Jumaat, 14 Januari 2011

POLITIK PAS : MATLAMAT MENGHALALKAN CARA




Hadi sedar DAP tidak setuju negara Islam


KUALA LUMPUR 10 Jan. - Ketegasan Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk tidak tunduk dengan desakan Karpal Singh supaya Pas mengkaji semula pendirian menubuhkan negara Islam membuktikan Presiden Pas itu sedar DAP tidak pernah bersetuju dengan perjuangan Pas selama ini.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin berkata, pendirian itu turut menunjukkan bahawa Abdul Hadi tidak pernah bersekongkol dengan mana-mana pemimpin Pas yang beria-ia membela Karpal hingga ada sanggup mati untuk membela Pengerusi DAP itu.

Beliau berkata, sebagai ahli politik berpengalaman, Abdul Hadi sudah tentu mengetahui 'isi hati' Karpal serta pemimpin DAP lain seperti Lim Kit Siang serta Lim Guan Eng dalam soal pembentukan sebuah negara Islam.

"Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana Datuk Seri Abdul Hadi bertegas meneruskan perjuangan mendirikan sebuah negara Islam dan melaksanakan undang-undang Islam.

"Walaupun dalam konvensyen pakatan pembangkang baru-baru ini, ada ahli Pas yang membuat ucapan 'sanggup mati untuk Karpal', namun Abdul Hadi, Alhamdulillah tidaklah bermain kompang yang sama," katanya.

Beliau berkata demikian dalam entri terbaru yang bertajuk Tahniah Tuan Guru di blognya http://zul4kulim.blogspot.com

Zulkifli merujuk kenyataan Abdul Hadi dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini bahawa Pas tidak akan tunduk dengan desakan Karpal supaya parti itu mengkaji semula pendirian mengenai penubuhan sebuah negara Islam dan perlaksanaan undang-undang Islam.
Karpal mengeluarkan kenyataan itu pada konvensyen pakatan pembangkang di Pulau Pinang baru-baru ini.

Mengulas lanjut Zulkifli berkata, beliau juga percaya Abdul Hadi tahu tindakan Karpal yang sebelum ini pernah mendedahkan perlakuan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi kini bertindak pula sebagai peguam kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

"Abdul Hadi bukan jenis pak janggut yang pelupa. Beliau tahu Karpal orang yang memaklumkan kepada kepimpinan Pas tentang kegiatan homoseks dan liwat Anwar.
"Beliau juga tahu Karpal lah orang yang mengherdik Anwar supaya bertaubat dan berundur apabila pembohongan rancangan 16 September terbongkar.

"Abdul Hadi juga tahu isi perut Karpal. Sebagaimana ulama dan ilmuwan Islam lain sudah tentu akan tertanya-tanya kenapa Karpal dan DAP mahu menjadi peguam Anwar walaupun mereka yang mendedahkannya pada tahun 1997 dahulu," ujarnya.

Berdasarkan ketegasan Abdul Hadi itu, Zulkifli mahu mencadangkan kepada para ulama, ilmuwan, kepimpinan dan ahli akar umbi Pas supaya menyelesaikan enam perkara besar.

Pertama, katanya, mendapatkan pengesahan secara terbuka daripada Anwar dan Kit Siang sama ada benar perjanjian persefahaman pakatan bertarikh 18 Disember 2009 mempersetujui bahawa agenda negara Islam dan perlaksanaan undang-undang Islam tidak termasuk dalam dasar pakatan pembangkang jika menang pilihan raya.

"Kedua, dapatkan pengesahan serta komitmen terbuka Anwar dan Kit Siang bahawa jika pakatan memerintah, Kit Siang tidak akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri kecuali memeluk Islam sebagaimana syarat yang dikenakan oleh Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Ketiga, dapatkan komitmen yang jelas daripada Anwar dan Kit Siang bahawa negeri-negeri yang di perintah Pas, undang-undang Islam dibenar untuk dilaksanakan," katanya.

Keempat, tambahnya, dapatkan pengesahan dan komitmen Anwar secara terbuka bahawa kes pertuduhan meliwat bekas kakitangannya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan akan dipercepatkan.

"Kelima, juga dapatkan pengesahan terbuka dan komitmen jelas daripada Karpal, adakah dia benar-benar percayakan Anwar tidak bersalah?

"Terakhir, dapatkan pengesahan dan penjelasan daripada Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail apakah rasional dan alasannya mengisytiharkan dan menabalkan suaminya sebagai 'pemimpin anugerah tuhan'," katanya.



1 ulasan:

  1. Kitab " Ajhizah Daulah al - Khilafah ", Persediaan Berdirinya Negara Islam

    http://ibnuyassir.blogspot.com/2011/01/kitab-ajhizah-daulah-al-khilafah.html

    BalasPadam