Jumaat, 29 April 2011

PAS YANG MELEPAS???


Video seks, pakatan dan pemilihan Pas
Kelolaan LUKMAN ISMAIL
lukman@utusan.com.my


HAMPIR sebahagian besar dunia blog minggu ini sesak dengan kisah rakaman video seks siri kedua yang didakwa melibatkan seorang pemimpin pembangkang yang dimuat naik ke dalam YouTube kelmarin, yang kemudiannya disiarkan oleh blog-blog terbabit.

Lucunya, walaupun sebahagian besar blog mesra pembangkang bermati-matian cuba menafikan penglibatan pemimpin terbabit dengan rakaman video seks tersebut tetapi pada masa sama mereka tetap menyiarkan rakaman tersebut dalam bentuk imej.

Blog Duke of UMNO (dukeofumno.blogspot.com) yakin rakaman video itu telah ditonton oleh ramai rakyat Malaysia tanpa mengira sama ada mereka penyokong kerajaan mahupun pembangkang semata-mata mahu melihat sendiri apakah benar pelaku di dalam rakaman tersebut adalah pemimpin yang disebut-sebut itu.

Katanya, benar atau tidak lelaki dalam rakaman tersebut adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim, apa yang jelas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu telah dilihat sebagai liabiliti kepada pakatan pembangkang baik di kalangan pemimpin Pas dan DAP mahupun di peringkat akar umbi.

"Majoriti mereka menyesal dengan idea Pas dan DAP bergabung dengan PKR. PKR memang "busuk", kata mereka. Sudah lama mereka mahu parti mereka keluar dari pakatan dan bergerak secara solo sebagaimana dahulu.

"Sekiranya Anwar ada rasa tanggungjawab, malu dan sedar diri, dia sepatutnya meletakkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang dan berikan kepada DAP. Kemudian, dia seharusnya melepaskan kedudukannya sebagai Ketua Umum (PKR) yang tidak pernah dipertandingkan itu," katanya.

Blog Gelombang Rakyat (gelombang-rakyat.blogspot.com) pula mendakwa beberapa pemimpin Pas peringkat negeri mula mendesak agar Anwar melepaskan kesemua jawatan politik bagi memberi fokus terhadap tuduhan-tuduhan yang sedang dihadapinya.

"Walaupun pada asasnya mereka menganggap penyebaran video seks itu sebagai satu serangan politik, namun Anwar juga mesti membuktikan kepada masyarakat bahawa beliau bukan individu di dalam video itu. Mereka juga turut senada dengan keputusan Setiausaha Agung Pas, (Datuk) Mustafa Ali bahawa keputusan hasil kajian pihak polis sebagai penentu masa depan pembangkang," kata penulis blog ini.

Bagi blog Pelantaq Hujah (pelantaqhujah.blogspot.com) pula melihat percanggahan pandangan antara Mustafa Ali dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali tentang hala tuju Pas selepas tersebarnya rakaman video seks adalah detik-detik keretakan kedua-dua parti pembangkang itu.

Ini ditambah pula rasa berang Timbalan Murysidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din kepada lidah rasmi PKR, Suara Keadilan yang menyiarkan laporan yang bercanggah dengan kenyataan sebenar beliau berhubung akhbar Utusan Malaysia.

"Adakah ini tanda-tanda bahawa PKR dan Pas sudah semakin retak? Retaknya bukan lagi menunggu belah, tetapi retaknya menjadi ribuan retak. Setiap hari kita dapat melihat masing-masing mengeluarkan kenyataan yang saling bertentangan," katanya.

Mengulas mengenai laporan tidak benar Suara Keadilan berhubung kenyataan Haron, blog Taiping Mali (taipingmali.blogspot.com) berkata, jelas sekali Haron yang diketahui tetap berpegang kepada kebenaran kini terhimpit dengan politik kepartian yang disertainya.

Kata blog ini, apabila Haron berkata "jangan baca akhbar yang membawa berita fitnah sebab hukumnya haram", beliau tidak langsung berfikir untuk menyatakan perkara yang tidak benar, sebaliknya ia berlandaskan al-Quran dan ijmak.

"Tetapi malangnya Ustaz Haron tersilap kerana menyertai parti gerombolan pakatan pembangkang. Akibatnya kata-kata beliau diubah dan dijadikan "tidak benar" dan terpaksalah dinafikan sekeras-kerasnya. Inilah antara risiko dan cabaran yang perlu dihadapi oleh Haron Din dan ustaz-ustaz lain yang mukhlisin (apabila terlibat dengan politik kepartian yang sempit)," katanya.

Sementara itu, agak menarik juga untuk melihat perkembangan dalam Pas menjelang pemilihan pucuk pimpinan parti itu Jun ini. Mohd Sayuti Omar (msomelayu.blogspot.com) berkata, ada kemungkinan pemilihan pucuk pimpinan pada Muktamar Pas kali ini bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru bagi jawatan Timbalan Presiden iaitu antara penyandangnya Nasharuddin Mat Isa, Mohamad Sabtu dan Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata, Nasharudin mempunyai beberapa keistimewaan tetapi malangnya ia tidak dimanfaatkan sepenuhnya sehingga beliau kelihatan tidak berketerampilan manakala Mohamad Sabu walaupun telah menyatakan hasrat untuk bertanding tetapi beliau tidak begitu disenangi.

"Khabarnya Tok Guru Nik Aziz telah menyatakan cadangan agar Tuan Ibrahim Tuan Man bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden... Apabila isyarat itu sudah jelas, saya percaya selepas ini senario dalam perebutan jawatan timbalan presiden akan berubah. Sekali gus ia akan merancakkan mutktamar Pas kali ini. Pertandingan mungkin bukan dua penjuru tetapi tiga, atau mungkin akan ada yang menarik diri," katanya.

Blog Penyokong Pas (penyokongpas.wordpress.com) pula berkata, kebanyakan veteran Pas mahukan Nasharuddin kekal sebagai pemimpin nombor dua dalam parti itu dengan mengambil kira kebolehan yang ada pada beliau.

Katanya, Pas tidak perlu orang 'berani tetapi bengap'. Pas juga tidak perlu orang yang 'kaya tetapi kedekut' sebagai Timbalan Presiden. Pas kena kembali kepada politik zaman Asri (Datuk Asri Muda). Cekap, pantas mengintai peluang dan tidak terlalu setia dengan pakatan politik.

"Jangan cepat sangat nak menyanjung individu. Kena tengok jangka panjang. Kena tengok kemampuan kita di bawah," kata blog itu.


Khamis, 28 April 2011

PAS DAN PKR PENCACAI DAP


Propaganda DAP hasut Cina benci BN

Oleh IBRAHIM YAHAYA



PROPAGANDA, adalah mesej-mesej bersepadu yang bertujuan mempengaruhi pendapat atau kelakuan orang ramai. Berbanding dengan menyalurkan maklumat tanpa berat sebelah, propaganda dalam erti kata paling asasnya menyediakan maklumat dengan tujuan mempengaruhi masyarakat.

Propaganda sering memilih fakta-fakta dengan teliti untuk menggalakkan sintesis yang tertentu, ataupun menokok tambah agar menimbulkan maklum balas yang lebih beremosi daripada rasional kepada maklumat yang diberi. Hasil yang diinginkan ialah perubahan dalam penceritaan kognitif mengenai subjek oleh kumpulan sasaran untuk melanjutkan agenda politik.

Dalam lain perkataan, mereka yang berjaya menjalankan propaganda dengan sempurna akan memenangi peperangan minda. Inilah peperangan sebenar yang akan dihadapi oleh semua parti politik sekarang. Siapa yang cekap memainkan propaganda, merekalah yang akan menang. Jika BN lemah dari segi propaganda pada masa akan datang, maka pembangkang yang berjaya menggunakannya untuk memenangi peperangan minda itu.

Lihat sajalah bagaimana pembangkang menggunakan strategi propaganda yang bertalu-talu sehingga membentuk pemikiran rakyat untuk menolak BN. Bukan kerana dasar BN yang tidak baik tetapi propaganda yang menggambarkan sebaliknya.

Mereka bukan saja membuat tohmahan tetapi berkata separuh benar. Seperti istilah sudah lama memerintah atau memberikan projek kepada kumpulan tertentu. Apa yang tidak disebut ialah 'lama tetapi berbakti' dan kumpulan 'tertentu' yang dimaksudkan itu adalah syarikat berwibawa dan mampu menjalankan tugas dengan sempurna.

Malah istilah selalu juga diputarbelitkan tanpa memberitahu banyak syarikat lain yang turut mendapat projek selama BN memerintah.

Awal-awal lagi, Anwar Ibrahim sudah membuat propaganda bahawa pembangkang akan memerintah Sarawak. Malah beliau sudah menamakan Baru Bian sebagai bakal Ketua Menteri jika Sarawak berjaya diambil alih.

Anwar dan gerombolannya menjalankan tugas menyerang kubu kuat BN di kawasan pedalaman terutama di mana ramai orang Melayu dan Melanau.

Propaganda mereka ialah jika pembangkang mendapat tempat dalam PRU12 di Semenanjung maka tidak ada sebab rakyat Sarawak tidak memilih mereka dalam PRN ke-10 ini. Yang tidak diceritakannya ialah kegagalan pembangkang memerintah selepas diberi peluang di beberapa buah negeri dan masalah timbul sehingga menyusahkan rakyat.

Yang terbaru berlaku di Kelantan membabitkan tindakan Ladang Rakyat yang mengambil tanah yang diterokai berpuluh tahun oleh rakyat negeri itu.

Ditugaskan pula parti perkauman DAP untuk menggunakan strategi agresif di bandar dengan memburuk-burukkan Tan Sri Abdul Taib Mahmud dengan konotasi sudah lama dalam politik. Hakikatnya pemimpin pembangkang yang lama dalam politik tidak pula ditanya seperti Lim Kit Siang, Karpal Singh dan Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Maka ditambah pula 'sudah lama di tampuk' yang menunjukkan seolah-olah Abdul Taib terlalu lama dan tidak membuat sebarang sumbangan. Mereka tidak sekali-kali menyebut sumbangan Abdul Taib sebaliknya melabelkan beliau sebagai orang yang sudah terlalu lama dan perlu turun.

Jika begitu, Kit Siang dan Karpal pun perlu turun. Adakah mereka hendak tunggu kapal tenggelam baru hendak terjun ke dalam air? Atau bersedia untuk memindahkan kepakaran berpolitik di dunia ke akhirat?

Propaganda DAP agar rakyat terutama orang Cina membenci Abdul Taib dijalankan hampir setiap hari. Dalam ceramah mereka menggunakan bahasa Mandarin, Abdul Taib diperlihatkan sebagai seorang yang rakus, tamak dan hanya memikirkan kepentingan diri.

Malah mereka juga sanggup membuat poster yang menyatakan pemimpin Sarawak yang lama seperti anjing tua termasuk Tan Sri Alfred Jabu dan Tan Sri Dr. George Chan.

Dalam poster mereka, apa yang dibuat oleh BN semuanya tidak betul dan merugikan rakyat. Bayangkan mereka boleh memutarkan "Satu Malaysia menjadi Sapu Malaysia" semata-mata pertama untuk memburuk-burukkan 1Malaysia itu sendiri dan kedua mengaitkan dengan tohmahan rasuah.

Apakah mereka sudah lupa bahawa Gagasan 1Malaysia itu adalah pendekatan untuk mendahulukan rakyat? Kempen yang banyak diterajui oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan sudah mula menakutkan pembangkang kerana di mana saja orang menyebut 1Malaysia. Malah Kerajaan Negeri PKR Selangor juga mengharamkan penggunaan 1Malaysia.

Inilah propaganda pembangkang di Sarawak paling berjaya sehingga memikat hati pengundi Cina negeri itu yang selama ini banyak mendapat faedah daripada BN seperti kewujudan kestabilan politik dan pertumbuhan ekonomi di merata tempat sama ada di Kuching, Miri, Bintulu atau Sibu. Melainkan mereka yang menyokong DAP ini adalah daripada kumpulan pelupa atau tidak mahu mengenang budi pemimpin BN termasuk dari kaum mereka.

Pendekatan propaganda agresif ini ditujukan kepada kumpulan di atas pagar yang belum membuat keputusan untuk memilih calon parti yang bertanding. Maka pembangkang terus mendodoikan kumpulan atas pagar ini dengan cerita buruk sehingga pengundi menterjemahkan dalam undi mereka.

Lebih malang mereka sanggup memainkan sentimen perkauman termasuk mempersoalkan mengapa Dr. George Chan tidak berkahwin dengan Cina sebaliknya berkahwin dengan bukan Cina semata-mata untuk menambat hati pengundi Cina.

Apa salahnya berkahwin dengan orang Bidayuh atau Iban? Apakah ini bertentangan dengan masyarakat Cina yang tidak boleh berkahwin dengan kaum lain? Sebenarnya inilah permainan DAP yang mahu menimbulkan rasa kurang senang pengundi Cina termasuk kepada pemimpin BN dari kaum Cina sekalipun.

Di sebaliknya, kerajaan BN terus melakukan usaha yang mendahulukan rakyat. Contohnya Klinik 1Malaysia dan pemberian netbook secara percuma kepada masyarakat yang memerlukan. Usaha kerajaan mengadakan Kampung Tanpa Wayar menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk mewujudkan jalur lebar di seluruh negara juga adalah untuk rakyat.


Rabu, 27 April 2011

PAS DIPENUHI ULAR DALAM SEMAK




Pas Makin Risau Dilanda Gelombang Kumpulan Berkiblatkan “Anwar”

Oleh : Tg Azman Tg Abas



KUALA LUMPUR  26 April – Pemimpin Pas hari ini mungkin dalam gundah gulana melihat kepada apa yang berlaku di dalam parti berkenaan khususnya menjelang muktamar agung mereka Jun ini yang bakal menyaksikan pertandingan termasuk kepimpinan tertinggi.

Kebimbangan itu dapat dilihat antaranya ingatan daripada Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mahukan parti berkenaan diurus secara jamaah dan bukannya seperti syarikat sendirian berhad atau anak beranak.

Mengulas mengenai isu terbabit, bekas pimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Hamdan Taha mempunyai tafsiran tersendiri yang mana bagi beliau itu adalah kebimbangan pucuk pimpinan mereka terhadap usaha meliberalkan Pas selain khuatir parti itu bakal kehilangan kepimpinan ulama yang dilaung-laungkan sejak sekian lama.

“Dari segi politiknya, mereka juga mungkin bimbang dengan kumpulan yang berkiblatkan Datuk Seri Anwar untuk menguasai kepimpinan tertinggi Pas. Namun paling utama ialah mereka bimbang usaha-usaha untuk meliberalkan parti itu dalam usaha mendapatkan sokongan bukan Islam.

“Bagi saya itulah pokok utama yang kita boleh tafsirkan daripada apa yang diluahkan oleh Naib Presiden Pas itu. Tuan Ibrahim mungkin sudah nampak angin yang mula bertiup secara perlahan-lahan yang akhirnya dikhuatiri bakal menenggelamkan kepimpinan berteraskan ulama.

“Saya katakan begitu kerana mereka yang benar-benar ulama di dalam kepimpinan Pas hari ini hanya tinggal beberapa kerat sahaja. Mahfuz Omar bukannya ulama, Mohamad Sabu pun bukannya ulama, siapa lagi yang kita boleh ambil contoh..Husam Musa bukan ulama, Khalid Samad bukan ulama…Begitu juga Salahudiin Ayub..bukan ulama,” katanya.

Lantara itu kata beliau lagi  Pas hari ini menjurus ke arah “Pure Politician” yang mana bakal diisi oleh mereka yang tidak sehaluan daripada apa yang dialung-laungkan iaitu bersama kepimpinan ulama.

Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, parti hendaklah diurus secara jamaah dan bukannya seperti syarikat sendirian berhad apatah lagi sebagai syarikat anak beranak.

Menurutnya, Pas  telah mengisytiharkan matlamat perjuangannya kepada seluruh rakyat Malaysia dan mereka telah melihat dan meyakininya.

Hamdan seterusnya yakin, apa jua yang dilaksanakan oleh Pas hari ini berkiblatkan politik dan tidak lagi berasaskan kepada prinsip yang dialung-laungkan sejak sekian lama.


-MediaUMNO

Selasa, 26 April 2011

PAS YANG TERSEPIT & TERLEPAS MENUJU DIKUBURKAN




Perjuangan Pas “Berkiblatkan” DAP, PKR Bakal Bawa Kehancuran

Oleh : Tg Azman Tg Abas



KUALA LUMPUR,  20 April – Pas sepatutnya sedar dan tahu bahawa perjuangan mereka yang kini “berkiblatkan” DAP dan PKR bakal memusnahkan parti berkenaan dan laungan perjuangan Islam parti itu juga hanya sekadar laungan kosong semata-mata.

Bekas Ahli  Jawatankuasa Pas Pusat, Prof Madya Mohd Noor Deris ketika melontarkan perkara itu berkata amat jelas hari ini Pas yang sekadar membuta tuli mengikut telunjuk PKR dan DAP akan terus hanyut dibuai mimpi indah menuju Putrajaya.

Menurut beliau kekalahan parti berkenaan pada pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini adalah satu bukti jelas dan nyata perjuangan mereka yang bertopengkan Islam dan bernaung di bawah gabungan “Ahzab” tidak memberi apa-apa faedah.

“Kelima-lima kawasan yang ditandingi Pas semuanya kecundang kepada Barisan Nasional (BN) dan bukankah itu satu petunjuk kepada apa yang saya ungkapkan tadi. Mereka menentang calon BN yang diwakili parti PBB.

“Apakah mereka sedar dan tahu semua itu…saya harap mereka meneliti perkara ini dan mencari jalan keluar yang terbaik demi kepentingan parti berkenaan. Saya tidak sampai hati melihat mereka terus menerus menjadi kuda tunggangan kepada sekutu mereka.

“Bukankah jelas, Pas hanya menjadi pemecah undi kepada umat Islam pada pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini bagi merealisasikan hasrat pembangkang untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) sekaligus  menabalkan Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian sebagai Ketua Menteri yang baru,” katanya kepada UMNO-Online.

Ustaz  Mohd Noor seterusnya menambah, sudah tiba masanya kepimpinan Pas melakukan muhasabah selain solat hajat untuk memohon petunjuk di dalam perjuangan mereka agar tidak terus menjadi mangsa kepada kerakusan sekutunya untuk menumbangkan BN.

Katanya mungkin ada segelintir kepimpinan Pas yang sudah mula sangsi dan khuatir terhadap perkara berkenaan, namun mengambil sikap berdiam diri untuk mengenengahkan hal yang sebenar.

“Lagi pun kita selalu dengar Pas selalu mengadakan solat hajat dan dalam situasi ini, apa salahnya mereka turut mengambil pendekatan yang sama bagi melihat kebenaran dan menolak kebatilan untuk kepentingan bersama,” katanya.

Tambah beliau lagi apa yang Pas laksankan hari ini sebenarnya adalah arahan “syaitan” dan bukannya berpandukan kepada al-quran.

“Ini kerana tidak ada satu ayat pun di dalam al-Quran dan tidak wujud satu hadis pun yang membenarkan umat Islam memusuhi semasa sendiri. Renung-renungkanlah….,” katanya.



-MediaUMNO