Seruan
Dr.Sulaiman dan politik Pas
Oleh ZULKIFLEE BAKAR
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0528&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm
MUNGKIN pemimpin dan
penyokong Pas tidak akan senang dengan pandangan Ahli Majlis Fatwa Masjidil
Haram, Sheikh Dr.Sulaiman Saloomi yang menegaskan, fatwa yang menyatakan undi
sesebuah parti itu akan masuk syurga adalah suatu kejahilan, kebodohan, kesesatan
serta tidak sepatutnya keluar daripada mulut orang berakal, lebih-lebih lagi
daripada seorang muslim yang peka dirinya diawasi Allah dalam setiap percakapan
dan perbuatannya.
Selain itu dalam
wawancara dengan Mingguan Malaysia juga, Sheikh Dr. Sulaiman turut
mengingatkan kaedah kafir mengkafir yang digunakan oleh seseorang orang Islam
dan sesetengah ahli parti politik adalah tidak dibenarkan.
Bahkan beliau turut
mengingatkan bahawa seorang Muslim tidak dibenarkan untuk bersepakat dengan
mana-mana orang bukan Islam dalam apa juga keadaan sekali pun untuk menentang
saudara seIslamnya.
Walaupun dalam wawancara
itu beliau tidak menyebut mana-mana parti politik di negara ini, namun bagi
penulis tidak salah jika kita merujuk apa yang diperkatakan itu berkait rapat
dengan amalan politik Pas.
Mungkin seperti biasa
pandangan daripada tokoh-tokoh ulama di luar lingkungan Pas tidak akan
dipedulikan oleh penyokong tegar mereka, maklumlah parti itu sudah ada Dewan
Ulama dan mursyidul amnya.
Namun begitu mereka juga
perlu faham bahawa Sheikh Dr. Sulaiman tidak mempunyai apa-apa kepentingan
politik. Beliau melahirkan pandangan tersebut sebagai seorang ulama yang
merujuk kepada al-Quran dan hadis.
Oleh itu, pemimpin dan
penyokong Pas janganlahterlalujumud untuk menolak pandangan ulama di luar
lingkungan parti mereka semata-mata kerana ketaksuban kepada politik.
Hakikatnya, sebahagian
umat Islam sudah bosan dengan mainan politik Pas yang dilihat tidak sudah-sudah
memperalatkan cogan kata, slogan dan seruan berbentuk keislaman untuk meraih
undi.
Kalau mereka benar-benar
memperjuangkan Islam sudah pasti parti itu akan mengamalkan sikap mengakui
antara yang hak dan batil. Jika sesuatu teguran yang dibuat oleh mana-mana
ulama berkaitan dengan tindakan politik mereka adalah benar maka akui sahaja.
Tetapi malangnya keadaan
sering berlaku sebaliknya, malahan masih jelas di ingatan kita bagaimana Pas
menolak dan mempertikaikan keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang
mengharamkan demonstrasi jalanan.
Pelbagai hujah mereka
keluarkan bagi mempertahankan tindakan politik songsang mereka, justeru
bukanlah sesuatu yang menghairankan jika kenyataan Sheikh Dr. Sulaiman turut
akan ditolak oleh Pas.
Sikap politik sesetengah
pemimpin dan penyokong Pas yang merasakan hanya ulama mereka sahaja berhak
menegur parti itu akan merugikan umat Islam.
Namun dalam masa sama
oleh kerana kejumudan dalam berpolitik, biar pun teguran dibuat oleh ulama Pas
sekali pun kalau ia dilihat tidak menguntungkan politik parti itu, maka ia akan
ditolak bulat-bulat.
Masih ingatkah kita
peristiwa Dewan Ulama Pas memberikan kata dua kepada Penasihat Parti Keadilan
Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sama ada menarik balik kenyataan
menyokong sebarang usaha melindungi keselamatan negara Israel dalam The Wall
Street Journal atau menyaman majalah itu.
Ketika itu Anwar dilihat
seolah-olah tidak mempedulikan Dewan Ulama sebaliknya bertemu memberikan
penjelasan kepada Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Selepas itu isu berkenaan diam
begitu sahaja.
Begitu juga dalam isu
muzakarah apabila, Ketua Dewan Ulama Datuk Dr. Harun Taib menegaskan ia perlu
diadakan tanpa syarat, adakah ia didengari oleh kepimpinan Pas biar pun ia
bertepatan dengan kehendak Islam?
Sudah pasti tidak
sebaliknya, Pas menolak mentah-mentah usaha itu biar pun ia idea asal mereka
dengan alasan isu tersebut sudah dimanipulasikan.
Biarpun dari semasa ke
semasa banyak tindakan politik Pas bertentangan dengan seruan Islam dan telah
pun mengubah haluan perjuangannya dari negara Islam kepada negara berkebajikan
namun Pas tetap menganggap mereka parti Islam.
Sebab itulah, Pas lebih
cenderung untuk menuduh UMNO menolak Islam dengan matlamat bagi membuktikan
merekalah perjuang Islam sebenar.
Tetapi dalam masa yang
sama banyak tindakan Pas boleh menjejaskan imej Islam, ini termasuklah
bersekongkol dengan mereka yang menyokong pluralisme dan seks songsang.
Walaupun pemimpin Pas
memahami bahawa mereka tidak sepatutnya berbuat demikian tetapi parti itu sudah
tidak ada pilihan kerana terikat dengan perjanjian politik merebut kekuasaan
dengan PKR dan DAP.
Keadaan itu diburukkan
lagi dengan sikap kemaruk Pas untuk menagih undi daripada bukan Melayu, oleh
itu Pas cuba tidak begitu menunjukkan keghairahan mereka bagi memperjuangkan
Islam.
Keadaan ini sudah
tentulah mengelirukan umat Islam kerana mereka tidak pasti apa sebenarnya yang
diperjuangkan oleh Pas.
Atas sebab itulah,
wawancara dengan Sheikh Dr. Sulaiman harus diteliti dan dinilai dengan
sebaik-baiknya oleh Pas jika benar mereka mengaku pejuang Islam.
Apa yang dihujah dan
dinyatakan oleh ulama tersebut adalah demi kebaikan umat Islam di negara ini
yang semakin berpecah-belah kerana perbezaan ideologi politik.
Sebab itulah Sheikh Dr.
Sulaiman menekankan bahawa perkara utama yang perlu diselesaikan terlebih
dahulu ialah masalah perpecahan supaya umat Islam menjadi umat yang bersatu.
Tetapi impian itu tidak
akan tercapai di negara ini jika Pas terus memikirkan kepentingan politik
semata-mata dan terus berpegang kepada pendirian bahawa UMNO menolak Islam.
Walaupun dakwaan
terhadap UMNO itu dibuat secara konsisten oleh seorang sahaja pemimpin Pas
namun beliau mempunyai pengaruh yang cukup besar dalam parti berkenaan.
Lebih malang lagi, Pas
bersedia bekerjasama dengan PKR yang memperjuangkan kesamarataan dan DAP yang
menolak penubuhan negara Islam semata-mata kerana mahu menumbangkan kerajaan
Barisan Nasional (BN) yang tonggak utama ialah UMNO - iaitu parti Melayu dan
umat Islam terbesar di negara ini. Kalau beginilah sikap Pas yang sanggup
melakukan apa sahaja demi meraih kuasa, bagaimana mungkin umat Islam di negara
ini akan bersatu padu dan bertambah kukuh.
Sekarang bukanlah masa
untuk menuding jari menuduh siapa yang bertanggungjawab memecah belah ummah,
kalau hujah ini mahu diperdebatkan sudah pasti Pas akan kalah. Ia kerana apa
yang dicatatkan dalam perjalanan sejarah politik negara tidak akan mampu
dipadamkan oleh Pas.
Pemimpin dan penyokong
Pas boleh sahaja membutakan mata dan memekakkan telinga terhadap apa yang
disarankan oleh Sheikh Dr. Sulaiman. Namun mereka perlu memahami bahawa
pendekatan politik yang diamalkan oleh parti itu sekarang sama sekali tidak
akan menguntungkan Pas.
Mungkin Pas perlu
merenung ingatan Sheikh Dr.Sulaiman,''Apa yang dituntut oleh dalil ialah
memelihara persaudaraan Islam dan memilih mereka yang paling sesuai dan
berkelayakan untuk memimpin ummah. Inilah politik umat Islam yang sebenar.''
Soalnya apakah sikap ini
ada pada Pas yang memukul canang mengatakan mereka masih parti Islam?
Fikirkanlah!