Rabu, 4 Mei 2011

PAS DILIWAT DALAM WAYANG CINA




Pas Perlu Sedar Sandiwara Dap Dalam Pakatan Pembangkang


Oleh : Ropikah Ahmad



KUALA LUMPUR, 3 Mei – Pas perlu sedar bahawa mereka hanyalah alat dalam sandiwara politik pakatan pembangkang dengan Dap mendapat keuntungan sepenuhnya hasil daripada permainan yang direncanakan mereka iaitu memecahkan muafakat orang Melayu di negara ini.
Ketua Pusat Pembangunan Anak Bangsa di Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK), Profesor Datuk Dr. Abdul Halim Sidek berkata demikian dalam mengulas berkaitan pelawaan kepimpinan tertinggi UMNO terhadap Pas.

“Apa yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib adalah satu seruan yang sangat baik kepada Pas apatah lagi sejak kebelakangan ini terbukti hanya Dap yang mendapat untung termasuklah dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak baru-baru ini,” katanya kepada UMNO-Online di sini.

Sabtu lalu, Perdana Menteri secara terbuka telah mempelawa Pas untuk menyertai Barisan Nasional (BN) dalam usaha memperjuangan agenda bangsa, agama dan negara dan meninggalkan Dap yang ternyata tidak pernah sekalipun memperjuangkan Islam.

“Percaturan politik Pas perlu tepat dan betul kerana kesilapan mereka hanya akan menguntungkan pihak lain malahan mereka perlu sedar agar jangan sampai bangsa sendiri terkorban ekoran tindakan mereka yang hanya sia-sia,” jelasnya.

Beliau yang juga pensyarah di Fakulti Undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata bahawa Dap bukan hanya mempergunakan pakatan pembangkang tetapi Pas telah menjadi alat utama bagi merosakkan kesepakatan dalam bangsa Melayu yang menjadi teras dalam negara ini.

“Orang Melayu perlu terus kukuh dan berpadu kerana ini akan menyukarkan pihak lain memperkotak-katikkan ketuanan Melayu itu sendiri dan ini secara tidak langsung telah mendaulatkan apa yang termaktub dalam Perlembagaan dengan ketua negara ilah Yang Dipertuan Agung,” ujarnya.

Tambahnya lagi, hal-hal yang menyebabkan berlakunya golongan lain mempertikaikan ketuanan Melayu termasuk mencaci Yang Dipertuan Agung dan mempersoalkan hak bimuputera adalah kerana bangsa Melayu itu sendiri dilihat lemah oleh pihak lain.

“Pas tidak ada pilihan lain kecuali bersatu dengan UMNO demi mempertahankan kepentingan bangsa Melayu, terus memperjuangkan Islam dan demi kedaulatan tanah air sendiri.

“Di negara ini Melayu adalah Islam dan sekiranya bangsa Melayu bersatu padu maka agama Islam akan lebih mantap dengan dapat menggerakkan setiap individu bersama-sama dalam mempertahankan apa yang termaktub dalam Perlembagaan berkaitan dengan orang Melayu,” katanya.

Jelasnya, inilah masanya untuk Pas belajar dari kesilapan dan membetulkan keadaan dengan melihat kepada kepentingan keseluruhan tanpa melibatkan agenda peribadi atau politik semata-mata.

“Pilihan Raya Umum ke-13 semakin hampir dan masih ada masa lagi untuk Pas membuat keputusan agar martabat agama, bangsa dan negara tidak dipermainkan oleh pihak yang suka mengambil kesempatan khususnya Dap.

“Lihatlah bagaimana pentadbiran orang Melayu yang telah pun menerajui negara ini sejak merdeka 54 tahun lalu iaitu tidak menyentuh berkaitan konotasi atau rasisme langsung sebaliknya semangat kerjasama dan bersatu padu dititikberatkan.”


 - MediaUMNO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan