Khamis, 23 Jun 2011

ISLAM AGAMA ALLAH SWT.




Bukti Pas tidak konsisten dalam perjuangkan Islam







KUALA LUMPUR 22 Jun - Kesanggupan Pas bekerjasama dengan individu yang dikecam kerana menyokong penubuhan Majlis Antara Agama (IFC) serta menganjurkan 'Forum Memeluk Islam' membuktikan betapa parti itu tidak konsisten dalam memperjuangkan Islam.

Merujuk kerjasama Pas dengan Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Datuk Ambiga Sreenevasan, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, ia jelas menunjukkan tindakan Pas kini hanya didorong keinginan mendapatkan kuasa.

Sehubungan itu, katanya, rakyat perlu membuka mata mengenai sikap tidak konsisten Pas itu yang dibimbangi membawa perpecahan di kalangan Melayu Islam.

"Pas mengamalkan konteks agama bermusim dan bertempat. Jika sesuai dengan ideologi politik, mereka akan ikut. Langsung tak konsisten dari segi amalan agama dan politik.

"Sedangkan al-Quran dan Islam itu konsisten dan digunakan dari zaman ke zaman. Bukan haram hari ini dan halal esok. Kita bimbang kecelaruan dilakukan Pas menyebabkan umat Melayu Islam berpecah-belah," katanya.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai cara meningkatkan pendapatan pekebun kecil di Ibu Pejabat Majlis Amanah Rakyat (Mara) di sini hari ini.

Sewaktu menjadi Presiden Majlis Peguam, Ambiga bertanggungjawab menerima memorandum menuntut pelaksanaan IFC. Beliau turut dikatakan menyokong Lina Joy berhubung kes murtad.

Tidak setakat itu, beberapa pemimpin dan ahli Pas termasuk Naib Presidennya, Salahuddin Ayub bersama ahli UMNO, PKR dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pernah berdemonstrasi di hadapan bangunan Majlis Peguam kerana membantah Forum Memeluk Islam.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga pernah membuat kenyataan membantah forum tersebut yang dianjurkan sewaktu Ambiga mengetuai pertubuhan tersebut.

Mengulas lanjut, Mohd. Shafie berkata, sikap tidak konsisten Pas itu bukan sesuatu yang baru malah, telah lama diamalkan demi kelangsungan parti itu.

"Ia menunjukkan apa yang diperkatakan Mursyidul Amnya pada 1999 bahawa beliau boleh menerima pertolongan sesiapa juga termasuk syaitan bagi membantu perjuangan Pas.

"Begitu juga baru-baru ini apabila Mohamad Sabu memegang jawatan timbalan presiden, beliau kata tidak mahu lagi menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim. Hakikatnya, individu itulah yang dia berikan pelbagai gelaran sebelum ini," ujarnya.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Hamzah Zainuddin menyifatkan kerjasama 
Pas dan Ambiga membuktikan bahawa perkataan 'Islam' hanya menjadi slogan kepada perjuangan mereka.

"Mereka hanya mahukan kuasa bagi memerintah negara dan sanggup bergabung dengan sesiapa saja bagi mencapainya. Sebagai contoh, kalau benar mahu perjuangkan Islam, kenapa mesti membiarkan pilihan raya masjid berlaku di Pulau Pinang?.

"Kalau betul pilihan raya tidak bersih, kenapa sanggup terima mandat memerintah di Kelantan, Pulau Pinang, Selangor dan Kedah? Tolak mandat itu dan bawa ke mahkamah. Itu lebih baik daripada bawa ke jalanan," katanya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan