Selasa, 29 Mei 2012

PAS PARTI ISLAMKAH???












Seruan Dr.Sulaiman dan politik Pas

Oleh ZULKIFLEE BAKAR



MUNGKIN pemimpin dan penyokong Pas tidak akan senang dengan pandangan Ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram, Sheikh Dr.Sulaiman Saloomi yang menegaskan, fatwa yang menyatakan undi sesebuah parti itu akan masuk syurga adalah suatu kejahilan, kebodohan, kesesatan serta tidak sepatutnya keluar daripada mulut orang berakal, lebih-lebih lagi daripada seorang muslim yang peka dirinya diawasi Allah dalam setiap percakapan dan perbuatannya.

Selain itu dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia juga, Sheikh Dr. Sulaiman turut mengingatkan kaedah kafir mengkafir yang digunakan oleh seseorang orang Islam dan sesetengah ahli parti politik adalah tidak dibenarkan.

Bahkan beliau turut mengingatkan bahawa seorang Muslim tidak dibenarkan untuk bersepakat dengan mana-mana orang bukan Islam dalam apa juga keadaan sekali pun untuk menentang saudara seIslamnya.

Walaupun dalam wawancara itu beliau tidak menyebut mana-mana parti politik di negara ini, namun bagi penulis tidak salah jika kita merujuk apa yang diperkatakan itu berkait rapat dengan amalan politik Pas.

Mungkin seperti biasa pandangan daripada tokoh-tokoh ulama di luar lingkungan Pas tidak akan dipedulikan oleh penyokong tegar mereka, maklumlah parti itu sudah ada Dewan Ulama dan mursyidul amnya.

Namun begitu mereka juga perlu faham bahawa Sheikh Dr. Sulaiman tidak mempunyai apa-apa kepentingan politik. Beliau melahirkan pandangan tersebut sebagai seorang ulama yang merujuk kepada al-Quran dan hadis.

Oleh itu, pemimpin dan penyokong Pas janganlahterlalujumud untuk menolak pandangan ulama di luar lingkungan parti mereka semata-mata kerana ketaksuban kepada politik.

Hakikatnya, sebahagian umat Islam sudah bosan dengan mainan politik Pas yang dilihat tidak sudah-sudah memperalatkan cogan kata, slogan dan seruan berbentuk keislaman untuk meraih undi.

Kalau mereka benar-benar memperjuangkan Islam sudah pasti parti itu akan mengamalkan sikap mengakui antara yang hak dan batil. Jika sesuatu teguran yang dibuat oleh mana-mana ulama berkaitan dengan tindakan politik mereka adalah benar maka akui sahaja.

Tetapi malangnya keadaan sering berlaku sebaliknya, malahan masih jelas di ingatan kita bagaimana Pas menolak dan mempertikaikan keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang mengharamkan demonstrasi jalanan.

Pelbagai hujah mereka keluarkan bagi mempertahankan tindakan politik songsang mereka, justeru bukanlah sesuatu yang menghairankan jika kenyataan Sheikh Dr. Sulaiman turut akan ditolak oleh Pas.

Sikap politik sesetengah pemimpin dan penyokong Pas yang merasakan hanya ulama mereka sahaja berhak menegur parti itu akan merugikan umat Islam.

Namun dalam masa sama oleh kerana kejumudan dalam berpolitik, biar pun teguran dibuat oleh ulama Pas sekali pun kalau ia dilihat tidak menguntungkan politik parti itu, maka ia akan ditolak bulat-bulat.

Masih ingatkah kita peristiwa Dewan Ulama Pas memberikan kata dua kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sama ada menarik balik kenyataan menyokong sebarang usaha melindungi keselamatan negara Israel dalam The Wall Street Journal atau menyaman majalah itu.

Ketika itu Anwar dilihat seolah-olah tidak mempedulikan Dewan Ulama sebaliknya bertemu memberikan penjelasan kepada Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Selepas itu isu berkenaan diam begitu sahaja.

Begitu juga dalam isu muzakarah apabila, Ketua Dewan Ulama Datuk Dr. Harun Taib menegaskan ia perlu diadakan tanpa syarat, adakah ia didengari oleh kepimpinan Pas biar pun ia bertepatan dengan kehendak Islam?

Sudah pasti tidak sebaliknya, Pas menolak mentah-mentah usaha itu biar pun ia idea asal mereka dengan alasan isu tersebut sudah dimanipulasikan.

Biarpun dari semasa ke semasa banyak tindakan politik Pas bertentangan dengan seruan Islam dan telah pun mengubah haluan perjuangannya dari negara Islam kepada negara berkebajikan namun Pas tetap menganggap mereka parti Islam.

Sebab itulah, Pas lebih cenderung untuk menuduh UMNO menolak Islam dengan matlamat bagi membuktikan merekalah perjuang Islam sebenar.

Tetapi dalam masa yang sama banyak tindakan Pas boleh menjejaskan imej Islam, ini termasuklah bersekongkol dengan mereka yang menyokong pluralisme dan seks songsang.

Walaupun pemimpin Pas memahami bahawa mereka tidak sepatutnya berbuat demikian tetapi parti itu sudah tidak ada pilihan kerana terikat dengan perjanjian politik merebut kekuasaan dengan PKR dan DAP.

Keadaan itu diburukkan lagi dengan sikap kemaruk Pas untuk menagih undi daripada bukan Melayu, oleh itu Pas cuba tidak begitu menunjukkan keghairahan mereka bagi memperjuangkan Islam.

Keadaan ini sudah tentulah mengelirukan umat Islam kerana mereka tidak pasti apa sebenarnya yang diperjuangkan oleh Pas.

Atas sebab itulah, wawancara dengan Sheikh Dr. Sulaiman harus diteliti dan dinilai dengan sebaik-baiknya oleh Pas jika benar mereka mengaku pejuang Islam.

Apa yang dihujah dan dinyatakan oleh ulama tersebut adalah demi kebaikan umat Islam di negara ini yang semakin berpecah-belah kerana perbezaan ideologi politik.

Sebab itulah Sheikh Dr. Sulaiman menekankan bahawa perkara utama yang perlu diselesaikan terlebih dahulu ialah masalah perpecahan supaya umat Islam menjadi umat yang bersatu.

Tetapi impian itu tidak akan tercapai di negara ini jika Pas terus memikirkan kepentingan politik semata-mata dan terus berpegang kepada pendirian bahawa UMNO menolak Islam.

Walaupun dakwaan terhadap UMNO itu dibuat secara konsisten oleh seorang sahaja pemimpin Pas namun beliau mempunyai pengaruh yang cukup besar dalam parti berkenaan.

Lebih malang lagi, Pas bersedia bekerjasama dengan PKR yang memperjuangkan kesamarataan dan DAP yang menolak penubuhan negara Islam semata-mata kerana mahu menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang tonggak utama ialah UMNO - iaitu parti Melayu dan umat Islam terbesar di negara ini. Kalau beginilah sikap Pas yang sanggup melakukan apa sahaja demi meraih kuasa, bagaimana mungkin umat Islam di negara ini akan bersatu padu dan bertambah kukuh.

Sekarang bukanlah masa untuk menuding jari menuduh siapa yang bertanggungjawab memecah belah ummah, kalau hujah ini mahu diperdebatkan sudah pasti Pas akan kalah. Ia kerana apa yang dicatatkan dalam perjalanan sejarah politik negara tidak akan mampu dipadamkan oleh Pas.

Pemimpin dan penyokong Pas boleh sahaja membutakan mata dan memekakkan telinga terhadap apa yang disarankan oleh Sheikh Dr. Sulaiman. Namun mereka perlu memahami bahawa pendekatan politik yang diamalkan oleh parti itu sekarang sama sekali tidak akan menguntungkan Pas.

Mungkin Pas perlu merenung ingatan Sheikh Dr.Sulaiman,''Apa yang dituntut oleh dalil ialah memelihara persaudaraan Islam dan memilih mereka yang paling sesuai dan berkelayakan untuk memimpin ummah. Inilah politik umat Islam yang sebenar.''

Soalnya apakah sikap ini ada pada Pas yang memukul canang mengatakan mereka masih parti Islam? Fikirkanlah!


Khamis, 17 Mei 2012

DARJAT TUNKU LEBIH TINGGI DARIPADA NIK?






Antara dua 'Abdul Aziz', Pas dan DAP
Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my


 
 
















KELMARIN, dua pemimpin pembangkang membuat dua kenyataan yang berbeza. Kedua-duanya melibatkan individu bernama 'Abdul Aziz'.

Kenyataan pertama dibuat oleh Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang membuat keputusan meninggalkan parti itu selepas dikecam hebat oleh kepimpinan DAP yang salah seorang pemimpinnya ingin mencontohi kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz.
Segalanya bermula apabila Tunku Abdul Aziz enggan menyokong perhimpunan haram Bersih yang dianggap melanggar undang-undang negara serta hanya mencetuskan huru-hara. Akibat ketegasannya Tunku Abdul Aziz tidak disambung tempoh perkhidmatan sebagai Senator oleh DAP.

Ketika Tunku Abdul Aziz tegas dengan pendiriannya dan sanggup kehilangan kedudukan demi menegakkan kebenaran, kita juga dihidangkan dengan kenyataan keras oleh seorang lagi bernama Abdul Aziz iaitu Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menteri Besar Kelantan itu ternyata tidak berpuas hati dengan kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria bahawa Pas sudah menyeleweng dan menyalahgunakan agama Islam. Justeru Nik Abdul Aziz menyifatkan ia satu pandangan lapuk seorang mufti.

Sebelum ini, dalam isu Bersih, Nik Abdul Aziz ternyata meletakkan kepentingan politik bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP mengatasi segala-galanya apabila Mursyidul Am Pas itu menyifatkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia hanya menggunakan sebelah mata apabila mengaitkan perhimpunan Bersih 3.0 dengan huru-hara dan umat Islam haram menyertainya.

Malahan dalam kenyataan melalui Facebook, Nik Abdul Aziz secara sinis berkata, mata yang digunakan oleh jawatankuasa fatwa itu pula adalah kabur dengan cermin mata yang telah rosak.

Menurut Nik Abdul Aziz, beliau bersetuju perhimpunan yang bertujuan mencetuskan huru-hara dan merosakkan harta benda adalah haram, tetapi bukan Bersih 3.0. Beliau turut menyifatkan jawatankuasa itu membuat keputusan hanya berdasarkan laporan akhbar prokerajaan, tanpa mendapat penjelasan daripada penganjur Bersih 3.0.

Namun cuba kita kaji apa kata Tunku Abdul Aziz mengenai Bersih pada 26 April lalu sehingga memungkinkan beliau tidak disenangi oleh kepimpinan DAP. Menurut Tunku Abdul Aziz, beliau membantah perhimpunan itu kerana berdasarkan pengalaman serta pemerhatian terhadap penganjuran beberapa perhimpunan jalanan di luar negara yang kononnya aman tetapi berakhir dengan keganasan.

''Walaupun saya daripada pembangkang, bukan semua pembangkang sokong Bersih. Saya tak akan sokong Bersih. Saya dah biasa tengok, bukan sahaja di negara kita tetapi saya biasa bekerja duduk di banyak negara. Semua demonstrasi kononnya mula dengan secara orang kata aman tetapi kebanyakan di mana-mana pun kita tengok terjadi sebaliknya," kata beliau ketika itu.

Mungkin Tunku Abdul Aziz membuat bantahan tersebut kerana melihat apa yang berlaku dalam perhimpunan Bersih 2.0 tahun lalu yang kesudahannya berakhir dengan kekecohan. Dan pada tahun ini penganjur sengaja mencari fasal apabila tetap ingin mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka biar pun ia sudah ada perintah mahkamah melarang mereka berbuat demikian.

Ternyata telahan Tunku Abdul Aziz menjadi kenyataan apabila perhimpunan Bersih 3.0 turut berakhir dengan kekecohan dan lebih teruk lagi ada keberanian luar biasa di kalangan penunjuk perasaan untuk merempuh sekatan polis.

Tetapi Pas termasuk Nik Abdul Aziz sengaja tidak mahu mengakui fakta ini, sebaliknya parti berkenaan bersekongkol dengan Majlis Peguam menyalahkan pihak berkuasa. Lidah rasmi Pas menunjukkan gambar kononnya polis bertindak ganas tetapi mereka tidak pula memaparkan bagaimana Unit Amal parti itu merempuh sekatan polis yang dikatakan menjadi salah satu penyebab utama perhimpunan tempoh hari menjadi ganas.

Tindakan Tunku Abdul Aziz meletakkan jawatan, sekali lagi memberi pengajaran kepada pemimpin-pemimpin Pas supaya sentiasa berpegang kepada prinsip dan konsisten dalam apa juga yang dilakukan.

Tunku Abdul Aziz boleh sahaja menyokong Bersih kalau beliau mahu tempoh senatornya disambung tetapi beliau tidak berbuat demikian kerana ini menyentuh soal prinsip. Tunku Abdul Aziz tidak mahu menjadi seperti pemimpin-pemimpin Pas yang sanggup menolak kebenaran semata-mata kerana perjuangan politik.

Mungkin hujah ini tidak disenangi oleh Pas dan Nik Abdul Aziz tetapi inilah kenyataannya. Walaupun banyak pihak sudah melihat bahawa perhimpunan Bersih tidak akan mendatangkan sebarang faedah apatah lagi dengan sikap kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa bersedia berunding bagi menyelesaikan masalah namun ia tidak dipedulikan oleh Pas dan sekutunya.

Oleh itu, mereka mahu mana-mana juga pihak termasuklah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan menyokong perhimpunan berkenaan, kalau membuat kenyataan berbeza dengan apa yang mereka perjuangkan maka pihak-pihak berkenaan akan dituduh pak turut kerajaan.
Sebab itulah, apabila Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan membuat keputusan mengatakan perhimpunan Bersih haram, maka melompatlah kepimpinan Pas. Pelbagai dalil dan hujah dikeluarkan oleh mereka bagi mempertahankan Bersih dan ada antaranya memperlekehkan keputusan majlis tersebut.

Sebagai contoh, seorang pelajar Malaysia di Jordan dalam satu tulisan yang disiarkan oleh blog-blog memperlekehkan keputusan Jawatankuasa Fatwa dan meminta anggota majlis tersebut bersikap terbuka biar pun menerima gaji daripada kerajaan BN.

Inilah sikap pemimpin dan penyokong Pas, kalau sesuatu keputusan itu tidak menyebelahi politik mereka, maka ia ditolak bulat-bulat biar pun ia dibuat berlandaskan al-Quran dan hadis.
Jika situasi ini diambil kira, jelaslah Tunku Abdul Aziz jauh lebih matang berpolitik berbanding kepimpinan Pas termasuk Nik Abdul Aziz. Ia memandangkan Tunku Abdul Aziz bersedia menerima risiko bagi menyatakan kebenaran tetapi Pas sentiasa sahaja berdolak-dalik dan membuat sesuatu keputusan berdasarkan perhitungan politik semata-mata.

Justeru tidak hairanlah apabila kepimpinan Pas bercakap soal hudud, tidak ada sebarang perasaan takut di kalangan pemimpin-pemimpin DAP atau PKR untuk membantah perkara tersebut. Ini kerana mereka memahami kepimpinan Pas terlalu taksub berpolitik dan tetap akan bersama dengan pakatan pembangkang biar pun apa juga berlaku.

Begitulah juga dalam isu Bersih, ketegasan Tunku Abdul Aziz dan keputusan Jawatankuasa Fatwa sudah pasti tidak akan mengugat Pas untuk terus menyokong perhimpunan haram berkenaan biar pun ia telah membawa kesan yang amat buruk kepada negara.

Pemikiran kepimpinan Pas sudah terkepung dengan politik untuk menjatuhkan kepimpinan BN melalui sasaran memenangi pilihan raya umum akan datang bersama-sama dengan PKR dan DAP.

Apa pun Tunku Abdul Aziz boleh dianggap memberi pengajaran kepada kepimpinan Pas termasuk Nik Abdul Aziz supaya konsisten dalam memperjuangkan sesuatu dan perlu menjadikan apa yang berlaku kepada beliau sebagai isyarat mengenai wajah sebenar politik DAP.


Selasa, 15 Mei 2012

PAS "SESAT" SEJAK BERKAWAN DENGAN DAP?










PAS salah guna Islam

2012/05/14




KUALA LUMPUR: Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata perjuangan PAS kini sudah menyeleweng daripada matlamat asal serta menyalahgunakan agama Islam demi kuasa dan kerusi politik.

Berikutan itu beliau bersedia mencadangkan kepada Majlis Fatwa Kebangsaan supaya mempertimbangkan saranan diadakan muzakarah bagi membincangkan kewajaran parti itu menggunakan perkataan Islam dalam nama parti.

 “Perjuangan parti itu semakin jauh menyeleweng daripada matlamat asal untuk menegakkan Islam yang direncanakan sejak lebih enam dekad lalu,” katanya yang juga ahli Majlis Fatwa Kebangsaan.

Beliau berkata demikian kepada Berita Harian semalam ketika diminta mengulas saranan Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali yang mencadangkan Majlis Fatwa Kebangsaan mengadakan muzakarah untuk membincangkan kewajaran PAS menggunakan perkataan Islam pada nama parti itu.

Ibrahim berkata, sudah sampai masanya majlis fatwa berbuat demikian memandangkan ia boleh mengelirukan umat Islam, terutama di kalangan penyokong fanatik parti itu.

Harussani juga menggesa ahli dan penyokong PAS, khususnya yang fanatik dan taksub segera kembali kepada ajaran Islam sebenar dan berfikiran waras.

“Gunakan akal yang dianugerahkan Allah untuk berfikir... sama-sama memahami isi kandungan al-Quran, jangan hanya tahu mengutuk. Banyak sangat PAS menyalahgunakan Islam untuk kepentingan politik demi mendapatkan kuasa, pengaruh, kedudukan dan kerusi,” katanya. Beliau juga melahirkan kebimbangan dengan perpecahan umat Islam kerana sifat dengki, tamak, mengejar pangkat dan kedudukan di kalangan pemimpin parti politik yang kononnya memperjuangkan Islam.

Mengulas keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan umat Islam menyertai perhimpunan BERSIH 3.0, Harussani berkata, ia tidak dibuat sebelah mata seperti yang didakwa pemimpin pembangkang, termasuk Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sebaliknya, keputusan itu dicapai selepas perhimpunan BERSIH 3.0 tidak lagi bersih kerana menceroboh kawasan larangan, selain mendatangkan kekacauan dan kecederaan kepada pihak berkuasa dan orang awam.

“Al-Quran dan hadis menjelaskan mengenai larangan memasuki kawasan larangan tanpa kebenaran. Dataran Merdeka diletakkan di bawah kendalian pihak berkuasa tempatan dan adalah haram menceroboh kawasan itu. Demonstrasi BERSIH 3.0 juga menyebabkan kerosakan harta benda dan mencederakan orang ramai. Malah, niat hendak menjatuhkan kerajaan juga menjadikan demonstrasi itu haram untuk disertai.

“Dalam Islam tidak boleh menjatuhkan kerajaan yang sah walaupun kerajaan diperintah oleh pemimpin Islam yang fasik selagi pemerintah menjaga kebajikan umat Islam,” katanya.

Harussani yang berada di Institut Jantung Negara (IJN) ketika keputusan mengharamkan Bersih 3.0 dibuat, yakin jika tidak dikawal, demonstrasi itu akan menjadi ‘bugah’ atau pemberontakan melampau yang menghancurkan negara, sekali gus membolehkan pemberontak dihukum bunuh.

Sementara itu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika diminta mengulas kenyataan perjuangan PAS menyimpang, selain menyalahgunakan Islam, berkata parti itu sedia bermuzakarah dengan mana-mana pihak termasuk UMNO dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam yang sangsi dengan perjuangan mereka.

“PAS menjamin konsisten dengan Islam dan Majlis Syura Ulama yang memelihara perjalanan PAS mengikut perlembagaan parti,” katanya.

Di MELAKA TENGAH, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung pengharaman umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi haram bertentangan dengan ajaran Islam yang mengajak orang ramai kepada kebaikan.

Beliau mendakwa, pada zaman Rasulullah SAW, Saidina Umar Al-Khattab pernah berdemonstrasi bersama umat Islam lain dengan berjalan dari rumah seorang daripada sahabat baginda menuju Baitullah bagi menentang penindasan dilakukan kafir Quraisy terhadap mereka.