Sabtu, 5 Februari 2011

PAS : BUTA MATA , BUTA HATI & JUMUD FIKIRAN


Pas perlu bermuhasabah diri, bukan mencari alasan
Zulkiflee Bakar


SEMEMANGNYA, sikap pembangkang terhadap kekalahan mereka dalam mana-mana pilihan raya tidak pernah berubah. Tidak kiralah sama ada Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahupun DAP, masing-masing akan memberikan 1001 alasan seandainya mereka tewas. Mereka langsung tidak mahu bermuhasabah, mengkaji kelemahan yang memungkinkan rakyat menolak mereka dalam pilihan raya.
Justeru kita tidak perlu terkejut dengan kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang memberikan alasan kononnya kekalahan parti itu dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang pada 30 Januari lalu akibat sistem demokrasi yang berat sebelah. Malang sekali sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam, masih belum terdetik di hati para pemimpin Pas untuk mengkaji di manakah kelemahan mereka yang memungkinkan mereka tewas.
Apa yang mereka tahu ialah menuding jari menyalahkan pihak lain dan sasaran mereka sudah tentulah senarai pengundi, jentera kerajaan dan media. Malahan lebih menyedihkan mereka turut menggambarkan seolah-olah pengundi-pengundi tidak bijak apabila membuat keputusan mengundi Barisan Nasional (BN).
Ini jelas apabila mereka berhujah berhubung persekitaran kempen yang kononnya tidak bebas daripada sogokan dan ugutan. Pas masih lagi berfikiran seperti tahun 1980-an dan 1990-an iaitu sentiasa sahaja melihat orang lain menjadi faktor kekalahan mereka. Tetapi apa yang anehnya, apabila kemenangan memihak kepada mereka, tidak pula terdengar sebarang aduan atau bantahan, sebaliknya mereka memuji kebijaksanaan pengundi.
Ketika itulah, mereka akan mencanangkan kepada dunia kononnya BN semakin ditolak oleh rakyat. Sikap Pas yang tidak mahu berubah ini tidak akan menguntungkan parti itu. Pas bukanlah sebuah parti yang sempurna, mereka juga ada seribu satu kelemahan. Ia termasuklah tindakan mengeluarkan ‘fatwa’ yang bukan-bukan setiap kali pilihan raya sehingga memungkinkan pengundi Melayu merasa muak dan melihat Pas sanggup menggunakan agama demi kepentingan politik mereka.
Malahan penulis diberitahu bahawa pendekatan kempen Pas juga sudah ketinggalan zaman, ini termasuklah masih bergantung dengan ceramah-ceramah perdana bagi menyampaikan misi mereka. Lebih malang lagi bagi Pas apabila pemimpin mereka berada sepentas dengan pemimpin-pemimpin pembangkang yang dilihat tidak sehaluan dengan perjuangan Islam yang dibawa oleh Pas.
Semua ini akan menimbulkan perasaan keliru di kalangan pengundi yang akhirnya memungkinkan mereka membuat keputusan memilih BN. Tambahan pula pengundi melihat dalam setiap kempen pilihan raya, Pas hanya bijak berhujah dan membuat tuduhan tetapi tiada fakta yang kukuh.
Rakyat sekarang sudah bijak, mereka mempunyai seribu satu cara untuk mendapat maklumat. Oleh itu, pemimpin Pas boleh membuat apa saja dakwaan kepada kerajaan BN tetapi akhirnya kebenaran akan terserlah juga.
Mungkin kenyataan seperti ini tidak akan menyenangkan Pas tetapi inilah hakikat dan tafsiran yang wujud di kalangan pengundi.
Pas sepatutnya tidak terus dengan sikap yang dilihat merendah-rendahkan daya intelektual pengundi dalam membuat keputusan. Jika BN sentiasa bersedia menerima kekalahan di dalam pilihan raya seperti mana yang terjadi dalam tsunami politik 2008, kenapa susah sangat Pas hendak belajar menerima hakikat apabila tewas.
Adalah lebih baik jika Pas menumpukan perhatian melakukan ‘post mortem’ untuk mendapat jawapan apa yang mendorong kekalahan mereka. Tindakan itu lebih bijak kerana ia akan mengelakkan sesuatu kelemahan menjadi ‘barah’ yang terus melemahkan Pas.
Penulis percaya, ramai di dalam Pas sendiri sudah muak dengan alasan demi alasan yang diberikan oleh parti itu setiap kali kalah dalam pilihan raya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan