Sabtu, 8 Oktober 2011

PAS : PERLEKEH ALLAH SWT

Hudud: Antara iman dan paradoks politik


Bukti : PAS permainkan hukum Allah SWT








SEKALI lagi isu hukum hudud bergema. Digemakan oleh ahli-ahli politik dan ketika Pilihan Raya Umum ke-13 diramalkan semakin hampir. Bergema semula apabila Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menghidupkan kembali cerita lama untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan.

Lalu timbul pertanyaan, kenapa dibangkitkan setelah Pas menggantikan perjuangan menegakkan negara Islam dengan hala tuju baru iaitu mewujudkan negara kebajikan? Perubahan itu agak mengejutkan kerana Pas selama ini dilihat sebuah parti yang amat tegas pendiriannya dalam keinginan untuk menegakkan pemerintahan berlandaskan undang-undang Islam. Tetapi apabila ia menyertai pakatan pembangkang bersama DAP dan PKR, segalanya berubah.

Ekoran perubahan drastik itu, umum melihat Pas terlalu mengalah kepada DAP dan PKR. Di kalangan masyarakat Islam, Pas sekarang dilihat sama sahaja dengan parti-parti lain yang tidak menggunakan nama Islam. Malah ada yang memandangnya lebih serong. Kesangsian masyarakat Islam terhadap Pas bertambah tebal setelah ada pemimpin kanan Pas menyuarakan sokongan kepada penggunaan kalimah Allah oleh pihak gereja.

Tidak keterlaluan untuk mengandaikan bahawa perubahan dasar Pas ini adalah langkah politik yang menikam diri sendiri. Besar kebarangkalian bahawa Nik Abdul Aziz juga turut menginsafi perkara ini. Setidak-tidaknya perkembangan yang berlaku meluntur keyakinannya untuk melihat Pas terus berkuasa di Kelantan, negeri yang dipimpinnya sekian lama.

Lalu beliau cuba melakukan langkah 'mengawal kerosakan' dengan mengungkit semula cerita untuk melaksanakan hukum hudud di negeri Kelantan dengan harapan akan memulihkan kepercayaan yang luntur terhadap Pas, setidak-tidaknya di negeri yang beliau pimpin selaku Menteri Besar.

Inilah yang sukar diterima oleh sebilangan besar masyarakat Islam. Sekejap mahu, sekejap tidak, dan kemudian mahu semula. Sebagai Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz sepatutnya siang-siang lagi tidak membenarkan Pas mengenepikan matlamat untuk menegakkan pemerintahan undang-undang Islam.

Jika pemimpin-pemimpin Pas beristiqomah, tentu pendirian yang berubah-ubah ini tidak berlaku. Soal strategi politik tidak timbul. Sebagai orang beriman, kita mestilah tetap dalam pendirian dan perjuangan. Soal berjaya atau gagal adalah ketentuan Allah. Jika niat kita betul dan usaha yang dilakukan juga mengikut lunas-lunas yang betul, janganlah gelabah dan hati cepat berubah jika tidak mencapai kejayaan.

Tentulah kita amat maklum bahawa kejayaan yang lebih besar bagi para pejuang agama adalah di akhirat kelak. Tetapi jika kita tunduk kepada nafsu, maka kejayaan di dunialah yang menjadi perhitungan. Yang berkehendakkan kuasa itu adalah nafsu. Maka apabila kuasa tidak diperoleh segera sebagaimana yang dihajati dan diusahakan, maka akan melalutlah tindak-tanduk dan hala tuju perjuangan.

Hamba minta maaf kerana menyentuh hal politik, menyebut nama dan berterus terang. Apabila bercakap mengenai politik, orang mudah melihat kita berpihak dan tidak adil. Namun soal hukum hudud hamba lihat telah dibangkitkan dalam kerangka politik. Sukar untuk menyisihkannya daripada perbicaraan politik.

Tetapi inilah realiti yang kita hadapi di Malaysia yang majmuk rakyatnya. Politik demokrasi berparlimen menentukan kuasa pemerintah melalui peti undi. Tanpa sokongan bukan Islam, tiada parti yang didukung hanya oleh orang Islam boleh memerintah atau meluluskan sesuatu undang-undang Persekutuan.

Inilah paradoks yang umat Islam hadapi. Lantaran itulah juga Pas telah mengubah pendiriannya berhubung hukum hudud kerana mahu menagih sokongan bukan Islam demi mendapatkan kuasa memerintah di peringkat negeri dan Persekutuan. Kemudian berubah semula kerana takut hilang pula sokongan orang Islam.

Inilah juga paradoksnya. Tiada siapa yang mengaku beriman mahukan zina berleluasa di bumi Malaysia ini. Tiada siapa juga mahukan jenayah harta berleluasa di negara ini. Tetapi percayalah bahawa zina dan jenayah harta sukar untuk dibendung tanpa hukuman yang benar-benar boleh menakutkan manusia daripada melakukannya.

Mengejutkan

Lihat betapa kes ragut telah mengejutkan negara bukan sahaja kerana kekerapan berlaku, tetapi juga setelah kematian beberapa orang mangsa akibat diseret oleh peragut ke dalam longkang atau ke atas jalan. Sekadar merengkok beberapa bulan atau tahun dalam penjara, tidak menyerikkan penjenayah. Akhirnya terpaksa ditambah keluasan penjara dan bilangan anggota polis, tetapi jenayah harta tidak juga menurun sejajar dengan peningkatan perbelanjaan negara dalam sektor ini.

Jika dirujuk kepada Quran, jawapannya adalah jelas. Laki-laki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan kedua-duanya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai seksaan dari Allah. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. - Al Maaidah 5: 38

Tetapi orang bukan Islam menyifatkan hukuman ini 'zalim' dan ketinggalan zaman. Bagi mereka, sekarang adalah zaman kebebasan, keadilan dan hak asasi manusia. Mereka yang bersalah perlu dididik dan diberi peluang untuk menjadi baik. Hukumlah dengan hukuman sekadar untuk menimbulkan keinsafan. Sebilangan orang yang mengaku Islam juga terpengaruh dengan hujah penentang hudud di kalangan bukan Islam ini.

Adakah hukuman yang berperi kemanusiaan itu berjaya mengurangkan jenayah harta? Tentulah tidak. Ramai pencuri yang mengulangi perbuatan setelah menjalani hukuman penjara kali pertama. Mereka tidak serik kerana hukuman penjara tidak menakutkan mereka.

Kita umat Islam sepatutnya cuba meyakinkan bukan Islam bahawa hukuman potong tangan adalah yang paling adil terhadap penjenayah yang tidak berperi kemanusiaan terhadap mangsa-mangsa mereka. Jika hukuman potong tangan ini dilaksanakan, percayalah bahawa kadar jenayah harta akan sangat berkurangan.

Hukuman potong tangan ini boleh dikanunkan secara berasingan tanpa mengemukakannya sebagai pakej hukum hudud. Ia boleh dijadikan undang-undang Persekutuan di bawah Kanun Keseksaan dengan meminda bab jenayah harta.

Dibandingkan dengan zina yang tidak akan diterima oleh bukan Islam sebagai jenayah, semua orang menganggap mencuri atau apa jua perbuatan yang sekategori termasuk rompak, pecah rumah dan tipu, sebagai jenayah. Jika hukuman mati ke atas pengedar dadah boleh dilaksanakan tanpa bantahan oleh semua pihak, apakah memotong tangan pencuri lebih zalim? Adakah Allah zalim kerana menetapkan hukuman potong tangan terhadap pencuri?

Maka barang siapa bertaubat (di antara pencuri-pencuri itu) sesudah melakukan kejahatan itu dan memperbaiki diri, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. - Al Maaidah 5: 39

Sesungguhnya Allah tidak berbuat zalim kepada manusia sedikitpun, akan tetapi manusia itulah yang berbuat zalim kepada diri mereka sendiri. - Yunus 10: 44

Jika zina dan jenayah harta terus berleluasa, itu adalah disebabkan kesalahan manusia kerana tidak melaksanakan hukum Allah. Namun bagi orang-orang beriman, segala yang Allah larang tetap akan dijauhi, sekalipun tanpa dikenakan hukuman yang berat di dunia. Mereka lebih takutkan hukuman di akhirat daripada hukuman di dunia.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan