Jumaat, 25 Februari 2011

PAS : PARTI PUNGGOK RINDUKAN BULAN


Pas buang masa bertanding PRK Kerdau, Merlimau

SAMA ADA diadakan pilihan raya serentak atau berasingan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau di Pahang dan Merlimau di Melaka, peluang untuk Pas atau mana-mana parti pembangkang untuk menumpaskan UMNO/BN bukan saja mustahil tetapi hakikat dan natijahnya 'teramat' dan 'tersangat' mustahil.

Keyakinan Pas untuk menawan kedua-dua kawasan terbabit ibarat 'katak puru yang yakin kulitnya akan licin apabila bunyi guruh' tetapi keyakinan itu tidak pernah menjadi realiti sejak turun temurun.

Di Kerdau, daripada 8,451 pengundi berdaftar, sebanyak 89.04% adalah Melayu, 5.62% Cina, 3.59% India dan 1.75 % lain-lain bangsa manakala di Merlimau daripada 10,471 pengundi berdaftar, sebanyak 64.69% adalah Melayu, 21.11% Cina, 14.16% India dan 0.04% adalah bangsa-bangsa lain. Maknanya di kedua-kedua kawasan itu, majoritinya adalah penduduk Melayu.

Seandainya Pas meletakkan calon di kedua-dua kawasan dan diatur pula dengan siri kempen oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan, penulis yakin jumlah majoriti UMNO/BN akan meningkat dengan banyaknya kerana orang Melayu pasti tidak akan lupa dengan pengakuan Nik Aziz yang tidak bangga menjadi Melayu dan dilahirkan sebagai Melayu.

Orang Melayu juga pasti tidak mahu bersekongkol dengan parti yang dipimpin dan dianggotai oleh orang Melayu beragama Islam yang menganggap sesiapa tidak menyokongnya tidak layak masuk ke syurga. Kenyataan itu jelas ditujukan kepada mereka yang mengundi calon UMNO/BN tetapi pada masa yang sama, boleh pula bekerjasama, malah boleh 'tunduk' kepada parti yang pemimpinnya anti-Islam secara terang.

Harus diketahui oleh para pemain politik dan parti politik, pengundi sekarang bukan cetek ilmu pengetahuan dan maklumat macam dulu, malah di Kerdau mahupun di Merlimau, yang lebih berilmu dan lebih beriman serta bertakwa daripada Nik Aziz ada berlambak-lambak, cuma mereka tidak tonjol diri, apatah lagi menggazetkan diri mereka sebagai 'tok guru', 'ulamak', 'mua'lim', 'maulana' dan sebagainya kerana mereka tidak ada kepentingan politik.

Ertinya, ekoran keceluparan Nik Aziz yang bersifat strategi politik kepartian bagi menarik pengundi bukan Melayu dan pengundi bukan beragama Islam sehingga sanggup menyatakan beliau tidak bangga dilahir dan menjadi Melayu, ia menjadi suatu wabak, virus dan sindrom yang boleh menyebabkan Pas kehilangan sokongan Melayu, malah parti itu bukan sahaja akan tumpas pada pilihan raya-pilihan raya kecil tetapi juga pasti akan tumpas pada pilihan raya umum nanti.

Kalau pihak pembangkang letak calon dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau DAP, calon-calon dari parti-parti berkenaan juga akan kecundang kerana pendekatan politik mereka tidak ada beza, yakni sama-sama sekularisme.

Ertinya pihak pembangkang sama ada mempertaruhkan calon Pas atau PKR atau DAP, mereka hanya akan membuang masa, wang dan tenaga untuk bertanding di Kerdau dan Merlimau. Lebih baik wang itu digunakan oleh Pas untuk membantu fakir miskin termasuk memberi subsidi harga barangan keperluan harian kepada rakyat di negeri-negeri yang diperintah.

Dengan majoriti yang dipungut oleh Allahyarham Zaharudin Abu Kassim di Kerdau sebanyak 1,615 selepas memungut 4,132 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12), manakala lawannya dari Pas hanya memungut 2,520 undi, adalah amat sukar bagi Pas untuk menumbangkan UMNO/BN.

Penulis yakin jumlah majoriti penyokong UMNO/BN akan meningkat lebih tinggi memandangkan UMNO/BN sedang berdepan dengan revolusi dan reformasi pemulihan sokongan yang amat ketara, terutama di kalangan orang Melayu. Harus diingat faktor yang menyebabkan UMNO/BN gagal mendapat majoriti 2/3 pada PRU-12 bukan kerana sokongan terhadap UMNO merosot, sebaliknya yang tumpas adalah parti-parti komponen bukan Melayu dalam BN atas beberapa faktor yang kini sudah dikenal pasti dan diatasi oleh pimpinan BN.

Keinginan Pas atau mana-mana parti pembangkang untuk menawan Merlimau juga ibarat sang pungguk yang mahu ke bulan. Ini kerana kalau difikirkan secara waras, bukan mudah untuk Pas atau mana-mana parti pembangkang menambah pungutan undi lebih daripada 5,087 undi berbanding dengan undi yang diperoleh pada PRU-12, yakni jumlah majoriti yang dipungut oleh Allahyarham Datuk Mohd. Hidhir Abu Hassan.

Apa pun jentera UMNO/BN tidak boleh leka dan ambil mudah dalam menghadapi lawan, sebaliknya kena bekerja kuat bukan untuk menang kerana insya-Allah kemenangan sudah dalam genggaman. UMNO/BN perlu bekerja kuat untuk meningkatkan jumlah majoriti yang dipungut.

Jangan ikut rentak lawan yang menabur fitnah, provokasi dan fakta yang diadakan-adakan ketika berkempen, sebaliknya berpolitiklah secara sihat dan yang dihalalkan oleh Islam supaya UMNO/BN tidak akan dikifarah sebagaimana Pas sedang berdepan dengan siri kifarah kerana pendekatan politik pimpinan parti berkenaan tidak sama antara yang diucap pada mulut dan yang terselit di hati.


RAMLI ABDUL HALIM
Pengamal media sejak tahun 1973 dan penganalisis politik bebas

Khamis, 24 Februari 2011

PAS DAN NIK AZIZ : MALAIKAT ATAU SYAITAN BISU?


BUKTI MENGKAFIR UMNO

By  Dr. Mahathir Mohamad
on February 24, 2011 7:00 AM | Permalink | Comments (1) | TrackBacks (0)


1. Dalam Utusan Malaysia 18hb Februari, 2011, Nik Aziz bertanya apa bukti dia mengkafir UMNO.

2. Allah Maha Kaya.

3. Kepada soalannya, dia sendiri menjawab, "Tolak agama ambil nasionalis, apa nama kerja ini". Jadi nasionalis UMNO di dakwa oleh Nik Aziz menolak agama. Dan dia bertanya, "apa nama kerja ini". Tolak agama bermakna kafir. Jadi Nik Aziz tuduh UMNO kafir.
4. Nik Aziz menuduh saya fikir agama ini sembahyang, puasa, nikah kahwin, tengok anak bulan, itu sahaja agama saya. Memang pun bagi saya semua ini adalah sebahagian daripada ajaran agama Islam. Apa dianya yang saya tolak berkenaan agama dengan menjadi seorang nasionalis? Ini tidak diterangkan.

5. Tetapi sebelumnya dia mendakwa "sokong PAS ertinya sokong Islam". Kita jadi Islam setelah mengucap dua kalimah syahadah - "Tiada Tuhan (yang disembah) melainkan Allah dan Nabi Muhammad adalah Rasul Allah".

6. Apakah Nik Aziz berpendapat hanya setelah mengucap "sokong PAS" baru jadi Islam dan sebelum itu kafir? Ini juga bermakna Nik Aziz mengkafirkan saya.

7. Tidak ada pengertian lain dengan dakwaan UMNO tolak Islam selain daripada mendakwa UMNO adalah kafir.

8. Apa lagi bukti yang dikehendaki oleh Nik Aziz yang dia telah mengkafir saya dan UMNO kerana kami nasionalis yang tidak sokong PAS.

9. Nik Aziz membandingkan dirinya dengan malaikat yang menegur Nabi. Saya bukan Nabi dan Nik Aziz bukan malaikat. Nik Aziz dan saya hanya manusia biasa dan ahli politik. Teguran ahli politik kerana kepentingan politiknya tidak sama dengan teguran malaikat.

10. Lagi pun teguran Nik Aziz menidakkan ke-Islaman saya, satu teguran (lebih tepat lagi satu tuduhan) yang amat serius.

11. Apakah ada orang Islam yang tidak melenting jika sesiapa mengkafirkannya? Apakah Nik Aziz tidak akan melenting jika saya kata dia sudah kafir? Belum saya kata itu pun Nik Aziz sudah melenting.

12. Berkenaan dengan Nik Aziz dan PAS memperkenalkan Islam kepada DAP, bukti menunjukkan PAS yang telah dipengaruhi DAP.

13. Lihat sahaja tindakan biadap terhadap Sultan dan Raja Muda Perak oleh ahli PAS, berguling-guling atas jalan menghalang kereta Raja. Sebelum berbaik dengan DAP ahli PAS lebih berpegang kepada budaya Melayu. Kerana mahu sokong DAP ahli PAS mengenepikan ke-Melayuan mereka. Dan sekarang tuntutan untuk mendirikan negara Islam pun sudah tidak didengari lagi.

14. Apabila bapa kepada DAP menyarankan supaya orang Islam longgarkan pegangan mereka kepada ajaran Islam, Nik Aziz tidak menolaknya kerana anggapannya yang saranan ini tidak seburuk nasionalisme orang Islam UMNO. Janganlah melenting jika saya kata Nik Aziz sudah terima saranan Lee Kwan Yew supaya orang Islam longgarkan pegangan mereka kepada Islam kerana ini tidak dahsyat seperti menjadi nasionalis Melayu Islam dalam UMNO.

15. Sekarang Nik Aziz mahu Melayu diutamakan kerana mereka adalah masyarakat majoriti di negara ini. Bukan masalah orang Melayu yang menyebabkan Nik Aziz mengubah pendirian terhadap bangsanya tetapi kerana Melayu menjadi majoriti dan dianya memerlukan undi orang Melayu, tidak lebih daripada itu.

16. Kenalilah Nik Aziz, orang yang utamakan hanya undi orang Melayu, bukan keprihatinan terhadap masalah hidup mereka.

Selasa, 22 Februari 2011

PAS : TALAM BERMUKA-MUKA DAN GERGAJI BERMATA-MATA

Nik Aziz pandai bermuka-muka

Oleh AZRAN FITRI RAHIM
azran.rahim@utusan.com.my


KOTA BHARU 21 Feb. - Pengasas Pondok Geting, Tumpat, Abdullah Sa'amah (gambar) menyifatkan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terlalu pandai 'bermuka-muka' apabila cuba menarik perhatian orang Melayu dengan menyatakan parti itu mengutamakan perjuangan kaum pribumi tersebut.

Beliau berkata, keadaan itu jelas kerana Menteri Besar Kelantan tersebut tidak pernah menyesal atau menarik balik kenyataan menghina orang Melayu yang dibuatnya sebelum ini.

"Terlalu banyak penghinaan yang dibuat oleh Nik Abdul Aziz terhadap orang Melayu malah terlalu banyak kenyataannya bertentangan dengan ajaran Islam, perkara ini harus disedari supaya orang Melayu tidak terpedaya dengan kata-katanya.

"Dia tidak pernah menyesal dengan kenyataan yang dibuatnya, tidak pernah untuk menarik balik. Tiba-tiba hari ini keluar kenyataan bahawa Pas mengutamakan perjuangan untuk orang Melayu, untuk apa kalau bukan menarik sokongan orang Melayu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz semalam yang mengakui perjuangan terhadap masyarakat Melayu perlu diutamakan memandangkan statusnya sebagai bangsa pribumi di negara ini.

Abdullah berkata, sekiranya benar Nik Abdul Aziz memperjuangkan hak orang Melayu dan ingin menegakkan Islam di negara ini, Pas sepatutnya bekerjasama dengan UMNO, bukannya terus bersekongkol dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Apabila DAP mengganggu-gugat hal ehwal agama Islam di Selangor dan Pulau Pinang, di mana suara Nik Abdul Aziz? Tidak kiralah ia berlaku di negeri lain, sebagai orang yang ada jawatan besar dalam parti yang kononnya memperjuangkan Islam, dia wajib bersuara.

"Kalau begitu cara Pas untuk menegakkan Islam, lebih baik cara UMNO, biarpun tidak ada perkataan Islam pada nama parti itu tetapi jelas selama 50 tahun UMNO telah sedaya upaya menyebarkan Islam di negara ini, lihat pondok-pondok dan sekolah agama terus berkembang tidak ada sebarang halangan malah ditubuhkan agensi atau jabatan khusus untuk menjaga hal ehwal Islam dengan peruntukan yang besar," katanya.

Katanya, sebagai contoh, Nik Abdul Aziz tidak membenarkan sambutan Maulidur Rasul di negeri ini kerana menganggapnya bidaah sedangkan ulama-ulama di seluruh dunia berpendapat ia wajar disambut secara besar-besaran bagi mengingati sirah Rasulullah SAW dan sebagai pengajaran kepada umat Islam hari ini.

"Apakah Nik Abdul Aziz boleh memberikan jaminan bahawa apabila Pas bersama DAP dan PKR memerintah, agama Islam dapat dipertahankan? Lihat saja di Selangor, Exco DAP boleh mengganggu hal ehwal Islam, di Pulau Pinang sudah ada Exco untuk agama lain.

"Apakah kita lupa kata-kata Karpal Singh tentang hasrat Pas untuk melaksanakan dasar Islam di negara ini, lebih malang ada pula pemimpin Pas sanggup memberi nyawa mempertahankan Karpal," katanya.

Pada masa sama, beliau yang juga ahli Pas yakin parti itu tidak akan melaksanakan dasar perjuangannya untuk menegakkan Islam sekiranya memerintah kerana ia telah dibuang ke tepi dan menjadikan kuasa atau kemenangan pada pilihan raya sebagai matlamat utamanya.

"Nik Abdul Aziz sememangnya berbohong apabila mengatakan tujuan Pas bekerjasama dengan DAP adalah untuk berdakwah. Pas tidak pernah berdakwah kepada DAP, Pas hanya menjadi pengikut DAP," katanya.


Isnin, 21 Februari 2011

MERLIMAU DAN KERDAU : UNDI PAS BERERTI SOKONG DAP

Jangan terpedaya propaganda Pas


JASIN 20 Feb. – Para pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau dan Kerdau dinasihatkan supaya tidak terpengaruh dengan propaganda Pas yang mengakui parti itu mengutamakan perjuangan orang Melayu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sering membuat kenyataan yang berubah dalam menyatakan perjuangan sebenar parti tersebut.

“Masyarakat harus sedar kenyataan Pas boleh berubah-rubah. Bukan mustahil hari ini mereka bercakap lain dan esok mereka cakap lain.

“Kita jangan terpedaya hingga terikut dan terpujuk ungkapan Pas dalam memperjuangkan nasib orang Melayu.

“Jika benar Pas memperjuangkan nasib orang Melayu, mengapa tidak mereka memperjuangkan hak orang Melayu di Pulau Pinang dan negeri lain,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri perjumpaan dengan pemimpin Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung di Politeknik Merlimau, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Speaker DUN Melaka, Datuk Othman Muhamad.

Beliau mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz semalam yang mengakui perjuangan terhadap masyarakat Melayu perlu diutamakan memandangkan statusnya sebagai bangsa pribumi di negara ini.

Mengulas lanjut, Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, Pas akan menggunakan isu agama dan bangsa Melayu untuk meraih simpati pengundi di kedua-dua tempat tersebut menjelang pilihan raya kecil 6 Mac ini.

“Perjuangan BN sebenarnya lebih konsisten kerana kita memperjuangkan nasib bukan sahaja orang Melayu tetapi juga Cina, India dan semua bangsa yang terdapat di negara ini termasuk di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Sementara itu di Putrajaya, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pula menyifatkan Mursyidul Am Pas itu sebagai seorang yang kerap menukar pendirian semata-mata untuk kepentingan politik.

Kali ini, katanya, demi untuk meraih undi kaum Melayu, Nik Abdul Aziz sanggup menukar pendirian parti tersebut yang sebelum ini memperjuangkan Islam.

“Nik Abdul Aziz ingin memperjuangkan hak masyarakat Melayu atas alasan mereka adalah kaum pribumi di negara ini.

“Bagi saya, beliau terpaksa bercakap begitu kerana mahu memenangi hati masyarakat Melayu yang ketika ini lebih berpihak kepada kerajaan,” katanya.

Menurut Tengku Adnan, faktor lain yang menyebabkan Menteri Besar Kelantan itu mengubah pendiriannya adalah kerana undi masyarakat Melayu terhadap Pas telah mula merosot.

“Orang Melayu kini telah sedar siapa dan parti mana yang boleh memperjuangkan nasib mereka, telah banyak terbukti hanya UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang mampu berbuat demikian,” katanya.

Manakala, Naib Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail berkata, Nik Abdul Aziz perlu berhenti menjadikan kaum Melayu sebagai umpan politik terbarunya.

Menurutnya, perjuangan yang disuarakan oleh Nik Abdul Aziz itu hanya bagi meraih kepentingan politik selain melaksanakan agenda DAP.

“Agenda memperjuangkan hak Melayu wujud kerana Nik Abdul Aziz hanya mahu menang dalam pilihan raya bukan demi kepentingan kaum Melayu yang beragama Islam,” katanya.

Beliau berkata, Nik Abdul Aziz perlu kembali kepada ajaran Al-Quran atau berhenti daripada berpolitik kerana tindakannya itu hanya akan menyesatkan umat Islam.

Jelasnya, perjuangan membela hak Melayu telah lama dilakukan UMNO sehingga dunia mengiktirafnya hari ini.

“Oleh itu Nik Abdul Aziz tidak perlu berpura-pura dengan mahu mengambil hati orang Melayu demi kepentingan rakannya iaitu DAP,” ujarnya.