Pas harus jujur
pada pendukung
ASYRAF WAJDI DUSUKI
Ketua Hubungan Kajian, Akademi Kajian Syariah Antarabangsa untuk Kewangan Islam (ISRA)
Ketua Hubungan Kajian, Akademi Kajian Syariah Antarabangsa untuk Kewangan Islam (ISRA)
BEBERAPA minggu
kebelakangan ini polemik mengenai hudud dan negara Islam kembali hangat
diperkatakan. Isu ini bermula apabila Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan Tantawi
dalam perdebatannya pada 19 Julai lalu dengan Ulama Muda UMNO Fathul Bari Mat
Jahaya, mendakwa bahawa Karpal Singh dan DAP sejak bersama Pas sudah berubah
sikapnya dan semakin lunak kepada idea perjuangan Pas mengenai hudud dan negara
Islam.
Namun kenyataan Nasrudin
bagaikan menyergah harimau sedang tidur apabila dengan pantas disanggah Karpal
yang juga Pengerusi DAP, menekankan bahawa pendiriannya dan DAP tetap tegas
menentang sebarang usaha untuk melaksanakan hudud. Beliau juga turut menegaskan
bahawa agenda negara Islam tidak pernah dibincangkan mahupun termaktub dalam
terma-terma persepakatan Pakatan Rakyat yang hari ini mempopularkan istilah
Negara Berkebajikan.
Hakikatnya umum maklum
bahawa DAP sebagai parti sekular amat konsisten sejak dari dulu sehingga kini
tidak pernah berkompromi dengan ideologi perjuangan Islam. Malah ketika Pas
bersama UMNO dan parti-parti komponen lain dalam Perikatan pada 1973, DAP kekal
sendirian memperjuangkan ideologinya yang kekal sehingga ke hari ini.
Persoalannya apakah asas
sebenar Pas bersama dengan sebuah parti yang bukan sahaja tegar menentang
perjuangan dan prinsip-prinsip kenegaraan Islam bahkan konsisten sejak dulu
tidak berkompromi dengan sebarang agenda hudud dan negara Islam sebagaimana
yang menjadi teras
Kalau kita menelusuri
hujah-hujah pemimpin Pas termasuk jawapan Nasrudin Tantawi dalam sesi
perdebatannya dengan Fathul Bari, ternyata Pas sering menggunakan alasan tahaluf
siyasi sebagai asas kerjasama mereka dengan DAP. Tahaluf siyasi bolehlah
difahami dengan maksud kerjasama politik antara orang Islam dengan orang kafir.
Prinsip tahaluf siyasi ini
banyak diperdebatkan ulama-ulama silam dalam disiplin ilmu Islam khususnya
siyasah syariyyah atau ilmu politik Islam. Ia juga termasuk dalam aspek
ijtihadi atau perkara-perkara yang diperselisihkan di kalangan ulama. Hukum
asal persepakatan dengan bukan Islam ini dalam perbincangan siyasah syariyyah
adalah al-bara iaitu berlepas diri daripada perbuatan golongan bukan Islam yang
mensyirikkan Allah dan sebarang pencabulan terhadap hak-hak Allah. Malah
sesetengah ulama mengharamkannya berasaskan beberapa dalil syarak sebagaimana
diungkapkan dalam al-Quran:
Janganlah
orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan
meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan)
yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu
apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti
dari pihak mereka (yang kafir itu). (Ali-Imran:
28)
Penceramah
Sebenarnya ayat ini jugalah
yang seringkali dikumandangkan oleh para penceramah Pas satu ketika dalam
menghujahkan bahawa UMNO telah jatuh kepada kekufuran lantaran bekerjasama
dengan MCA dan MIC dalam membentuk Perikatan dan Barisan Nasional. Namun sejak
akhir-akhir ini ayat seperti ini tidak lagi kedengaran dibacakan lantaran
mereka sendiri kini membentuk pakatan dengan bukan Islam demi menjatuhkan
Barisan Nasional dalam pilihan raya.
Sebab itulah kita harus
berhati-hati dalam menghukum sesuatu perkara. Setiap ayat al-Quran yang dibaca
tidak boleh sewenang-wenangnya ditafsir dan dijadikan hujah bagi memenuhi
selera politik masing-masing. Harus difahami konteks ayat yang dibacakan
terutamanya yang melibatkan hukum-hakam. Apatah lagi melibatkan aspek ijtihadi
yang berkaitan siasah yang banyak terkait dengan pelbagai prinsip-prinsip fikah
seperti mengambil kira kemaslahatan rakyat, kemudaratan, keadilan dan
lain-lain.
Berbalik kepada isu
kerjasama politik atau kaedah tahaluf siyasi, ulama fikah hakikatnya mempunya
pandangan yang berbeza-beza mengenai hukumnya. Ada yang secara tuntas
mengharamkannya dan ada pula yang mengharuskannya dengan syarat-syarat yang
amat ketat.
Antara yang mengharuskan
termasuklah pandangan ulama-ulama daripada Mazhab Hanafi seperti yang
mengatakan bahawa tahaluf adalah termasuk dalam urusan pemerintah yang perlu
mematuhi beberapa syarat ketat antaranya hukum Islam yang mendominasi,
bekerjasama dengan orang kafir yang boleh dipercayai, tidak boleh menjadikan
mereka berada di barisan hadapan dan hendaklah dalam persepakatan tersebut umat
Islam yang menjadi majoriti.
Jika ditelusuri
syarat-syarat yang digariskan dalam prinsip tahaluf siyasi sebagaimana
ditetapkan oleh ulama yang mengharuskannya, ternyata kerjasama Pas dan DAP
masih boleh dipertikaikan keabsahannya. Manakan tidak, jika syarat dominasi
dijadikan kayu ukur, berasaskan komposisi kerusi yang dimenangi Pas dalam
Pakatan Rakyat, Pas hanya mempunyai 22 kerusi daripada keseluruhan 222 kerusi
Parlimen ketika ini.
DAP adalah parti dominan
kerana memiliki 29 kerusi Parlimen dan PKR kedua dengan memenangi 23 kerusi
Parlimen. Justeru Pas sebagai parti yang membawa aspirasi Islam bukanlah
merupakan parti majoriti. Sebaliknya DAP selaku parti sekular yang jelas dan
konsisten menentang hudud dan konsep Negara Islam dari dulu sehingga ke hari
ini merupakan parti majoriti yang mempunyai suara dominan dalam kerjasama
politik atau tahaluf siyasi Pakatan Rakyat.
Ini berbeza sama sekali
dengan UMNO sebagai parti Melayu Islam yang masih menjadi teras persepakatan
parti-parti dalam Barisan Nasional. Dalam Pilihan raya Umum ke-12 lalu, UMNO
memenangi 78 kerusi dan merupakan parti dominan dan majoriti dalam Barisan
Nasional yang memiliki 137 kerusi Parlimen. Parti MCA yang mewakili kaum Cina
hanya mempunyai 15 kerusi, manakala MIC yang mewakili India empat kerusi.
Lain-lain parti komponen berkongsi
Mungkin berpijak atas
hakikat inilah DAP seolah-olah dilihat berjaya melunakkan Pas untuk tidak lagi
menyebut mengenai hudud bahkan turut berjaya merubah agenda perjuangan Pas
daripada memperjuangkan slogan negara Islam kepada Negara Berkebajikan. Malah
Presiden Pas, Hadi sendiri terpaksa menerangkan bahawa Negara Islam tidak
pernah disebut dalam al-Quran. Bahkan ketika beliau diberi peluang oleh Allah
untuk menjadi Menteri Besar Terengganu dari tahun 1999 hingga 2004, pernah
menyatakan pada 6 Mac 200 bahawa keutamaan melaksanakan hudud hanyalah 0.0001
peratus atau 1/10,000 sahaja.
Prinsip
Pastinya kenyataan dan
sikap Pas yang tampak sudah berubah dan longgar dalam mempertahankan prinsip
perjuangannya selama ini membingungkan ramai pihak. Apakah dakwaan pemimpin Pas
yang berkali-kali mengatakan kehadiran mereka dalam Pakatan Rakyat berjaya
mendakwah pemimpin-pemimpin bukan Islam seperti Karpal Singh, Lim Kit Siang dan
lain-lain benar-benar suatu realiti atau omongan kedai kopi?
Ataupun yang kena dakwah
sebenarnya adalah Pas sendiri yang kelihatan sudah meleburkan segala idealisme
perjuangan mereka yang dilihat begitu keras suatu ketika sehinggakan ramai di
kalangan pengikut yang menjadi mangsa ketaksuban hingga sanggup menggadaikan
nyawa dan harta demi perjuangan.
Bukan itu sahaja kekerasan
memperjuangkan hudud dan konsep negara Islam acuan Pas jugalah yang seringkali
menjerumus umat ke dalam kancah kafir-mengkafir yang merungkai pertalian
ukhuwah dan meleburkan perpaduan umat Malaysia berpuluh tahun lamanya. Masih
terngiang-ngiang di telinga penulis mengingatkan ucapan-ucapan para pencacai
Pas membacakan beberapa potongan ayat terpilih al-Quran yang menjadi silibus
doktrin politik para ahli dengan menghukum UMNO sebagai kafir atas dakwaan
menolak hudud seperti:
“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke
dalam Agama Islam secara keseluruhannya (dengan mematuhi segala
hukum-hukumnya); dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya
Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata".
“Dan barang siapa yang tidak menghukum dengan apa
yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah
orang-orang kafir" (Al-Maidah:44).
UMNO hakikatnya tidak
pernah menolak Islam ataupun mana-mana hukum yang ditetapkan syarak sebagaimana
tuduhan Pas. Namun dalam konteks pelaksanaanya terutama berhadapan dengan
realiti masa kini harus melalui proses beransur-ansur atau istilah syaraknya tadarruj yang
mengambil kira pelbagai pertimbangan strategik dari segi keperluan, kemampuan
dan kesediaan. Ini termasuklah mempersiapkan masyarakat untuk bersedia menerima
perubahan sama ada dari segi mental atau psikologinya.
Hal ini juga diperakui kini
oleh pimpinan-pimpinan Pas yang mulai menggunakan hujah yang sama dalam
mempertahankan sikap dan pendekatan mereka yang tidak lagi mengarus perdanakan
slogan negara Islam dan hudud.
Cuma apa yang penulis
kesali, masih ada pendukung-pendukung Pas di akar umbi yang masih dikaburi
dengan slogan-slogan perjuangan Pas dulu kala sehinggakan masih bersikap keras
terhadap UMNO dengan berpegang kepada hujahan yang sama. Malah, Pas kadangkala
dilihat tidak berlaku jujur terhadap pendukungnya dengan memberikan pelbagai
harapan palsu untuk terus bersekongkol dengan parti yang jelas menentang Islam.