Isnin, 14 Februari 2011

DAP BELAJAR KELUAR 'FATWA' MACAM PAS?


Elok Pas, PKR terangkan hukum 'dosa pahala' kepada Guan Eng

KALAU sudah nama parti DAP, apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan akan dilihat sudut negatif. Jadi tidak menghairankan apabila kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng di dalam The Malaysia Insider mendakwa larangan remaja Islam menyambut Hari Valentine atau Hari Kekasih adalah mainan politik Barisan Nasional (BN) yang mahu menimbulkan kebencian antara kaum dan agama di negara ini.

Di mana logik tuduhan liar seorang pemimpin yang mahu meniru pentadbiran Khalifah Abdul Aziz ini.

Rakan-rakan Islam dalam Pas dan PKR elok nasihatkan Guan Eng mengenai soal akidah dan hukum dosa serta pahala umat Islam.

Tidak payah Guan Eng hendak membuat tuduhan melulu. Tidak wajar juga parti yang menentang penubuhan negara Islam hendak bercakap mengenai tindakan BN melabelkan sambutan Hari Kekasih itu sebagai 'tradisi berdosa.'

Tidak perlu Guan Eng hendak membela ajaran Kristian dan mendakwa kenyataan BN tentang tradisi berdosa itu sebagai satu tuduhan tidak bertanggungjawab dan biadap.

Memang kempen anti-Hari Kekasih yang dijalankan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) adalah satu kempen untuk menyelamatkan umat Islam daripada melakukan dosa seperti zina dan maksiat.

Dalam ajaran Islam, memang tidak dibenarkan lelaki dan perempuan yang bukan mahram duduk memadu kasih dan melakukan adegan tidak senonoh sebelum nikah. Jika dilakukan larangan itu maka pasangan yang mengingkarinya telah melakukan dosa.

Dalam agama lain, tiada hukum dosa dan pahala. Tetapi kita percaya dalam agama lain juga ada larangan terhadap perlakuan tidak bermoral itu.

Tetapi terpulang kepada pasangan bukan Islam untuk menyambut atau tidak Hari Kekasih itu. Islam tidak melarang mereka.

Jadi jika Guan Eng tidak berkenan dengan larangan ajaran Islam dan kempen Jakim, maka jelas beliau menunjukkan sikap yang tidak peduli terhadap usaha mengatasi masalah sosial terutama hubungan luar nikah dalam masyarakat negara ini.

Dalam soal memelihara moral terutama remaja Islam negara ini, BN tidak bermain politik atau melakukan taktik talam dua muka seperti DAP.

Elok Guan Eng bertanya dahulu kepada Pas dan PKR, setujukah mereka membiarkan umat Islam melakukan maksiat sempena menyambut ulang tahun kematian seorang paderi.

Oleh itu salahkah Ketua Pengarah Jakim Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd Aziz menasihatkan orang ramai khususnya yang beragama Islam supaya menjauhi sebarang acara atau majlis yang bertemakan sambutan Hari Kekasih bagi mengelakkan mereka terlibat dengan gejala maksiat?

Malah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 2005 memutuskan bahawa sambutan Hari Kekasih adalah haram bagi seluruh umat Islam.

Jelas, Ketua Menteri Pulau Pinang itu nampaknya berkata ikut sedap mulut sahaja tanpa berfikir terlebih dahulu. Dia cuba mengalihkan isu yang sedang dihadapi oleh kerajaan negeri pimpinannya.

Sebenarnya Guan Eng kurang faham bahawa nasihat Jakim tersebut hanya ditujukan untuk masyarakat Islam. Dan ia langsung tiada kaitan nasihat yang berbaur perkauman.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan