Bersatu tegakkan
hukum Allah
Prof Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Ketua Jabatan
Jabatan Kenegaraan dan Ketamadunan
Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
Jabatan Kenegaraan dan Ketamadunan
Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
UMAT Islam perlu berlapang dada menerima hukum Allah dan
melaksanakan suruhan-Nya.
Terbaharu, Ketua Pemuda
Pas mengeluarkan kenyataan, Pas tetap mahukan hukum hudud dilaksanakan. Orang
Islam yang menolaknya boleh menjadi kafir. Tidak semena-mena pengerusi parti
ultra kiasu mengulangi pendirian tegas mereka, sebarang cubaan Pas sekarang
untuk memperkenalkan hudud atau mengisytiharkan negara ini sebagai negara
Islam, akan ditentang kerana bercanggah dengan apa yang diputuskan di Muktamar
Pas Ke-57 tahun lepas, dalam usaha menawan Putrajaya.
Pas sebelum ini pernah
menyebut bahawa perkataan negara Islam tidak ada dalam al-Quran, melainkan
negara kebajikan. Hudud tidak termasuk dalam kerangka dasar bersama pakatan
pembangkang, Buku Jingga. "Tidak ada siapa, tidak ada parti, tidak juga
organisasi yang boleh mendakwa mempunyai monopoli terhadap Tuhan", ujar
ultra kiasu.
Kenyataan ultra kiasu
ini benar-benar mencabar maruah Islam. Sudah terang lagi bersuluh, ultra kiasu
langsung tidak menghormati tuntutan agama Islam dalam sebuah negara
'bertuankan' ketuanan Islam (Melayu).
Sikap anti Islam ultra
kiasu telah wujud sejak dahulu lagi. Sudah berkali-kali ultra kiasu atau kafir
harbi menolak konsep negara Islam dan undang-undang Islam. Namun, kita terus
bersangka baik atas kepentingan politik. Pas mendakwa mereka perlu berkawan dan
bersekongkol dengan ultra kiasu bagi tujuan dakwah dan menumbangkan UMNO. Pas
yakin suatu hari nanti ultra kiasu akan menerima hukum Islam. Pas menuduh UMNO
gagal untuk menyampaikan mesej Islam ini.
Jika begitulah hujahnya,
persahabatan Pas dengan ultra kiasu agak lama juga. Namun, semakin lama
berkawan dan berdakwah kepada ultra kiasu, semakin kuat ultra kiasu menentang
Islam. Mungkin alasan Pas selepas ini, mereka masih baharu berkawan dengan
ultra kiasu, hasilnya belum nampak, berbanding UMNO yang telah sekian lama
berkawan dengan komponen Barisan Nasional (BN) melebihi 50 tahun.
Lama atau baharu
bukanlah ukuran untuk mendakwahi seseorang. Tepuk dada tanya iman, adakah kita
ikhlas dalam memartabatkan Islam atau kita asyik berpolitik tidak pernah habis?
Almarhum Tunku Abdul Rahman tidaklah lama pemerintahannya, tetapi ada juga
tokoh-tokoh besar yang memeluk Islam. Jika Tunku ada keinginan melaksanakan
hudud, mungkin hukum ini sudah tertegak. Kenapa hari ini terlalu sukar untuk
kita mengikuti jejak Tunku? Jawapannya mudah. Kita tidak ikhlas, kita ada
agenda lain. Sebab itulah, ultra kiasu tidak pernah lembut terhadap Islam.
Pas begitu cepat melatah
dengan desakan ultra kiasu. Naib Presiden Pas terpaksa memberi respon dengan
berkata bahawa Pas sentiasa "bersetuju untuk tidak bersetuju" dengan
DAP berkenaan isu hudud. Perbezaan ini tidak dapat dielakkan. Namun, masih
terdapat persamaan seperti mahu membanteras rasuah, menuntut keadilan dan hak
asasi manusia. Apa yang penting bagi Pas dan DAP adalah kedua-duanya saling
memahami dengan proses demokrasi. Persoalan saya, ke manakah hendak dicampakkan
agenda hudud?
Lanjutan itu, Pengerusi
Biro Perpaduan Nasional Pas mengatakan isu hudud tidak perlu dibangkitkan
sekiranya pakatan pembangkang memerintah. Fokus pakatan pembangkang adalah pada
isu ekonomi, kebajikan, gaji minimum rakyat dan sebagainya. Maknanya, sekiranya
pakatan pembangkang memerintah, yang hanya akan wujud adalah negara kebajikan
sahaja. Persoalan saya lagi, tidakkah kita akan diazab oleh Allah nanti kerana
melupakan hudud? Kenapa tidak disahut cadangan ADUN Kemelah (UMNO), Ayub
Rahmat?
Semua sedia maklum, ADUN
UMNO ini pernah membangkitkan cadangan menjadikan Johor sebagai negeri pertama
melaksanakan hukuman berkenaan. Cadangan ini dikemukakan pada 20 Jun lalu dalam
mesyuarat pertama penggal Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor
ke-12 dan Sidang DUN pada Disember tahun lalu.
Kata Ayub, "Kanun
Jenayah Syariah dilaksanakan Pas seperti Kanun Jenayah Syariah II (1993) (Hudud
Kelantan) tidak menggambarkan kehendak Islam (hudud) yang menyeluruh dan
melibatkan semua kaum. "Jadi, saya mencadangkan hukum hudud sebenar yang
meliputi semua kaum di negara ini dapat diterajui Johor. Kefahaman yang betul
adalah kunci utama hudud diterima semua kaum merentasi kefahaman agama ketika
zaman pemerintahan Nabi Muhammad SAW".
Kenyataan Ayub ini harus
dipuji kerana tidak ramai orang UMNO yang berani bersuara isu ini. Pada saya,
jika kita boleh menerima hukum buatan manusia seperti demokrasi dan komunis,
kenapa kita harus bersangka buruk atau menolak hukum Allah? Bukankah kita
makhluk Allah?
Selepas kenyataan ini
dikeluarkan, pemimpin-pemimpin UMNO dan Perkasa turut memberikan respon yang
positif, kerana memikirkan kepentingan dan kebaikannya umat Islam di Malaysia.
Sekretariat Ulama Muda UMNO turut menyokong, dengan cadangan untuk
"menghimpunkan pakar-pakar terlebih dahulu bagi memberikan pandangan
supaya hukum ini benar-benar dapat dilaksanakan."
Seorang Timbalan Menteri
di Jabatan Perdana Menteri turut bersetuju dengan syarat persediaan perlu
dibuat seperti kemudahan mahkamah, hakim dan pegawai pendakwa bagi melaksanakan
hudud.
Melalui semua kenyataan,
saya dapat katakan sebahagian besar umat Islam di Malaysia mahukan hudud, tidak
kira UMNO atau Pas. Jika berlaku penolakan oleh ultra kiasu, adalah perkara
biasa kerana mereka adalah kafir harbi.
Begitulah cerdiknya
ultra kiasu berpolitik. Kita sahaja yang terpedaya. Persoalan saya, kenapa kita
perlu tunduk kepada telunjuk mereka? Adakah hidup mati kita sebagai umat Islam
ditentukan oleh mereka ini? Adakah umat Islam langsung tidak ada hak untuk
menentukan cara hidup sendiri?
Saya berpendirian, isu
besar ini boleh diselesaikan jika Pas berlembut dengan UMNO, begitulah
sebaliknya. Malangnya, semakin UMNO mula cenderung kepada hudud, Pas pula
semakin tidak mempercayai UMNO. Pas sanggup menggadaikan prinsipnya
bersekongkol dengan ultra kiasu semata-mata untuk menguasai Putrajaya.
Sedangkan kita semua tahu, ditakdirkan pakatan pembangkang berjaya menawan
Putrajaya, hudud Pas hanya tinggal hudud. Pas tidak pernah dihargai dalam
pakatan pembangkang, walaupun kekuatan Pas jauh melebihi ultra kiasu dan PKR.
Ingatan saya kepada Pas,
janganlah terlalu ghairah dengan perlantikan Salleh Man sebagai Yang Dipertua
Majlis Agama Islam Pulau Pinang. Jawatan tersebut amatlah kecil nilainya di
mata ultra kiasu berbanding dengan jawatan Exco Kerajaan Negeri. Jawatan
tersebut bukanlah jawatan pembuat dasar. Segala peruntukan tertakluk kepada
keputusan kerajaan negeri yang dibolot oleh ultra kiasu.
Janganlah kita terlalu
bangga dengan peruntukan tambahan terhadap program atau aktiviti Islam, sekolah
agama dan sebagainya. Jika mereka tidak melakukan lebih daripada apa yang UMNO
lakukan, sudah tentu kerajaan ultra kiasu ini tidak dapat bertahan lama.
Lakonan ini amat jelas.
Janganlah kita mudah kelabu mata. Saya tidak pula kata apa yang UMNO buat
selama ini betul belaka. UMNO perlu membetulkan diri untuk mendapat kepercayaan
rakyat, terutama dalam perkara melibatkan hukum Islam, integriti dan umat
Islam. Apa yang penting hari ini adalah umat Islam secara keseluruhan mesti
diselamatkan daripada keruntuhan berpanjangan.
Dalam menyelesaikan kemelut
politik umat Islam, kita semua perlu berlapang dada. Langkah pertama yang boleh
dilakukan adalah, terimalah hukum Allah ini dengan lapang dada dan ada
keinginan untuk melaksanakannya.
Kedua, jika belum
bersedia, bentuklah terlebih dahulu sekumpulan pakar untuk mengkaji
undang-undang ini. Kita tidak perlu takutkan ultra kiasu. Undang-undang ini
bukan untuk mereka tetapi hanya untuk orang Islam. Perlembagaan Persekutuan
sudah baik untuk menjadi rujukan mereka. UMNO dan Pas tidak perlu hiraukan
sokongan mereka dalam pilihan raya. Jika UMNO dan Pas boleh berbincang, kecut
perutlah mereka.
Ketiga, berikan
pendidikan dan kefahaman mengenai hukum Islam. Umat Islam perlu disedarkan
bahawa kita berhak untuk menentukan cara hidup kita sendiri, bukan orang lain.
Saya tertarik dengan
pandangan, bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Wan
Mohamad Abdul Aziz, Malaysia mempunyai banyak kelebihan apabila Islam diangkat
sebagai agama rasmi negara, justeru tiada alasan untuk melengahkan lagi pelaksanaan
undang-undang Islam. Menurutnya, Islam sebagai agama Persekutuan merupakan
tunjang kekuatan umat Islam, Yang di-Pertuan Agong, Sultan dan Raja-Raja Melayu
ini adalah Ketua Agama Islam dan ini juga adalah lambang keutuhan umat Islam di
negara ini.
Pendek kata, semua ini
terletak di bahu kita sama ada mahu memulakan usaha ini, atau tunggu dan lihat.
Kita akan terus ketinggalan berbanding dengan negara yang sebelum ini
dimomokkan seperti negara sekular Turki dan Mesir yang telah mula menapak ke
hadapan.
Justeru, apa yang ditunggu lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan