Jumaat, 11 Mac 2011

PAS KALAH DUNIA AKHIRAT???




PAS Sudah Kalah – Dr. Faisal Tehrani
Thursday, March 10th, 2011 | Posted by AIDC



AIDCNews – 10/03/11 – “Kalau berdasarkan bahasa politik, PAS sudah kalah. PAS sungguh-sungguh sudah kalah. Dalam realiti sekarang ini, PAS sungguh-sungguh sudah kalah”, kata Dr Faisal Tehrani, Pensyarah Fakulti Penulisan, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Dr Faisal Tehrani atau nama sebenarnya Faisal Musa berkecimpung dalam PAS sejak dari zaman pelajarnya, di Kolej Islam Kelang, Akademi Islam Nilam Puri Kelantan dan Pengajian Islam Universiti Malaya itu merumuskan PAS kini kehilangan jati diri sejak menggabungkan diri dengan Pakatan Rakyat (PR).

“PAS banyak kehilangan benda. Kalah dari segi identiti, kalah dari segi jati diri, kalah dari segi kerusi, maknanya ada kerusi kena bagi kat orang, kalah terpedaya, jadi baboo dan sebagainya. Sedihlah tengok.

“Saya datang dari keluarga PAS. Satu masa dulu, Ustaz Fadhil Nor (arwah) pernah makan di rumah saya. Saya pernah tengok dia. Jadi lainlah sekarang ini, kerana kita banyak tolak-ansur”, katanya.

Jejaka berusia 37 tahun ini yang kini sudah hampir 21 tahun mengabdikan diri dalam bidang penulisan pernah menulis di blognya, tehranifaisal.blogspot.com, satu artikel kontroversi bertajuk “Bahasa Politik: PAS Sudah Kalah”.

Jika dibandingkan dengan sekarang, kritikan yang ditulis oleh ‘Tokoh Penulis Muda Negeri Melaka 2009′ itu menimbulkan polemik yang panjang kira-kira tiga tahun lalu, malah turut dikritik oleh kumpulan tertentu dalam PAS yang ketika itu begitu ghairah dengan kemenangan besar selepas Pilihanraya Umum ke-12.

“Di situ timbul kekecewaan saya. Sebab saya tengok, banyak di peringkat awal lagi PAS telah mengadaikan banyak benda..prinsip, doktrin utama dia, pandangan-pandangan asal mereka.

“Dan saya rasa, benda ni sangat menyesakkan kepala saya. Jadi saya tulis. Saya memberi ingatan. Dengan harapan, ramai orang baca dan menangkap. Dan saya sengaja biarkan entri (artikel ‘Bahasa Politik PAS Sudah Kalah’) itu duduk paling atas dan paling lama (dalam blog).

“Lepas tu saya pergi umrah. Biaq pi la korang, bacalah. Saya pergi umrah dua minggu. Jadi, orang pun ingatkan saya kena tangkaplah dan sebagainya. Siapa nak tangkap kan?” katanya lagi.

Dr Faisal yang mendapat Ijazah Sarjana Sastera dari Universiti Sains Malaysia (2000) dan Doktor Falsafah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (2010) berpendapat di kalangan aktivis PAS sendiri menyedari perubahan hala tuju parti itu.

“Saya percaya, ada pihak yang telah menyedari benda ini, tapi mungkin dah tertarik, tersedut dalam pasir jerlus, nak keluar pun susah bukan senang, susah sedaya-upaya.

“Mungkin yang sedar, dia berpolitik. Mungkin juga ada juga yang bersangka baik.

“Waktu pilihanraya Hulu Selangor baru ini, saya tak berpuashati dengan seorang calon. Saya mesej (SMS) seorang kawan, orang kanan pemimpin parti politik berteras keagamaan.

“Dia pun balas kepada saya, Tak pe la, dia (calon Hulu Selangor) dah bertaubat, tapi yang seorang lagi tu tak taubat tu. Yang tu kita nak kena tubikan dia.

“Yang tak taubat tu, mungkin saudara tahu siapa orangnya, “orang itu”.

“Maknanya, mereka sedar bahawa ada benda yang perlu diawasi. Tapi, tetap ikut arus sebab kepentingan politik. Ini yang saya tak faham. Ini yang saya cuba lawan”, katanya.


Ada Dalang…”Orang Itu”

Penerima Anugerah Seni Negara 2006 yang telah menghasilkan lebih 100 koleksi cerpen, 20 novel kreatif, dan koleksi himpunan puisi itu sering menggunakan bahasa puitis ‘Orang Itu’ sebagai dalang yang mengkucarkacirkan politik negara.

“Saya cuma mahu supaya orang menyedari bahawa ada ‘dalang’ di sebalik itu. Ada ‘dalang’ di sebalik itu. Kita kena tangkap ‘dalang’ (itu).

“Zaman ini, zaman penuh kepalsuan. Saya ingat, ramai orang tahu ‘dalangnya’ siapa. Tapi, saya berasa aneh, kenapa orang buat tak reti. Dia nak tunggu sampai bila ?

“Dia nak tunggu sampai jadi macam mana. Saya rasa dah teruk dah ni. Makin lama, makin lama makin teruk. Dan sebenarnya, orang Malaysia dah mengalami ‘kelelahan politik’.

Ketika menceritakan lebih lanjut mengenai siapakah ‘Orang Itu’, beliau menggambarkan seperti berikut.

“Dia boleh bermain macam-macam. Dia boleh pegang banyak watak. Satu dalang kan boleh pegang banyak watak. Maka, di situlah orang terpedaya.

“Kalau ‘orang ni’ di sini dia boleh cakap pasal Shakespeare, di sana dia boleh cakap pasal Hamka, di sana dia boleh cakap pasal benda lain, kena hati-hatilah.

“Ini zaman teknologi, zaman internet. Dok cakap kat Oslo ke, dok bercakap kat Mesir ke, dok bercakap kat Moscow ke, Washington ke, kita boleh baca, kita boleh tahu.

“Bandingkanlah ucapannya di sini. Cakap tak serupa bikin ke, serupa bikin ke. Kenapa kita nak terpengaruh dengan politik longkang macam ni?”.


Ada Gelombang Marabahaya

Secara peribadi, Dr Faisal mengakui beliau tidak mempunyai apa-apa masalah peribadi dengan ‘Orang Itu’, malah ‘Orang Itu’ pernah menawarkannya satu jawatan yang sesuai dengan bidangnya, namun terpaksa ditolaknya.

Menurutnya lagi, beliau terpaksa berperanan untuk membendung agenda ‘Orang Itu’ yang amat bahaya kepada masyarakat dan ummah.

“Memang saya tidak ada apa-apa masalah secara peribadi dengan “orang itu.” Tapi, saya fikir, apa kesan yang beliau lakukan akan menggoncang, mengacau dan menyusahkan kita di masa hadapan.

“Dan saya tak rela perkara itu berlaku. Dan benda ni akan merosakkan masyarakat, ummah dan sebagainya. Maka, di situ saya rasa saya perlu berperanan.

“Jadi, saya nak berpesan dari awal bahawa ada marabahaya, ada gelombang marabahaya yang sedang dibawa. Dan perlu berhati-hati, dan perlu perhatikan.

“Saya ingin ingatkan kepada semua kawan-kawan, musuh juga, bahawa tiba masa untuk kita berfikir. Adalah aneh, kita ni cakap apa pun, kita dah datangkan bukti pun, tak mahu dengar”, katanya.



1 ulasan:

  1. Salam Perjuangan,

    Blog ini sudah saya link.
    Teruskan perjuangan.

    http://penditakainsingkat.blogspot.com

    BalasPadam