Motif
sebenar 'tawaran' Pas
Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my
pengarang@utusan.com.my
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0703&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm
ADALAH sesuatu yang melucukan apabila Pas cuba
menyeret UMNO dalam isu pahala apabila mengundi sesuatu parti.
Ia jelas apabila Timbalan Pesuruhjaya III Pas
Kelantan, Datuk Mohd.Amar Nik Abdullah mencabar UMNO membuat kenyataan mengundi
parti itu atau Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan dikira sebagai
amal soleh dan mendapat pahala sama seperti yang dinyatakan Pas kepada
penyokongnya.
Sebagai orang kepercayaan kepada Mursyidul Am
Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan disebut-sebut sebagai Menteri Besar
Kelantan, Mohd.Amar mungkin ingin menunjukkan kewibawaan beliau membela
'bosnya' apabila menyatakan sesiapa yang menganggap kenyataan Nik Abdul Aziz
'Undi Pas dapat pahala' sebagai ajaran songsang adalah kerana UMNO kurang dalam
ilmu agama.
Baguslah, sebagai seorang bertaraf ulama,
Mohd.Amar begitu mudah menuduh pihak lain kurang agama semata-mata hanya
membuat kenyataan yang tidak menyebelahi Pas.
Tetapi tidak apalah itu hujah beliau, maklumlah
sebagai individu yang dilihat pemimpin masa depan Pas Kelantan, Mohd.Amar juga
ingin menampilkan diri sebagai seorang yang mampu berlawan hujah dengan UMNO.
Namun begitu satu perkara yang diperingatkan
ialah sejauh manakah Pas begitu yakin bahawa mengundi parti itu mendapat
pahala. Sebagai hamba Allah kita tidak berhak untuk begitu yakin bahawa sesuatu
kebaikan yang kita lakukan itu mendapat pahala, biarlah soal mendapat pahala
atau tidak itu urusan Allah. Kita hanya berdoa agar segala perbuataan baik kita
dicatatkan sebagai satu ibadat.
Tetapi Pas nampaknya awal-awal lagi sudah berani
menyatakan siapa yang mengundi parti itu mendapat pahala. Persoalannya, apakah
ia bermaksud orang yang tidak mengundi Pas tidak mendapat pahala? Bagaimana
pula kalau kita mengundi sebuah parti yang kita tahu tidak berupaya melakukan
apa-apa jika diberi tanggungjawab atau dalam kata mudahnya memberikan amanah
kepada orang yang tidak selayaknya.
Sejarah politik negara sudah membuktikan sejauh
manakah kemampuan Pas untuk melaksanakan pentadbiran apabila diberi amanah.
Contohnya di Kelantan, tidak apalah kalau Pas hendak mendakwa ramai yang
mendapat pahala kerana terus setia bersama parti itu tetapi persoalannya apakah
perkembangan Islam di negeri itu lebih baik berbanding apa yang dilakukan oleh
UMNO di peringkat pusat.
Tidak gugurkah pahala-pahala mereka yang
mengundi Pas di Kelantan apabila kesudahannya mereka dilihat memilih pihak yang
tidak berupaya mentadbir, bukankah Rasulullah SAW sudah mengingatkan kita agar
menyerahkan amanah kepada orang yang selayaknya.
Oleh itu tidak payahlah Pas hendak begitu bangga
dengan menguar-uarkan mengundi parti itu mendapat pahala hanya kerana
semata-mata parti tersebut masih bermimpi mereka memperjuangkan Islam.
Pemimpin-pemimpin Pas yang terus bercakap dosa
dan pahala ini mungkin masih dibuai mimpi indah bahawa mereka adalah gerakan
Islam tetapi hakikatnya mereka tidak ubah seperti 'pak turut' sahaja dalam
pakatan pembangkang yang turut dianggotai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan
DAP.
Pas sudah lama menguburkan impian menubuhkan
negara Islamnya dan kini menumpu pula kepada negara berkebajikan yang belum
tentu akan dapat diterima sepenuhnya oleh rakan-rakan sekutunya.
Berbanding dengan Pas, UMNO jauh lebih baik
dalam soal memperjuang dan memartabatkan Islam tetapi UMNO tidak pernah
menguar-uarkan kepada umat Islam kalau undi parti itu mendapat pahala.
Sebaliknya apa yang dilakukan oleh
pemimpin-pemimpin UMNO ialah terus melakukan tindakan bagi memartabatkan Islam
di negara ini dan menggesa umat Islam supaya sentiasa berusaha mencari
kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Tetapi sesetengah ulama-ulama Pas hebat kerana
berupaya menentukan bahawa kalau undi Pas dapat pahala.
Hakikatnya, dalam senario politik sekarang 'undi
Pas dapat pahala' adalah modal terakhir Pas untuk menarik perhatian orang
Melayu untuk mengundi parti itu. Bagi mereka yang taksub menyokong Pas, maka
mereka akan percaya semua hujah itu tetapi bagi mereka yang mahu berfikir
panjang 'tawaran' Pas itu hanyalah bermotif politik semata-mata.
Ia kerana ramai semakin memahami sejauh manakah
keupayaan Pas untuk menegakkan Islam di negara ini.
Pas bukannya tidak diberi peluang untuk
membuktikan kewibawaan mereka, rakyat sudah pun memberi peluang terutamanya di
Kelantan dan terbaru di Kedah. Tetapi lihatlah apa yang berlaku di
negeri-negeri berkenaan, apakah perkembangan Islam benar-benar berada di puncak
atau sekadar menjadi slogan dan retorik politik semata-mata. Justeru Pas
sepatutnya bermuhasabah dan tidak lagi mengula-gulakan isu pahala dalam meraih
sokongan politik. Adalah lebih baik jika Pas menumpukan perhatian untuk
memperkukuhkan parti itu sebagai gerakan Islam yang sebenarnya. Kajilah semula
asas perjuangan parti itu, apakah perjuangan Pas sekarang sama seperti mana ia
mula-mula ditubuhkan?
Dianggotai oleh ramai ulama, bercakap
berdegar-degar soal Islam dan bijak berhujah menggunakan ayat al-Quran dan
hadis bukanlah jaminan bahawa Islam akan mampu diperkembangkan oleh sesebuah
organisasi. Apa yang lebih penting ialah tindakan dan inilah yang dilakukan
oleh UMNO yang menjadi tunjang BN sejak dahulu lagi.
UMNO tidak pernah bercakap soal mengundi parti
itu mendapat pahala tetapi sebaliknya UMNO melalui kepimpinannya mengatur
pelbagai program dan tindakan bagi meningkatkan syiar Islam di negara ini.
Pas boleh sahaja menuduh pihak yang
mempertikaikan 'tawaran pahala' mereka sebagai kelompok yang kurang agama
tetapi agama Islam juga tidak suka kepada mereka berjanji tetapi tidak
mengotakannya dan sanggup mengubah prinsip semata-mata demi memburu kuasa
politik. Pas tidak boleh menafikan hakikat itu kerana inilah sikap Pas sejak
berkawan dengan PKR dan DAP apatah lagi Pas sendiri tidak boleh memberi jaminan
sejauh manakah perjuangan Islam mereka mampu ditegakkan apabila pakatan
pembangkang memerintah negara ini.
Justeru adalah lebih baik jika Pas berhenti
sahaja bercakap soal pahala ini kerana kita bimbang ia akhirnya hanya akan
menguntung pihak lain kerana hakikatnya mengundi Pas belum tentu mampu memartabatkan
Islam kerana Pas hanyalah 'pak turut' bukannya dominan dalam pakatan
pembangkang
Tiada ulasan:
Catat Ulasan