Adab berpolitik dan bukan politik biadab
Datuk Dr. Aziz Jamaludin
Mhd Tahir
Yang dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)
Yang dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0420&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_03.htm
BILA tidak menghormati sesuatu majlis yang sedang berlangsung,
orang yang melanggar adat itu dikatakan biadab. Bagi mereka yang bersalah atau
menyokong perilaku melanggar adat, memberikan alasan perilaku tersebut adalah
remeh, adalah termasuk golongan yang mempersendakan pemimpin atau ketua negara.
Antara makna adab adalah menghormati tatasusila, berbudi bahasa
dan merendah diri. Jika melakukan tingkah yang bertentangan dengan pengertian
adab itu maka ia dipanggil biadab. Kamus Dewan (edisi ketiga, 1997) pada
halaman 152 mentakrifkan biadab itu sebagai:
(i) tiada budi bahasa, tidak
beradat; dan
(ii) tidak bertamadun, belum
maju. Maka dalam konteks ini, bolehlah dikatakan mereka yang biadab itu
"tidak berbudi bahasa" ataupun "tidak beradat."
Sementara perkataan remeh pula bermaksud (halaman 1122): tidak
mustahak, tidak penting, dan tidak berharga. Apabila menganggap tindakan
"tidak berbudi bahasa" ataupun "tidak beradat" itu sebagai
"tidak mustahak, tidak penting" dan "tidak mustahak", ia
sebenarnya menampakkan ada unsur anarkisme dalam diri orang tersebut.
Anarkisme berakar umbikan perkataan "anarkis" dan
membawa maksud "keadaan tidak ada atau tidak berasaskan undang-undang
(keterlibatan umum atau pemerintahan yang teratur)"; dan, kekacauan atau
porak peranda (dalam negeri dan lain-lain)." Anarkisme pula membawa maksud
"fahaman (pendirian) bahawa segala bentuk kerajaan atau pemerintahan
bersifat menindas dan wajar dimansuhkan, penolakan segala bentuk kekuasaan atau
kawalan paksaan." (halaman 42)
Berdasarkan makna tersebut, jelaslah bahawa anarkisme telah
menjadi agenda oleh pihak yang tidak menganggap menghormati "adat"
dan mengamalkan "budi bahasa" ketika berada dalam majlis penuh
beristiadat.
Kenapa persoalan itu timbul ketika hadir dalam Majlis Pertabalan
Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong di Balairong Seri pada 11 April lalu?
Jawabnya kerana pada majlis tersebut, ia mudah mendapat perhatian dan juga kerana
berhadapan dengan situasi untuk menyampaikan petunjuk institusi yang sudah
dilembagakan sekian lama perlu diubah atau kalau boleh digantikan dengan sistem
baharu, bersesuaian dengan kehendak dan kepentingan politik pihak yang
memperlihatkan kelakuan anarkis itu.
Setelah terdedah kepada umum perlakuan sedemikian, gema kemarahan
sebahagian besar masyarakat membuka perdebatan benci, meluat dan menyumpah,
hidup bersendikan adat sudah ada petunjuk bakal diruntuhkan oleh segelintir
ahli politik yang tersangat laparkan kuasa. Keparahan menghormati adat itu
menjangkitkan pula kepada pertanyaan sudah hilangkah seni berpolitik ataupun
etika berpolitik di Malaysia?
Al-Ghazali pernah memberikan panduan mengenai etika berpolitik
dengan menekankan bahawa dalam apa situasi pun yang berlaku, menghormati
pemimpin yang sah adalah suatu tanggungjawab yang tidak boleh diketepikan.
Sebagai bentuk politik yang beradab, al-Ghazali meskipun ada ketikanya tidak
bersetuju dengan tindakan pemerintah, beliau tidak pernah menunjukkan sikap
memberontak dan cuba memperbaikinya menerusi perantaraan nasihat.
Beliau menggunakan akal untuk menyatakan kebenaran dan menjauhkan
tindakan berasaskan perasaan. Bahkan, menerusi sebuah nukilannya, al-Ghazali
berkata, kita perlu menyibukkan diri dengan mengadakan pembaikan dari dalam
terlebih dahulu. Kerosakan dari dalamlah yang menyebabkan adanya serangan dari
luar.
Dalam memperkatakan kepentingan akhlak, al-Ghazali yang dinilai
telah memberikan sumbangan terbaik bagi menghidupkan falsafah etika, termasuk
etika berpolitik, mencipta suasana "hidup
baik bersama dan untuk orang lain" sebagai hakikat perjuangan dan
amalan ahli politik budiman. Seseorang ahli politik yang budiman sentiasa
berkata dengan jujur, santun, mempunyai integriti, menghargai orang lain,
memiliki keprihatinan untuk kesejahteraan umum dan tidak memperlekehkan orang
lain.
Bagi al-Ghazali, nilai yang hendak dicapai menerusi politik adalah
kesantunan dan keutamaan moral. Suasana tersebut boleh dicapai menerusi
pengakuan timbal balik dan hubungan yang ramah di antara pelaku. Maknanya,
tidak menghormati adab dan adat yang sudah sekian lama dilembagakan adalah sama
dengan tindakan menjauhkan diri daripada tabiat ahli politik bermoral.
Bahkan, naluri yang diasaskan atas keinginan berkuasa sebenarnya
telah mencabar perintah Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang yang beriman taatilah Allah dan taatilah Rasul- Nya dan
penguasa (atau pemerintah) dari kalangan kamu. (Surah an-Nisaa: 59).
Apa yang lebih manis adalah setelah merasakan diri bersalah atau melanggar
adat, dengan memohon maaf akan menghidupkan semula keinginan besar kepada
kejujuran.
Dengan mengaku silap atas keterlanjuran, seseorang ahli politik
ataupun manusia tidak akan luntur keluhuran budi bahasa, bahkan dalam jangka
panjang memberi kekuatan moral. Inilah sebenarnya matlamat dan tingkah laku
seorang ahli politik budiman, menjadikan akhlak sebagai sempadan dan kerangka
yang menentukan sebarang tindakan ataupun keputusan.
Muhammad al-Ghazali seorang cendekiawan muslim Mesir yang mendokong
perjuangan Ikhwanul Muslimin beberapa tahun lalu mengingatkan umat Islam agar
tidak mudah terjerat dengan "tragedi pemujaan diri".
Tragedi pemujaan diri menyebabkan ketidaktentuan, akhlak yang
tercela, perilaku yang menyeleweng dan kegemaran mencela orang lain. Ia
merupakan penyakit yang sukar disembuhkan, kerana orang yang menghidapinya
"tetap berkeras membela kesalahannya padahal setelah dia tahu mana yang
benar, tetapi pengetahuan yang benar itu tidak bermanfaat buatnya." (Baca,
Warisan Pemikiran Islam, 2009, halaman 75-80).
Sikap sedemikian sebenarnya menghampiri dengan perangai iblis,
kerana Allah SWT mengingatkan kita bahawa Iblis pernah mendakwa: Aku lebih baik darinya, Engkau jadikan
aku dari api dan Engkau jadikan dia dari tanah." (Surah Shad:
76) Tetapi Allah SWT tetap tidak mengiktiraf Iblis lebih baik dari Nabi Adam
a.s. dan kerana itulah pemujaan diri "merupakan
salah satu bentuk syirik". Dalam hal ini, para ulama muafakat
bersetuju, "kemaksiatan hati itu
adalah lebih buruk daripada kemaksiatan anggota badan." Ertinya,
hatilah yang akan menentukan seseorang itu membara semangat anarkis ataupun
muncul sebagai seorang ahli politik yang budiman.
Persoalannya, antara "persenda raja sebagai isu remeh?"
seperti yang didakwa oleh golongan yang bersubahat ataupun "tidak
menghormati adat atau tindakan biadab", manakah yang wajar untuk kita
jadikan sempadan dalam usaha membentuk diri sebagai manusia yang jujur, luhur
dan bersusila? Kita sendirilah boleh memilihnya, kerana pilihan itulah yang
akan menyenaraikan di manakah sebenarnya kita berada dan akan berada.
Manakah yang hendak kita pilih: Politik beradab ataupun politik
biadab? Kalau politik beradab pilihan pertama, maka beruntunglah rakyat dan
negara kerana semuanya bersatu hati, semangat dan tujuan mensejahterakan
seluruh yang ada.
Kalau politik biadab menjadi pilihan, maka tunggulah saat
kehancurannya, menang jadi arang dan kalah jadi abu. Arang akan hanya berguna
sebagai bahan bakar, untuk dijadikan tiang penegak rumah tidak sekuat ketika
masih dalam bentuk asalnya, kayu atau sebelumnya pokok. Pokoknya, adat
terpelihara, adab kekal selama-lamanya.