Jumaat, 31 Disember 2010

TAHUN 2011 : PAS MAKIN MENCACAI........."SESAT"


Padah Sekongkol DAP, PKR: Perjuangan Pas Kian Songsang!

Oleh: TG AZMAN TG ABAS


KUALA LUMPUR, 30 Dis – Pas dilihat terperangkap antara ideologi perjuangan asal dan matlamat untuk menawan  Putrajaya menjelang pilihan raya umum akan datang sehingga perjuangan asas mereka kian longlai dan semakin liberal.

Aktivis UMNO, Datuk Zainal Abidin Sakom berkata konflik tersebut menyebabkan Pas semakin hilang arah tuju dan paling menjijikkan terpaksa melanggar syariat Allah semata-mata menjaga hati sekutu mereka, DAP dan PKR  dalam merealisasikan mimpi di siang hari itu.

Menurut beliau perkembangan mutakhir kini semakin menyerlahkan konflik yang sedang dihadapi oleh parti yang kononnya bertunjangkan perjuangan islam itu yang dilihat terkial-kial untuk mempertahankan prinsip perjuangan atau matlamat menawan Putrajaya.

“Nawaitu Pas hari ini sebenarnya dah berubah, iaitu antara prinsip perjuangan atau menawan Putrajaya. Namun kerana desakan DAP dan PKR, Pas akhirnya dilihat menenggelamkan prinsip asal mereka dan melonjakkan matlamat menawan Putrajaya.

“Oleh itu, demi menjayakan hasrat berkenaan, mereka seolah-olah cuba menunjukkan islam yang diabwa oleh mereka itu kononnya cantik dan indah. Namun mereka terlupa bahawa indah dan cantik itu ada syarat-syaratnya.

“Jika matlamat betul, perancangan yang betul dan pelaksanaan yang betul barulah ianya akan menjadi ibadah dan sempurna. Namun apa yang cuba Pas tonjolkan hari ini adalah sebaliknya, “katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas sikap berdiam diri Pas berhubung pelbagai kontroversi yang melibatkan hal ehwal agama Islam di  Selangor termasuk yang terbaru tindakan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching daripada DAP yang didakwa masuk ke pekarangan Masjid Taman Cheras Jaya, Balakong dengan memakai baju ketat melakukan senamrobik bersama-sama jemaah masjid tersebut.

Menurut Nie Ching dalam blognya di www.wretch.cc/blog/teonieching, acara senamrobik tersebut adalah program pertama Karnival Maal Hijrah anjuran masjid berkenaan.

Selain itu, Pas juga juga dilihat mengambil tindakan yang sama berhubung sambutan ambang tahun baru 2011 yang menyaksikan pelbagai persembahan konsert dijadualkan pada 31 Disember ini di I-City, Shah Alam.

Datuk Zainal seterusnya menegaskan, demi matlamat menuju Putrajaya, Pas terlalu banyak melakukan kesilapan termasuk membiarkan rakan-rakan mereka di kalangan bukan Islam bebas membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan sebagainya.

“Begitu juga dalam soal penggunaan kalimah Allah. Mereka tidak dapat pertahankan sebaliknya terikut-ikut dengan rentak dan tari Anwar yang tidak dapat menerima Qada‘ dan Qadar Allah bahawa beliau terlepas jawatan jawatan Perdana Menteri sebelum ini.

“Inilah bahananya dan harga yang perlu dibayar oleh Pas yang berada di dalam pembangkang bersama DAP dan PKR. Prinsip diketepikan dan mula menjadi liberal sepertimana yang berlaku di Selangor hari ini,“ katanya.



Rabu, 29 Disember 2010

PAS : Pengamal Ajaran Syiah ?




Jika Cakap Pasal Syiah, Jangan Lupakan PAS

Monday, December 27th, 2010 | Posted by Adamyan


Fahaman Syiah dikatakan kembali aktif di negara ini dengan beberapa tangkapan telah dibuat minggu lalu.  Fahaman ini dikatakan dimulakan oleh beberapa orang dari Iran dan Iraq, semakin mendapat sambutan daripada masyarakat Islam negara ini dengan sudah ada pun yang taksub.

Minggu lepas, pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah menangkap 200 orang yang dikatakan terlibat di dalam penyebaran fahaman syiah di sebuah rumah di Batu Cave.  200 orang tau, bukan sikit.

Tapi bila bercakap tentang syiah, kita janganlah melupakan parti PAS kerana PAS adalah hasil benih-benih syiah yang telah bersemai subur di kalangan masyarakat kita sejak tercetusnya revolusi Iran tahun 1978. 

Kecik hati pemimpin PAS bila kita cakap pasal syiah tanpa merujuk kepada mereka.

PAS banyak terpengaruh dengan revolusi Iran 1978.  Awal penubuhan dulu, PAS tidak mempunyai Majlis Syura Ulama yang diketuai Mursamdul Am.  Semua tentang PAS daripada presiden sehingga ke peringkat terendah kepimpinan adalah dipilih melalui pengundian (demokrasi). 

Tapi dek terpengaruh dengan revolusi Iran 1978, PAS telah mewujudkan sebuah badan tertinggi bernama Majlis Syura Ulama pada 1982 (4 tahun selepas Revolusi Iran 1978), meniru Badan Pelindung Iran (Guardian Council) yang diketuai seorang Ayatollah.

Cuma berbeza dari segi nama, Majlis Syura Ulama PAS diketuai Mursyidul Am.

Tapi dari segi taraf, Guardian Council Iran ini sama dengan Majlis Syura Ulama dimana Ketuanya tidak dipilih secara demokrasi oleh ahli-ahli yang dibawah walaupun mempunyai kuasa yang tertinggi dalam parti/kerajaan masing-masing.  

Penentangan domestik yang berlaku dalam negara Iran hari ini adalah kerana ada dikalangan rakyatnya yang tidak berpuas hati dengan sistem pemerintahan yang tidak berpaksikan rakyat sebaliknya semua keputusan ditentukan golongan elitis ulama yang menguasai Guardian Council.

Sama masalahnya dengan PAS, yang hanya bertopengkan demokrasi sedangkan hakikatnya semua perkara berkaitan dasar parti adalah ditentukan Majlis Syura Ulama dan ketuanya, Mursyidul Am.

Contoh, bila ada isu perbezaan pendapat dalam PAS terutama yang melibatkan mursyidul am dan Presiden, kita boleh nampak siapa sebenarnya yang lebih berkuasa.  Nik Aziz pernah ‘sound‘ Hadi Awang berkenaan siapa ketua sebenar dalam PAS.  Adakah Nik Aziz ini dipilih oleh ahli yang dibawah secara demokrasi?  Sudah tentu tidak tapi kenapa dia pulak yang berkuasa penuh?  Kerana perlembagaan PAS menjamin kekuasaannya, maka tiada siapa yang boleh membidas Nik Aziz.

Satu lagi ciri yang menyamakan PAS dengan Syiah ialah ketaksuban kepada pemimpin.  Macam mana rakyat Iran taksub dengan Ayatollahnya, macam itulah pengikut PAS taksub kepada Mursyidul Amnya.  Pengikut PAS pun pernah hukum kafir kepada orang Islam lain yang tidak sehaluan dengannya sama macam Syiah hukum kafir kepada orang mazhab lain yang berbeza.

Tapi apa pun nasib kita agak baik kerana Nik Aziz hanya kekal jadi ‘Ayatollah’ dalam PAS, tidak mungkin dia boleh jadi Ayatollah dalam kerajaan Malaysia ini (ditakdirkan pembangkang menang) sebab PAS punya kekuatan tidak setanding PKR dan DAP yang mana PAS hanya layak jadi pak turut saja.  Tengokla dalam janji 100 hari PR, tiada satu pun perjuangan teras PAS yang dimasukkan di dalam itu.

Pokoknya, memilih PAS bermaksud bertambah mengembang subur kan fahaman syiah di negara ini, mungkinla tak sampai ketahap mendewa-dewakan Saidina Ali tapi setakat itu sajalah berbezanya, yang lain itu akan tetap sama.

Walau bagaimanapun, jangan ambil ringan sebab walaupun Nik Aziz tidak mungkin jadi pemerintah negara ini, Anwar dan Lim Kit Siang masing-masing adalah ‘Ayatollah’ dalam parti masing-masing.  Pendek kata, memilih pembangkang bermaksud memilih corak pemerintahan ala-ala kuku besi di negara ini.

Jadi sokong sajalah Barisan Nasional, fahaman kita pegangan kita dan amalan kita akan selamat dunia akhirat.

Selasa, 28 Disember 2010

NIK AZIZ PERLU BERHENTI JADI MB KELANTAN : "DINASTI NIK"



Nik Aziz “Firaun Kelantan”..???!!!

Monday, December 27th, 2010 | Posted by dukeofmontecristo


Ramai yang marah pada Ibrahim Ali kerana mendesak Nik Aziz Nik Mat supaya meletak jawatan. Dewan Pemuda PAS Pusat yang diketuai oleh Nasarudin Tantawi adalah di antara yang menyelar Ibrahim Ali. Ketua Dewan Pemuda “buih pepsi cola” itu kesal dengan desakan Ibrahim Ali yang mendesak Nik Aziz meletak jawatan di atas alasan “kesihatan”.

Pada penulis, Ibrahim Ali agak “terkebelakang” dalam isu mendesak Nik Aziz turun dari takhta kerusi Menteri Besar Kelantan. Sebelum ini, sudah ramai yang mendesak agar Nik Aziz meninggalkan kerusi MB Kelantan itu dengan “terhormat”. Mykmu.net misalnya, sudah berkali-kali mendesak agar Menteri Besar Kelantan itu meletak jawatan atas pelbagai alasan. Namun sudah menjadi dasar Nik Aziz, mungkin jawatan itu ingin disandangnya sehingga ke liang lahad.

Penulis masih ingat ketika mana Nik Aziz “menegur” Tun Dr. Mahathir untuk meletakkan jawatan beliau sebagai Perdana Menteri kerana sudah lama memerintah. Ketika itu, Tun Dr. Mahathir sudah 20 tahun mentadbir negara sebagai Perdana Menteri. Walaupun tidak terbilang jasa dan pengorbanan Tun Dr. Mahathir kepada rakyat dan negara ini, Nik Aziz tanpa rasa malu cuba mendesak negarawan ulung yang disegani kawan dan lawan itu untuk meletak jawatan.

Tun Dr. Mahathir hanya tersenyum dengan desakan Nik Aziz itu. Beliau dengan selamba menyatakan bahawa beliau akan meletak jawatan pada masa yang beliau kira sesuai untuk meletakkan jawatannya itu. Akhirnya 2 tahun kemudian, tanpa didesak atau disuruh, Tun Dr. Mahathir meletak seluruh jawatannya di dalam Kerajaan dan parti, seterusnya bersara terus dari politik.

Maka bersaralah Tun Dr. Mahathir yang pernah digelar oleh PAS sebagai “Maha Firaun” itu. “Maha Firaun” diberikan kerana pembangkang menganggap Tun M “terlalu lama memerintah”.
Dan kini, sudah lebih dari 22 tahun Nik Aziz mentadbir negeri Kelantan. Beribu-ribu kali didesak oleh ramai pihak supaya Nik Aziz meletak jawatan. Mengapa Nik Aziz tidak akur dengan desakan itu? Sesungguhnya Nik Aziz lebih layak dinobatkan sebagai “Firaun Kelantan/Malaysia” kerana lebih lama memegang jawatan Kerajaan dan politik dari Tun Dr. Mahathir!

Apa yang dikecapi negeri Kelantan yang “konon”nya dibawah pemerintahan ulama? Papan tanda bertulisan jawi? BN sudah lama menulis papan tanda bertulisan jawi. Kononnya bertulisan jawi menunjukkan Nik Aziz pemimpin bersifat Islamik? BN sudah lama mendahului PAS dalam soal tulisan jawi. Utusan Melayu (yang digelar “Utusan Meloya” oleh puak-puak fanatik PAS) misalnya, jauh terkehadapan dalam memperjuangkan tulisan jawi, namun tidak pernah mendabik dada sebagai “Islamik”!

Meninggalkan kedai secara terbuka ketika azan memanggil menunaikan solat? Hasilnya, berapa banyak kedai yang dimasuki pencuri dan dirompak bersahaja. Mungkin benar Nik Aziz cuba menerapkan sikap dan amalan di zaman Rasulullah itu di Kelantan. Penulis setuju dengan “niat” Nik Aziz itu. Namun jelas sekali bahawa umat Islam di zaman ini tidak setebal imannya berbanding para “Ashaabur Rasulullah Alaihimussolatuwassalam”.

Apakah peningkatan indeks jenayah di Kelantan menunjukkan Nik Aziz berjaya mendidik rakyat Kelantan secara spiritual? Secara logik, Nik Aziz sudah mentadbir Kelantan lebih dari 22 tahun. Sudah begitu lama mentadbir dan jika dia memfokuskan pentadbirannya kepada pendidikan akhlak “mahmudah”, sudah pasti akhlak rakyat Kelantan adalah yang terbaik!

Namun apa yang penulis kesali ialah kadar jenayah di negeri Kelantan begitu tinggi. Kadar jenayah rogol dan sumbang mahram adalah antara yang tertinggi. Hasilnya, kes pembuangan bayi lebih kerap terbit dari negeri “Serambi Mekah” yang dipimpin oleh Nik Aziz itu. Berjayakah didikan spiritual Nik Aziz?

Maksiat di negeri “Cik Siti Wan Kembang” itu cukup popular. Penulis ada terbaca laporan majalah Mastika yang bertajuk “Kelantan Negeri Serambi Maksiat”. Aktiviti pelacuran dan “mak nyah” dilaporkan berleluasa. Malah ada juga jenis pelacur yang bertudung! Pelacur “Islamik” ala-ala didikan Nik Aziz, kah itu? Sungguh memalukan Kelantan dan Islam! Tidak kurang juga dipaparkan cerita-cerita bohsia-bohsia yang membonceng bohjan-bohjan. Apakah itu kejayaan “spritual” Nik Aziz sepanjang 22 tahun mentadbir Kelantan?

Penulis fikir, pastinya ramai anak-anak Kelantan yang malu dan marah dengan hakikat yang berlaku di Kelantan ini. Maafkanlah penulis jika anak-anak Kelantan di serata Malaysia berkecil hati dengan hakikat ini. Namun, itulah yang berlaku di Kelantan ketika di bawah pentadbiran Nik Aziz Nik Mat, pemimpin “spiritual” PAS ini. Pada awal pentadbiran Nik Aziz dahulu, penulis sendiri teruja untuk melihat corak pemerintahan “Islamik” dari insan yang “tiba-tiba” digelar “Tok Guru” PAS ini. Namun setelah lebih 22 tahun mahu melihat Kelantan yang lebih baik, pudar sama sekali. Kelantan lebih hancur dipunahkan Nik Aziz.

Usah disebut soal ekonomi. Apa pembangunan yang Kelantan kecapi sejak 22 tahun Nik Aziz memerintah. Kalau ada pun, tentunya ada campur tangan dan belas ihsan Kerajaan Pusat yang punya rasa tanggungjawab pada rakyat Kelantan. Nak diharapkan Nik Aziz? Bukan masjid yang dibina, tokong Buddha pula yang melangit dibinanya. Kononnya “terbuka”, padahal Nik Aziz terpengaruh dengan fahaman “pluralisme” yang dibawa puak Erdogan.

Projek-projek pembangunan untuk rakyat begitu sukar didengar. Kalau adapun di dengar, pasti projek itu akan timbul bersama “skandal” yang mengiringinya. Contohnya, pembinaan kompleks menaik taraf Pasar Siti Khadijah. Nak buat “pasar” pun perlu ada skandal? Kalaulah Ummul Mukminin Sayyidatina Khadijah RadhiAllahu Anha masih hidup, tentunya nama Beliau tercalar oleh Nik Aziz dan kroni-kroni sanak keluarganya. Buat malu saja!

Negeri manakah yang menjuarai carta “AIDS” di Malaysia kalau bukan Kelantan! Serambi Mekah dipenuhi pesakit AIDS? Apakah puncanya? Apakah Hospital di Kelantan “sengaja” menjangkitkan AIDS kepada seluruh rakyat Kelantan ketika menderma darah? Penulis ragui fakta ini. Atau sememangnya AIDS hadir di Kelantan sebagai “bala” dari Allah kepada MBnya yang menjual “agama Islam” sebagai modal untuk terus berkuasa? Jika Sungai Golok menjadi “jalan keluar masuk”nya, apakah Kelantan tidak mampu untuk menutup laluan itu? Atau Nik Aziz terlalu sayangkan “sumber kewangan” Kelantan itu sehingga membahayakan nyawa rakyat Kelantan sendiri? Apa pula usaha Nik Aziz menyelamatkan penagih-penagih dadah yang menyebarkan AIDS di Kelantan? Semuanya bergantung pada Kerajaan Pusat melalui PEMADAM? Nampaknya Nik Aziz lebih berminat untuk berceramah politik dari memikirkan nasib rakyat Kelantan.

Mahukah anak-anak Kelantan yang merantau di negeri orang dipaksa pulang untuk mencari rezeki di Kelantan? Penulis fikir, pastinya ramai anak-anak Kelantan yang akan mengamuk jika polisi “anak-anak Kelantan dilarang keluar dari Kelantan mencari rezeki”. Anak-anak Kelantan yang bijak-bijak ini semuanya akui bahawa rezeki di negeri orang lebih lumayan berbanding di negeri kelahiran mereka sendiri. Lihatlah berapa ramai anak-anak Kelantan yang keluar dari kecacatan ekonomi Nik Aziz mencuba nasib yang lebih bernilai di negeri orang. Terpaksa merantau untuk lebih maju. Tapi, mahukah Nik Aziz akur dengan fakta ini? Mungkin Nik Aziz hanya akur di dalam hati, namun mengaku di mulut tidak sekali-kali!

Benar. Penulis sokong alasan Ibrahim Ali. Ibrahim Ali sebenarnya ikhlas mendesak agar Nik Aziz meletak jawatan. Mungkin Tok Him begitu kasihan melihat Nik Aziz yang terpaksa mentadbir Kelantan dengan keadaan yang sering sakit dan keluar masuk hospital. Penulis percaya, jika Nik Aziz berumur 25 tahun, bekerja di syarikat swasta dan sering sakit, keluar masuk hospital serta sering lemah-lemah, pastinya majikannya akan memberhentikannya dengan jaminan pencen dari Perkeso! Juak-juak di belakang Nik Aziz pula, usahlah memaksa Nik Aziz terus menongkat langit, Nik Aziz juga punya “kapasiti” terhad. Jika Nik Aziz berkapasiti “1.0 CC”, usah pula melayan Nik Aziz bagaikan ber”CC 2.0″, rosak enjinnya…

Lebih kasihan lagi ialah rakyat Kelantan sendiri. Negeri Kelantan terumbang ambing akibat MBnya yang sering sakit. Pembangunan semakin terbantut. Pentadbiran negeri semakin merudum jatuh. Keyakinan pelabur semakin menjunam kebawah. Moral rakyat semakin tipis. Mahukah Nik Aziz dan kepimpinan PAS Kelantan melihat keadaan ini terus berlaku? Jika tidak, sila gantikan Nik Aziz segera. Ramai lagi pemimpin PAS yang muda-muda dan menunggu peluang. Husam, Nik Amar dan ramai lagi. Nak lantik Nik Abduh jadi MB pun “molek” juga. Bolehlah “join” Dinasti Lim, Dinasti Anwar dan Dinasti Karpal. Mungkin boleh diberi gelaran “Dinasti Nik”!

Isnin, 27 Disember 2010

PAS SOKONG APA SAJA KATA ANWAR



12 Dalil Ucapan Anwar Bercanggah Akidah Islam

Friday, December 24th, 2010 | Posted by AIDC


AIDCNews – 23/12/10 – Sekurang-kurang 12 Dalil ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertajuk “Religion and Pluralisme in a Divided World”(Agama dan Pluralisme Dalam Dua Dunia), pada 18 Mac 2010, di London School of Economic (LSE) perlu dinilai semula kerana dibimbangi bercanggah dengan akidah Islam.

Demikian penegasan yang dibuat oleh Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady, Felo Amat Utama, International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC) dalam kertas kerjanya “Pluralisme Agama dan Anwar : Beberapa persoalan dilihat dari pandangan arus perdana Islam” yang diedarkan kepada semua peserta Wacana Sehari anjuran bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Selangor(JAIS), Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia ( MUAFAKAT), Majlis permuafakatan Badan Amal Islam Wilayah Persekutuan, Allied Coordinating Committee of Islamic NGO (ACCIN) dan Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM) di di Masjid Wilayah Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Setiap peserta dibekalkan kompilasi ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim di LSE, London (18 Mac 2010) dalam dwi-bahasa, teks asal ucapan Ketua Umum PKR itu dalam Bahasa Inggeris dan teks ucapan yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu. Manakala untuk menjawab teks ucapan Anwar itu, turut dilampirkan bersama kertas kerja Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady.

“Kompilasi ringkas ini adalah bagi menunjukkan satu contoh penyebaran luas fahaman Pluralisme Agama serta menjawab fahaman salah mereka yang mengusung idea yang ingin menyamaratakan semua agama”, ditulis dimuka depan kompilasi bertajuk “Menyanggah Pluralisme Agama Menyelamatkan Umat Islam Di Malaysia” itu.

12 Dalil kesalahan-kesalahan Anwar yang dikupas oleh Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady adalah seperti berikut :

1. Persoalan Ekslusif Agama (Religious Exclusivism) yang bermaksud hanya satu agama sahaja yang benar, manakala agama lain adalah salah.

Anwar Ibrahim : Golongan-golongan agama tertentu yang menganggap hanya satu ajaran asasi tertentu (fundamental doctrines) sahaja yang membawa ke jalan keselamatan/syurga (salvation) adalah pandangan yang silap dan tertutup. Agama-agama lain juga benar. Maka Pluralisme Agama adalah jalan penyelesaian terbaik untuk mengelakkan perpecahan tersebut.

Uthman El-Muhammady : Pluralisme yang mengajar penganutnya tentang tidak ada kebenaran mutlak dan tidak ada ajaran asasi yang menjamin keselamatan/kebahagian/syurga, tidak boleh diterima, malah ditolak dalam agama Islam. Sekiranya diterima anjuran Pluralisme itu maka tiada ertinya firman-firman Al Quran yang menyebut bahawa ia datang membawa al-haq (kebenaran) dan dengan itu kebatilan akan hilang.

2. Persoalan Pendapat Ahli Sufi Jelaluddin al-Rumi

Anwar Ibrahim : Pluralisme Agama dianjurkan sejak dari abad ke-13 lagi. Buktinya kata-kata oleh penyair sufi, Jelaluddin al-Rumi yang menyebut; “Lampu-lampunya berlainan, tetapi Cahaya itu sama, ia datang dari seberang sana; kalau anda terus menerus melihat pada lampu, kamu tersesat; kerana dari sana timbul rupa lahir pada bilangan dan kemajmukan”(The lamps are different but the Light is the same, it comes from Beyond; If thou keep looking at the lamp, thou art lost; for thence arises the appearance of number and plurality).

Uthman El-Muhammady : Pandangan ini tidak benar kerana Jelaluddin al-Rumi adalah seorang Muslim, Sunni, bermazhab Hanafi yang bersyair dalam konteks kerangka Islam dan bukannya di luar konteks Islam. Bukannya antara agama Islam dengan agama-agama lain. Tentang simbolik ‘cahaya’ dan ‘lampu’ itu perlu dilihat dari segi amalannya sebagai seorang sufi yang bersyair dalam kerangka Islam. Ia berbicara tentang manusia yang perlu ‘menyeberangi’ sebelah sana bentuk rupa dalam syariat, menuju ke alam hakikat. Namun begitu, mesti berpegang kepada syariat dan bukan meninggalkannya.

3. Persoalan Konsep Agama Adalah Sejagat

Anwar Ibrahim : Semua agama mempunyai pertanyaan yang sama iaitu dari mana datangnya manusia? Apa matlamat hidupnya? Apa yang berlaku bila ia meninggal dunia? yang bermaksud persamaan universal (universal concepts) antara semua agama untuk mencari kebenaran, keadilan dan sifat keunggulan.
Uthman El-Muhammady : Konsep ini berlawanan dengan anjuran Al Quran. Kebenaran Islam adalah satu. Yang benar adalah apa yang Allah utuskan kepada Nabi dan Rasul terakhir, Nabi Muhammad SAW.

4. Persoalan Pendapat Dante, Penyair Kristian abad ke-14

Anwar Ibrahim – Dante, penyair Kristian di Itali pada abad ke-14 menganjurkan untuk mencapai kebahagian di dunia dan akhirat bukan semata-mata dengan ‘Kuasa’ tetapi juga dengan ‘Akal’. Visi Dante ini sama dan boleh dihubungan dengan visi tokoh-tokoh Islam termasuk al Farabi dan Ibn Rush :

Uthman El-Muhammady : Dante tidak menganjurkan pluralisme agama. Beliau hanya menerima agamanya (Kristian) dan menolak agama lain. Dalam epik puisi ‘The Divine Comedy’, karya Dante, beliau meletakkan Nabi Muhammad SAW dan Saidina Ali rd ke dalam neraka. Dalam ajaran Islam, setelah turunnya al Quran maka mansuhlah semua sistem kepercayaan lain, dan ajaran Quran adalah universal. Dalam Islam, ‘Akal’ semata-mata bukan penentu kepada kesejahteraan tetapi juga bergantung kepada kepercayaan ‘Wahyu’ dan ‘Syariat’. Sebab itu al Farabi dan Ibn Rush tidak bergantung kepada ‘Akal’ tetapi beriman kepada ‘Wahyu’ Al Quran dan Syariat Nabi Muhammad SAW.

5. Persoalan Konsep Kebebasan Beragama VS Pluralisme Agama

Anwar Ibrahim : Pada hari ini wujud kebebasan beragama (freedom of religion) tetapi mengenepikan Pluralisme Agama (Religious Pluralism) yang sepatutnya kedua-duanya diperteguhkan sebagai konsep kebebasan di negara-negara yang mengamalkan demokrasi. Memihak kepada satu agama dan mengenepikan agama-agama lain adalah bertentangan dengan semangat Pluralisme Agama. Perkara ini lebih ketara di Timur Tengah dan Asia Tenggara.

Uthman El-Muhammady : Jika negara-negara Islam, adalah wajar kerajaannya berpihak kepada Islam dan memelihara syariat-syariatnya. Dalam Islam, kerajaan tidak boleh menganggap bahawa tidak ada kebenaran yang mutlak, kerana kebenaran itu tetap ada, dan negara itu mesti berpegang kepada kebenaran tersebut. Sebab itu, al-Mawardi di Baghdad pada zamannya memastikan pihak kerajaan memperbetulkan kesilapan-kesilapan orang ramai apabila berlaku penyelewengan akidah ajaran Islam. Tetapi pihak kerajaan tidak boleh menganiayai pihak yang bukan Islam, mereka tetap diberi hak untuk mengamalkan agama mereka.

6. Persoalan Firman Allah, ‘Tidak Ada Paksaan Dalam Agama’

Anwar Ibrahim : Al Quran sendiri menganjurkan Pluralisme Agama seperti dalam firman ‘tidak ada paksaan dalam agama’, maka mestilah perbuatan memaksakan kepercayaan seseorang ke atas orang lain bukan bersifat Islamik. Jika ayat ini ditolak maka kenyataan Al Quran itu tidak mempunyai apa-apa erti.

Uthman El-Muhammady :Tidak ada paksaan dalam agama’ (2:256) dalam Islam bermaksud bahawa umat Islam tidak boleh memaksa bukan Islam supaya memeluk Islam. Ia terletak pada pilihannya. Tetapi apabila seseorang itu sudah Islam maka ia tertakluk kepada undang-undang Islam, termasuk berkenaan larangan murtad daripada agama Islam. Kita tidak menafsir kebebasan beragama itu bermakna kebebasan untuk murtad bagi orang Islam.

Maka umat Islam tidak seharusnya mengikuti falsafah lain tentang kebebasan manusia dan agama apabila falsafah itu sendiri bercanggah dengan Quran. Dalam Islam ‘freedom of conscience’ (kebebasan jiwa) bukannya kebebasan ala Barat tetapi harus tunduk dengan akidah dan syarak Islam.

7. Persoalan Menuju Kepada Yang Satu

Anwar Ibrahim : Guru Granth Sahib, Kitab Agama Sikh memberitahu kepada semua manusia bahawa seseorang yang mampu melihat semua jalan-jalan kerohanian (spiritual paths) akan membawa kepada Yang Satu dan akan menjadi bebas merdeka tetapi orang yang menyatakan kepalsuan akan turun ke dalam api neraka dan terbakar di dalamnya. Orang yang berbahagia ialah orang yang disucikan dan mereka akan berterusan tenggelam dalam nikmat Kebenaran.

Uthman El-Muhammady : Dalam Islam konsep ‘Menuju Kepada Yang Satu’ perlu dilihat dalam konteks Quran. Tentang sistem kepercayaan lain yang menyebut semua jalan membawa kepada Yang Satu, kalau Yang Satu itu membawa kepada kekaburan, itu akan mengundang masalah. Penyembahan Berhala bukan Yang Satu, Penyembahan Tuhan yang bukan secara tauhid juga bukannya Yang Satu, begitu juga kepercayaan tentang sesuatu kuasa ghaib yang kabur, mengatasi yang lain, juga bukan Yang Satu dalam Al Quran.

8. Persoalan Semua Kepercayaan Agama Adalah Sama

Anwar Ibrahim : Apa juga agamanya, sama ada Islam, Kristian, Sikh, Hindu serta yang lain, saya percaya bahawa kebenaran-kebenaran yang paling tinggi (higher truths) akan mengatasi amalan- amalan semata-mata (mere practice) dan semua ibadatnya berpusat kepada kebenaran yang satu itu (singular truth): bahawa dari Allah kita datang dan kepada Allah kita kembali.

Uthman El-Muhammady : kebenaran-kebenaran yang tertinggi (higher truths) yang mengatasi amalan-amalan semata-mata (mere practice) dan semua ibadatnya berpusat kepada kebenaran yang satu itu (singular truth) juga perlu dilihat dalam konteks Al Quran. Apabila diturunnya Al Quran, maka terputuslah kebenaran agama-agama lain (‘muhaiminan ‘alaih). Menurut Islam tidak ada yang benar, melainkan ajaran al-Quran.

9. Persoalan Perintah- Perintah Eksklusif (Exclusivist Claims )

Anwar Ibrahim : Hari ini, terdapat pemimpin-pemimpin agama-agama dunia tertentu yang terus menerus membuat Perintah-Perintah Eksklusif (exclusivist claims) tentang mereka memiliki kebenaran yang kekal abadi berbanding dengan penerimaan perkara-perkara yang disepakati bersama (commonality) yang mampu menghubungkan semua manusia. Kalaulah kita menerima hakikat bahawa memang terdapat kepelbagaian, maka Pluralisme Agama adalah jawapannya kerana mampu menyatukan. Itulah jalannya untuk membawa keluar daripada kegelapan kepada cahaya, daripada perang kepada damai, daripada kebencian dan kejahatan kepada kasih-sayang dan kebaikan.

Uthman El-Muhammady : Adalah janggal sekiranya umat Islam menerima Bible dan kitab-kitab lain selain Al Quran sebagai ‘wahyu’. Teori John Hick yang mengatakan hanya Pluralisme Agama yang membawa kebahagian dan syurga tidak akan mempengaruhi umat Islam yang setia dengan wahyu Al Quran.

10. Persoalan Konsep Kebebasan

Anwar Ibrahim : kaum muslimin masih lagi berterusan berprejudis; menolak nilai kebebasan bersuara (free speech), kebebasan media (free press), demokrasi, dan kebebasan hati naluri (freedom of conscience). Mereka memandang budaya Pluralisme Agama sebagai satu bentuk konspirasi teragung oleh ‘pihak lain’, terutamanya Kristian, untuk mengembangkan ajarannya dan menjadikan muslimin memeluk agama Kristian. Pluralisme juga dilihat sebagai jerat untuk menyeluduk masuk demokrasi ala Barat melalui pintu belakang.

Tetapi sebenarnya ini merupakan suatu penyelewengan apabila dilihat menurut perlaksanaan hukum Islam. Di luar daripada kepentingan polisi awam, memang tidak ada kewajipan agama untuk orang Islam mengenakan undang-undang dan nilai-nilai umat Islam ke atas seluruh masyarakat.

Dari segi ideologi, sikap beku dalam pemikiran (rigidity) masih berupa penghalang kepada kemajuan dan islah. Muslimin hendaklah membebaskan diri daripada amalan-amalan lama menggunakan klise dan menjaja-jajanya (cliche-mongering) serta mengenakan label-label kepada orang, dan bergerak melewati kepentingan-kepentingan kelompok yang sempit. Penemuan semula garapan terhadap pluralisme yang asal dalam Islam sangat-sangat diperlukan.

Uthman El-Muhammady : Tentang pengamatan demikian ada beberapa perkara yang perlu diperhatikan. Antaranya ialah nilai-nilai kebebasan bersuara, kebebasan media dan yang sepertinya tentang demokrasi dan kebebasan hati naluri (freedom of conscience), pada muslimin adalah perkara-perkara yang mesti tunduk kepada orientasi Syara’: Kalau kebebasan itu tidak bertentangan dengan Syara’, maka kebebasan itu dialu-alukan, tetapi sekiranya kebebasan itu bertentangan dengan Syara’ maka ia perlu dijauhi.

Sudah tentu bagi Muslimin, Syara’ mengatasi bahan pemikiran para pemikir semata-mata. Kalau diletakkan pemikiran-pemikiran dari para pemikir mengatasi Syara’ dan ijma’, itu adalah malapetaka intelektual dan rohaniah. Pihak yang berbicara tentang nilai kebebasan manusia sejagat perlu juga menghormati manusia beragama dalam mengamalkan agamanya dan bukannyahendak membatalkan amalan pihak lain dan mempromosikan haknya semata-mata. Itu pun bercanggah dengan nilai hak-hak asasi manusia.

11. Persoalan Syariat Islam

Anwar Ibrahim : Syariat itu bukannya hanya tertulis di atas batu, dan ia mengalami evolusi (perubahan) secara dinamik. Demi untuk mempertahankan moderat, maka unsur utama dalam metodologi Islam mesti dipandang dalam perspektif yang menyeluruh (holistic) yang akan menjadi lebih menarik, mengikut kaedah yang bersifat universal dan kekal abadi.
Dikatakan bahawa pluralisme dalam dunia yang terbahagi-bahagi ini akan menambah lagi perpecahan kepuakan yang membawa pula kepada suara yang diulang-ulang tentang ‘pertembungan tamadun’ yang telah dan masih meletihkan yang seperti ianya sama dengan pukulan ‘gendang purba’ itu. Bagaimanapun, sebagaimana yang dinyatakan oleh Eliot: Sejarah boleh berupa sebagai perhambaan, sejarah boleh pula berupa sebagai kebebasan.

Uthman El-Muhammady : Kita perlu melihat kenyataan ini dalam suluhan ajaran Islam tentang ada bahagian-bahagian Syara’ yang kekal dan ada yang berubah-ubah, dan bukan semuanya berubah-ubah. Akidah Ahli Sunnah tidak berubah; perincian-perincian Syara’ berkenaan dengan perkara-perkara baru yang tidak ada dalam nas secara terang-nyata dari fatwa-fatwa zaman berzaman boleh berubah. Tetapi kalau perubahan itu melibatkan seperti menghalalkan persetubuhan haram, judi, zina, menghalalkan yang haram dalam ijma’, kerana terpengaruh dengan ‘penemuan-penemuan’ para pemikir, ini tidak dibolehkan.

12. Persoalan Jihad

Anwar Ibrahim : Hari ini jihad dilaungkan oleh pihak-pihak tertentu untuk mengesahkan perbuatan-perbuatan keganasan dalam pelbagai bentuk dan rupanya, tetapi akhirnya menjadi kabur antara garis jihad dan keganasan. Mujurlah adanya pentadbiran Obama, maka kita telah melihat sesetengah perubahan berbanding polisi Bush yang mengamalkan sifat percanggahan dan memilih bulu, dalam memerangi keganasan, dengan memberi sokongan kepada para autokrat (penguasa kuku besi) di dunia Islam di satu pihaknya, dan menjadi jaguh kebebasan dan demokrasi di satu pihak lain pula. Walaupun selepas lebih setahun semenjak pentadbirannya (Obama) itu, kita masih lagi menanti untuk melihat perubahan-perubahan yang penting (substantive) dalam isi (substance) polisi luar negara Amerika dalam hubungan dengan Dunia Islam.

Uthman El-Muhammady : Kalau dalam suasana semasa ada penafsiran jihad yang tersasul dalam setengah umat Islam (kerana faktor-faktor sejarah yang mendesak dan tidak patut diremehkan) itu tidak boleh dijadikan dalil untuk penafsiran yang menyeluruh mewakili arus perdana umat Islam. Bagaimanapun, ini juga perlu dilihat dalam konteks pihak-pihak lepas, mahupun sekarang, memanipulasikan maklumat untuk kepentingan hegemoninya.