.

Dalam keadaan terbujur di dalam kubur yang digali sendiri, Pas masih mahu mengalihkan isu dengan mengatakan UMNO lah yang bertanggungjawab menggali kubur ini sehingga menyebabkan Pas tertimbus di dalamnya.

Siapakah yang MAT Sabu dan Pas sedang tipu sebenarnya?


Kamarulzaman Kamdias (kkamdias.blogspot.com)




Rabu, 7 September 2011

PAS LEBIH RENDAH TARAF DARIPADA KOMUNIS???






PAS Pun Tidak Wujud Jika Komunis Memerintah

Tuesday, September 6th, 2011 | Posted by jebon

Oleh: Dr Mohamad Khir Toyo



1. Ceramah Timbalan Presiden Parti Islam se-Malaysia (PAS), Mohamad Sabu (Mat Sabu) minggu lalu di Pulau Pinang menjadi satu isu kontroversi apabila beliau mendakwa Mat Indera yang memimpin pasukan Komunis menyerang balai Polis Bukit kepong sebagai wira.

2. Beliau juga mendakwa polis-polis Melayu yang diserang oleh Mat Indera adalah alat penjajah British. Jauh lebih daripada itu Mat Sabu juga mendakwa Dato Onn dan Tunku Abdul Rahman yang dianggap pejuang kemerdekaan sebenarnya pegawai British.

3. Mat Sabu juga mendakwa sejarah negara adalah pembohongan. Katanya, sejarah negara kita menganggap Tok Janggut dan Datuk Burhanuddin sebagai pengkhianat. Saya berharap Mat Sabu dapat membuktikan di mana sejarah Malaysia yang menyatakan Datuk Burhanuddin al-Helmy dan Tok Janggut sebagai pengkhianat negara.

4. Sejarah Malaysia mengangkat semua para penentang British, Portugis dan Jepun sebagai Pahlawan Negara. Sejak awal sejarah Tanah Melayu dan Borneo, nama-nama mereka yang menentang penjajah dianggap wira tanah air. Nama-nama seperti Datuk Bahaman, Mat Kilau, Tok Janggut, Datuk Maharajalela dan Sipuntum (yang membunuh J.w.w. Birch), Rosli Dhoby, Mat Salleh dan ramai lagi para penentang British terus dianggap pahlawan watan kepada tanah air dan termaktub dalam sejarah negara. Justeru adalah satu pembohongan untuk Mat Sabu mendakwa mereka ini dianggap sebagai pengkhianat negara oleh Sejarah Malaysia.

5. Namun sejarah negara tidak menerima komunis sebagai pejuang kemerdekaan negara kerana asas perjuangan mereka bukan untuk kemerdekaan atau mempertahankan anak watan Tanah Melayu daripada British atau mana-mana penjajah. Parti Komunis Malaya ditubuhkan untuk menyebarkan ideologi komunis, membentuk negara komunis di Tanah Melayu dan menjaga kepentingan kaum Cina. Sebab itu, majoriti orang Melayu di Kepulauan Melayu (Semenanjung Tanah Melayu, Singapura dan Indonesia) menolak Komunis.

6. Malahan yang menubuhkan Parti Komunis Malaya (PKM) pun bukan anak watan tanah air. Justeru mengatakan PKM pejuang kemerdekaan, sementara Polis Melayu dan pemimpin Melayu seperti Dato Onn dan Tunku Abdul Rahman alat British, menunjukkan Mat Sabu tidak mengenali sejarah negara dengan jelas.

FALASI PERTAMA MAT SABU:
POLIS MELAYU, DATO ONN, TUNKU ABDUL RAHMAN PEGAWAI PENJAJAH; PKM MENENTANG PENJAJAH

7. PKM juga sebenarnya alat British semasa penjajahan Jepun. PKM menubuhkan Malayan People’s Anti-Japanese Army (MPAJA) kerana permusuhan antara kerajaan Komunis China dan Jepun serta bertujuan melindungi kaum Cina di Tanah Melayu yang paling teruk menjadi mangsa kezaliman Jepun. Selepas British kembali menduduki Tanah Melayu, PKM masih bekerjasama dengan British. Namum British tidak mahu mengiktiraf ideologi komunis dan ini menimbulkan penentangan PKM terhadap British.

8. Sebaliknya, British memilih untuk berunding dengan Sultan-sultan Melayu dan nasionalis Melayu bagi proses memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Apabila Sultan dan pemimpin Melayu menolak Malayan Union, British mengubah beberapa perkara dan membentuk Persekutuan Tanah Melayu 1948. Ini secara jelas menunjukkan British sedang ke arah memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu secara demokrasi dan Raja Berpelembagaan.

9. Justeru secara faktanya sejak 1948 lagi telah wujud kerajaan campuran antara British, wakil Sultan dan wakil orang Melayu bagi pemerintahan Tanah Melayu dan juga proses ke arah kemerdekaan.

10. Polis-polis Melayu yang dilantik dalam pentadbiran ini merupakan anggota yang bertanggungjawab menjaga keselamatan dan keamanan penduduk Tanah Melayu dan juga mempertahankan kerajaan campuran yang dalam proses kemerdekaan. Justeru bagaimana mereka dianggap pegawai atau tali barut penjajah jika terdapat wakil orang Melayu dan wakil sultan dalam pentadbiran Persekutuan 1948?

FALASI KEDUA MAT SABU:
MAT INDERA WIRA MELAYU KERANA MENGETUAI KOMUNIS SERANG BALAI POLIS BUKIT KEPONG

11. Mat Sabu akan menggunakan beberapa butiran sejarah yang mendakwa Mat Indera ialah pahlawan Melayu. Memang benar pada suatu ketika Mat Indera ialah wira kerana keberanian dan kehebatan beliau mempertahankan keamanan dan keselamatan orang Melayu pada zaman kezaliman penjajah Jepun. Jika Mat Sabu menganggap Mat Indera wira kerana itu, kita tidak harus mempertikaikannya.

12. Malangnya, beliau menganggap Mat Indera wira kerana menyerang Balai Polis Bukit Kepong yang mengorbankan pegawai polis Melayu, yang kononnya menurut Mat Sabu ialah alat penjajah British.

14. Mat Indera kemungkinan besar bukan pejuang ideologi komunis. Beliau mungkin terpengaruh dengan dakyah pemimpin PKM bahawa mereka berjuang untuk kemerdekaan. Justeru menyerang balai Polis Bukit Kepong pada kaca mata Mat Indera ketika itu ialah tindakan perjuangan kemerdekaan. Namun ia tidak menjadikan Mat Indera pejuang kemerdekaan dan pegawai polis yang terkorban sebagai tali barut penjajah. Faktanya berlainan sekali.

15. Faktanya, Parti Komunis Malaya yang menjadi platfom Mat Indera bukan berteraskan perjuangan kemerdekaan anak watan. PKM hanya berjuang untuk penubuhan negara Komunis. Justeru untuk mengatakan Mat Indera pejuang kemerdekaan kerana menyerang polis-polis Melayu yang kononnya pegawai British satu kesimpulan yang tidak tepat.

16. Kita mesti ingat bahawa ucapan Mat Sabu jelas sekali mengangkat Mat Indera sebagai wira kerana menyerang balai Polis Bukit Kepong yang mengorbankan para pegawai polis Melayu yang berkhidmat untik kerajaan campuran. Justeru apa sahaja fakta sejarah atau buku yang beliau bawa untuk mempertahankan kenyataan beliau bahawa Mat Indera seorang wira Melayu kemudiannya merupakan “afterthought defence”

17. Apakah mereka yang dibunuh oleh Komunis di Bukit Kepong bukan wira negara sedangkan mereka menjaga keselamatan orang ramai, keamanan Tanah Melayu dan keutuhan proses kemerdekaan negara? Mereka bukan menjadi alat mempertahankan pemerintahan British seperti sebelum 1942. Sebaliknya, mereka pejuang-pejuang keamanan dan kemerdekaan negara yang kerana mengambil bahagian dalam kerajaan transisi sebagai satu bentuk latihan pemerintahan sendiri. Ini tidak dapat difahami oleh ahli politik seperti Mat Sabu yang hanya setiap hari cuba mencipta kebencian terhadap UMNO walaupun terpaksa menukar fakta sejarah.

FALASI KETIGA MAT SABU:
KOMUNIS MAHU MEMERDEKAKAN NEGARA

18. Jika para pejuang kemerdekaan menyebelahi komunis seperti mana Mat Sabu, nescaya hari ini Pas pun tidak akan wujud kerana tiada parti politik dalam sistem pemerintahan komunis. Pas juga tidak akan wujud kerana komunis menganggap agama adalah candu masyarakat.

19. Islam juga tidak akan menjadi agama rasmi Persekutuan jika Komunis memerintah. Tiada juga kedudukan orang Melayu dan raja-raja Melayu jika Komunis memerintah negara ini.

20. Justeru sungguhpun Mat Sabu begitu akrab dengan pemimpin seperti Lim Guan Eng, ia bukan bermakna beliau harus menghalalkan perjuangan komunis yang nyata bertentangan dengan ajaran Islam yang Pas perjuangkan.

21. Bukan semua perlu dipolitikkan apatah lagi pengorbanan ramai anggota keselamatan kita dari pelbagai kaum mempertahankan tanah air daripada ideologi komunis. Bukan sedikit rakyat menjadi mangsa kekejaman Komunis semasa sebelum dan selepas hari merdeka. Apakah hanya kerana politik Mat Sabu sanggup menutup semua ini dan mengangkat Komunis sebagai pejuang kemerdekaan?

22. Tiada satu saat pun dalam perjuangan Komunis yang berhasrat memerdekakan rakyat dan Tanah Melayu serta mengembalikan hak pemerintahan Tanah Melayu kepada orang Melayu. Justeru untuk Mat Sabu mengangkat perjuangan komunis sebagai pejuang kemerdekaan sangat melucukan dan bersifat politik membenci UMNO.

23. Sebenarnya tiada kemerdekaan dalam ideologi komunis kerana rakyat tidak mempunyai hak dan kebebasan bercakap, memilih kerajaan dan memerintah. Apakah hidup dalam sistem komunis di anggap satu kemerdekaan? Jika Tanah Melayu diperintah oleh Komunis selepas British, ia ibarat lari mulut buaya masuk mulut harimau kerana kedua-duanya tiada kebebasan yang menjadi asas kemerdekaan.

24. Justeru di mana analisis Mat Sabu bahawa Komunis adalah pejuang kemerdekaan? Jangan jadi manusia yang berperangai habis madu sepah dibuang terhadap pasukan keselamatan kita yang mempertahankan tanah air ini dari keganasan komunis.