Rabu, 20 Julai 2011

PAS : PAK ANGGUK SESAT???








Pas Umpama “Kokok Berderai-derai, Ekor Penuh Tahi” – Prof Halim

Oleh : Ropikah Ahmad



KUALA LUMPUR, 18 Julai – Pas telah terbukti mempergunakan agama dalam usaha mendapatkan sokongan masyarakat tetapi tidak sanggup untuk memperjuangkan tuntutan Islam apatah lagi bagi mempertahankan kenyataan yang telah diluahkan sebagaimana ayam sabung yang berkokok berderai-derai tapi ekor bergelumang tahi.

Ketua Pusat Pembangunan Anak Bangsa di Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK), Profesor Datuk Dr. Abdul Halim Sidek melihat tindakan kerajaan pembangkang di Kedah yang diterajui Pas sebagai satu lagi sandiwara mereka berhubung isu larangan operasi terhadap 13 jenis pusat hiburan sepanjang Ramadan nanti.

“Pas tak teguh dengan kenyataan sendiri sedangkan hal berkaitan agama tidak boleh dijadikan sebagai satu lakonan sebagaimana mereka yang terus melatah apabila ‘digeletek’ Dap, mahu jaga hubungan sekutu sehingga sanggup ketepikan prinsip yang mereka perjuangkan sebagaimana matlamat mereka sebelum ini mahukan negara Islam bertukar yang kemudian bertukar menjadi negara berkebajikan,” katanya.

Sebelum ini Pas telah mengeluarkan larangan penuh terhadap pusat-pusat hiburan sepanjang bulan Ramadan tetapi kemudiannya kurang 24 jam ia telah ditarik balik ekoran kata dua oleh Pengerusi Dap, Karpal Singh.

“Apa yang Pas lakukan semakin mengelirukan dan terserlah bahawa siapa sebenarnya yang mempunyai kuasa penuh dalam pakatan pembangkang dan menjadi suara dalam apa yang mahu dilakukan termasuk dalam Pas sendiri kerana inilah sandiwara wayang kulit yang bermain di sebalik tabir.

“Inilah politik Pas yang sentiasa berubah-ubah tiba-tiba mengikut suara di sebalik tabir walhal kalau air laut pun boleh dijangka masanya untuk pasang dan surut. Inilah salah satu lagi bukti Pas dah di cucuk hidung,” katanya.

Beliau yang juga pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) menegaskan bahawa sebenarnya tindakan Pas ini bukan hanya mengelirukan ahli-ahlinya sendiri tetapi apa yang lebih teruk ialah mengundang prasangka negatif ke atas agama Islam sendiri.

“Menteri Besar (MB) Kedah Datuk Seri Azizan Razak mengeluarkan larangan operasi pusat hiburan sepanjang bulan Ramadan atas alasan mengikut Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 tetapi kemudiannya Presiden Pas Hadi Awang pula memberitahu ada perubahan pada larangan itu. Persoalannya kenapa tidak MB sendiri yang memaklumkannya?”

Tambah beliau lagi, apabila Hadi Awang menyatakan bahawa perubahan yang dibuat ialah, pusat hiburan boleh beroperasi dengan hanya dikunjungi oleh bukan Islam maka ia adalah sama dengan apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional tanpa mengira sama ada bulan Ramadan atau sebaliknya.

“Apa bezanya kerajaan Pas Kedah dan Kerajaan Pusat yang ditadbir Barisan Nasional (BN) kerana BN yang selama ini dituduh kononnya tidak laksanakan hukum Islam walhal ia telah lama dilakukan sebagaimana pusat perjudian dan pusat-pusat hiburan misalnya di Genting Highlands yang tidak boleh dikunjungi oleh orang Islam.

“Adakah Pas dan pembangkang sedar atau tidak bahawa apa yang mereka lakukan ini secara tidak langsung telah memperakui kebaikan pentadbiran BN kerana mereka sedang mengikut dasar-dasar yang telah lama dilakukan oleh BN; mereka pula baru nak laksanakan,” tegasnya lagi.

Jelasnya lagi, inilah sandiwara Pas yang ternyata terjerat dalam perangkap sendiri ekoran tindakan pemimpinnya yang lidah bercabang.

“Pemimpin-pemimpin Pas ini patut rasa malu kerana mereka ibarat tepuk air dalam dulang terkena muka sendiri, itulah padahnya selalu sangat menunding jari pada UMNO/BN dan akhirnya mereka yang sudah tak tahu lagi mana nak letak muka.”


- MediaUMNO

Isnin, 18 Julai 2011

DAPIGS DAH LELONG PAS@PENCACAI???








DAP Sudah “Mahir” Hadis Dan Al Quran, PAS Tidak Berguna Lagi



Monday, July 18th, 2011 | Posted by randomsee                         






BaDAK@Pigs kejar hamPAS@Pencacai


Melihat kekerapan perlakuan memanipulasikan hadis dan firman, tidak pernah menyangka bahawa ia sudah menjadi ketagihan tegar kepada DAP.  Segalanya disertakan dengan hadis, bagi menunjukkan betapa Islamiknya DAP pada ketika ini.


Ia ternyata menongkah arus, dengan identiti DAP yang terkenal sebagai anti-Islam dan anti-Melayu sepanjang zaman.  Dan ini telah menimbulkan curiga di kalangan pemerhati politik tanahair tetapi tidak kepada sekutu kuat mereka, Parti Islam Se Malaysia.  Mengambil pendekatan berbangga diri, PAS mendabik dada kononnya proses pentarbiyahan mereka menepati sasaran.  DAP dikatakan telah menerima Islam, apatah lagi penganugerahan taraf “khalifah” kepada anak Lim Kit Siang, iaitu Lim Guan Eng oleh Mursyidul Am PAS, Nik Aziz Nik Mat.


Pemerhati politik percaya bahawa ini adalah strategi halus untuk DAP menarik orang Melayu menyertai mereka.  Ternyata, peribahasa Melayu iaitu Melayu bersendikan adat, adat bersendikan syarak, syarak bersendikan Kitabullah menjadi intipati penting dalam merangka strategi yang ampuh bagi menawan hati pengundi Melayu.


Bukan itu sahaja, strategi ini juga diperkuatkan lagi dengan penubuhan-penubuhan cawangan baru DAP yang dianggotai rata-ratanya orang Melayu seperti yang berlaku di Sepang dan Kinrara.  Pastinya ia memberi sedikit kelebihan kepada DAP untuk “menjual” pencapaiannya kepada masyarakat Melayu yang lain.  Dan tidak hairan, perkataan “bersaudara” sering dilafazkan oleh pemimpin-pemimpin DAP.


Untuk melestarikan impian mereka, DAP telah mewujudkan portal dalam bahasa Melayu, iaitu RoketKini untuk dijadikan bahan propaganda terbaik, yang ditujukan khas kepada orang Melayu.  Bukan itu sahaja, akhbar terbitan dalam bahasa Melayu pula diedarkan bagi memperluaskan pengaruh mereka, terutamanya kepada orang Melayu yang tidak mempunyai akses kepada internet, atau yang tidak menjadikan internet sebagai sumber utama pencarian berita.


Secara tidak sedar, DAP telah menyelusup masuk ke hampir keseluruhan “dunia Melayu” iaitu, agama, adat dan bahasa.  Dan ianya saling tidak tumpah seperti strategi yang digunakan oleh pertubuhan zionis antarabangsa, yang sepakat percaya bahawa penguasaan ketiga-tiga faktor penting ini akan membuahkan kejayaan kepada cita-cita mereka.  Penjajahan era baru, sebelum kuasa berada mutlak di tangan mereka untuk menentukan halatuju sesebuah negara.


Anehnya, tindakan-tindakan DAP tidak pula seperti apa yang diperkatakan.  Malah, kerapkali ianya mengundang kontroversi, atau lebih tepat dipanggil “penghinaan” kepada umat Islam.  Penindasan terhadap orang Melayu Pulau Pinang dan di Selangor samada soal hak milik tanah mahupun perniagaan menjadi bukti penting akan agenda sebenar mereka.  Itu belum lagi diambil kira dari sokongan mereka kepada beberapa pergerakan yang jelas anti Islam seperti IFC.  Sudah terdengar desas desus, terdapat di beberapa kawasan di Selangor yang mahukan azan diperlahankan!


Kejadian-kejadian ini seumpana tidak pernah terlihat oleh PAS, yang terdiri dari orang Melayu.  Apakah mereka lebih rela memperjudikan agama Islam dari kehilangan kuasa sekangkang kera?


Lebih membimbangkan, PAS tidak sedar akan ancaman SEBENAR yang wujud.


DAP dilihat menggunakan strategi untuk meminggirkan PAS, dalam erti kata lain, mereka tidak mempercayai PAS itu sendiri.  Dengan alasan DAP parti berbilang kaum, mereka menyediakan pelan B, seandainya PAS berundur dari Pakatan.  Mereka telah mempunyai ” a pool of Malays” yang bakal digunakan untuk jawatan-jawatan penting seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan atau undang-undang tubuh negeri.


Malapetaka, DAP sudah pandai bermain hadis dan firman.  tidak perlu lagi mereka bergantung harap terhadap PAS untuk menarik umat Islam.  Cukup dengan “endorsement” yang telah diberikan oleh Nik Aziz kepada DAP.  Lengkap pakej “dunia Islam dan Melayu”.


Maka, apa gunanya PAS disamping mereka?  PAS tidak berguna lagi…


Disaat PAS sedar dan mahukan perpaduan bersama UMNO, segalanya tampak terlambat, kerana KUASA sudah berada di tangan mereka.  Buatlah apa yang DAP mahukan, semahu-mahunya!!!









Jumaat, 15 Julai 2011

PEMBANGKANG = PENGKHIANAT???


Wajib taat pemerintah elak huru-hara!
Oleh ABU NUMAIR NAWAWI SUBANDI
http://an-nawawi.blogspot.com

PENULIS ialah ahli Biro Multimedia & Penerbitan Sekretariat Ulama Muda UMNO (iLMU)



SALAH satu prinsip di dalam iktikad Ahli Sunnah Wal-Jamaah adalah mentaati dan menghormati pemimpin negara di mana dia duduk di bawah kepimpinan atau kekuasaan pemerintah tersebut. Ketaatan yang dimaksudkan adalah merujuk:

1 - Mentaati mereka dalam urusan kebaikan (makruf), termasuk merealisasikan perintah mereka yang makruf dan membantu mereka dalam urusan kebaikan yang diperlukan atau diperintahkan.

2 - Mengakui, menghormati dan memuliakan kedudukan mereka sebagai pemimpin serta sentiasa mendoakan kebaikan untuk mereka.

3 - Tidak mentaati mereka dalam urusan atau perintah bermaksiat kepada Allah.

4 - Serta tidak berusaha untuk menjatuhkan, membelot, menzahirkan sifat kepembangkangan terhadap kepimpinan, dan tidak menghina atau mencela mereka (terutamanya di khalayak umum) walaupun mereka bertindak buruk dan zalim. Ini selagi mana mereka masih tetap menegakkan syiar-syiar solat dan tidak dilihat padanya kafir bawwaahan (kekafiran yang jelas tanpa dapat ditakwil).

5 - Membenci maksiat atau keburukan yang mereka lakukan dan mengingkarinya dengan cara nasihat dan kaedah-kaedah yang syarei.

Tanda Takwa

Rasulullah (SWT) bersabda maksudnya: "Sesiapa yang taat kepadaku, sesungguhnya ia telah taat kepada Allah. Sesiapa yang derhaka kepadaku, sesungguhnya ia telah derhaka kepada Allah. Sesiapa yang taat kepada pemimpin, sesungguhnya ia telah taat kepadaku, dan sesiapa yang derhaka kepada pemimpin, sesungguhnya ia telah derhaka kepadaku." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Abu Dzar radhiyallahu 'anhu berkata, "Sesungguhnya kekasihku (Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam) memberi wasiat kepadaku supaya patuh dan taat walaupun yang memimpin adalah seorang hamba yang cacat (hina)." (Hadis Riwayat Muslim)

Kaedah asalnya, seorang hamba atau orang yang cacat tidak boleh dilantik menjadi pemimpin. Tetapi apabila ia telah berlaku dengan sebab-sebab yang tertentu, maka ia tetap wajib ditaati dan diperakui kepimpinannya.

Rasulullah SAW juga bersabda, "Hendaklah kamu sentiasa mengabdikan diri kamu kepada Tuhan kamu, solatlah lima waktu, berpuasalah kamu pada bulannya, tunaikanlah zakat dengan harta kamu, berbuat baiklah terhadap diri kamu, dan taatilah pemimpin kamu, pasti kamu akan memasuki syurga Tuhan." (Hadis sahih Riwayat Ahmad, 36/487, no. 22161)

Ahli Sunnah Wal-Jamaah bersepakat berkenaan kewajiban mentaati pemimpin dan pihak berkuasa. Mereka juga mewajibkan supaya mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh pihak pemimpin selagi mana ia tidak bertentangan dengan dalil-dalil syarak. Ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Rasulullah SAW, "Janganlah kamu mentaati perkara-perkara maksiat. Ketaatan hanyalah dalam perkara yang makruf." (Hadis riwayat al-Bukhari, 22/218, no. 6716)

Perkara makruf di sini adalah merujuk kepada urusan yang bukan maksiat dan bukan kemungkaran. Sama ada ia perkara yang diwajibkan agama, yang disunnahkan, ataupun yang diharuskan kerana maslahah tertentu. Jika masyarakat diperintahkan supaya melaksanakan perkara-perkara yang diharuskan (tidak dilarang agama), maka hukum mentaatinya menjadi wajib.

Sebagai contoh, hukum mematuhi undang-undang jalan raya yang digubal atas dasar maslahah bersama oleh pihak berkuasa adalah wajib selagi mana ia bukan maksiat walaupun ia tidak pernah diwajibkan oleh syarak secara khusus.

Begitu juga sekiranya pemerintah memerintahkan supaya meninggalkan perbuatan demonstrasi jalanan yang sedang hangat diperkatakan hari ini, maka rakyat wajib meninggalkannya. Lebih-lebih lagi perbuatan tersebut termasuk larangan dalam agama.

Kata Imam al-Mubarakfuri rahimahullah, "Apabila seseorang pemerintah memerintahkan sesuatu yang sunnah atau mubah (harus), maka hukumnya menjadi wajib." (Tuhfatul Ahwadzi, 5/298)

Justifikasi perkara ini adalah bagi memastikan keamanan terjaga sekali gus mengelakkan suasana huru-hara tercetus. Sekiranya masyarakat tidak mahu diatur dengan peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak pemerintah sebaliknya lebih suka bertindak sesuka hati, nescaya negara akan menjadi kacau-bilau dan kelam-kabut.

Ijmak Ahli Sunnah Wal-Jamaah

Para fuqaha' telah bersepakat (ijmak) berkenaan kewajiban mentaati pemerintah yang memiliki kuasa walaupun dia mendapat kuasa tersebut dengan cara rampasan atau pemberontakkan (mutaghallib). Dan kita turut diwajibkan berjihad bersama-samanya. Ini kerana ketaatan kepadanya lebih baik daripada keluar meninggalkan ketaatan kepadanya (dengan mengambil sikap membangkang atau memberontak), yang dengannya mampu memelihara darah dan menenangkan orang ramai (masyarakat). Tidak ada pengecualian dalam perkara ini, melainkan apabila pemerintah melakukan kekafiran yang jelas nyata. (Rujuk: Fathul Bari Syarah Shahih al-Bukhari, 13/7)

Jauhi Sikap Suka Memberontak

Salah seorang ulama tertinggi anggota Majlis Fatwa Arab Saudi, Syeikh Soleh as-Sadlan Hafizahullah mengatakan, "Sebahagian daripada saudara kita menyangka perkara tersebut (pemberontakan) adalah suatu yang baik. Mereka menyangka bahawa yang dimaksudkan dengan sifat kepembangkangan (atau pemberontakan) itu adalah dengan senjata, padahal sebenarnya pemberontakan itu bukan semata-mata dengan senjata dan kekerasan, tetapi termasuk juga dengan lisan (kata-kata).

"Bahkan pemberontakan dengan lisan itu jauh lebih bahaya. Kerana pemberontakan dengan lisan itu adalah laluan (printis) kepada pemberontakan bersenjata. Kami katakan dengan penuh kejujuran kepada saudara-saudara kami yang terbakar emosinya, kami menganggap mereka berniat baik - insya-Allah.

"Namun, hendaklah mereka tidak terburu-buru dan menahan diri. Kerana sikap ekstrem mereka itu hanya akan menumbuhkan kesan negatif dalam hati-hati mereka. Hati mereka sebenarnya kosong (daripada nilai ilmu) dan hanya mengenal sentimen kemarahan. Tindakan mereka itu juga hanya akan membuka lebih banyak lagi pintu-pintu kejahatan untuk bertindak dengan cara yang batil.

"Pemberontakan dengan kata-kata termasuklah seperti melalui tulisan, ceramah, seminar, dan media massa yang mengandungi ciri-ciri menaikkan semangat membenci pemerintah. Aku memberi peringatan kepada semua dengan peringatan yang tegas. Aku katakan, lihatlah apa hasil yang diperolehi daripada setiap tindakan tesebut, dan fikirlah faktor-faktor penyebab timbulnya fitnah ke atas negara-negara Islam.

"Apabila kita memahami perkara tersebut, maka akan kita ketahui bahawa pemberontakan dengan kata-kata dan media massa untuk menaikkan emosi masyarakat adalah punca pelbagai jenis fitnah (huru-hara)." (Madarikun Nazhar fi as-Siyasah, m/s. 306-307)

Demikianlah secara ringkas manhaj Ahli Sunnah Wal-Jamaah dalam bermuamalah dan mentaati pemerintah negara. - Wallau a'lam.

Jumaat, 8 Julai 2011

PEMECAHBELAH HENDAKLAH DIPANCUNG DENGAN PEDANG




Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
"RAPUH PERPADUAN RUNTUH KEAMANAN "
( 8 JULAI  2011 / 6 SYAABAN 1432H )



Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Marilah kita sama-sama mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan dengan keimanan dan ketakwaan, kita beroleh rahmat dan keredhaan hidup di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membincangkan tajuk khutbah mengenai Rapuh Perpaduan Runtuh Keamanan”.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Kita bersyukur kepada Allah SWT kerana masyarakat dan rakyat jelata dapat hidup dengan sejahtera dan harmoni di negara ini. Salah satu aspek terpenting yang menyumbang keadaan ini adalah wujudnya perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum dan agama. Perpaduan merupakan satu kunci kejayaan. Dengan perpaduan kita dapat bersatu tenaga dan fikiran bagi melaksanakan sesuatu untuk kebajikan bersama. Tenaga seseorang individu dengan sendirinya tidak mampu mengatasi berbagai tugas hidup. Sebaliknya tenaga ramai yang disatupadukan boleh menghasilkan kejayaan yang luar biasa. Sebab itu apabila terdapat umat yang bersatu padu, maka kejayaan yang cemerlang akan dicapai. Sebaliknya apabila perpecahan berlaku di kalangan umat, maka buruklah akibatnya. Firman Allah SWT dalam surah al-Hasyr ayat 14:

Maksudnya:Mereka tidak akan memerangi kamu dalam keadaan bersatu-padu, melainkan dikampung-kampung yang berbenteng kukuh, atau dari sebalik tembok. Permusuhan di antara mereka amatlah keras; engkau menyangka mereka bersatu-padu, sedang hati mereka berpecah belah. Yang demikian itu, kerana mereka adalah kaum yang tidak memahami.


Perpecahan dan permusuhan di kalangan rakyat akan membawa kesengsaraan hidup, kemusnahan harta benda, kemunduran ekonomi dan merosakkan sistem pengurusan negara, keluarga dan masyarakat. Para jemaah dan umat Islam sekalian dapat menyaksikan sendiri di televisyen, akhbar dan majalah tentang kesan rapuhnya perpaduan dan perpecahan yang berlaku. Malah apa yang paling malang sekali sekiranya perpecahan dan perbalahan ini terjadi di kalangan sesama umat Islam sebagaimana yang berlaku di beberapa buah negara Islam di Asia barat. Negara yang kaya-raya dan aman suatu ketika dulu tapi akibat daripada perpecahan dan perbalahan dikalangan rakyat menyebabkan kuasa luar mengambil kesempatan dan akhirnya negara itu runtuh serta ekonominya hancur. Mimbar ingin menarik perhatian jemaah dan umat Islam sekalian, sedarlah kita bahawa untuk membangunkan semula hubungan antara kaum yang berpecah belah dan membangunkan ekonomi atau negara mungkin akan memakan masa berpuluh-puluh tahun pula lamanya.  

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Kita semua maklum bahawa, di antara agenda yang diberi keutamaan dalam misi Rasulullah SAW menyebarkan Islam ialah dengan mewujudkan perpaduan di kalangan penganut-penganut Islam. Umat Islam diikat dengan erat melalui konsep tauhid, kiblat yang satu, kitab yang satu, pemimpin yang satu. Namun dalam pada itu, Baginda dan para sahabat juga sentiasa diterjah dengan berbagai ancaman musuh Islam yang didalangi oleh orang-orang Yahudi untuk mengkucar-kacirkan ikatan persaudaraan Islam. Pihak musuh menggunakan pelbagai pendekatan dan helah, diantaranya menggunakan agama sebagai alat perpecahan  seperti menghasut supaya dibina masjid bagi menyaingi masjid Kuba’ yang sangat berjaya diimarahkan. Musuh Islam juga menggunakan taktik menunjuk perasaan sebagaimana yang berlaku dalam peperangaan Uhud. Mereka membantah melalui penarikan diri kira-kira 300 orang tentera daripada menyertai angkatan bersenjata Islam. Namun Rasulullah SAW dan para Sahabat dapat menangani dan mengekalkan semangat perpaduan kerana mereka mengetahui siapakah sebenarnya yang menjadi dalang kepada kekacauan ini.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Hari ini sekali lagi pihak-pihak tertentu cuba meruntuhkan perpaduan yang terbina selama ini. Mereka cuba dengan pelbagai helah dan cara. Persoalan besar timbul di sini, siapakah sebenarnya golongan yang menjadi pengkhianat pada agama, bangsa dan negara ini? Mimbar ingin menyatakan bahawa mereka ini sebenarnya pernah menimbulkan kemarahan umat Islam. Mempertikaikan hak-hak orang Islam serta memperalatkan sebahagian daripada pemimpin yang beragama Islam yang dikaburi oleh keghairahan untuk mendapatkan kuasa. Mereka menghasut dengan menyemai perasaan tidak puas hati dan benci kepada pemerintah. Berbagai pendekatan mereka lakukan termasuklah melalui undang-undang dan mahkamah. Tidak cukup dengan itu, mereka mempengaruhi rakyat melahirkan perasaan benci dengan melaungkan slogan tertentu dengan berbagai cara. Inilah mereka yang sebenarnya, bertopengkan atas dasar menuntut keadilan dan ketulusan, menjadikan rakyat sebagai perisai tetapi hakikatnya mempunyai agenda tersendiri untuk menghuru-harakan negara, melemahkan pemerintah dan perpaduan rakyat yang akhirnya membawa tanggapan di mata dunia bahawa negara ini tidak lagi berada dalam keamanan.  

Mimbar ingin menegaskan kepada jemaah dan umat Islam sekalian bahawa sesiapa yang terlibat dan bersekongkol dengan golongan ini sebenarnya telah mengkhianati agama Allah SWT, terpesong daripada ajaran Rasulullah SAW, melakukan dosa yang besar dan menzalimi umat Islam serta keharmonian negara. Justeru itu, sebagai umat Islam yang mempunyai jati diri,  cintakan agama, bangsa dan negara, diseru agar tidak bersama dengan golongan ini, jangan terpengaruh dengan pujuk rayu dan tipu daya mereka. Marilah sama-sama kita mempertahankan setiap inci tanah air kita ini dari dicerobohi oleh musuh-musuh Islam, marilah sama-sama kita berganding bahu, bersatupadu, merapatkan saf, mengeratkan perpaduan dikalangan kita agar apa jua usaha pihak musuh untuk menggugat keharmonian dan    keamanan negara dapat digagalkan. Sesungguhnya kekuasaan dan  pertolongan Allah SWT sentiasa bersama jemaah dan mereka yang benar. Firman Allah dalam Surah Ali- Imran ayat 160:

Maksudnya: Jika Allah menolong kamu maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika ia mengecewakan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman itu berserah diri.


Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Perpaduan dan keharmonian hidup di negara ini dikagumi banyak pihak. Apa yang pasti dan menjadi satu hakikat perpaduan yang kita nikmati hari ini tidak datang bergolek. Ia adalah hasil daripada kebijaksanaan pasukan kepimpinan negara dan kesetiaan rakyat kepada pemerintah. Berdasarkan maqasid syariyah maka menjadi tanggungjawab pemerintah kepada rakyat untuk menjaga lima perkara iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Ternyata pemerintah berjaya memastikan kemaslahatan untuk rakyat dari mara bahaya dan kebinasaan. Pemerintah adalah pelindung Allah SWT di muka bumi ini, barangsiapa memuliakan pemerintah maka Allah SWT akan memuliakannya. Mimbar ingin mengingatkan bahawa  teraturnya urusan agama dan dunia tidak akan berlaku tanpa kewujudan pemerintah dan kesetian rakyat, malah  keadaan masyarakat akan menjadi kacau bilau dan saling berbalahan antara satu sama lain. Justeru Islam telah menetapkan hukuman yang berat kepada sesiapa sahaja yang cuba memporak-perandakan pemerintah, kehidupan  umat dan kesejahteraan negara. Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: Akan wujud keadaan kacau bilau di kalangan umat, maka barang siapa yang ingin memecahbelahkan perpaduan umat ini, hendaklah ia dipancung dengan pedang tanpa mengira siapakah orangnya”. ( Hadith Riwayat Muslim)


Mengakhiri khutbah pada minggu ini, mimbar menyeru seluruh umat Islam sekalian agar jangan sekali-kali kita terpedaya dengan godaan musuh Islam ini, jangan kita terlibat dengan agenda untuk merosakkan perpaduan ummah. Marilah sama-sama kita menjunjung Titah Khas Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin agar rakyat tidak boleh terlalu terikut-ikut dengan amalan negara luar kerana keharmonian dan kestabilan negara adalah asas penting yang perlu semua pihak pertahankan. Marilah kita bersatu padu dengan mewujudkan keharmonian dikalangan kita. Melakukan tindakan berdasarkan prinsip-prinsip yang berasaskan kepada semangat persaudaraan Islam dan bertimbang rasa dengan pihak lain. Janganlah pula kita terhasut dengan pemikiran yang jahat dan dari godaan syaitan yang menyesatkan. Ingatlah bahawa perpecahan dan perbalahan yang berlaku menyebabkan maruah kita tergadai dan menjadi hina serta memberi peluang kepada musuh-musuh Islam untuk menjatuhkan serta menghancurkan pembangunan negara dan rakyat. Marilah kita sama-sama berdoa kepada Allah SWT agar dikekalkan kesinambungan nikmat perpaduan dikalangan kita, dijauhi segala malapetaka yang boleh menjejaskan usaha membangunkan agama,bangsa dan negara.

Maksudnya: Dan jika dua puak dari orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah keduanya dengan adil, dan berlaku adillah kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil.
(Surah al-Hujuraat:9)