Ahad, 29 Mei 2011

PAS SEBAGAI TALIAN HAYAT ANWAR???

Pas diancam puak Anwarinas

Zulkiflee Bakar


APABILA seramai 1,100 perwakilan melangkah ke Kolej Universiti Zulkifli Muhammad di Taman Melewar, Gombak pada Jumaat ini, mereka tidak harus melupakan fakta berikut:

‘‘Kemunculan Pas dalam sejarah politik tanah air telah bermula semenjak 23 Ogos 1951 apabila para ulama yang bersidang di Kuala Lumpur bersetuju menubuhkan sebuah persatuan yang dinamakan Persatuan Ulama Se-Malaya. Ia kemudiannya diubah menjadi Persatuan Islam Se-Malaysia (Pas) pada 24 November 1951.’’

Catatan sejarah ini tidak boleh dipadamkan oleh mana-mana juga pemimpin atau ahli Pas dalam mereka meneruskan kesinambungan perjuangan kepimpinan terdahulu.

Atas sebab itulah apabila mereka hendak melakukan pemilihan barisan kepimpinan, nawaitu dan tindakan mereka perlu berasaskan kepada kemahuan sendiri serta memastikan Pas tidak dicemari atau dipengaruhi oleh sebarang elemen luar.

Bagaimanapun sekarang ini sudah ada kebimbangan bahawa Pas kini bukanlah Pas dahulu, Pas sekarang dilihat semakin tenggelam dengan perjuangan Islamnya dan paling meresahkan sudah ada percaturan politik pihak luar bagi menentukan barisan kepimpinan parti tersebut.

Apa yang paling ketara berbanding pemilihan-pemilihan parti sebelum ini, suara yang kononnya mahu menjadikan Pas lebih progresif semakin lantang.

Dalam keghairahan itu, kelompok kepimpinan ulama menjadi sasaran untuk dijatuhkan dan ia semakin ‘mengerikan’ apabila percaturan turut melibatkan langkah memperluaskan ‘jajahan pengaruh politik’ pemimpin di luar Pas. Ini jelas apabila wujudnya apa yang dipanggil ‘Anwarinas’ - iaitu satu kumpulan di dalam Pas yang pro kepada Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kelompok ‘Anwarinas’ ini seperti mana didedahkan oleh Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Noordin akan menterjemahkan apa yang telah mereka rancang sejak 2008 pada pemilihan kepimpinan Pas dalam muktamar kali ini bagi menukar saf kepimpinan parti itu yang sekian lama dikuasai oleh para ulama.

Dalam soal ini, kita tidak perlu menyebut siapa yang dimaksudkan oleh Zulkifli tetapi perwakilan dan ahli Pas boleh menilai sendiri senarai calon yang bertanding.

Dengan hati dan fikiran yang tenang mereka boleh mengetahui siapakah kelompok pro Anwar dalam Pas yang kini semakin ghairah untuk merebut jawatan dalam parti itu.

Kelompok-kelompok ini jika difikirkan secara tidak langsung sudah banyak membawa keburukan kepada Pas sejak parti tersebut bekerjasama dengan PKR dan DAP.

Mereka ini tidak lagi mementingkan perjuangan apatah lagi idealisme Pas sebaliknya lebih menitik beratkan bagaimana hendak berkuasa sahaja. Sebab itulah apabila berhadapan dengan isu-isu politik tertentu, pemimpin-pemimpin ini akan dilihat menyebelahi Anwar, PKR dan DAP tanpa mempertimbangkan lebih dahulu kesannya kepada Pas.

Kesudahannya, Pas dilihat hanya menjadi kuda tunggangan kepada kedua-dua parti tersebut dan sekali gus mencemarkan kepimpinan ulama dalam Pas.

Punca

Sikap tidak konsisten Pas adalah berpunca daripada mainan kumpulan pro Anwar di dalam parti itu yang bukannya menyebarkan semangat ukhuwah Islamiah sebaliknya meletakkan keuntungan politik mengatasi segala-galanya.

Sebab itulah, dalam pemilihan kali ini mereka menyusun strategi dan gerak gempur yang lebih rapi dan tersusun. Mereka mahu memastikan ulama-ulama atau mana-mana pemimpin yang tidak menyebelahi mereka ditamatkan riwayat politiknya dalam pemilihan berkenaan.

Perancangan mereka menjadi lebih mudah apabila ada di kalangan pemimpin utama di dalam Pas yang merestui hasrat mereka untuk merebut jawatan.

Walaupun dari segi tindak tanduk dan kata-kata ia tidak mencerminkan sikap sebenar sebagai pemimpin Islam tetapi semua itu sudah tidak lagi menjadi kriteria.

Apa yang lebih penting bagi kelompok ini, dengan kedudukan Pas yang dilihat agak ampuh dalam arena politik negara maka pemilihan kali ini dilihat detik terbaik untuk mereka melaksanakan ‘agenda penjajahan politik’ dengan menjadikan Anwar sebagai idola.

Semua keadaan ini seharusnya menyedarkan perwakilan-perwakilan Pas bahawa mereka mempunyai tanggungjawab besar bagi memastikan undi mereka tidak membuka ruang kepada ‘penjajahan politik’ tersebut. Walaupun hanya satu undi, ia bakal menjadi penentu kepada kesinambungan perjuangan Pas selepas ini.

Mengulas perkara ini, Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, Pas memerlukan pemimpin yang dapat membantu Presiden dan kepimpinan Pas secara bebas dan bijaksana tanpa perlu mengikut telunjuk proksi atau mana-mana pihak.

‘‘Di sinilah delegasi ke muktamar perlu merenung dan memilih barisan kepimpinan yang dapat mempertahankan Pas sebagai sebuah wacana perjuangan Islam tulen yang tidak gentar mempertahankan prinsip-prinsip Islam dan bukannya menjadi parti submisif dan bersifat apologetik kepada mana-mana pihak yang menentang Islam serta prinsip-prinsipnya,’’ kata beliau.

Justeru perwakilan Pas perlu memastikan pemilihan kali ini sebagai titik tolak untuk menghentikan pengaruh Anwarisme atau kelompok Anwarinas dalam parti itu.

Pemimpin-pemimpin yang dilihat hanya ‘berkulitkan’ Pas tetapi jiwa dan minda ‘dijajah’ dan dikuasai oleh pihak lain perlu ditolak habis-habisan. Mereka juga harus mempunyai keberanian untuk menyuarakan kebimbangan mengenai pengaruh Anwarinas ini dalam pembahasan termasuklah mendesak Pas supaya lebih tegas menyatakan pendirian berhubung isu melibatkan Anwar. Perwakilan tidak harus membenarkan Anwar terus mengembangkan pengaruhnya dengan memperkudakan pemimpin-pemimpin tertentu dalam parti tersebut.

Pas dilahirkan, dibesarkan dan disanjung kerana pengorbanan golongan ulama yang menempuh pelbagai cabaran bagi memartabatkan parti itu. Oleh itu wajarkah apabila parti tersebut sudah mantap, berkembang dan digeruni maka golongan ulama mahu dicampak begitu sahaja hanya kerana terpengaruh dengan percaturan politik Anwar, PKR dan DAP?

Berkiblat

Perwakilan Pas perlu memahami bahawa jika terdapat kelemahan kepimpinan dalam parti tersebut, merekalah yang berhak memperbetulkannya dan bukannya orang luar.

Tindakan memilih pemimpin-pemimpin yang dilihat lebih ‘berkiblatkan’ Anwar dan terlalu menyanjungi hubungan dengan PKR dan DAP sehingga mengorbankan prinsip perjuangan parti sendiri hakikatnya hanya membuka ruang kepada berakhir kepimpinan ulama dalam Pas.

Memperkatakan lebih lanjut perkara ini, pemimpin dan ahli Pas yang masih sayangkan parti tersebut perlu menyingkirkan sindrom penafian dengan menganggap kewujudan puak Anwarinas atau kumpulan pro Anwar sebagai mainan media arus perdana.

Mereka perlu mengkaji dan menilai apakah ia hanya satu rekaan atau realiti memandangkan seperti mana didedahkan bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Prof. Madya Mohd Noor Deris bahawa, ‘‘ombak besar yang dibawa oleh kumpulan yang berkiblatkan Anwar seolah-olah tidak lagi mampu ditampung oleh kumpulan yang setia kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang’.’

‘‘Mereka mungkin lemas di dalam gulungan ombak berkenaan. Jika benar itu berlaku, saya ingin menyarankan kepada pengikut ‘totok’ Pas, bersedialah untuk menjunjung kepimpinan yang berkiblatkan Anwar yang begitu rakus kononnya untuk membawa perubahan di dalam parti dengan pelbagai muslihat dan tipu daya lain,’’ katanya.

Bagi mengelak semua itu berlaku, perwakilan sepatutnya sudah faham dan mengetahui sejak pilihan raya umum lalu siapakah di kalangan pemimpin-pemimpin yang dimaksudkan oleh Mohd. Noor. Tindak-tanduk kelompok berkenaan begitu ketara sekali apabila berhadapan dengan isu melibatkan Anwar dan lebih menjaga hati pemimpin-pemimpin DAP.

Lebih malang lagi ada antara mereka tidak mencerminkan peribadi sebagai seorang pemimpin yang mewakili sebuah parti Islam apabila kata-kata yang dihamburkan penuh dengan maki hamun dan caci nista.

Malahan ada pula antaranya semata-mata demi kepentingan politik sanggup bersekongkol dengan pemimpin-pemimpin DAP mengugat kedudukan orang Melayu. Permainan politik kebencian yang dipelopori oleh PKR turut ‘merasuk’ sebahagian daripada mereka sehingga sesiapa sahaja yang cuba berbaik-baik dengan pemimpin-pemimpin UMNO biarpun hanya untuk minum secawan kopi pun akan ditentang habis-habisan.

Apa pun orang luar hanya boleh memberi pandangan dan nasihat terserahlah kepada perwakilan Pas untuk membuat keputusan.

Apa yang pasti jika mereka masih menganggap ancaman Anwarinas hanyalah satu mainan atau ciptaan musuh politik mereka, maka mereka juga perlu bersedia untuk bertanggungjawab menjadi penyumbang kepada kejatuhan kepimpinan ulama dalam Pas.


Isnin, 16 Mei 2011

PENCACAI YANG TAK KONSISTEN





Pas Tukar Imej Islam Kepada Pertahan Zina!

Oleh: ZAINUDDIN MAIDIN



TENTULAH tidak pernah terlintas di fikiran kita bahawa Pas akan bertukar imejnya dari sebuah parti yang memperjuangkan kesucian prinsip moral Islam berasaskan kepada hukum Allah akan sampai kepada peringkat mempertahankan zina, suatu dosa besar dalam Islam.

Apa yang mustahil sekarang ini telah menjadi satu realiti. Imej Pas sebagai parti pelampau Islam telah bertukar kepada liberal dan lebih toleransi daripada UMNO dalam isu-isu keagamaan seperti soal penutupan aurat, arak, judi, hiburan dan sebagainya.

Maka itu apabila mereka mengadakan tunjuk perasaan untuk mempertahankan prinsip-prinsip ini seperti mengharamkan perjudian dan membantah konsert hiburan maka masyarakat menjadi begitu sinis terutama sekali apabila melihat sikap mereka mempertahankan klip video seks seorang pemimpin yang dua kali disahkan tulen oleh pakar pengimejan video luar negara.

Sekalipun personaliti dalam klip video itu belum disahkan 100 peratus tetapi tanda- tanda yang menjurus ke arah pengesahannya adalah lebih besar dari kemungkinan ketidakbenarannya.

Dalam keadaan ini, apakah wajar bagi sebuah parti Islam mengambil sikap terus menafikannya tanpa membuat perhitungan dari segi logik, profesionalisme dan kewajarannya.

Dari segi logiknya telah berkali-kali, Pemimpin Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil tindakan saman malu terhadap media atas berbagai-bagai isu melibatkan maruahnya tetapi kenapakah dalam soal pendedahan video seks yang pendedahan oleh semua media tanpa berselindung lagi tidak diambil tindakan olehnya?

Apabila Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat sanggup menyatakan bahawa” Tak masuk syurga tuduh Anwar terbabit dalam video seks” maka ternyata beliau telah menjalankan suatu kempen ke arah mempertahankannya, mengelirukan anggapan masyarakat dan bukannya menyeru ke arah mencari kebenaran.

Apabila Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat sanggup menyatakan bahawa” Tak masuk syurga tuduh Anwar terbabit dalam video seks” maka ternyata beliau telah menjalankan suatu kempen ke arah mempertahankannya, mengelirukan anggapan masyarakat dan bukannya menyeru ke arah mencari kebenaran.

Sewajarnya berasaskan kepada laporan polis yang mengatakan video itu tulen maka “Tok Guru” tidaklah wajar untuk menolak sama-sekali kebenarannya. Sebagai Menteri Besar yang memahami masalah keselamatan tidak boleh menolak secara membuta-tuli setiap siasatan yang dijalankan oleh polis.

Bagaimanapun nampaknya pucuk pimpinan Pas telah berpecah dalam isu ini iaitu golongan Nik Aziz yang termasuk Ahmad Sabu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Husam Musa dan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub yang membuat pelbagai kenyataan untuk meragukan masyarakat terhadap video seks itu. Umpamanya Sallahuddin mempertikaikan keperluan pengesahan kali kedua yang katanya telah menyebabkan kredibiliti polis dipersoal.

Salahuddin seorang yang terpelajar nampak seperti terikat dengan Nik Aziz sehingga menggambarkan dirinya sebagai yang tidak dapat berfikir seperti majoriti orang berfikir bahawa tindakan polis mendapatkan pengesahan kali kedua itu dari pihak Amerika Syarikat semakin memperteguhkan kejujuran dan kredibiliti Polis.

Ada juga pihak Pas yang berfikir kenapa tidak disebarkan sahaja video itu seperti yang dilakukan terhadap video seks Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek. Jika ini dilakukan sudah pasti ia tidak memberikan apa apa kesan dari segi untuk menyelamatkan negara ini dari terjatuh ke tangan yang salah atau orang tidak sihat.

Tentunya video seks itu akan tenggelam begitu sahaja dengan penafian demi penafian yang cukup pintar dan dengan lakonan yang begitu neutral yang hanya mampu dilakukan oleh Anwar sahaja.

Dengan segala bukti yang jelas pun beliau dapat menafikannya sebagai fitnah yang maka apatah lagi jika disebarkan secara yang tidak bertanggungjawab.

Saya kira, Datuk Trio telah melakukan tanggungjawab yang sangat besar kepada bangsa, agama dan negara kerana berani mengambil tanggungjawab ini tanpa berselindung dan bersedia untuk menerima segala akibatnya. Tindakan Anwar yang dalam keadaan panik melaporkannya kepada Polis telah memudahkan lagi kerja mereka.

Di samping kekecewaan kita yang amat sangat tentang keruntuhan moral sebahagian dari pemimpin Pas ini, seluruh ahli Pas tidak seharusnya merasa terlalu kecewa kerana masih ada beberapa orang pemimpin mereka yang tetap mahu membawa Pas keluar dari krisis moral yang amat getir yang sedang dihadapinya sekarang. Secara bijak mereka cuba mereka memisahkan diri dari pemimpin pemimpin dalam parti dan di luar parti yang tidak bermoral.

Umpamanya Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa menyatakan bahawa Pas sedang menanti perkembangan isu rakaman aksi seks yang didakwa melibatkan Anwar ekoran pengumuman terbaru polis mengenai ketulenan video itu seperti disahkan oleh pakar luar dengan penoh minat.

“Kita pegang kenyataan polis yang mengatakan video itu tulen seperti disahkan mereka sebanyak dua kali tetapi apa tindakan polis dan pihak terlibat seterusnya adakah sebarang pendakwaan atau saman kerana isu ini telah berlarutan.” katanya.

Soalnya apakah Nik Aziz akan sanggup menerima tindakan terhadap Anwar jika dia disahkan sebagai pelakon dalam video itu atau adakah sebarang tuduhan terhadapnya setelah pengesahan akan dianggap sebagai fitnah dan Nik Aziz masih memerlukan empat orang saksi.

Yang sebenarnya Nik Aziz, Husam dan Salahuddin telah jauh terjebak dalam politik survival Anwar dan krisis moralnya dan mereka berada dalam keadaan terpaksa mempertahankan moral Anwar demi mempertahankan moral mereka sendiri. Apakah nilai moral bagi orang yang mempertahankan perzinaan?

Setiap rakyat negara ini harus memberikan tabik hormat kepada pihak polis yang terus berpegang kepada prinsip profesionalisme untuk menyelesaikan masalah video seks ini sekalipun desakan orang ramai semakin hebat supaya pendedahan dibuat segera.

Pertama sekali Polis telah mengesahkan ketulenan video itu tanpa mendedahkan pelakonnya tetapi dalam pengesahan kali kedua Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar berkata” Kalau dah video itu sahih, yang lain lain tuan puan buat andaianlah”

Kenyataan ini belum dapat meyakinkan penyokong penyokong Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Selayang dan Petaling jaya dan kerana itu mereka telah mengadakan Majlis Munajat Umat Tolak Fitnah di Stadium Majlis Perbandaran Selayang baru- baru ini tetapi malangnya mereka telah dihadiahkan dengan VCD seks Anwar untuk mereka melihat mana yang lebih hebat antara konsert Battle of The Band atau Battle Of the Video.

Tetapi Mufti Perlis Dr. Juanda Jaya yang telah melihat video itu sebagai dokumentari perundangan menganggap VCD seks itu lebih hebat. Maka itu beliau sebagai pemimpin Islam yang bertanggungjawab telah menyeru pihak berkuasa bertindak segera terhadap pelaku rakaman video yang didakwa mirip Anwar.

Beliau mahukan Jabatan Peguam Negara, Penguatkuasa Syariah dan Pendakwa Syarie dan Mahkmah syariah jangan jadi penonton dan duduk di atas pagar sahaja.

Islamis yang terpelajar dan progresif seperti inilah yang diperlukan lebih ramai oleh Pas untuk membantu Nasaruddin dan lain-lain lagi pemimpin Pas yang jujur bagi menegakkan Islam yang hakiki di negara ini dengan menampakkan diri mereka sebagai ulama yang realis, progresif dan modenis dan bukannya ulama zaman jahiliah.



Rabu, 11 Mei 2011

PAS YANG TIDAK ISLAMIK???




Tolak Kerjasama : Alasan Pas UMNO Ketepikan Islam Hujah Yang Tidak Kukuh

Oleh : Tg Azman Tg Abas



KUALA LUMPUR  10  Mei – Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berpendapat dakwaan  bahawa UMNO mengenepikan Islam sebagai alasan Pas untuk menolak perpaduan dan kerjasama antara parti itu sebagai hujah yang tidak kukuh.

Sebaliknya bagi beliau, faktor yang yang merencatkan perkara terbabit adalah berkait rapat dengan sentimen lama dan emosi yang  masih lagi melingkari kalangan kepimpinan Pas hingga terbawa-bawa ke hari ini.

“Alasan UMNO ketepikan Islam saya ingat penghujahan itu tidak berapa kukuh dari sudut  praktikalnya. Cuma saya ingat Pas dengan UMNO tidak boleh duduk bersama sebab sentimen yang lama dan emosi.  Mungkin mereka kecil hati dengan  apa yang telah berlaku.

“Sebab itu saya berpendapat kalau UMNO dan Pas mahu bekerjasama jangan bermula dengan rundingan politik. Saya selalu cadangkan  baik kepimpinan Pas dan kepimpinan UMNO, nak berkawan dengan orang ini jangan pergi kepada tajuk yang marah itu. Pergi kepada tajuk yang lain. Duduk semeja makan cerita lain.. perjumpaan ukhuwwah, ziarah menziarahi.

“Bak kata orang Arab kamu masuk  ke dalam jantung hati kami sebelum masuk ke rumah kami,” katanya kepada UMNO-Online di sini.

Pada masa yang sama beliau melihat baik Pas atau UMNO, kedua-dua parti berkenaan tidak perlu dibubarkan kerana apa yang penting kedua-dua parti tersbeut tahu menilai antara satu sama lain dari sudut saudara Islam.

“Saya tidak setuju Pas jadi UMNO  dan saya tidak setuju UMNO jadi Pas. Kita perlu ’check and balance’ dalam negara. Tetapi apa yang penting adalah Pas tahu menilai UMNO sebagai saudara muslim, begitulah sebaliknya.

”Kita lihat parti-parti lain mereka bijak. Mereka bertarung atas parti sahaja dan atas pentas politik sahaja. Kenapa kita orang Islam tidak boleh ikut,” ujarnya.

Beliau seterusnya berkata tidak salah kedua-dua parti iaitu UMNO dan Pas duduk semeja  kerana itu yang dituntut di dalam Islam.

“Tidak salah orang Pas duduk bersama orang UMNO dan orang UMNO duduk bersama orang Pas bahkan itu yang dituntut. Kemudian apabila kita ada perbezaan dalam satu atau dua perkara janganlah sampai kita tidak mahu bercakap, tidak mahu bincang  dan sebagainya.

“Ini tidak tepatlah dari sudut intelektual, kematangan, kenegaraan, nilai hak muslim.. ..kita tengok dalam negara barat, mereka banyak juga parti tetapi mereka masih duduk berbincang dan boleh bersetuju dalam satu dua perkara. Tetapi kita asasnya adalah Islam.

“Jadi bila sebut teras Islam ramai orang tidak boleh mengelak sebab Islam mengajak bersatu dan berukhuwwah dengan tidak menafikan perpaduan dengan bangsa-bangsa lain,” katanya.


-MediaUMNO

Isnin, 9 Mei 2011

TOLAK PAS YANG MENOLAK ISLAM




Perpaduan Umat Islam: Islam atau Politik lebih penting?

Friday, May 6th, 2011 | Posted by dukeofmontecristo



Melayu merupakan penduduk asal negara ini. Dalam kata lain, Melayu adalah bumiputera negara ini. Melayu juga adalah kaum bumiputera terbesar Tanah Melayu yang kemudiannya ditukar namanya menjadi Malaysia. Namun, Melayu masih berpecah dan bergaduh sesama sendiri. Itu status Melayu sekarang.

Antara faktor terbesar yang menjadi penyebab pepecahan Melayu ialah ideologi POLITIK. Kerana perbezaan politik, Melayu yang dulunya bersatu, kini berpecah belah. Kerana perbezaan politik juga, Melayu mengenepikan ajaran Islam semata-mata untuk memuaskan nafsu dan kepentingan politik mereka.

Politik adalah perkara subjektif dan boleh diubah-ubah mengikut keadaan, zaman dan pucuk pimpinan parti. Sebagai contoh, PAS dan UMNO pernah bersatu dan kemudian berpecah kemudiannya. PAS dan UMNO bersatu kerana faktor pemimpin, zaman dan keadaan semasa.

Ketika penyatuan PAS di bawah BN dahulu, Melayu dilihat sangat ultra. Melayu bersatu selepas kejadian 13 Mei. Melayu bersatu selepas melihat kuasa Melayu dan Islam terancam dan Melayu bertindak untuk bersatu. Namun, hanya kerana beberapa kemelut perbezaan pendapat di antara PAS dan UMNO, menyebabkan PAS mengambil keputusan untuk keluar dari BN. Maka Melayu berpecah sekali lagi.

Kini, pemimpin yang menyebabkan pepecahan PAS dan UMNO sudah tidak berkuasa. PAS di pimpin oleh Hadi dan UMNO di pimpin oleh Najib. Najib mempelawa PAS bersatu kembali di bawah BN, dan ini dilihat satu usaha yang baik oleh rakyat yang sudah muak dengan pepecahan Melayu Muslim yang merugikan mereka.

Namun, PAS masih jual mahal dan enggan bersatu. Mengapa? Kerana Nik Aziz berdendam pada UMNO dan BN tentang peristiwa lalu. Kerana PAS melihat DAP dan PKR lebih “mulia” dan “Islamik” berbanding UMNO dan BN. DAP dipeluk dan Guan Eng dinobatkan sebagai “Khalifah Ar-Rasyid” di Pulau Pinang.

Pas menganggap pelawaan Najib itu adalah kerana politik, dan bukan ikhlas kerana Islam. Kata PAS, pelawaan Najib itu adalah kerana UMNO lemah dan hanya ingin bersatu demi bangsa Melayu. Itu sangkaan PAS.

Namun, benarkah apa yang dianggap PAS itu? Benarkah UMNO lemah dan pelawaan Najib itu lebih kepada motif politik? Apakah politik merupakan segalanya bagi agenda penyatuan dan perpaduan umat Islam di Malaysia?

Jika jawapan bagi persoalan tersebut adalah “YA”, maka jelaslah bahawa prinsip jawapan itu berTuhankan politik dan mengenepikan ajaran Islam yang disampaikan Rasulullah S.A.W. Prinsip itu meletakkan Islam di bawah, politik di atas! Prinsip itu lebih mengutamakan nafsu dan kepentingan kuasa politik serta mengenepikan ajaran Islam yang menyeru umatnya agar bersatu.

Pada masa ini, saya melihat UMNO lebih positif ke arah menyatupadukan umat Islam. Pelawaan Najib itu bukan kerana politik. Pelawaan itu kerana beliau tidak rela melihat saudara seIslamnya terus dipermainkan dan dikotorkan oleh DAP dan PKR. DAP jelas menolak Islam dan PKR jelas menipu serta bersifat munafik dalam pelbagai segi.

Memang UMNO ada “kurang”nya dan kurangnya itulah yang perlu diisi oleh PAS! UMNO tidak meminta PAS membubarkan partinya. UMNO hanya meminta PAS bersatu bersamanya untuk menyatukan umat Islam, sama-sama mengimarahkan Malaysia sebagai sebuah Daulah Islamiyyah yang lebih hebat dan sama-sama mempertahankan kuasa Melayu Muslim di Tanah Melayu ini. Salahkah pelawaan itu?

Pelawaan itu hanya diputar belit oleh segelintir golongan yang kononnya “berilmu tinggi”, professor “serba tahu”, ulama “hebat tersohor” dan parti politik bukan Islam bukan bumiputera yang sememangnya takut dan risau melihat penyatuan dan perpaduan dikalangan umat Melayu Muslim!

Mereka takut dengan agenda persaudaraan Melayu Muslim akan menjadi seperti perpaduan di antara Muhajirin dan Ansar yang memperlihatkan kekuatan Islam ke seluruh dunia! Mereka takut dengan perpaduan Melayu Muslim kerana ia bakal menggagalkan misi mereka ke Putrajaya dan merubah Tanah Melayu ini mengikut acuan kehendak mereka!

Menyedihkan. Mengecewakan dan tidak sepatutnya berlaku. Itulah yang saya boleh simpulkan kepada agenda perpaduan Melayu Muslim di negara ini. Meskipun begitu, saya tidak akan berputus asa untuk menyampaikan mesej kepada pemimpin-pemimpin tertinggi Melayu Muslim tentang agenda ini supaya diusahakan demi masa depan umat Melayu Muslim di negara ini.

Kita Melayu perlu bersatu. Letakkanlah kepentingan politik di bawah dan letaklah kembali Islam di atas. Itu saja yang dapat menyatu padukan umat Islam di Malaysia ini. Buanglah ego, dendam dan kepentingan mengejar kuasa kerana ianya lebih kepada urusan duniawi yang akan diperhitungkan kelak diakhirat. Agenda Islam di negara ini lebih penting!


Jumaat, 6 Mei 2011

PAS DI PERSIMPANGAN???




Pas Kini Di Persimpangan… Antara Jalan Keikhlasan Dan Jalan Kepuraan


Pas sudah sampai di simpang tiga. Laluan ke kanan menunjuk papan tanda menuju ke Keikhlasan.

Jalan Keikhlasan ini adalah destinasi perjuangan menegakkan agama Allah dan kejayaan dunia dan akhirat.

Jalan ini berliku-liku dan penuh ranjau. Allah memang sediakan laluan ini begitu sebagai dugaan dan cabaran sama ada benar atau tidak seseorang itu berjuang untuk menegakkan KalimahNYa di muka bumi.

Laluan ke kiri menunjukkan papan tanda menuju ke Kepuraan.

Jalan Kepuraan ini jika pada zaman nabi dulu disebut kemunafikan, iaitu lawan kepada keikhlasan. Jalan ini pernah dirintis oleh Abdullah bin Ubai dan rakan-rakannya berjumlah seramai 83 orang yang disebut oleh nabi kepada sahabatnya Huzaifah r.a yang dilantik oleh nabi sebagai penyimpan rahsia nabi.

Setiap perjuangan yang berlandaskan kepada keikhlasan pasti akan menerima dugaan yang cukup hebat. Barangsiapa yang melepasi laluan ini maka barulah Allah iktiraf keimanan seseorang itu.

Sebaliknya Jalan Kepuraan pula ialah jalan yang dilalui oleh mereka-mereka yang sentiasa mempergunakan agama dengan maksud yang tidak diketahui.

Kata-kata dan ungkapan orang-orang yang mengikuti ke dua-dua jalan ini sering di dengar dan dilihat banyak persamaan. Tetapi akhirnya Allah akan asingkan mereka di akhirat kelak berdasarkan perbicaraan di mahkamah agung Ilahi yaumil-mahsyaar.

Sekarang Pas sedang berada betul-betul di persimpangan ‘trafik lite’. Sama ada mahu ke kanan atau ke kiri.

Terlalu banyak yang perlu dipertimbangkan oleh Pas pada saat ini.

Jika Pas mahu mengambil ketetapan untuk mempertahankan pelaku seks di dalam video yang sudah semakin jelas, maka Pas akan menghadapi risiko dituduh di mahkamah Ilahi sebagai pihak yang mempertahankan kemaksiatan dan kemungkaran yang nyata.

Jika Pas mahu mengambil ketetapan untuk mempertahankan pelaku seks di dalam video yang sudah semakin jelas, maka Pas akan menghadapi risiko dituduh di mahkamah Ilahi sebagai pihak yang mempertahankan kemaksiatan dan kemungkaran yang nyata.

Jika Pas mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan pelaku seks dalam video tersebut, maka Pas akan berhadapan pula dengan risiko kemungkinan kehilangan rakan kongsi dan sokongan rakyat melalui Pakatan Pembangkang.

Jika Pas mengambil pendirian untuk menggunakan ayat Al Quran ‘tidak boleh mengaibkan saudara kamu di hadapan khalayak’, maka Pas akan dituduh pula menyokong pelaku liwat dalam video tersebut.

Jadi mana satu pilihan yang harus dibuat, iaitu sama ada mempertahankan si pelaku dalam video atau menyokong pendedahan yang dilakukan oleh Dato T.

Walau apa pun, ke dua-dua pendirian yang bakal diambil ini, Pas tetap akan di soal di mahkamah Ilahi kelak.

Inilah dilema Pas, khususnya kepada ulamak-ulamak yang sedang memimpin Pas.

Keputusan di tangan Pas sama ada Pas memang berjuang semata-mata kerana Allah atau pun mencampur-adukkan antara berjuang kerana Allah dengan kerana kepentingan politik, kuasa dan pengaruh.

Pas bolehlah melakukan ijtihad laluan mana yang harus dilalui. Jika dalam ijtihadnya Pas mempunyai keikhlasan semata-mata kerana Allah, maka ijtihad yang bakal diambil Pas sudah semestinya akan memberi keutamaan kepada kemaslahatan ummah secara keseluruhannya dan bukan kemaslahatan kelompok Pakatan Rakyat semata.

Ijtihadlah wahai Pas demi agama mu. The Choice Is Yours.



Kamarulzaman Kamdias (kkamdias.blogspot.com)