Jumaat, 15 Julai 2011

PEMBANGKANG = PENGKHIANAT???


Wajib taat pemerintah elak huru-hara!
Oleh ABU NUMAIR NAWAWI SUBANDI
http://an-nawawi.blogspot.com

PENULIS ialah ahli Biro Multimedia & Penerbitan Sekretariat Ulama Muda UMNO (iLMU)



SALAH satu prinsip di dalam iktikad Ahli Sunnah Wal-Jamaah adalah mentaati dan menghormati pemimpin negara di mana dia duduk di bawah kepimpinan atau kekuasaan pemerintah tersebut. Ketaatan yang dimaksudkan adalah merujuk:

1 - Mentaati mereka dalam urusan kebaikan (makruf), termasuk merealisasikan perintah mereka yang makruf dan membantu mereka dalam urusan kebaikan yang diperlukan atau diperintahkan.

2 - Mengakui, menghormati dan memuliakan kedudukan mereka sebagai pemimpin serta sentiasa mendoakan kebaikan untuk mereka.

3 - Tidak mentaati mereka dalam urusan atau perintah bermaksiat kepada Allah.

4 - Serta tidak berusaha untuk menjatuhkan, membelot, menzahirkan sifat kepembangkangan terhadap kepimpinan, dan tidak menghina atau mencela mereka (terutamanya di khalayak umum) walaupun mereka bertindak buruk dan zalim. Ini selagi mana mereka masih tetap menegakkan syiar-syiar solat dan tidak dilihat padanya kafir bawwaahan (kekafiran yang jelas tanpa dapat ditakwil).

5 - Membenci maksiat atau keburukan yang mereka lakukan dan mengingkarinya dengan cara nasihat dan kaedah-kaedah yang syarei.

Tanda Takwa

Rasulullah (SWT) bersabda maksudnya: "Sesiapa yang taat kepadaku, sesungguhnya ia telah taat kepada Allah. Sesiapa yang derhaka kepadaku, sesungguhnya ia telah derhaka kepada Allah. Sesiapa yang taat kepada pemimpin, sesungguhnya ia telah taat kepadaku, dan sesiapa yang derhaka kepada pemimpin, sesungguhnya ia telah derhaka kepadaku." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Abu Dzar radhiyallahu 'anhu berkata, "Sesungguhnya kekasihku (Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam) memberi wasiat kepadaku supaya patuh dan taat walaupun yang memimpin adalah seorang hamba yang cacat (hina)." (Hadis Riwayat Muslim)

Kaedah asalnya, seorang hamba atau orang yang cacat tidak boleh dilantik menjadi pemimpin. Tetapi apabila ia telah berlaku dengan sebab-sebab yang tertentu, maka ia tetap wajib ditaati dan diperakui kepimpinannya.

Rasulullah SAW juga bersabda, "Hendaklah kamu sentiasa mengabdikan diri kamu kepada Tuhan kamu, solatlah lima waktu, berpuasalah kamu pada bulannya, tunaikanlah zakat dengan harta kamu, berbuat baiklah terhadap diri kamu, dan taatilah pemimpin kamu, pasti kamu akan memasuki syurga Tuhan." (Hadis sahih Riwayat Ahmad, 36/487, no. 22161)

Ahli Sunnah Wal-Jamaah bersepakat berkenaan kewajiban mentaati pemimpin dan pihak berkuasa. Mereka juga mewajibkan supaya mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh pihak pemimpin selagi mana ia tidak bertentangan dengan dalil-dalil syarak. Ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Rasulullah SAW, "Janganlah kamu mentaati perkara-perkara maksiat. Ketaatan hanyalah dalam perkara yang makruf." (Hadis riwayat al-Bukhari, 22/218, no. 6716)

Perkara makruf di sini adalah merujuk kepada urusan yang bukan maksiat dan bukan kemungkaran. Sama ada ia perkara yang diwajibkan agama, yang disunnahkan, ataupun yang diharuskan kerana maslahah tertentu. Jika masyarakat diperintahkan supaya melaksanakan perkara-perkara yang diharuskan (tidak dilarang agama), maka hukum mentaatinya menjadi wajib.

Sebagai contoh, hukum mematuhi undang-undang jalan raya yang digubal atas dasar maslahah bersama oleh pihak berkuasa adalah wajib selagi mana ia bukan maksiat walaupun ia tidak pernah diwajibkan oleh syarak secara khusus.

Begitu juga sekiranya pemerintah memerintahkan supaya meninggalkan perbuatan demonstrasi jalanan yang sedang hangat diperkatakan hari ini, maka rakyat wajib meninggalkannya. Lebih-lebih lagi perbuatan tersebut termasuk larangan dalam agama.

Kata Imam al-Mubarakfuri rahimahullah, "Apabila seseorang pemerintah memerintahkan sesuatu yang sunnah atau mubah (harus), maka hukumnya menjadi wajib." (Tuhfatul Ahwadzi, 5/298)

Justifikasi perkara ini adalah bagi memastikan keamanan terjaga sekali gus mengelakkan suasana huru-hara tercetus. Sekiranya masyarakat tidak mahu diatur dengan peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak pemerintah sebaliknya lebih suka bertindak sesuka hati, nescaya negara akan menjadi kacau-bilau dan kelam-kabut.

Ijmak Ahli Sunnah Wal-Jamaah

Para fuqaha' telah bersepakat (ijmak) berkenaan kewajiban mentaati pemerintah yang memiliki kuasa walaupun dia mendapat kuasa tersebut dengan cara rampasan atau pemberontakkan (mutaghallib). Dan kita turut diwajibkan berjihad bersama-samanya. Ini kerana ketaatan kepadanya lebih baik daripada keluar meninggalkan ketaatan kepadanya (dengan mengambil sikap membangkang atau memberontak), yang dengannya mampu memelihara darah dan menenangkan orang ramai (masyarakat). Tidak ada pengecualian dalam perkara ini, melainkan apabila pemerintah melakukan kekafiran yang jelas nyata. (Rujuk: Fathul Bari Syarah Shahih al-Bukhari, 13/7)

Jauhi Sikap Suka Memberontak

Salah seorang ulama tertinggi anggota Majlis Fatwa Arab Saudi, Syeikh Soleh as-Sadlan Hafizahullah mengatakan, "Sebahagian daripada saudara kita menyangka perkara tersebut (pemberontakan) adalah suatu yang baik. Mereka menyangka bahawa yang dimaksudkan dengan sifat kepembangkangan (atau pemberontakan) itu adalah dengan senjata, padahal sebenarnya pemberontakan itu bukan semata-mata dengan senjata dan kekerasan, tetapi termasuk juga dengan lisan (kata-kata).

"Bahkan pemberontakan dengan lisan itu jauh lebih bahaya. Kerana pemberontakan dengan lisan itu adalah laluan (printis) kepada pemberontakan bersenjata. Kami katakan dengan penuh kejujuran kepada saudara-saudara kami yang terbakar emosinya, kami menganggap mereka berniat baik - insya-Allah.

"Namun, hendaklah mereka tidak terburu-buru dan menahan diri. Kerana sikap ekstrem mereka itu hanya akan menumbuhkan kesan negatif dalam hati-hati mereka. Hati mereka sebenarnya kosong (daripada nilai ilmu) dan hanya mengenal sentimen kemarahan. Tindakan mereka itu juga hanya akan membuka lebih banyak lagi pintu-pintu kejahatan untuk bertindak dengan cara yang batil.

"Pemberontakan dengan kata-kata termasuklah seperti melalui tulisan, ceramah, seminar, dan media massa yang mengandungi ciri-ciri menaikkan semangat membenci pemerintah. Aku memberi peringatan kepada semua dengan peringatan yang tegas. Aku katakan, lihatlah apa hasil yang diperolehi daripada setiap tindakan tesebut, dan fikirlah faktor-faktor penyebab timbulnya fitnah ke atas negara-negara Islam.

"Apabila kita memahami perkara tersebut, maka akan kita ketahui bahawa pemberontakan dengan kata-kata dan media massa untuk menaikkan emosi masyarakat adalah punca pelbagai jenis fitnah (huru-hara)." (Madarikun Nazhar fi as-Siyasah, m/s. 306-307)

Demikianlah secara ringkas manhaj Ahli Sunnah Wal-Jamaah dalam bermuamalah dan mentaati pemerintah negara. - Wallau a'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan