Selasa, 2 November 2010

BN = BINA NEGARA, PR = PENIPU RAKYAT..... UNDILAH BN

Amanat Najib, Galas dan Batu Sapi

Oleh Dr. Siva


TARIKH 4 November 2010 akan menyaksikan dua pilihan raya kecil yang diadakan serentak untuk menentukan wakil rakyat kawasan Dewan Undangan Negeri N45-Galas dan kerusi Parlimen P185-Batu Sapi. Di Galas, Barisan Nasional (BN) berhadapan dengan calon Pas, manakala di Batu Sapi, ia adalah pertandingan tiga penjuru di antara calon BN, PKR dan SAPP.

Demam pilihan raya kecil ini telah merebak ke hampir seluruh pelosok negara. Sebanyak 11 pilihan raya kecil telah diadakan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2008. Apakah status quo akan kekal atau berubah tangan. Adakah BN akan menang di kedua-dua kerusi atau sebaliknya? Secara kebetulan, penamaan calon kedua-dua kerusi diadakan selepas berakhirnya Perhimpunan Agung UMNO Ke-61. Suntikan semangat lantang amanat Presiden Parti merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak mengiringi parti yang menyatakan 'BN tidak ada pilihan tetapi mesti menang' sekali gus menunjukkan beliau komited dalam mempertahankan kedudukan BN. Najib mahu memastikan tidak ada yang leka dalam perjuangan untuk memulihkan kepercayaan dan keyakinan umum ke atas parti yang dibimbingnya.

Tujuh prinsip transformasi politik yang telah dirungkai oleh beliau pada perhimpunan itu akan diuji buat pertama kali dalam pilihan raya kecil ini. Ia termasuklah maruah parti lebih penting daripada kepentingan diri, mengutamakan pasukan dari kumpulan, memenangi pemikiran rakyat, menjadi juara media baru, mendekati orang muda, menuju sifar masalah, dan mendahulukan rakyat.

Yang menjadi tonggak kekuatan transformasi politik ini adalah mengakui ada kelemahan, melakukan muhasabah diri dan gerak kerja untuk melahirkan kestabilan.

Ia juga berpaksikan kepada hala tuju kepimpinan nasional yang diterima oleh rakyat, mengukuhkan kepimpinan di peringkat negeri, kedudukan parti diterima rakyat dan terakhir, calon yang mampu menang dengan sokongan padu di peringkat pusat dan negeri. Pelbagai pendekatan telah dan sedang digunakan oleh Najib untuk menguatkan semula pengaruh BN. Kesemuanya disertai dengan pecutan berjiwa muda kerana masa tidak bersama beliau.

Pilihan raya kecil menjadi penanda aras, jikapun bukan persepsi sebenar kerana sokongan dan sambutan adalah berbeza mengikut kawasan dan negeri.

Hakikatnya, setiap calon berusaha mencari pengaruh untuk memenangi pilihan raya kecil ini. Walaupun diakui sesiapa atau mana-mana parti yang menang tidak akan mengubah landskap kawasan dan politik kenegerian, namun ia penting sebagai motivasi parti. Ia juga akan memberi kekuatan kepada Najib untuk merencanakan agenda berterusan dengan semangat kemenangan.

Bagi pembangkang, ia juga sebahagian proses untuk memastikan sama ada mood umum masih sama seperti pada awal pasca-pilihan raya Mac 2008. BN perlu menang di Galas untuk membolehkan ia menyusun strategi untuk kembali bangkit di Kelantan dan penerimaan tersebut akan membolehkan ia merangka gerak kerja yang sesuai dengan nilai lokaliti yang wujud di sini.

Kedudukan Ku Li masih relevan dalam konteks politik tempatan yang boleh mengimbangi kuasa istana dan pembangkang. Bagi Batu Sapi, ia akan menghentikan kemaraan pembangkang yang menang dalam banyak pilihan raya kecil sebelum ini.

Barangkali, strategi pembangkang menggunakan dua calon bertujuan memecah undi yang bakal diterima oleh Linda Tsen Thau Lin, balu mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah.

Pertembungan di Galas bukan antara calon Setiausaha Bahagian Gua Musang, Abdul Aziz Yusoff dan calon Pas, Dr. Zulkefli Mohamad. Tetapi ia lebih merupakan percaturan strategi Tengku Razaleigh dan Datuk Nik Aziz Nik Mat, dua pembesar politik negeri Kelantan. Sewaktu tsunami melanda negara pada 8 Mac 2008, calon Pas, Allahyarham Chek Hashim Sulaima mengalahkan pemenang pilihan raya tahun 2004, Mohamad Saufi Deraman dengan undi 646. BN menang di Dewan Undangan Negeri Paloh dan Nenggeri dalam kawasan Parlimen Gua Musang akibat penolakan pengundi Tionghua.

Di Sabah, Ketua Menterinya, Musa Aman mempamerkan keputusan cemerlang dengan menang 24 daripada 25 kerusi Parlimen. Kehadiran bekas Ketua Menteri, Datuk Yong Teck Lee memaksa BN bekerja keras untuk menang walaupun ada bertanggapan mengapa ketika berada dalam sistem kerajaan satu ketika dahulu, Yong tidak membawa perubahan yang ingin dilakukan sekarang? Adakah semata-mata untuk menang kuasa ataupun sekadar menguji penerimaan ke atas SAPP yang keluar BN pada tahun 2008. Jika benar, ia satu tindakan yang kurang beretika kerana ketika BN sedang bergelut dengan keadaan tidak menentu.

Ia mungkin lebih dihormati jika keluar dari gabungan besar tersebut ketika BN kuat dan bukan sebaliknya, seolah-olah SAPP tidak berprinsip untuk membawa perubahan dari dalam parti. Ansari Abdullah juga merupakan heavy weight dalam gelanggang pilihan raya di Galas, tetapi light weight seperti Linda Tsen akan menjadi giant killer dengan sokongan yang lebih baik jika sekiranya kempen saat-saat akhir mendekati golongan muda dapat dilakukan.

Malahan gabungan undi yang bakal diperoleh Ansari dan Yong akan menjadi penilaian pembangkang daripada pencapaian Linda Tsen nanti.

BN tidak mampu untuk tewas di kedua-dua kerusi ini. Saranan Najib perlu dijadikan iktibar dan iltizam. Tujuh prinsip transformasi politik beliau adalah mantera. Selepas tewas di Bukit Gantang, Kuala Terengganu dan Sibu walaupun menang di Hulu Selangor, BN sudah pasti tidak mahu kekalahan menular ke Sabah, mahupun Kelantan. Walaupun bilangan kemenangan daripada 11 pilihan raya kecil yang diadakan tidak berpihak kepada mereka, itu tidak bermakna BN lemah. BN tewas kerana kelemahan sendiri dan bukan kekuatan lawan. BN gagal memahami formula 'komunikasi politik' ketika itu yang juga menjadi teras transformasi politik Najib.

Politik kini sudah tidak bersifat kesetiaan tidak berbelah bahagi ataupun menandakan rasa terima kasih. Politik juga tidak ada ruang untuk keangkuhan dan perasaan megah sebagai 'politikus'. Amalan politik baru bersandarkan kepada komunikasi politik, antara pemimpin dan pemimpin, pemimpin dan pengikut serta pengikut dan pengikut. Kewibawaan akan terserlah dalam kematangan berpolitik menggunakan pendekatan 'sederhana' untuk berpolitik. Politik bermoral menjadi sandaran dalam kedua-dua pilihan raya kecil ini.

Di Galas, ia menggunakan pendekatan 'persahabatan' pada awal waktu berkempen dalam memastikan sejauhmana masing-masing berhemah dalam menyalurkan maklumat dan pengaruh ke atas pengundi tetapi perjanjian tidak bertulis ini disanggah secara tiba-tiba oleh parti lawan walaupun pembunuhan karakter ketara berlaku di Batu Sapi sejak awal lagi, berbanding di Galas.

Hatta, politik manipulasi ternyata digunakan dalam bentuk lain terutama dalam mengharungi perang psikologi antara pengundi di kedua-dua kawasan ini.

Ku Li menggalas tanggungjawab yang besar untuk memastikan kemenangan berpihak kepada BN, apatah lagi menyatakan mahu mendapat 'kemenangan besar'. Ku Li dan pasukannya perlu memastikan pengundi Melayu dan Tionghua kembali memberikan sokongan padu bersesuaian dengan pengaruh menjadi Wakil Rakyat di kawasan ini sejak 1974.

Jika itu berlaku, maka keyakinan dan motivasi penyokong BN akan kembali kukuh terutama dalam mencari titik kesepaduan dan keseimbangan antara kekuatan parti serta personaliti.
Yang menentukan kemenangan calon di Galas adalah pengundi Melayu jika dihalusi trend pengundian dalam kalangan masyarakat Tionghua kebelakangan ini.

Bagi Musa dan Pairin di Sabah, kemenangan akan memastikan seolah-olah safe deposit Sabah boleh diperkukuhkan dan PKR dianggap sebagai parti Semenanjung yang sukar bertapak di Sabah.

Kedudukan kemenangan dalam pilihan raya Batu Sapi juga akan menunjukkan sama ada wujud penerimaan ke atas PKR atau SAPP yang asasnya adalah parti tempatan. BN mahu membuktikan pergeseran antara PKR dan SAPP lebih bermatlamatkan perjuangan mendapatkan kuasa dan kedudukan, bukannya untuk memainkan peranan sebagai wakil rakyat.

Kedua-dua pilihan raya kecil ini perlu digunakan untuk mengenal pasti trend dan pola pengundian serta tingkah laku pengundian secara menyeluruh untuk berhadapan dengan PRU Ke-13 nanti.


Profesor Madya Dr. Sivamurugan Pandian Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan