Selasa, 8 Mac 2011

PAS YANG TAK MATANG : TERIMA KASIH PENGUNDI KERDAU




Pengundi DUN Kerdau matang buat pilihan berdasarkan realiti


2011/03/08



HUJAN lebat di Temerloh menjelang Maghrib seolah-olah membawa rahmat kepada penyokong Barisan Nasional (BN) yang menang bergaya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau, kelmarin.

Cuaca panas sebelum itu hingga ke petang turut membawa makna besar apabila peratusan pengundi keluar melaksanakan tanggungjawab mereka memilih pemimpin juga meningkat kepada 83.2 peratus, sekali gus mengatasi dua Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini iaitu pada 2008 dan 2004.

Justeru, tanggungjawab pengundi DUN Kerdau untuk memilih wakil rakyat baru yang mampu membela dan menawarkan perkhidmatan terbaik dengan mengundi BN membolehkan Syed Ibrahim Syed Ahmad atau lebih dikenali sebagai Syed Ibra mencatat kemenangan besar bagi mempertahankan kerusi BN di situ.

Tambah menarik, apabila BN menang di semua 13 pusat mengundi membabitkan 22 saluran sama ada di kawasan yang majoritinya kaum Melayu, India, Cina, Orang Asli dan kaum lain.

Rekod cemerlang BN yang ditunjukkan pada pilihan raya sebelum ini diperkukuhkan lagi apabila sokongan Melayu meningkat kepada kira-kira 70 peratus, diikuti Cina (72 peratus) dan India (80 peratus). Pada PRU 2008, sokongan Melayu ke atas BN hanya 58 peratus, Cina (54 peratus) dan India 68 peratus.

Pilihan raya DUN Kerdau juga menunjukkan BN terus menguatkan cengkamannya di kawasan majoriti Melayu di kampung tradisional serta FELDA Jengka 23, 22 dan 25 termasuk mengurangkan sokongan parti pembangkang di tanah rancangan berkenaan.

BN juga terus menjadi pilihan pengundi di kebanyakan pusat mengundi yang majoriti penduduk Melayu seperti Rumpun Makmur, Kuala Tekal, Pulau Pasir Mandi, Lipat Kajang, Desa Murni dan Telok Sentang, selain sokongan pengundi Cina dan India yang mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kerdau juga semakin meningkat apabila BN menang majoriti besar di pusat mengundi berkenaan.

BN juga mendapat kepercayaan masyarakat Orang Asli di DUN Kerdau yang menunjukkan kesetiaan tidak berbelah-bahagi mereka kepada kerajaan kerana yakin dengan kemajuan yang diberi kepada mereka, malah menikmati kehidupan selesa pada masa ini.

Kemenangan bergaya BN itu jelas menunjukkan strategi kempen dari rumah ke rumah bagi mendekati pengundi dan kerjasama erat petugas BN dari seluruh negara berganding bahu memberi pemahaman mengenai dasar kerajaan memberi keyakinan tinggi kepada pengundi untuk terus setia bersama BN.

Penghargaan juga patut diberi kepada 7,487 daripada 8,999 pengundi di DUN Kerdau yang menunaikan tanggungjawab pada pilihan raya kecil ini, bagi memilih wakil rakyat baru yang boleh membawa lebih banyak kemakmuran dan kesejahteraan kepada mereka.

Pengundi di situ menunjukkan kematangan fikiran kerana membuat pilihan berdasarkan realiti terhadap apa yang sudah dinikmati hasil bantuan kerajaan BN dan bukannya terpedaya dengan janji manis dan cakap-cakap kosong yang ditabur pembangkang.

Keyakinan pengundi muda juga tidak boleh dipersoalkan dan ia terbukti dengan menterjemahkan keyakinan mereka menerusi undi masing-masing, sekali gus membolehkan BN melonjakkan majoriti undi sekali ganda berbanding sebelum ini.

Di kalangan peneroka FELDA, peningkatan sokongan menunjukkan mereka menolak isu tidak berasas yang dibawa pembangkang, yang hanya bertujuan meraih simpati.

Peningkatan harga komoditi seperti sawit dan getah yang menjadi sumber ekonomi utama penduduk DUN Kerdau juga memberi kelebihan kepada BN.

Kesimpulannya, keputusan yang diperoleh dalam pilihan raya kecil ini menjadi bukti kukuh bahawa rakyat menolak pembangkang biar apa pun yang dijanjikan kerana mereka sudah matang membuat perbandingan bagi menilai kebenaran.

Bagi pengundi, pilihan raya kecil bukan medan membuat percubaan mengubah cita rasa kerana ia akan membawa kerugian besar untuk jangka panjang, sekali gus mereka di sini mengamalkan sikap sama seperti bidalan Melayu – `bila mendengar guruh di langit, air tempayan dicurah jangan'.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan