Jumaat, 7 September 2012

PRU 13 : UCAPKAN SELAMAT TINGGAL KEPADA PAS






 
Tawar hati dengan Pas




 Pada 22 Ogos 2012 bersamaan 4 Syawal 1433H, seorang insan istimewa berstatus orang kelainan upaya (OKU) iaitu Mohd. Hidzir Othman dari Kampung Rendah, Rembau, Negeri Sembilan berkunjung ke Utusan Melayu (M) Berhad di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.

Mohd. Hidzir, 45, dilahirkan tanpa kedua-dua belah kaki namun beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Insan Penyayang Malaysia (PKIPM) Negeri Sembilan dan Exco PKIPM pusat tetap gagah bergerak menggunakan tangan kanan dan kirinya melangkah memasuki pejabat Utusan Melayu.

Status OKU bukan penghalang kepada Mohd. Hidzir untuk berkecimpung dalam bidang politik. Manusia cekal ini mula menyertai UMNO sekitar 1980-an sebelum memasuki Pas pada 1990 hingga 2001 dan pernah memegang jawatan dalam parti itu. Kini, beliau kembali ke pangkuan UMNO sebagai ahli seumur hidup mulai 2004.

Pelbagai pengalaman pahit getir pernah dilaluinya semasa bersama Pas: dituduh kafir kerana mengkritik Pas dan pemimpinnya malah dilabel pengintip kerana menjaga silaturahim dengan rakan-rakan dalam UMNO.

Ikuti wawancara wartawan Utusan Malaysia, HUSSAINI AMRAN dan jurufoto, IRWAN MAJID bersama Mohd. Hidzir tentang pandangannya berdasarkan pengalamannya selama 11 tahun bersama parti itu dan perkembangan politik semasa negara.

UTUSAN: Boleh jelaskan penglibatan saudara dalam Pas?

MOHD. HIDZIR: Saya menyertai Pas pada 1990 dan pernah memegang jawatan Ahli Jawatankuasa Pas Kawasan Teluk Kemang serta Setiausaha Pas Cawangan Kampung Rendah, Rembau mulai 1996 hingga 2001. Selain itu, saya terlibat secara langsung sebagai tenaga penggerak kepada penubuhan cawangan baru Pas di enam lokasi sekitar Rembau iaitu Kampung Rendah, Kampung Tanjung Sena, Pekan Rembau, Kampung Air Hitam, Kampung Pedas Gaing dan Kampung Senama serta pemulihan semula Pas Cawangan Kampung Seberang Batu Hampar dan Pas Cawangan Kampung Tanjung Berangan.

Sebelum itu, saya pernah menjadi ahli UMNO tetapi dasar Pas tentang penubuhan sebuah negara Islam dan perjuangan melaksanakan hukum hudud telah mencuit hati saya untuk memasuki parti itu. Bagaimanapun, pemerhatian saya selama 11 tahun dalam Pas mendapati parti itu tidak konsisten dan tidak istiqamah dari segi dasar perjuangan, hala tuju serta strategi politik.

Lebih memburukkan keadaan, apa sahaja perkara yang melibatkan Pas dan pemimpin-pemimpinnya tidak boleh ditegur atau dikritik. Bila saya kritik, mereka tuduh saya kafir. Saya pernah dimarahi dalam mesyuarat kerana mengkritik parti dan pemimpinnya. Saya dikatakan tidak menghormati pemimpin dan parti. Macam-macam gelaran pernah saya terima termasuk pengkhianat, petualang malah saya dituduh sebagai pengintip yang diupah UMNO untuk membongkar rahsia Pas.

Saya tidak boleh menerima perjuangan seumpama itu. Memang saya amat kecewa dengan sikap dan mentaliti Pas sehingga memaksa saya mengambil keputusan meninggalkan parti itu pada 2001.

Dasar-dasar Pas yang mana kena kritik?

Saya cuma menyuarakan kritikan terhadap hasrat Pas membuka keahlian kepada orang bukan Islam. Saya juga minta Pas jangan amalkan politik kafir mengkafir, jangan memaki hamun UMNO dan jangan mencaci serta menghina orang Islam daripada parti lain. Sebaik-baiknya, Pas jauhi dasar perjuangan sebegitu. Pas melakukan kesilapan besar apabila menanam sifat kebencian di kalangan ahli-ahlinya dan rakyat. Pemimpin-pemimpin negara dan orang Melayu yang sebangsa dan seagama menjadi sasaran kebencian. Sikap ini amat mengecewakan saya kerana Pas boleh berpeluk dengan DAP tetapi dengan UMNO hendak berjabat tangan pun tidak mahu. Bila timbul cadangan muzakarah dengan UMNO, Pas letak banyak syarat.

Walhal pemimpin Pas yang mula cetuskan hasrat bermuzakarah. Namun, setelah UMNO memberi respons positif, Pas juga yang tolak muzakarah. Pas terlalu ghairah bermain politik hingga terlupa tentang kepentingan ummah dan bangsa. Mungkin Pas takut dengan sekutu-sekutunya dalam pakatan pembangkang. Kononnya memperjuangkan Islam tetapi dasar parti sering berubah. Saya juga dibiarkan terkontang-kanting keseorangan setiap kali dikenakan tindakan ekoran mengkritik Pas dan pemimpinnya. Tiada sokongan dan bantuan daripada ahli-ahli Pas yang lain walaupun ada di antara mereka yang menyokong saya. Namun mereka hanya berani cakap-cakap belakang sahaja. Kalau secara terbuka mereka tak berani.

Mengapa saudara tawar hati dengan Pas?

Saya paling kecewa apabila Pas membuat keputusan untuk menerima ahli bukan Islam. Saya pernah mengemukakan surat bantahan secara terbuka dan berbincang dengan beberapa pemimpin Pas pada masa itu meminta parti jangan mengubah hala tuju perjuangannya. Jangan sesekali menerima cadangan membuka keahlian parti kepada bukan Islam. Kalau Pas terima ahli bukan Islam maknanya kita cakap tak serupa bikin.

Dulu Pas kata UMNO kafir sebab bekerjasama dengan bukan Islam tetapi Pas akhirnya mengambil tindakan yang lebih teruk daripada itu. Sekarang kita dapat melihat Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) diwujudkan. Anggota DHPP bukan lagi sekadar ahli bersekutu kerana ia telah diiktiraf sebagai salah satu sayap Pas. Maknanya ahli DHPP boleh bertanding, boleh mengundi dan boleh diundi. Jadi, orang bukan Islam pun boleh menentukan hala tuju perjuangan Pas. Bagi saya, ini satu kelemahan dan kesilapan besar yang dilakukan oleh Pas.

Adakah pemimpin-pemimpin Pas benar-benar memahami hasrat dan kehendak akar umbi?

Mereka tidak nampak kesilapan sendiri dan masalah-masalah dalaman parti kerana terlalu sibuk mencari kesalahan orang lain terutamanya pemimpin-pemimpin UMNO. Pemimpin-pemimpin Pas tidak mahu bermuhasabah diri. Sikap negatif ini sepatutnya dihapuskan sekiranya mereka benar-benar ikhlas ingin memperjuangkan Islam. Sebaliknya, mereka sentiasa mengamalkan syak wasangka, memburuk-burukkan, mencaci dan menghina umat Islam yang lain. Mana boleh buat begitu. Itulah salah satu punca umat Islam dipandang rendah oleh penganut-penganut agama lain.

Sebilangan kecil pemimpin Pas mempunyai pandangan berbeza dengan pucuk pimpinan parti. Akar umbi selalunya memihak kepada siapa?

Akar umbi Pas lebih cenderung kepada pucuk pimpinan. Mereka tidak kisah siapa yang berada di atas. Mereka tetap sokong walaupun pucuk pimpinan membuat kesilapan. Walaupun bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa dan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali pernah membuat teguran, akar umbi sukar menerimanya. Kedua-dua tokoh itu dianggap sebagai penentang pucuk pimpinan Pas. Bagi mereka, pucuk pimpinan parti tidak boleh ditegur, tidak boleh dikritik. Jika tokoh-tokoh berkaliber seperti Nasharudin dan Hasan pun tidak boleh diterima, inikan pula pandangan pemimpin-pemimpin peringkat akar umbi. Semua itu berlaku kerana ahli-ahli Pas terlampau taksub kepada individu bukan kepada perjuangan.

Apakah Pas kini tidak lagi agresif memperjuangkan penubuhan negara Islam?

Secara terbuka, saya berpandangan perjuangan Pas sekarang ini sudah menyeleweng dan menyimpang daripada matlamat asal penubuhannya. Saya tidak faham mengapa Pas tergamak menukar konsep perjuangannya daripada negara Islam kepada negara berkebajikan. Bila dikritik, pemimpin-pemimpin Pas pula berdolak-dalik dengan hujah-hujah kabur bagi mengelabui mata rakyat. Mengapa tidak berterus-terang sahaja mengatakan Pas terpaksa menggugurkan perjuangan menegakkan negara Islam kerana tekanan rakan-rakan politik dalam pakatan pembangkang. Begitu juga dengan isu hudud.

Kita tidak dapat melihat ketegasan pemimpin-pemimpin Pas bila berdepan dengan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mulutnya begitu celupar memperlekehkan hukum hudud. Sebaliknya, pemimpin-pemimpin Pas lebih suka membuat aksi lawak murahan dengan menuding jari menyalahkan UMNO sebagai punca hudud tidak dapat dilaksanakan, sedangkan dengan Karpal - hendak angkat muka pun tak berani.

Dalam isu negara Islam dan hudud, Pas sepatutnya jangan mengalah dengan DAP. Teruskan perjuangan itu walaupun mendapat tentangan hebat daripada sekutu politiknya. Pas mesti berani kerana benar dan komited untuk mengotakan janjinya. Jangan beralah sebab tekanan daripada DAP namun dengan UMNO, Pas sentiasa tunjuk kuat dan hebat.

Mengapa menyertai semula UMNO?

Saya sebenarnya mendaftar dengan Pas sebagai ahli seumur hidup. Semasa masih di dalam Pas, saya pernah menghadiri majlis-majlis keramaian dan kenduri-kendara anjuran rakan-rakan saya dalam UMNO. Saya tetap berusaha memenuhi jemputan rakan-rakan dari UMNO kerana fahaman politik yang berbeza tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk memutuskan silaturrahim. Malangnya, saya ditegur oleh pucuk pimpinan parti dan saya dikatakan membelakangkan perjuangan parti. Mungkin mereka mahu saya menjadi seperti katak di bawah tempurung yang tidak bercampur dengan masyarakat.

Selepas keluar dari Pas, saya kerap menghadiri majlis-majlis anjuran UMNO dan dari situ, pintu hati saya mula terbuka semula kepada UMNO. Pada 2004, saya mendaftar di Ibu Pejabat UMNO di Menara Datuk Onn, Kuala Lumpur sebagai ahli seumur hidup.

Sejak itu, saya disisihkan oleh rakan-rakan yang masih di dalam Pas. Mereka anggap saya seperti sampah. Saya dituduh sebagai pengkhianat dan petualang yang berpaling tadah. Kononnya saya diberi wang oleh UMNO untuk mengubah haluan. Saya pernah cuba menjelaskan kepada mereka bahawa tindakan saya itu adalah atas kesedaran sendiri semata-mata untuk memperjuangkan kepentingan agama, bangsa dan negara. Tiada sesiapa mempengaruhi saya. Mereka tidak mahu menerima penjelasan saya kerana terlalu taksub dengan perjuangan Pas.

Mereka tidak mahu terima hakikat perjuangan Pas kini telah tersasar. Amat sukar untuk mereka menerima pandangan pihak lain. Rakan-rakan saya dalam Pas mempertahankan pucuk pimpinan dengan mengatakan apa yang berlaku itu hanya strategi politik. Itu bukan strategi politik.

Perjuangan Pas kini bukan lagi kerana Allah SWT dan Islam, sebaliknya cuma untuk kepentingan politik dan meraih undi. Berbeza dengan UMNO, saya melihat pemimpin dan ahli-ahlinya bersikap terbuka dan bersedia menerima sesiapa sahaja menyertai perjuangannya tanpa memandang serong.

UMNO juga lebih komited menjaga kebajikan rakyat dan ahli-ahlinya sedangkan Pas lebih banyak retorik tetapi banyak janjinya tidak dilaksanakan. Sebagai sebuah parti Islam, Pas sepatutnya berdakwah kepada saudara seagama dengan menunjukkan teladan yang baik. Kalau hendak kritik pun, lakukan secara baik. Amalkan sikap terbuka dan bersedia berunding. Malangnya, semua itu tidak berlaku.

Pada pandangan saudara, antara Barisan Nasional (BN) dan pembangkang, siapa yang lebih layak diberi mandat mentadbir negara?

Seperti yang kita sering lihat, parti-parti pembangkang iaitu Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP tidak sehaluan dan sependapat. Apa yang berlaku di negeri-negeri yang kini ditadbir pembangkang menunjukkan wajah sebenar mereka yang hipokrit. Sebelum berkuasa, banyak janji ditaburkan tetapi bila diberi peluang tidak mampu ditepati. Kemudian mereka ambil jalan mudah menyalahkan pentadbiran kerajaan negeri terdahulu di bawah BN sedangkan masalah berlaku selepas pembangkang berkuasa. Cara pembangkang berkempen juga agak agresif dan gemar mencetuskan provokasi. Mereka sentiasa menghasut agar rakyat melihat kerajaan BN sebagai zalim.

Saya tidak faham apa yang mereka maksudkan kerajaan BN zalim. Adakah kerana kerajaan tidak memberi dengan segala yang mereka tuntut seperti yang cuba mereka lakukan pada perhimpunan haram Bersih 3.0 April lalu? Saya tidak melihat BN sebagai sebuah parti yang zalim sebaliknya BN merupakan sebuah parti pemerintah yang terbaik di dunia dari segi pentadbiran, politik, ekonomi dan sosial.

Permuafakatan parti-parti komponen BN mencerminkan semangat toleransi antara masyarakat berbilang kaum di negara ini. Saya harap rakyat membuat pilihan terbaik pada Pilihan Raya Umum Ke-13 dengan memilih BN yang terbukti mampu menjamin kemajuan, kestabilan dan keselamatan negara. Jika pembangkang sendiri tidak sepakat dalam menentukan dasar pejuangan bersama, bagaimana hendak menentukan dasar pemerintahan negara? Silap-silap negara boleh huru-hara sekiranya pembangkang memerintah.

Pembangkang sebenarnya rasa terancam dengan keberkesanan formula yang diamalkan BN selama ini. Sebab itulah mereka menggunakan taktik kotor memesongkan pemikiran rakyat dengan dakyah-dakyah palsu. Saya nasihatkan rakyat terutamanya anak-anak muda agar jangan percaya dengan segala maklumat yang tertera pada laman web atau media pro pembangkang. Jangan percaya bulat-bulat kerana banyak maklumat yang dipaparkan boleh mempengaruhi rakyat membenci kerajaan dan UMNO.