Selasa, 18 Oktober 2011

INSTITUSI RAJA PENYELAMAT KESATUAN UMMAH

Hubungkan kembali hati-hati umat Islam utamakan akidah

Oleh TOK KI

Raja - Payung Negara

PERHIMPUNAN Sejuta Umat yang bakal berlangsung pada 22 Oktober ini di Stadium Shah Alam, Selangor adalah sesuatu yang amat penting untuk disertai.

Ia penting kerana untuk kali pertamanya hampir 1,000 badan-badan Islam berhimpun bagi menyatakan pendirian secara aman mengenai isu pemurtadan yang telah sekian lama menjadi polemik di Malaysia.

Isu akidah bagi orang Islam adalah isu utama. Ia mengatasi isu politik yang sekian lama mencengkam perpaduan ummah. Isu akidah ini diletakkan sebagai isu paling atas mengatasi kepentingan politik kepartian, kelompok dakwah dan kemasyarakatan supaya rasa kepekaan terhadap pemurtadan menjadikan umat Islam bersatu.

Dengan perhimpunan ramai itu nanti, pihak-pihak lain harus dapat membaca sensitiviti umat Islam mengenai usaha sesetengah pihak yang ingin memurtadkan umat Islam seperti yang berlaku di Damansara pada 3 Ogos lalu.

Perhimpunan aman ini diharapkan dapat menghantar mesej yang jelas supaya pihak yang berkaitan memahami bahawa adalah suatu perbuatan yang salah memurtadkan orang Islam kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan juga negeri.

Keluhuran Undang-undang seperti yang tercatat dalam Rukun Negara harus dihormati. Kalau tidak sensitiviti ini boleh terjadi dalam bentuk luar kawalan dan ia merbahaya bagi keselamatan Malaysia.

Mengelakkan dari perkara ini terjadi Perhimpunan Sejuta Umat secara aman dan terkawal diharap menimbulkan keinsafan bahawa perpecahan di kalangan anggota umat yang semakin parah ini memerlukan isu bersama yang membawa balik anggota umat berfikir bahawa tanpa wehdah dan meletakkan perkara akidah sebagai sesuatu yang paling tinggi prioritinya menyebabkan apa yang berlaku di negara lain bakal berlaku di Malaysia.

Umat Islam di Malaysia amat sedar bahawa pihak yang ingin memurtadkan umat Islam ini telah bergerak sekian lama dengan sumber dana yang banyak dan mengambil strategi yang licik supaya umat Islam yang lemah dan memerlukan bantuan terperangkap.

Perbuatan seperti ini adalah di luar etika beragama kerana pelbagai usaha dibuat secara halus dan sistematik untuk mempengaruhi mereka.

Perhimpunan Sejuta Umat ini juga diharapkan menjadi Titik Wehdah atau Kesatuan Umat supaya krisis dan perbalahan yang berlaku sesama umat dapat diatasi dengan bijaksana.

Sebahagian orang kita terperangkap dengan jerat musuh disebabkan sesama kita pecah. Pada hal akidah tauhid yang sama-sama kita dukung harus mampu membimbing umat Islam di Malaysia supaya sering mengadakan muzakarah mencari jalan terbaik bagaimana wehdah dapat berlaku dan masalah yang berbangkit sesama umat dapat diatasi.

Umat Islam yang bijaksana harus faham bahawa kedudukan agama Islam hanya boleh dipertahankan sekiranya kekuatan politik itu berada di tangan umat Islam. Ia tidak bermakna umat Islam harus menzalimi orang bukan Islam apabila berkuasa. Kepimpinan Islam dituntut melakukan keadilan terhadap yang bukan Islam.

Di Malaysia orang bukan Islam menguasai sumber ekonomi dengan hebat sekali. Dengan kuasa beli yang tinggi telah menyebabkan harta tanah dan pembelian rumah-rumah mewah memihak kepada orang bukan Islam.

Ekuiti umat Islam di Malaysia masih rendah. Kesan kuasa beli yang tinggi di kalangan mereka boleh memberikan kesan demografik (kependudukan) dan akhirnya kesan terhadap taburan pengundi dan politik negara.

Menentukan kuasa politik umat di tangan umat Melayu tidaklah salah. Tetapi membiarkan kuasa politik umat Melayu hilang adalah suatu kesilapan besar. Generasi muda Melayu harus sedar bahawa dengan idealisme saja tidak cukup.

Menghadapi realiti masa kini dan masa depan adalah amat utama. Jangan akibat rasa mewah dan selesa masa kini menyebabkan kita ikut resam pepatah "Pelanduk selalu lupakan jerat tetapi jerat tidak pernah lupakan pelanduk".

Pepatah Melayu juga menyebutkan "Jangan biarkan nasi menjadi bubur", "Dah terhantuk baru nak tengadah", "Menyesal dulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna". Salah satu sifat orang Melayu ialah "Orang Melayu Mudah Lupa".

Akibat kelupaan ini menyebabkan mereka terjebak dalam bayang-bayang impian ibarat berada di lebuh raya perjalanan melihat fatamorgana (lambaian air) atau miraj yang amat memikat tetapi di hujung perjalanan ia tidak memberi makna apa-apa.

Amat penting Perhimpunan Sejuta Umat ini dijadikan titik pertemuan menghubungkan kembali hati-hati umat Islam yang sudah hilang silaturrahimnya meletakkan prioriti akidah dan Islam sebagai sesuatu yang amat utama.

Sekiranya amanah ini dialpakan, bayangkan apa yang bakal terjadi kepada Islam sekiranya institusi Raja sudah menjadi persoalan dan kuasa politik umat Melayu bakal ditentukan oleh pihak lain.

Islam bakal terpinggir dan umat Islam semakin tidak berdaya walaupun mereka majoriti kerana mereka saling bermusuhan dan tidak terbuka hati ke arah muzakarah dan wehdah.

Yang ada ialah nafsu amarah yang tinggi untuk saling "berbunuhan" supaya cita-cita politik masing-masing tercapai. Kiranya ini berlaku malang sekali nasib masa depan umat Islam di sini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan