Isnin, 13 Februari 2012

POLITIK DIDAHULUKAN, AGAMA DIGADAI???


Hancurnya hati nurani umat Islam
Oleh Aziz Jamaludin Mhd Tahir



PENDIRIAN Anwar Ibrahim menyokong keselamatan Israel sebagaimana dilaporkan oleh akhbar Asian Wall Straits Journal pada akhir Januari lalu sebenarnya menyusahkan dirinya sendiri sehingga rakan-rakan dari Indonesia menganggap beliau sudah melampau daripada batasan Islam.

Hampir keseluruhan pertubuhan Islam Indonesia membantah kenyataan itu yang keterlaluan dan menghancurkan hati nurani umat Islam seluruh dunia. Anwar sebagai seorang ‘intelektual Islam’ perlu memahami bahawa keamana di Asia Barat boleh dicapai seandainya semua masyarakat antarabangsa tidak memberikan pelbagai bentuk sokongan kepada Israel.

Israel yang bijak memainkan peranan sebagai pencatur politik negara-negara Islam memperoleh sokongan dan naungan yang tidak berbelah bahagi daripada Amerika Syarikat (AS) dan Eropah setelah berakhirnya Perang Dunia Kedua.

Dengan kepintaran helah Kesatuan Yahudi Antarabangsa, mereka membina harapan dan propaganda bahawa keturunan Yahudi merupakan kumpulan etnik yang teraniaya, cuba dilenyapkan oleh kepimpinan Hitler menerusi pelbagai tekanan dan paling membangkitkan simpati siri genosid dan holocaust, suatu istilah yang cuba menggambarkan berlakunya pembersihan etnik.

Kemuncak konflik keganasan Yahudi ke atas penduduk Palestin boleh kesan setelah termeterainya Deklarasi Balfour pada 2 November 1918 yang dibuat oleh Arthur James Balfour, Menteri Luar Britain kepada Walter Rothchild, tokoh perbankan ternama dan pemimpin Yahudi Britain. Dalam deklarasi itu, James Balfour menyokong hasrat Yahudi membina sebuah negara Yahudi di Palestin dan keputusan tersebut dipersetujui oleh anggota Kabinet pada 31 Oktober 1917.

Ketika itu, wilayah Palestin berada dalam tampuk pemerintahan Dinasti Umayyah dan sebelumnya diperakukan kedudukan negara Yahudi melalui satu perjanjian yang ditandatangani oleh Britain dan Perancis. Perjanjian tersebut dikenali sebagai Perjanjian Sykes-Picot dan ditandatangani pada 16 Mei 1916. Bagi membalas budi kedua negara di atas persetujuan tersebut, kelompok Yahudi berjanji akan menyakinkan AS agar melibatkan diri dalam Perang Dunia I.

Asas perjanjian itu kemudiannya digabungkan ke dalam perjanjian damai Serves, yang memberikan had kuasa kepada pemerintah Turki Uthmaniah dan mandat untuk Palestin.

Penglibatan aktif AS dalam Perang Dunia II mempercepatkan proses pembentukan sebuah negara Yahudi setelah tentera bersekutu berjaya melumpuhkan penguasaan pihak berikat (Jerman, Jepun dan Itali) dengan memberikan imej teramat kejam ke atas Adolf Hitler (Jerman) dan Benito Mussolini (Itali) manakala Jepun terus dicengkam dengan kehancuran dua bandar utama, Nagasaki dan Hiroshima dengan ledakan dua butir bom hidrojan setelah negara itu membiarkan Jepun menyerang Pearl Harbor.

AS sengaja membiarkan kemusnahan itu meskipun sudah mengetahui dengan jelas rancangan itu menerusi maklumat risikan (Lihat John E Dover, Cultures of Wars: Pearl Harbor, Hiroshima, 911, Cultures of War: Pearl Harbor / Hiroshima / 9-11 / Iraq , 2011). Keadaan sebeginilah turut dinanti-nantikan oleh George Walker Bush bagi melakukan serangan ke atas Iraq dan Afghanistan dan kemudiannya bakal dilanjutkan oleh Barrack Obama ke atas Iran dengan mengaburi bahawa negara itu sedang membangun teknologi persenjataan nuklear.

Keghairahan Obama menyerang Iran sebenarnya berpunca daripada doktrin pengeksportan komoditi demokrasi dan hak asasi dalam konteks baru selepas George Walker melakukan pembohongan ke atas Iraq yang menyimpan senjata pemusnah massa. Apa yang hendak disembunyikan oleh penerus doktrin Wilsonisme itu adalah menguasai geopolitik dan simpanan minyak yang terdapat di kebanyakan negara Islam di Asia Barat dan Afrika Utara.

Dengan menguasai telaga minyak, AS percaya kedudukannya sebagai polis dunia dan ekonomi terbesar akan kekal untuk tempoh lebih panjang. Atas matlamat itulah AS sedang melobi sekutunya di Eropah akan melakukan sekatan ekonomi ke atas Rusia dan China yang enggan bersetuju keputusan Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu untuk melakukan tindakan menamatkan sengketa di Syria sebagaimana dilaksanakan ke atas Libya pada suku ketiga tahun lalu sehingga berjaya mengorbankan Muammar Gadafi.

Sebenarnya yang mengemukakan maklumat bahawa Iran sedang membangunkan senjata nuklear adalah Israel kerana bimbangkan kemunculan Iran sebagai penghalang strategi politiknya untuk menguasai lebih luas tanah milik penduduk Islam sehingga melangkaui sempadan Palestin.

Israel juga bimbang dengan kemungkinan Iran berupaya menyatukan seluruh penduduk Islam yang tidak sebulu dengan peranan Amerika Syarikat, maka tekanan terus diberikan oleh Washington dengan berusaha melobi resolusi menamatkan konflik di negara-negara Islam, terutama dalam kalangan pemimpin yang tidak mendokong Wilsonisme.

Ketua pembangkang ini semakin tersepit dengan gerakan Neo-Wilsonisme kerana jika tidak memberikan sokongan kuat terhadap keselamatan Israel, sokongan dari sekumpulan pelobi Yahudi AS yang banyak membantunya membina reputasi menentang kepimpinan politik, akan menyebabkan pengaruhnya akan terus terancam.

Buat masa ini, semakin ramai rakan ketua pembangkang di AS mula sangsi keupayaan beliau untuk merebut mengambil alih jawatan Perdana Menteri. Dalam keadaan terdesak itulah beliau sanggup menyokong Israel yang tidak pernah lekang dengan kezaliman sehingga tidak bersungguh-sungguh menamatkan sengketa dengan Palestin.

Israel terus menjarah bumi Palestin dan kini bersiap sedia melancarkan perang ke atas Iran setelah gertakan AS semakin lunak kesan daripada kebencian sebahagian besar pengundinya terhadap budaya perang setelah kemunculan pertama Barrack Obama sebagai Presiden AS ke-44 dan pertama dari keturunan Amerika-Afrika, dengan janji akan segera mengundurkan tentera di Iraq dan Afghanistan serta menutup kem tahanan di Telok Guantanamo. Obama terpaksa melakukan perkara itu kerana beliau amat mengharapkan sokongan pengundi Islam bagi meneruskan harapannya menjadi Presiden AS dalam tempoh empat tahun lagi.

Empat tahun yang bakal tamat pada November 2012 (atau Februari 2013), Obama dilihat begitu lemah melaksanakan pembaharuan ekonomi sehingga kedudukannya semakin terancam dengan kebangkitan China setelah berjaya mengambil alih peranan Jepun pada tahun lepas.

Perimbangan kuasa China selaku pemain ekonomi baru dunia telah menyebabkan AS terpaksa mengikat perut rakyatnya kerana lebih ramai usahawan negara itu tidak lagi berminat menubuhkan kilang-kilang baru dalam negara disebabkan kos menjadi semakin mahal, manakala China mampu mengeluarkan barangan yang sama dengan kos berkali ganda lebih murah.

Keadaan yang hampir sama pernah berlaku pada 1980-an apabila harga produk Jepun bukan sahaja semakin bermutu bahkan semakin murah menyebabkan timbul keadaan firma-firma AS terpaksa dijual kepada firma Jepun. AS turut memberikan tekanan agar Jepun dan China menaikkan nilai matawang masing-masing, tetapi China enggan menurut telunjuk Washington.

Dengan mengemukakan perancangan baru, AS berhasrat menekan China memandangkan kedudukannya semakin berpengaruh. Bagaimanapun, disebabkan keperluan China terhadap minyak semakin besar, maka helah baru dicari dengan bantuan Israel, mengumpul maklumat risikan dengan meletakkan agenda membangunkan senjata nuklear bagi menandingi kekuatan Israel. Bagaimanapun, AS tidak pernah melahirkan rasa marah ke atas sebarang tindakan Israel, kerana sebahagian besar dana kempen pilihan raya presiden datangnya daripada usahawan Yahudi yang kaya-raya.

Siapakah sebenarnya lebih hina dari sudut Islam apabila sanggup membiarkan saudara seagama disembelih, diperkosa sesuka hati manakala rumah digeledah ketika sedang nyenyak tidur manakala seharian hidup bertemankan kelaparan? Maka malang sekali kalau Malaysia terus mempunyai pemimpin seperti Anwar. Bolehkah rakyat Malaysia sandarkan harapan kepada pemimpin sedemikian?

Maka, fikirkan semasak-masaknya sebelum memberikan harapan kepada seseorang yang telah menggugat kesepaduan matlamat menyokong Palestin, atas dasar kemanusiaan, kebebasan dan persaudaraan sesama Islam.



PENULIS ialah Yang Dipertua Yayasan
Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

Ahad, 5 Februari 2012

PAS AKAN JADI SILUNCAI?.... BIARKAN?


Biarkan si luncai terjun.....
Oleh Zainudin Maidin

Analogi?

APA yang sedang berlaku kepada Pas sekarang hampir menyerupai krisis yang menggugat pucuk pimpinan UMNO lebih 12 tahun lalu. Penerapan anasir-anasir Datuk Seri Anwar Ibrahim menggoncang Pas dan akan menghancurkannya jika kesedaran tidak mengatasi sentimen yang menutup akal dan mata terhadap kebenaran.

Bezanya cuma Anwar tidak sempat menukarkan nilai dan prinsip asal UMNO walaupun percaturan politiknya berjaya menyingkirkan semua halangan kepada kemaraannya, tetapi Pas telah berjaya dikuasainya sehingga menukarkan keperibadian, memesongkan akidah, menjadikan kepimpinan ulama hanya sebagai patung-patung dan Pas menjadi ultra liberal.

Halangan besar kepada Anwarisme iaitu Nasharuddin Mat Isa dan Hasan Ali manakala Azizan menunggu giliran. Kepimpinan ulama umpama melukut di tepi gantang walaupun sesekali cuba tunjukkan Al ulama Warisatul Ambia (ulama mewarisi kenabian).

Tun Dr. Mahathir Mohamad membawa masuk Anwar ke dalam UMNO pada 1982 dengan harapan akan menggelapkan masa depan Pas tetapi 18 tahun kemudian tangannya sendiri digigitnya.

Dr. Mahathir hampir keseorangan dalam saat kecemasan menghadapi cabaran genting terhadap kepimpinannya. Yang tinggal hanya mereka yang bersiap sedia untuk mengikut arus.

Semua ini berlaku menerusi taktik terancang, penguasaan institusi strategik, mengambil kuasa ke atas media arus perdana, elektronik dan cetak, memperkecilkan projek-projek mega Perdana Menteri, membangkitkan amalan kronisme, memperkenalkan Islam Madani untuk menyaingi gagasan Penerapan Nilai-Nilai Islam, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dinafikan sebagai inisiatif Dr. Mahathir, persengketaan dengan Singapura didakyah sebagai berpunca daripada Dr. Mahathir dan pelbagai lagi tikaman dari dalam untuk menghilangkan keyakinan terhadap kepimpinannya.

Dr. Mahathir hanya tersedar pada saat terakhir, dalam keadaan lemas dan cemas, tetapi kekuatan minda dan jiwa luar biasa yang ada padanya dengan bantuan segelintir kawan-kawan yang masih setia telah membolehkan beliau timbul semula dan berenang mengharungi badai serta mengalahkan pencabarnya.

Apabila Datuk Kamaruddin Jaafar bekas Setiausaha Agung ABIM dan Setiausaha Politik Anwar menyertai Pas dan dengan pantas mendapat tempat sebagai Setiausaha Agung Pas, maka kelihatan jelas strategi penyusupan yang cukup licin untuk mengAnwarismekan Pas.

Tetapi barangkali Pas terhidu bahaya maka langkah seperti menarik benang dalam tepung 
diambil. Kamaruddin telah digantikan dengan Datuk Mustafa Ali, seorang nasionalis yang merupakan survivor handal dalam Pas.

Mustafa telah selamat mengharungi ombak politik apabila pimpinan nasionalis cauvinis Pas digulingkan oleh kepimpinan ulama dogmatis dan seterusnya dalam keadaan Pas berada di lembah ultra liberal.

Menguasai

Grand design Anwar dari awal penyertaannya untuk menguasai UMNO dimudahkan oleh kepimpinan Dr. Mahathir yang memberikan kepercayaan penuh kepadanya tetapi akhbar Utusan Malaysia tidak turut terperangkap dalam strategi medianya yang diinisiatifkan oleh orang kuatnya daripada Berita Harian. Namun keadaan berubah setelah berlaku perubahan pucuk kepimpinan Jabatan Pengarang Utusan Melayu.

Kelemahan Dr. Mahathir di sebalik semua keulungan, kepintaran, kebijaksanaan, kecekapan dan keberaniannya yang mengagumkan rakyat Malaysia dan juga masyarakat dunia ialah beliau boleh terpengaruh dengan orang yang karismatik, petah bercakap dan pandai berdrama dengan idea-idea besar.

Kebanyakan wartawan dapat mencium lebih dahulu perasaan tidak sabar Anwar untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Dr. Mahathir.

Dengan berasaskan kepada semua maklumat yang sahih, suatu hari saya memberitahu Dr. Mahathir tentang ancaman yang sedang di dihadapinya di belakang tabir tetapi beliau bertanya kepada saya, “Zam, yang baik tentang Anwar tak adakah, semuanya hanya buruk belaka”.

Dalam program Hal Ehwal Semasa terbitan RTM pada April 1993, Rosnah Majid daripada 
Utusan Malaysia mendedahkan strategi Anwar yang ketika itu baru menjadi Menteri Kewangan untuk mencabar Tun Ghafar Baba sebagai Timbalan Presiden UMNO.

Program itu disertai juga oleh Rijal Arbee daripada Berita Harian sebagai panel dengan Dr. Kamal Salih daripada Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) sebagai moderator.

Rosnah telah bertanya; Apakah benar saudara Anwar akan mencabar Ghafar untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO? Anwar mengalih pertanyaan itu dengan jawapan, “Apa gunanya dibangkitkan pekara ini sekarang sedangkan pemilihan pucuk pimpinan akan berlaku hanya pada November.”

Tetapi apabila Rosnah mengemukakan bukti bahawa beliau telah mengatur strategi yang cukup rapi dengan meletakkan orang-orangnya dalam semua media termasuk Utusan Malaysia, TV3 dan Berita Harian untuk mempromosinya, Anwar kemudian naik berang dan terus menuduh pertanyaan Rosnah itu mewakili orang yang benci dan iri hati dengannya.

Taktik inilah juga yang digunakannya sehingga sekarang apabila ada pertanyaan wartawan yang mencabar kredibiliti atau mendedahkan pembohongannya. Sudah lumrah mereka mendengar jawapan balas dengan pertanyaan daripadanya, “Oh, awak dari mana? Daripada UMNO, alat Barisan Nasional,” dan sebagainya.

Banyak peristiwa yang menimbulkan keraguan tentang penghayatan Anwar dengan nilai dan aspirasi UMNO.

Pertamanya, tidak lama selepas beliau menjadi Menteri Pelajaran, Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) membantah Konsert Anak Desa Bersama Sudirman yang dijadualkan berlangsung pada 5 Januari 1985.

Siapa yang mendalangi gerakan ini mudah diketahui kerana akhbar kumpulan New Straits Times Press yang menjadi promoter agenda-agenda Anwar menjuarai bantahan manakala kumpulan Utusan Melayu pula menyokong konsert itu.

Kekecohan isu ini menarik perhatian Dr. Mahathir yang memanggil Ketua Pengarang Berita Harian dan Utusan Melayu ke kediamannya pada suatu malam yang turut dihadiri oleh beberapa orang anggota Majlis Kerja Tertinggi UMNO termasuk Musa Hitam, Abdullah Badawi dan Anwar sendiri bagi membincangkan perkara itu.

Tentangan

Dr. Mahathir yang hairan kenapa mesti ada tentangan terhadap Sudirman, telah mengarahkan supaya konsert itu diteruskan. Tetapi beliau tidak menyedari siapakah yang berada di belakang bantahan itu dengan tujuan menunjukkan semangat ABIM masih membara sekalipun telah menyertai kerajaan.

Demikian juga dalam isu penentangan terhadap pertubuhan ajaran sesat Al-Arqam. Walaupun Perdana Menteri menyokong kuat perjuangan Utusan Malaysia untuk mengharamkan Al-Arqam tetapi akhbar Berita Harian menyokong gerakan itu dengan pelbagai publisiti dan menganjurkan majlis baca puisi Al-Arqam di PWTC. Anwar menjemput pemimpin Al-Arqam dan ahlinya berbuka puasa di kediaman beliau di Damansara bersama-sama dengan para wartawan dan pengarang kanan akhbar.

Apabila saya memberitahu Dr. Mahathir bahawa Utusan Malaysia tidak akan menghentikan penentangan terhadap Al-Arqam kerana berseorangan dalam hal ini, Dr. Mahathir meminta ia diteruskan kerana beliau tetap menyokong tetapi tidak menyedari siapa yang sedang menikam dari belakang.

Apabila Anwar menguasai Utusan Malaysia sepenuhnya, rombongan Al-Arqam telah melawat Ibu Pejabat Utusan Melayu dan diberikan sambutan. Namun akhirnya Al-Arqam telah diharamkan.

Harus diingatkan banyak peristiwa ‘gunting dalam lipatan’ hanya terdedah bila Dr. Mahathir menyedari kesilapannya tetapi beliau terpaksa membayar harga politik yang sangat mahal untuk menyingkirkan seorang yang amat dipercayai dan disayanginya pada saat-saat kedaulatan negara hampir tergadai kepada kuasa asing dan maruah bangsa yang dibinanya sejak lebih 20 tahun hampir terpadam.

Saya pernah memberitahu Dr. Mahathir secara terbuka dalam tulisan dan juga dalam ucapan semasa menjadi Menteri Penerangan dan sebelumnya, yang disiarkan oleh media cetak bahawa kesilapan besar beliau adalah membawa masuk Anwar ke dalam UMNO, tetapi beliau menjawab, “Mana saya tahu dia akan berbuat demikian”.

Sebenarnya tidak semua orang Pas yang percaya dan senang dengan Anwar, baik yang telah tersingkir atau yang masih berada di tampuk kuasa parti atau kerajaan.

Setelah saya kalah dalam Pilihan Raya 2008, saya telah menjemput Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak untuk melancarkan buku Ulama Terbilang Negeri Kedah, Allahyarham Haji Abdul Rahman Merbok, yang diterbitkan oleh JASA semasa saya menjadi Menteri Penerangan.

Azizan menyetujuinya kerana saya rakan semaktab dengannya dan Haji Abdul Rahman ialah guru bapanya.

Tetapi suatu yang tidak dapat saya lupakan hingga hari ini ialah bisikan Azizan kepada saya di majlis itu yang diadakan di surau pekan Merbok, “Buat apa RTM buat siaran langsung debat dengan Anwar di Dewan Bahasa? Saya menjawab, “Saya bukan lagi Menteri Penerangan”.

Penerapan anasir-anasir Anwar ke dalam Pas telah memesongkan parti itu daripada jati dirinya serta kemurnian prinsip agung perjuangan Islamnya. Walaupun Anwar hanya menarik tali dari luar dan tidak berada di dalam Pas seperti dia berada dalam UMNO tetapi kesannya kepada Pas lebih buruk lagi.

Pas telah menjadi begitu toleran terhadap segala kemaksiatan yang menjadi bahan cacian dan kutukan terhadap UMNO sebelumnya, daripada penjualan arak, persundalan, murtad, seks songsang dan terakhir, penerimaan kepada kepimpinan yang mahukan pengiktirafan terhadap keselamatan Israel.

Sudah terlalu lewat untuk Pas kembali ke pangkal jalan. Pas tidak mempunyai seorang manusia luar biasa yang berkaliber besar seperti Dr. Mahathir dalam UMNO yang berupaya mengumpul serta memulih kekuatannya dengan pantas, tegas dan nekad untuk timbul semula bagi menentang dan memusnahkan musuh dalaman.

Tidak ada siapapun dalam Pas yang akan dapat menandingi kekuatan Anwar. Para ulama pun telah menjadi umpama patung-patung.

Apa yang dapat diucapkan kepada Pas dalam saat-saat kesedihan menyaksikan penyerahan dirinya kepada segala kemungkaran hanyalah “Biarkan si luncai terjun dengan labu-labunya".



Jumaat, 3 Februari 2012

PAS : SEMAK DULU JANJI SEBELUM PRU13





Wajib Baca: BONGKAR!! Janji KOSONG Pakatan HAPRAK PRU 12!!! 





Pada PRU 12 yang lepas, Pakatan Rakyat berjaya menawan 5 negeri tetapi dalam masa yang sama Pakatan Rakyat masih belum menunaikan janji-janji mereka kepada rakyat. Itu pun masih nak tabur bermacam-macam janji palsu kepada rakyat untuk PRU 13 nanti.

Antara janji-janji PRU 12 di bawah ini:

Urustadbir Berwibawa
  • Memastikan semua pemimpin bersih dari rasuah (dalam proses)
  • Menyiasat penyelewengan pentadibiran tanah dan sumber negeri (dalam proses )
  • Menghentikan projek-projek pembaziran dan rugi (menghentikan ditukar kepada menyambung)
  • Memastikan ketelusan pentadbiran negeri (dalam proses - agaknya )
  • Menghentikan campur tangan politik dalam perniagaan (menghentikan ditukar kepada menyambung)
  • Melarang ahli-ahli Exco terlibat dalam perniagaan (dalam proses)

Sosial dan Kebajikan Rakyat
  • Membuka tabung permulaan RM100 bagi setiap anak kelahiran Selangor (belum laksana)
  • Memberi bantuan RM75 sebulan bagi setiap anak yg dihantar ke nurseri (belum laksana)
  • Memberi bantuan RM50 sebulan seorang bagi pendidikan pra-sekolah (belum laksana)
  • Membri hadiah RM1000 kepada setiap anak Selangor yg mendapat tawaran ke Universiti (belum laksana)
  • Memberi bantuan dan biasiswa pelajaran untuk anak Selangor (diteruskan)
  • Memberi bantuan kepada anak-anak muda untuk mendirikan rumah tangga (belum laksana)
  • Membuka pusat-pusat sukan mini dan rekreasi bagi belia (belum laksana- buat ladang babi dulu)
  • Mencarum takaful bernilai RM2500 untuk warga emas, orang kurang upaya dan anak yatim (belum laksana)
  • Memberi elaun ibu tunggal yang layak (belum laksana)
  • Memberi elaun khas suri rumah yang memilih untuk menjaga (belum laksana) sepenuh masa anak-anak kecil mereka (belum laksana)
  • Membantu setiap rakyat Selangor untuk mendapatkan kediaman sendiri ( belum laksana- buat ladang babi dulu)
  • Mewujudkan institusi menyelaraskan hal-ehwal agama selain Islam (belum laksana)

Kesihatan Rakyat
  • Memberi wanita bekerja 90 hari cuti bersalin ( belum laksana)
  • Memberi 14 hari cuti kepada suami yg isterinya bersalin (belum laksana)
  • Memberi sebulan cuti kepada wanita yg kematian suami (belum laksana)
  • Menyediakan perubatan percuma untuk warga 65 tahun ke atas (belum laksana )

Ekonomi Rakyat
  • Menyediakan premis perniagaan yg cukup ( belum laksana RM100juta untuk ladang babi dulu )
  • Memberi bimbingan perniagaan kepada golongan belia dan wanita muda (belum laksana)
  • Memberi galakan kepada belia dan wanita muda dengan sewa minimum atau hanya perlu membayar air dan elektrik untuk dua tahun pertama (belum laksana)
  • Mengurangkan cukai pintu rumah kediaman sebanyak 20% dan cukai premis komersial sebanyak 10% ( belum laksana)
  • Memberi bekalan air kegunaan domestik secara percuma bg 20 meter padu pertama setiap bulan (dilaksana bulan jun)
  • Menjalankan program bagi membolehkan rakyat miskin terutama petani dan nelayan mendapatkan pendapatan yg lebih tinggi di atas garis kemiskinan (belum laksana)
Keselamatan Rakyat
  • Menguatkusakan syarat-syarat perlindungan alam sekitar bg mengelakkan bencana seperti tanah runtuh dan banjir (belum laksana)
  • Menggantikan sistem Rukun Tetangga dengan sistem baru yang lebih berkesan (belum laksana )
  • Mewujudkan pusat khidmat sehenti bagi menangani kes-kes jenayah dan keganasan terhadap wanita ( belum laksana - mula dengan projek Rm100 juta kandang babi dulu)

GR kata: Pembaca nilailah sendiri janji-janji Pakatan Rakyat PRU 12. Dan sekarang ni sibuk janji lagi untuk bagi macam-macam pada PRU 13 nanti. Semua janji KOSONG!!!! APXB!!!