Khamis, 23 Disember 2010

PR : PEMBOHONG RAKYAT - PROGRAM 100 HARI , ISLAM DIKETEPIKAN



Program 100 Hari pembangkang pembohongan besar
Oleh AZRAN FITRI RAHIM
azran.rahim@utusan.com.my




KOTA BHARU 22 Dis. - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyifatkan janji manis pakatan pembangkang untuk melaksanakan perubahan dalam masa 100 hari jika memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti hanya satu pembohongan besar.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, jika dikaji secara mendalam, kesemua janji tersebut hanya retorik dan tidak mampu dilaksanakan sekiranya keadaan ekonomi semasa negara diambil kira.

Beliau berkata, ia jelas kerana pemimpin utama pakatan pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mempunyai kelayakan atau pengalaman dalam bidang ekonomi dan hanya mengharapkan nasihat daripada orang lain.

"Lihat dulu latar belakang Anwar, dia tidak mempunyai kemahiran ekonomi dan pengalaman, dia hanya berkelulusan pengajian Melayu dan pengalaman sebelum menyertai politik hanya guru besar di Yayasan Anda, sekarang dia mahu bercakap mengenai ekonomi yang dia sendiri mengharapkan orang.

"Soalnya adakah orang seperti ini layak untuk mentadbir dan menguruskan ekonomi negara. Jika dia hanya mengharapkan nasihat daripada orang lain, jadi dia hanya perkakas untuk digunakan oleh orang sebab itu Amerika Syarikat sukakan dia.

"Sebagai contoh, ketika kita diancam penyangak mata wang, dia mahu meminta bantuan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), kita akan mengalami nasib yang sama dengan Indonesia dan beberapa negara lain sekiranya menerima pelan IMF, adakah orang seperti ini kita mahu ambil jadi pemimpin," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini hari ini.

Ini merupakan kali pertama beliau pulang ke negeri ini selepas pembedahan pintasan jantung pada Oktober lalu dan disambut kira-kira 1,000 ahli Perkasa, Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) dan penyokongnya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas hasil konvensyen pakatan pembangkang yang mengemukakan Program 100 Hari mengandungi sembilan perkara termasuk pengurusan negara, ekonomi dan pendidikan yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari jika menang pada pilihan raya umum akan datang.

Antaranya mengarahkan Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyempurnakan pengambilalihan aset lebuh raya oleh kerajaan dengan tujuan menghapuskan tol serta merombak struktur subsidi bagi mengurangkan subsidi kepada swasta dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat.

Selain itu, pembangkang berjanji menaikkan imbuhan guru sebanyak RM500 sebulan dan melupuskan Felda Plantations bagi membuka ladang yang diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga Felda.

Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, rakyat juga harus sedar dan menolak DAP yang secara terang membawa budaya pluralisme dalam masyarakat negara ini.

"Memang benar perlembagaan negara tidak boleh diubah tetapi perlu diingat perlembagaan itu dicipta oleh manusia, maka manusia boleh mengubahnya, saya tidak terkejut jika selepas ini perlembagaan kita diubah sekiranya mereka (DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas) memerintah.

"Selepas ini, tidak ada lagi Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Islam sebagai agama rasmi negara. Kita perlu tentang habis-habisan golongan seperti ini, golongan yang akan menghancurkan negara," katanya.

Katanya, Perkasa tidak menyokong Barisan Nasional (BN) tetapi dasar yang dibawa oleh parti itu telah membuktikan bahawa ia berjaya membawa Malaysia ke arah sebuah negara maju dengan rakyatnya hidup aman damai.

"Perkasa menyokong dasar-dasar yang dibawa oleh kerajaan biarpun ada kelemahan kerana ia terbukti berjaya. Kelemahan hanya dari segi pelaksanaan yang dilakukan oleh segelintir mereka yang mendapat keuntungan peribadi.

"Dari segi dasar yang dibawa sejak 50 tahun lalu amat baik, semua pihak dapat hidup aman damai tanpa sebarang masalah di mana kaum pribumi mendapat haknya manakala kaum lain juga dapat menikmati kek ekonomi yang sama," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan