Antara
dua 'Abdul Aziz', Pas dan DAP
Oleh
ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my
pengarang@utusan.com.my
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0516&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm
KELMARIN,
dua pemimpin pembangkang membuat dua kenyataan yang berbeza. Kedua-duanya
melibatkan individu bernama 'Abdul Aziz'.
Kenyataan
pertama dibuat oleh Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang
membuat keputusan meninggalkan parti itu selepas dikecam hebat oleh kepimpinan
DAP yang salah seorang pemimpinnya ingin mencontohi kepimpinan Khalifah Umar
Abdul Aziz.
Segalanya
bermula apabila Tunku Abdul Aziz enggan menyokong perhimpunan haram Bersih yang
dianggap melanggar undang-undang negara serta hanya mencetuskan huru-hara.
Akibat ketegasannya Tunku Abdul Aziz tidak disambung tempoh perkhidmatan
sebagai Senator oleh DAP.
Ketika
Tunku Abdul Aziz tegas dengan pendiriannya dan sanggup kehilangan kedudukan
demi menegakkan kebenaran, kita juga dihidangkan dengan kenyataan keras oleh
seorang lagi bernama Abdul Aziz iaitu Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz
Nik Mat.
Menteri
Besar Kelantan itu ternyata tidak berpuas hati dengan kenyataan Mufti Perak,
Tan Sri Harussani Zakaria bahawa Pas sudah menyeleweng dan menyalahgunakan
agama Islam. Justeru Nik Abdul Aziz menyifatkan ia satu pandangan lapuk seorang
mufti.
Sebelum
ini, dalam isu Bersih, Nik Abdul Aziz ternyata meletakkan kepentingan politik
bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP mengatasi segala-galanya apabila
Mursyidul Am Pas itu menyifatkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan
Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia hanya menggunakan sebelah mata apabila
mengaitkan perhimpunan Bersih 3.0 dengan huru-hara dan umat Islam haram
menyertainya.
Malahan
dalam kenyataan melalui Facebook, Nik Abdul Aziz secara sinis berkata, mata
yang digunakan oleh jawatankuasa fatwa itu pula adalah kabur dengan cermin mata
yang telah rosak.
Menurut
Nik Abdul Aziz, beliau bersetuju perhimpunan yang bertujuan mencetuskan
huru-hara dan merosakkan harta benda adalah haram, tetapi bukan Bersih 3.0.
Beliau turut menyifatkan jawatankuasa itu membuat keputusan hanya berdasarkan
laporan akhbar prokerajaan, tanpa mendapat penjelasan daripada penganjur Bersih
3.0.
Namun
cuba kita kaji apa kata Tunku Abdul Aziz mengenai Bersih pada 26 April lalu
sehingga memungkinkan beliau tidak disenangi oleh kepimpinan DAP. Menurut Tunku
Abdul Aziz, beliau membantah perhimpunan itu kerana berdasarkan pengalaman
serta pemerhatian terhadap penganjuran beberapa perhimpunan jalanan di luar
negara yang kononnya aman tetapi berakhir dengan keganasan.
''Walaupun
saya daripada pembangkang, bukan semua pembangkang sokong Bersih. Saya tak akan
sokong Bersih. Saya dah biasa tengok, bukan sahaja di negara kita tetapi saya
biasa bekerja duduk di banyak negara. Semua demonstrasi kononnya mula dengan
secara orang kata aman tetapi kebanyakan di mana-mana pun kita tengok terjadi
sebaliknya," kata beliau ketika itu.
Mungkin
Tunku Abdul Aziz membuat bantahan tersebut kerana melihat apa yang berlaku
dalam perhimpunan Bersih 2.0 tahun lalu yang kesudahannya berakhir dengan
kekecohan. Dan pada tahun ini penganjur sengaja mencari fasal apabila tetap
ingin mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka biar pun ia sudah ada perintah
mahkamah melarang mereka berbuat demikian.
Ternyata
telahan Tunku Abdul Aziz menjadi kenyataan apabila perhimpunan Bersih 3.0 turut
berakhir dengan kekecohan dan lebih teruk lagi ada keberanian luar biasa di
kalangan penunjuk perasaan untuk merempuh sekatan polis.
Tetapi
Pas termasuk Nik Abdul Aziz sengaja tidak mahu mengakui fakta ini, sebaliknya
parti berkenaan bersekongkol dengan Majlis Peguam menyalahkan pihak berkuasa.
Lidah rasmi Pas menunjukkan gambar kononnya polis bertindak ganas tetapi mereka
tidak pula memaparkan bagaimana Unit Amal parti itu merempuh sekatan polis yang
dikatakan menjadi salah satu penyebab utama perhimpunan tempoh hari menjadi
ganas.
Tindakan
Tunku Abdul Aziz meletakkan jawatan, sekali lagi memberi pengajaran kepada
pemimpin-pemimpin Pas supaya sentiasa berpegang kepada prinsip dan konsisten
dalam apa juga yang dilakukan.
Tunku
Abdul Aziz boleh sahaja menyokong Bersih kalau beliau mahu tempoh senatornya
disambung tetapi beliau tidak berbuat demikian kerana ini menyentuh soal
prinsip. Tunku Abdul Aziz tidak mahu menjadi seperti pemimpin-pemimpin Pas yang
sanggup menolak kebenaran semata-mata kerana perjuangan politik.
Mungkin
hujah ini tidak disenangi oleh Pas dan Nik Abdul Aziz tetapi inilah
kenyataannya. Walaupun banyak pihak sudah melihat bahawa perhimpunan Bersih
tidak akan mendatangkan sebarang faedah apatah lagi dengan sikap kerajaan Barisan
Nasional (BN) yang sentiasa bersedia berunding bagi menyelesaikan masalah namun
ia tidak dipedulikan oleh Pas dan sekutunya.
Oleh
itu, mereka mahu mana-mana juga pihak termasuklah Jawatankuasa Fatwa Majlis
Kebangsaan menyokong perhimpunan berkenaan, kalau membuat kenyataan berbeza
dengan apa yang mereka perjuangkan maka pihak-pihak berkenaan akan dituduh pak
turut kerajaan.
Sebab
itulah, apabila Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan membuat keputusan
mengatakan perhimpunan Bersih haram, maka melompatlah kepimpinan Pas. Pelbagai
dalil dan hujah dikeluarkan oleh mereka bagi mempertahankan Bersih dan ada
antaranya memperlekehkan keputusan majlis tersebut.
Sebagai
contoh, seorang pelajar Malaysia di Jordan dalam satu tulisan yang disiarkan
oleh blog-blog memperlekehkan keputusan Jawatankuasa Fatwa dan meminta anggota
majlis tersebut bersikap terbuka biar pun menerima gaji daripada kerajaan BN.
Inilah
sikap pemimpin dan penyokong Pas, kalau sesuatu keputusan itu tidak menyebelahi
politik mereka, maka ia ditolak bulat-bulat biar pun ia dibuat berlandaskan
al-Quran dan hadis.
Jika
situasi ini diambil kira, jelaslah Tunku Abdul Aziz jauh lebih matang
berpolitik berbanding kepimpinan Pas termasuk Nik Abdul Aziz. Ia memandangkan
Tunku Abdul Aziz bersedia menerima risiko bagi menyatakan kebenaran tetapi Pas
sentiasa sahaja berdolak-dalik dan membuat sesuatu keputusan berdasarkan
perhitungan politik semata-mata.
Justeru
tidak hairanlah apabila kepimpinan Pas bercakap soal hudud, tidak ada sebarang
perasaan takut di kalangan pemimpin-pemimpin DAP atau PKR untuk membantah
perkara tersebut. Ini kerana mereka memahami kepimpinan Pas terlalu taksub
berpolitik dan tetap akan bersama dengan pakatan pembangkang biar pun apa juga
berlaku.
Begitulah
juga dalam isu Bersih, ketegasan Tunku Abdul Aziz dan keputusan Jawatankuasa
Fatwa sudah pasti tidak akan mengugat Pas untuk terus menyokong perhimpunan
haram berkenaan biar pun ia telah membawa kesan yang amat buruk kepada negara.
Pemikiran
kepimpinan Pas sudah terkepung dengan politik untuk menjatuhkan kepimpinan BN
melalui sasaran memenangi pilihan raya umum akan datang bersama-sama dengan PKR
dan DAP.
Apa
pun Tunku Abdul Aziz boleh dianggap memberi pengajaran kepada kepimpinan Pas
termasuk Nik Abdul Aziz supaya konsisten dalam memperjuangkan sesuatu dan perlu
menjadikan apa yang berlaku kepada beliau sebagai isyarat mengenai wajah
sebenar politik DAP.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan