Jumaat, 30 September 2011

HUDUD ISLAM VS HUDUD PAS : PAS TERLUPA IA PENCACAI???

Elak hukum hudud dipolitikkan kerana ‘kegilaan kuasa’ memerintah
Oleh Aziz Jamaludin Mhd Tahir

Istana Kehakiman Untuk Hudud?

TITAH Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah agar semua pihak tidak mengkompromikan kedudukan Islam dan Melayu sebagaimana dipersetujui oleh semua kaum yang menjadi teras Perlembagaan adalah hakikat yang perlu dipatuhi bagi menjamin kesejahteraan masyarakat dan negara.

Semua pihak tidak seharusnya menggunakan sebarang alasan, muslihat dan matlamat bagi mencapai sesuatu kepentingan, kerana ia boleh mengundang konflik kaum menjadi serius dan sengketa berdarah pada masa depan.

Pengalaman sejarah membuktikan, akibat terlalu ingin membuktikan mempunyai pengaruh yang kuat, maka tercetusnya rusuhan kaum 13 Mei 1969. Peristiwa hitam itu adalah satu natijah yang sudah diterima umum adanya masalah dalam hubungan kaum.

Hari ini, perjuangan sedemikian turut disambut oleh sebuah lagi parti politik yang merupakan serpihan daripada UMNO dengan mengarahkan falsafah perjuangan dalam bentuk sosialisme-pluralisme di mana setiap orang mempunyai hak sama tanpa mempedulikan nilai dan budaya yang menjadi asas kontrak sosial.

Persoalan itu akhirnya telah menjerat kepada political bashing yang keterlaluan sehingga orang Melayu-Islam yang cuba mempertahankan haknya dilihat sebagai rasis manakala bukan Melayu yang cuba menimbulkan aspirasinya dilihat sebagai sesuatu yang wajar dan patut.

Dikotomi politik itu terus menerus bergeser sehingga boleh memberikan gambaran bahawa negara ini sentiasa berkonflik dan panas, ada gerakan memecahbelahkan usaha menyatukan perpaduan ummah kepada beberapa kumpulan yang lebih kecil.

Keadaan ini seolah-olah memberikan natijah bahawa orang Melayu-Islam sudah terbahagi kepada lima kumpulan yang lebih kecil, dan dari segi politik boleh dilihat berasaskan tiga fraksi, pro-UMNO, pro-Pas, pro-PKR, nonpartisan dan tidak peduli.

Mencabar undang-undang adalah satu bentuk propaganda yang telah memberikan warna pengaruh parti politik pembangkang, termasuk mengisytiharkan setiap dakwaan yang dikenakan sebagai satu pembohongan, berkepentingan politik dan seterusnya suatu konspirasi.

Pembangkang di Malaysia turut menggunakan strategi itu dalam setiap kempen politiknya termasuk menganggap bahawa kegagalan melaksanakan hukum hudud di Kelantan selepas diluluskan pada 1993 dan di Terengganu pada 2002 sebagai sabotaj dari Barisan Nasional yang menguasai Kerajaan Persekutuan. Pas tidak melihat penolakan peraturan itu kerana banyak kelemahan terkandung di dalamnya, kerana ia dilakukan atas matlamat politik dan bukannya mencari keadilan.

Dalam menetapkan sesuatu peraturan, khususnya mengenai agama di negara ini, ia perlu dilihat dari sudut perundangan terlebih dahulu kerana setiap perkara ada peraturan-peraturannya. Pertama sekali ia perlu dilihat dari sudut Perlembagaan Malaysia. Keadilan bukan sahaja terletak pada undang-undang tetapi keadilan yang dimaksudkan ada hubung kaitnya dengan pelaksanaan undang-undang itu sendiri.

Keadilan juga boleh dipertikaikan jika prosedurnya tidak adil, keterangan yang diberikan bercanggah dan penyiasatan tidak lengkap. Undang-undang tetap dianggap tidak adil jika cara melaksanakannya tidak dijalankan seadil-adilnya. Umpamanya dalam menjatuhkan hukuman rejam. Sebelum hukuman dijatuhkan, ia perlu diadili dengan sebaik-baiknya.

Kita menyokong niat baik mereka untuk melaksanakan hukum hudud tetapi ia perlu mengambil kira hal-hal lain yang menuju ke arah keislaman, tidak hanya menggunakan undang-undang yang dikatakan Islam sahaja.

Untuk mencapai keadilan yang diharapkan bukanlah mudah kerana ia perlu kepada pelaksanaan yang betul. Prosedur, keterangan-keterangan serta penyiasatan semuanya mesti betul.

Ia bukanlah sesuatu yang boleh dilihat dengan mudah. Contohnya hukum hudud seperti yang pernah dikemukakan oleh kerajaan Pas Kelantan yang dikatakan tidak dapat memberi keadilan. Kanun Jenayah Syariah II 1993 Kelantan dikatakan tidak mencerminkan hukum syarak yang sebenar. Dilema yang ada ialah dari segi perundangannya.

Selain, Kanun Jenayah Syariah II 1993, Kelantan juga mempunyai Kanun Jenayah Syariah 1985 yang memperuntukkan beberapa kesalahan sama dalam undang-undang yang lama dan baru. Keadaan ini menimbulkan kekeliruan kerana kerajaan Kelantan membenarkan kedua-dua bentuk hukuman jenayah syariah ini kerana kedua-duanya kekal sebagai undang-undang.

Contohnya, adakah orang yang disabitkan dengan kesalahan dalam undang-undang pertama juga boleh dihukum berdasarkan undang-undang kedua? Selain itu, jika terdapat undang-undang baru, adakah undang-undang yang lama akan terbatal?

Dari segi perundangan juga, undang-undang bagi jenis-jenis kesalahan dan bentuk hududnya 
sudah terkandung dalam Kanun Keseksaan. Contohnya, melakukan pembunuhan atau kesalahan dalam melakukan kecederaan. Ia menimbulkan masalah kerana hanya satu kesalahan, tetapi terdapat dua atau tiga undang-undang bagi kesalahan sama.

Keadaan ini menimbulkan kesulitan kerana mengikut undang-undang negara, mencuri merupakan satu kesalahan. Kerajaan Kelantan turut membuat undang-undang sama bagi kesalahan mencuri. Kebiasaannya, hanya satu pemakaian undang-undang bagi sesebuah negara. Persoalannya, adakah seseorang yang didakwa berdasarkan hukum hudud boleh terlepas daripada Kanun Keseksaan? Persoalan inilah yang perlu dijelaskan.

Keindahan dan keistimewaan undang-undang Islam akan dapat dinikmati apabila tertib keutamaan maslahah seperti memelihara keperluan asasi, memelihara kepentingan manusia dalam keperluan sampingan dan memelihara keselesaan dan keharmonian hidup, dijadikan ukuran untuk menggubal undang-undang yang bertepatan dengan roh syariah yang menegakkan keadilan.

Dari segi ruang lingkupnya pula, maslahah terbahagi kepada tiga bahagian iaitu kepentingan awam (maslahah ‘ammah), kepentingan orang kebanyakan (maslahah ‘aghlabiyyah) dan kepentingan orang perseorangan (maslahah khassah). Keutamaan maslahah ini harus dipelihara mengikut yang sewajarnya dalam pembinaan hukum dari semasa ke semasa.

Tegasnya undang-undang yang didasarkan kepada kepentingan atau maslahah yang kebelakangan, tetapi bercanggah dengan kepentingan dan maslahah yang lebih utama bukanlah undang-undang Islamik kerana tidak dapat mencapai matlamat dikehendaki oleh syariat Islam.

Dalam menginterpretasikan hukum hudud, kita sebenarnya harus memisahkan antara Hukum Hudud yang digariskan oleh al-Qur‘an dan Hadis, dengan hukum hudud yang digubal oleh yang mempunyai kepentingan politik semata-mata.

Setiap orang Islam tidak menentang Hukum Hudud yang sebenar, tetapi yang ditentang sekarang ialah hukum hudud ciptaan mereka yang gila kuasa untuk memerintah.

PENULIS ialah Yang Dipertua Yayasan
Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan