Jumaat, 20 Julai 2012 12:26
DR MASHITAH IBRAHIM
Beberapa artis dan bekas pegawai kanan
kerajaan yang masuk Pas bukan sahaja mendapat liputan meluas dalam Harakah dan
blog, malah diarak dan dijaja ke sana ke mari untuk berceramah. Ada yang jadi
ustaz segera. Mereka diraikan sebagai orang yang ingin mencari kebenaran agama.
Di negara ini, sesiapa mahu masuk parti apa
pun tidak jadi hal kerana ini negara demokrasi. Sebagaimana warganegara lain,
artis juga mempunyai hak.
Dalam kalangan artis, lebih ramai yang
masuk Umno seperti Afdlin Shauki, Amy Search, Awie, Mus May, Harun Salim
Bachik, Ibnor Riza, Zed Zaidi dan Erma Fatima. Antara penyokong kuat Umno ialah
Datuk Siti Nurhaliza. Manakala Datuk Jins Shamsuddin bukan sahaja ahli Umno
yang setia tetapi juga pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Negara.
Bekas Menteri Penerangan Tan Sri Abdul
Kadir Syeikh Fadzir dan bekas Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Fauzi Abdul
Rahman adalah antara pemimpin yang bertindak keluar Umno. Ini juga tidak
memberi sebarang impak dalam hati rakyat.
Saya teringat kes seorang bekas Menteri
Kabinet pada zaman Tunku Abdul Rahman yang menjadi renggang hubungan keduanya
kerana beberapa kali bertindak di luar pengetahuan Kabinet. Selepas tidak lagi
berada dalam kerajaan, beliau mula memburuk-burukkan parti dan kerajaan
termasuk mendakwa Perikatan sebagai patung imperialis.
Nasihat Tunku kepada ahli Umno ketika itu: “Kita semua mesti berjaga-jaga dan
mengawasi orang seperti ini kerana dalam tiap-tiap satu zaman, dalam tiap-tiap
satu pemerintahan itu, sentiasalah terdapat pengkhianat seperti ini.” (25
Ogos 1963).
Pengalaman dan nasihat Tunku masih relevan
sampai ke hari ini. Namun, dalam sejarah Umno, belum ada tokoh kanan yang masuk
Pas. Tapi kalangan pemimpin Pas, begitu ramai tokoh kanannya masuk Umno,
termasuk Ahli Dewan Ulama Datuk Ghazali Ahmad, Prof Datuk Dr Mohd Noor Deris,
Setiausaha Agung Datuk Nakhaie Ahmad dan Presiden Pas sendiri, Allahyarham Tan
Sri Mohd Asri Muda.
Tan Sri Sanusi Junid pernah bercerita: Pada
suatu pagi Khamis 1962, Dewan Ulama Pas berbincang di rumah Menteri Besar
Kelantan sama ada kerjasama Umno dengan MCA dan MIC sah di sisi Islam. Antara
yang hadir termasuk Setiausahanya, Tok Guru Haji Mat Nor Teliar, penolongnya
Tok Guru Haji Mat Nor Selising dan Tok Guru Haji Umar Daud.
Asri bertanya kepada Mat Nor: “Boleh tak
Umno bekerjasama dengan kafir MCA dan MIC?” Mat Nor bertanya balik: “Apakah
kerjasama itu untuk keamanan?” Maka pemimpin Pas menjawab: “Umno nak jual
bangsa, nak jual agama, bukan kerana keamanan.” Dengan itu, Dewan Ulama Pas pun
berfatwa, ahli Umno kafir. Majlis Raja-Raja Melayu mengharamkan fatwa itu
tetapi kesan pengkafiran itu telah menular walaupun Umno dan Perikatan
memenangi Pilihan Raya Umum 1965.
Setelah Peristiwa 13 Mei, Presiden Umno,
Tun Abdul Razak menjemput Asri berunding mengenai keanggotaan Pas dalam Barisan
Nasional (BN). Asri sekali lagi berjumpa ketiga-tiga tok guru itu tapi gagal
memujuk mereka dan Dewan Ulama supaya menerima Pas masuk BN. Sebaliknya,
ketiga-tiga tok guru minta jumpa sendiri dengan Tun Razak. Ketika Asri duduk di
luar Seri Perdana, seorang tok guru itu bertanya: “Tun, bekerjasama dengan
kafir MCA dan MIC ni buat gapo?” Tun Razak menjawab: “Kalau tak bekerjasama
dengan MCA dan MIC, kita akan huru-hara dalam negara ini.” Tok Guru menyampuk:
“Oh, jadi kerjasama ni untuk keamanan. Adakah dengan kerjasama dengan Cina dan
India, orang Islam akan rugi?” Jawab Tun Razak: “Orang Melayu Islam lebih
untung kerana yang membayar cukai bukan Melayu. Kita buat jalan luar bandar,
kita buat rancangan Felda, kita buat masjid dan pelbagai lagi dengan
menggunakan hasil cukai orang bukan Islam.”
Justeru, mereka beritahu Tun Razak: “Tun,
kami akan bawa balik ke Kelantan dan kami akan beri fatwa bahawa Pas boleh
masuk BN. Kami bertiga akan keluar Pas setelah Pas masuk BN.” Tun Razak
mengeluh: “Tak sempurnalah Pas masuk Barisan kalau tok guru semua keluar Pas.”
Jawab mereka: “Kami keluar Pas sebab nak masuk Umno.”
Moralnya: Walau terpelajar setinggi mana pun seseorang itu dalam bidang agama,
namun ada yang dia tidak tahu. Maka, fatwa pengkafiran dibuat pada 1962. Tiga
ulama telah mengkafirkan Umno kerana diberi maklumat tidak betul. Tapi
akhirnya, dengan kehendak ALLAH, mereka semuanya masuk Umno.
Umar menjadi guru agama Kemas manakala Mat
Nor Teliar dan Mat Nor Selising pernah jadi penasihat Umno. Sebelum masuk ke
satu-satu parti, ambillah pedoman daripada kisah ini, selain pengalaman Naib
Presiden Pas, Datuk Dr Hassan Ali, bekas Ketua Penerangan Pas Selangor, Ustaz
Hassan Basri dan Sasterawan Negara, Datuk Shahnon Ahmad. Ingatlah, Pas hanya
sebuah parti politik, bukan jalan mudah untuk masuk syurga.
-20/7/2012
-Sinar Harian *gambarhiasan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan