Tawar
hati dengan Pas
Pada 22 Ogos 2012 bersamaan
4 Syawal 1433H, seorang insan istimewa berstatus orang kelainan upaya (OKU)
iaitu Mohd. Hidzir Othman dari Kampung Rendah, Rembau, Negeri Sembilan
berkunjung ke Utusan Melayu (M) Berhad di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.
Mohd.
Hidzir, 45, dilahirkan tanpa kedua-dua belah kaki namun beliau yang juga
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Insan Penyayang Malaysia (PKIPM) Negeri Sembilan
dan Exco PKIPM pusat tetap gagah bergerak menggunakan tangan kanan dan kirinya melangkah memasuki
pejabat Utusan Melayu.
Status
OKU bukan penghalang kepada Mohd. Hidzir untuk berkecimpung dalam bidang
politik. Manusia cekal ini mula menyertai UMNO sekitar 1980-an sebelum memasuki
Pas pada 1990 hingga 2001 dan pernah memegang jawatan dalam parti itu. Kini,
beliau kembali ke pangkuan UMNO sebagai ahli seumur hidup mulai 2004.
Pelbagai
pengalaman pahit getir pernah dilaluinya semasa bersama Pas: dituduh kafir
kerana mengkritik Pas dan pemimpinnya malah dilabel pengintip
kerana menjaga silaturahim dengan rakan-rakan dalam UMNO.
Ikuti
wawancara wartawan Utusan Malaysia, HUSSAINI AMRAN dan jurufoto, IRWAN MAJID
bersama Mohd. Hidzir tentang pandangannya berdasarkan pengalamannya selama 11
tahun bersama parti itu dan perkembangan politik semasa negara.
UTUSAN:
Boleh jelaskan penglibatan saudara dalam Pas?
MOHD. HIDZIR: Saya
menyertai Pas pada 1990 dan pernah memegang jawatan Ahli Jawatankuasa Pas
Kawasan Teluk Kemang serta Setiausaha Pas Cawangan Kampung Rendah, Rembau mulai
1996 hingga 2001. Selain itu, saya terlibat secara langsung sebagai tenaga
penggerak kepada penubuhan cawangan baru Pas di enam lokasi sekitar Rembau
iaitu Kampung Rendah, Kampung Tanjung Sena, Pekan Rembau, Kampung Air Hitam,
Kampung Pedas Gaing dan Kampung Senama serta pemulihan semula Pas Cawangan
Kampung Seberang Batu Hampar dan Pas Cawangan Kampung Tanjung Berangan.
Sebelum itu, saya pernah
menjadi ahli UMNO tetapi dasar Pas tentang penubuhan sebuah negara Islam dan
perjuangan melaksanakan hukum hudud telah mencuit hati saya untuk memasuki
parti itu. Bagaimanapun, pemerhatian saya selama 11 tahun dalam Pas mendapati
parti itu tidak konsisten dan tidak istiqamah dari segi dasar perjuangan, hala
tuju serta strategi politik.
Lebih memburukkan keadaan,
apa sahaja perkara yang melibatkan Pas dan pemimpin-pemimpinnya tidak boleh
ditegur atau dikritik. Bila saya kritik, mereka tuduh saya kafir. Saya pernah
dimarahi dalam mesyuarat kerana mengkritik parti dan pemimpinnya. Saya
dikatakan tidak menghormati pemimpin dan parti. Macam-macam gelaran pernah saya
terima termasuk pengkhianat, petualang malah saya dituduh sebagai pengintip
yang diupah UMNO untuk membongkar rahsia Pas.
Saya tidak boleh menerima
perjuangan seumpama itu. Memang saya amat kecewa dengan sikap dan mentaliti Pas
sehingga memaksa saya mengambil keputusan meninggalkan parti itu pada 2001.
Dasar-dasar
Pas yang mana kena kritik?
Saya cuma menyuarakan
kritikan terhadap hasrat Pas membuka keahlian kepada orang bukan Islam. Saya
juga minta Pas jangan amalkan politik kafir mengkafir, jangan memaki hamun UMNO
dan jangan mencaci serta menghina orang Islam daripada parti lain.
Sebaik-baiknya, Pas jauhi dasar perjuangan sebegitu. Pas melakukan kesilapan
besar apabila menanam sifat kebencian di kalangan ahli-ahlinya dan rakyat.
Pemimpin-pemimpin negara dan orang Melayu yang sebangsa dan seagama menjadi
sasaran kebencian. Sikap ini amat mengecewakan saya kerana Pas boleh berpeluk
dengan DAP tetapi dengan UMNO hendak berjabat tangan pun tidak mahu. Bila
timbul cadangan muzakarah dengan UMNO, Pas letak banyak syarat.
Walhal pemimpin Pas yang
mula cetuskan hasrat bermuzakarah. Namun, setelah UMNO memberi respons positif,
Pas juga yang tolak muzakarah. Pas terlalu ghairah bermain politik hingga
terlupa tentang kepentingan ummah dan bangsa. Mungkin Pas takut dengan
sekutu-sekutunya dalam pakatan pembangkang. Kononnya memperjuangkan Islam
tetapi dasar parti sering berubah. Saya juga dibiarkan terkontang-kanting
keseorangan setiap kali dikenakan tindakan ekoran mengkritik Pas dan
pemimpinnya. Tiada sokongan dan bantuan daripada ahli-ahli Pas yang lain
walaupun ada di antara mereka yang menyokong saya. Namun mereka hanya berani cakap-cakap
belakang sahaja. Kalau secara terbuka mereka tak berani.
Mengapa
saudara tawar hati dengan Pas?
Saya paling kecewa apabila
Pas membuat keputusan untuk menerima ahli bukan Islam. Saya pernah mengemukakan
surat bantahan secara terbuka dan berbincang dengan beberapa pemimpin Pas pada
masa itu meminta parti jangan mengubah hala tuju perjuangannya. Jangan sesekali
menerima cadangan membuka keahlian parti kepada bukan Islam. Kalau Pas terima
ahli bukan Islam maknanya kita cakap tak serupa bikin.
Dulu Pas kata UMNO kafir
sebab bekerjasama dengan bukan Islam tetapi Pas akhirnya mengambil tindakan
yang lebih teruk daripada itu. Sekarang kita dapat melihat Dewan Himpunan
Penyokong Pas (DHPP) diwujudkan. Anggota DHPP bukan lagi sekadar ahli bersekutu
kerana ia telah diiktiraf sebagai salah satu sayap Pas. Maknanya ahli DHPP
boleh bertanding, boleh mengundi dan boleh diundi. Jadi, orang bukan Islam pun
boleh menentukan hala tuju perjuangan Pas. Bagi saya, ini satu kelemahan dan
kesilapan besar yang dilakukan oleh Pas.
Adakah
pemimpin-pemimpin Pas benar-benar memahami hasrat dan kehendak akar umbi?
Mereka tidak nampak
kesilapan sendiri dan masalah-masalah dalaman parti kerana terlalu sibuk
mencari kesalahan orang lain terutamanya pemimpin-pemimpin UMNO.
Pemimpin-pemimpin Pas tidak mahu bermuhasabah diri. Sikap negatif ini
sepatutnya dihapuskan sekiranya mereka benar-benar ikhlas ingin memperjuangkan
Islam. Sebaliknya, mereka sentiasa mengamalkan syak wasangka,
memburuk-burukkan, mencaci dan menghina umat Islam yang lain. Mana boleh buat
begitu. Itulah salah satu punca umat Islam dipandang rendah oleh penganut-penganut
agama lain.
Sebilangan
kecil pemimpin Pas mempunyai pandangan berbeza dengan pucuk pimpinan parti.
Akar umbi selalunya memihak kepada siapa?
Akar umbi Pas lebih
cenderung kepada pucuk pimpinan. Mereka tidak kisah siapa yang berada di atas.
Mereka tetap sokong walaupun pucuk pimpinan membuat kesilapan. Walaupun bekas
Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa dan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor,
Datuk Dr. Hasan Ali pernah membuat teguran, akar umbi sukar menerimanya.
Kedua-dua tokoh itu dianggap sebagai penentang pucuk pimpinan Pas. Bagi mereka,
pucuk pimpinan parti tidak boleh ditegur, tidak boleh dikritik. Jika
tokoh-tokoh berkaliber seperti Nasharudin dan Hasan pun tidak boleh diterima,
inikan pula pandangan pemimpin-pemimpin peringkat akar umbi. Semua itu berlaku
kerana ahli-ahli Pas terlampau taksub kepada individu bukan kepada perjuangan.
Apakah
Pas kini tidak lagi agresif memperjuangkan penubuhan negara Islam?
Secara terbuka, saya
berpandangan perjuangan Pas sekarang ini sudah menyeleweng dan menyimpang
daripada matlamat asal penubuhannya. Saya tidak faham mengapa Pas tergamak
menukar konsep perjuangannya daripada negara Islam kepada negara berkebajikan.
Bila dikritik, pemimpin-pemimpin Pas pula berdolak-dalik dengan hujah-hujah
kabur bagi mengelabui mata rakyat. Mengapa tidak berterus-terang sahaja
mengatakan Pas terpaksa menggugurkan perjuangan menegakkan negara Islam kerana
tekanan rakan-rakan politik dalam pakatan pembangkang. Begitu juga dengan isu
hudud.
Kita tidak dapat melihat
ketegasan pemimpin-pemimpin Pas bila berdepan dengan Pengerusi DAP, Karpal
Singh yang mulutnya begitu celupar memperlekehkan hukum hudud. Sebaliknya,
pemimpin-pemimpin Pas lebih suka membuat aksi lawak murahan dengan menuding
jari menyalahkan UMNO sebagai punca hudud tidak dapat dilaksanakan, sedangkan
dengan Karpal - hendak angkat muka pun tak berani.
Dalam isu negara Islam dan
hudud, Pas sepatutnya jangan mengalah dengan DAP. Teruskan perjuangan itu
walaupun mendapat tentangan hebat daripada sekutu politiknya. Pas mesti berani
kerana benar dan komited untuk mengotakan janjinya. Jangan beralah sebab
tekanan daripada DAP namun dengan UMNO, Pas sentiasa tunjuk kuat dan hebat.
Mengapa
menyertai semula UMNO?
Saya sebenarnya mendaftar
dengan Pas sebagai ahli seumur hidup. Semasa masih di dalam Pas, saya pernah
menghadiri majlis-majlis keramaian dan kenduri-kendara anjuran rakan-rakan saya
dalam UMNO. Saya tetap berusaha memenuhi jemputan rakan-rakan dari UMNO kerana
fahaman politik yang berbeza tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk memutuskan
silaturrahim. Malangnya, saya ditegur oleh pucuk pimpinan parti dan saya
dikatakan membelakangkan perjuangan parti. Mungkin mereka mahu saya menjadi
seperti katak di bawah tempurung yang tidak bercampur dengan masyarakat.
Selepas keluar dari Pas,
saya kerap menghadiri majlis-majlis anjuran UMNO dan dari situ, pintu hati saya
mula terbuka semula kepada UMNO. Pada 2004, saya mendaftar di Ibu Pejabat UMNO
di Menara Datuk Onn, Kuala Lumpur sebagai ahli seumur hidup.
Sejak itu, saya disisihkan
oleh rakan-rakan yang masih di dalam Pas. Mereka anggap saya seperti sampah.
Saya dituduh sebagai pengkhianat dan petualang yang berpaling tadah. Kononnya
saya diberi wang oleh UMNO untuk mengubah haluan. Saya pernah cuba menjelaskan
kepada mereka bahawa tindakan saya itu adalah atas kesedaran sendiri
semata-mata untuk memperjuangkan kepentingan agama, bangsa dan negara. Tiada
sesiapa mempengaruhi saya. Mereka tidak mahu menerima penjelasan saya kerana
terlalu taksub dengan perjuangan Pas.
Mereka tidak mahu terima
hakikat perjuangan Pas kini telah tersasar. Amat sukar untuk mereka menerima
pandangan pihak lain. Rakan-rakan saya dalam Pas mempertahankan pucuk pimpinan
dengan mengatakan apa yang berlaku itu hanya strategi politik. Itu bukan strategi
politik.
Perjuangan Pas kini bukan
lagi kerana Allah SWT dan Islam, sebaliknya cuma untuk kepentingan politik dan
meraih undi. Berbeza dengan UMNO, saya melihat pemimpin dan ahli-ahlinya
bersikap terbuka dan bersedia menerima sesiapa sahaja menyertai perjuangannya
tanpa memandang serong.
UMNO juga lebih komited
menjaga kebajikan rakyat dan ahli-ahlinya sedangkan Pas lebih banyak retorik
tetapi banyak janjinya tidak dilaksanakan. Sebagai sebuah parti Islam, Pas
sepatutnya berdakwah kepada saudara seagama dengan menunjukkan teladan yang
baik. Kalau hendak kritik pun, lakukan secara baik. Amalkan sikap terbuka dan
bersedia berunding. Malangnya, semua itu tidak berlaku.
Pada
pandangan saudara, antara Barisan Nasional (BN) dan pembangkang, siapa yang
lebih layak diberi mandat mentadbir negara?
Seperti yang kita sering
lihat, parti-parti pembangkang iaitu Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP
tidak sehaluan dan sependapat. Apa yang berlaku di negeri-negeri yang kini
ditadbir pembangkang menunjukkan wajah sebenar mereka yang hipokrit. Sebelum
berkuasa, banyak janji ditaburkan tetapi bila diberi peluang tidak mampu
ditepati. Kemudian mereka ambil jalan mudah menyalahkan pentadbiran kerajaan
negeri terdahulu di bawah BN sedangkan masalah berlaku selepas pembangkang
berkuasa. Cara pembangkang berkempen juga agak agresif dan gemar mencetuskan
provokasi. Mereka sentiasa menghasut agar rakyat melihat kerajaan BN sebagai
zalim.
Saya tidak faham apa yang
mereka maksudkan kerajaan BN zalim. Adakah kerana kerajaan tidak memberi dengan
segala yang mereka tuntut seperti yang cuba mereka lakukan pada perhimpunan
haram Bersih 3.0 April lalu? Saya tidak melihat BN sebagai sebuah parti yang
zalim sebaliknya BN merupakan sebuah parti pemerintah yang terbaik di dunia
dari segi pentadbiran, politik, ekonomi dan sosial.
Permuafakatan parti-parti
komponen BN mencerminkan semangat toleransi antara masyarakat berbilang kaum di
negara ini. Saya harap rakyat membuat pilihan terbaik pada Pilihan Raya Umum
Ke-13 dengan memilih BN yang terbukti mampu menjamin kemajuan, kestabilan dan
keselamatan negara. Jika pembangkang sendiri tidak sepakat dalam menentukan
dasar pejuangan bersama, bagaimana hendak menentukan dasar pemerintahan negara?
Silap-silap negara boleh huru-hara sekiranya pembangkang memerintah.
Pembangkang sebenarnya rasa
terancam dengan keberkesanan formula yang diamalkan BN selama ini. Sebab itulah
mereka menggunakan taktik kotor memesongkan pemikiran rakyat dengan
dakyah-dakyah palsu. Saya nasihatkan rakyat terutamanya anak-anak muda agar
jangan percaya dengan segala maklumat yang tertera pada laman web atau media
pro pembangkang. Jangan percaya bulat-bulat kerana banyak maklumat yang
dipaparkan boleh mempengaruhi rakyat membenci kerajaan dan UMNO.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan