Rabu, 23 November 2011

PAS : SEGALA-GALANYA POLITIK........???











Isnin, 21 November 2011 02:17
YUSOF HARUN

BARU Pertelingkahan politik Melayu, sejak wujudnya PAS, parti serpihan UMNO yang ditubuhkan kira-kira sedekad selepas penubuhan UMNO oleh mereka yang melanggan kepada kepercayaan syurga terletak di bawah tapak kaki pemimpin mendefinisikan semula makna politik mengatasi sekadar kesejahteraan rakyat dan negara dalam konteks pentadbiran lazim.
Sejak itu, PAS mempolitikkan atau menjadikan isu ke atas apa sahaja perkara membabitkan agama Islam – solat berjemaah, penyembelihan, urusan jenazah, pembinaan masjid dan apa sahaja tentang prinsip agama Islam yang menyentuh masyarakat Islam kebanyakan.
Soal yang melibatkan fardhu ain pula tidak pernah atau amat jarang digunakan oleh PAS untuk mencipta modal politik.  Justeru kita tidak mendengar pemimpin PAS membuat komen tentang; cara pemimpin UMNO mengangkat takbir-ratul-ikhram,  atau tentang sama ada duduk di antara dua sujud dan iktidal yang dilakukan oleh Pak Lah atau Dr. Mahathir ketika mereka berdua menjadi Perdana Menteri itu betul atau tidak dan sebagainya.
Namun beberapa minggu lalu satu-satunya kewarasan yang masih berbaki pada pemimpin PAS ini mengalami perubahan.  Rupa-rupanya dalam kesibukan kerajaan bercakap tentang reformasi ekonomi, PAS pula sedang mereformasikan bahan-bahan agama yang sesuai untuk dijadikan seleksi serta rencah dalam menunjukkan tidak ada kumpulan manusia lain yang tahu dan layak bercakap tentang agama melainkan pemimpin parti berlambangkan bulatan penuh putih di atas latar belakang berwarna hijau macam bendera Libya.
Dalam sebutan PAS tentu sekali, bulatan yang dianggap bulan itu adalah lambang Islam walaupun dalam tradisi Islam sebenarnya lambang Islam adalah bulan sabit.  Namun penyokong dan pengikut PAS tidak mampu melihat hal ini disebalik kecerahan bulan mengambang penuh.
Disebabkan sudah tidak ada perkara baru lagi tentang Islam yang boleh dipermodalkan (terakhir soal negara Islam dan hukum hudud), maka beberapa minggu lalu gambar Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak sedang berwuduk di sebuah masjid kampung disiarkan dalam FB dan diperlekehkan oleh penyokong PAS.
Tapi itu hanyalah permulaan, atau kata orang putih, ‘a humble beginning’.  Modal besar sedia menanti apabila Perdana Menteri dan isteri  serta rombongannya menunaikan fardhu Haji di Tanah Suci.  Turut sama dalam rombongan tersebut ialah Menteri Besar Perak Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir yang turut sama tersenarai mengalami serangan peribadi yang dilancarkan oleh penyokong dan pemimpin PAS dalam FB dan lain-lain jaringan sosial ruangan maya yang lainnya.
Walaupun serangan peribadi itu tidaklah ke tahap sama ada pemimpin UMNO telah mengikat kain ihram dengan cara yang betul atau sebaliknya,  tetapi ia berjaya diputar-belitkan dan diberikan nafas dan interpretasi agar meninggalkan kesan psikologi yang negative.
Semasa rencana ini disiarkan Najib  dan Dr.Zambry  sudahpun pulang ke tanah air dan menyambung semula tugas-tugas rasmi masing-masing.
Namun sewaktu kedua-dua tokoh ini serta ahli-ahli rombongan Perdana Menteri berada di Makkah, tersiarlah gambar kira-kira 12 orang pengawal keselamatan Arab Saudi mengawal dengan ketat keselamatan pemimpin utama negara ketika beliau dan rombongannya bertawaf mengelilingi Kaabah. Walaupun ia adalah protokol keselamatan negara tersebut kepada semua pemimpin dunia Islam dan bukannya untuk Najib atau ketua negara Malaysia sahaja, namun foto tersebut mendapat perhatian luar biasa.
Gambar itu sudah tentu menggamit rasa seronok di hati banyak pihak kerana “layanan istimewa” dari kerajaan Arab Saudi kepada pemimpin kita manakala bagi sebilangan kecil pula, mereka melepaskan geram dengan melemparkan pelbagai tuduhan.
FB rasmi Menteri Besar Kelantan juga menyiarkan gambar berkenaan dengan ucapan dari Datuk Nik Aziz Nik Mat selamat mengerjakan haji kepada Najib dan isteri.
Walaupun kita tidak boleh membaca apa yang tersirat didalam hati tokoh utama Kelantan itu menyiarnya namun hakikat yang tidak boleh ditepis ialah gambar itu mencetuskan satu fenomena. Ia diikuti maki hamun dikalangan “peminat pak nik kita” dengan ayat-ayat yang tidak tergamak untuk membenarkan anak-anak kita membaca mengenai Perdana Menteri Malaysia.
Sementara Najib secara khusus dan Dr. Zambry terkena  tempias kritikan peminat-peminat “FB pak nik”, Menteri Besar Kelantan itu terus sibuk dengan tugasnya dan tidak ambil sebarang inisiatif mempertahankan Perdana Menteri atau mengeluarkan fatwa, atau setidak-tidaknya mengingatkan peminatnya betapa Islam melarang umatnya melakukan sesuatu yang boleh mengaibkan orang lain apatah lagi seseorang yang sedang menjadi tetamu Allah di Baitullah. 
Walaupun  komen serta gambar berkenaan sudah menjadi sebahagian dari sejarah pahit, kita gembira kerana Najib dan Dr.Zambry selamat pulang untuk memulakan satu lagi tugas dari banyak tugas yang belum selesai. Bagi Najib salah satu tugas menunggu ialah berteka teki mengenai tarikh PRU ke13 yang kini bahangnya semakin panas.  
Manakala Najib masih berahsia, Menteri Besar Perak selain berdepan persidangan dewan negeri seminggu lagi, beliau juga berdepan dengan bajet kerajaan negeri untuk tahun depan. Selain dari itu beliau juga terpaksa menjawab spekulasi tentang lawatan tempoh hari. Ini muah difahami kerana beliau merupakan satu-satunya Menteri Besar yang diberi peluang istimewa menganggotai delegasi Perdana Menteri ke Mekah.
Sebaik Najib dalam twitternya menyebut dia dan Dr.Zambry ke Mekah, gambar bertawaf yang menunjukkan Dr.Zambry berada beberapa kaki saja di belakang Najib yang diberi kawalan ketat dan istimewa itu memberi gambaran baru dalam konteks politik negeri.
Benar bandaraya Ipoh tidak  lumpuh kerana berita  politik masih mewarnai lanskap politik tempatan . Manakala berita jenayah serta lain-lain berita seperti persiapan Tahun Melawat Perak 2012 yang kini digerakan melalui EXCO Pelancungan Dato’ Hamidah Osman mendapat tempat, cakap-cakap mengenai masa depan Dr.Zambry turut menarik perhatian terutama mereka yang suka menjadikan kedai-kedai kopi ala-ala mini parlimen.
Nampaknya bukan sahaja pemimpin PAS yang sudah sedia terkena penyakit serangan peribadi ini secara default tetapi ia sudah menjangkiti satu dua orang ahli-ahli UMNO.
 Ada yang mengandaikan Dr.Zambry dibawa sebagai sebahagian dari pakej Najib untuk merombak pentadbiran kerajaan negeri Perak menjelang PRU ke13 kelak. Pakej lawatan dan menunaikan haji adalah bagi menyejuk hati Mentri Besar itu sebelum Najib mengumumkan hasratnya itu. Kononnya Perak bakal bermenteri besar calon lain kerana Dr.Zambry dikatakan akan di bawa pula ke pusat sebagai menteri penuh konon sebagai kenaikan pangkat.
Pada masa sama spekulasi juga menyebut beberapa menteri bakal digugur serta bakal dibawa pulang ke negeri masing-masing sebagaiMenteri Besar. Salah satu melibatkan Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin yang bakal dibawa balik sebagai Menteri Besar Johor menggantikan Datuk Ghani Othman yang termnya hampir “expire”. Tempat Khalid, disebut  bakal diisi oleh Dr.Zambry dengan mengambil kira beliau satu-satunya tokoh yang ada ijazah Ph.D  dari Temple University, Amerika Syarikat dan dilihat amat sesuai ditempatkan sebagai pengganti Khalid.
Tentu sekali nada dan rentak serangan yang dihalakan ke atas Dr. Zambry  tidaklah kelihatan seperti terlalu negatif berbanding apa yang ditulis oleh para peminat Pak Nik dalam FB Menteri Besar Kelantan itu. Tapi ia turut membawa sesuatu arus bawahan negatif oleh mereka yang sama ada tidak suka Dr. Zambry terus mentadbir Perak atau oleh mereka yang bergerak sebagai penyokong kepada tokoh-tokoh lain yang mahu merebut jawatan berkenaan.
Walaupun interpretasi sedemikian, kalau tidak lebih lucu dari apa yang dipaparkan oleh PAS, ia tidak kurang lucunya kerana sejauh ini belum ada lagi Menteri Besar yang dipindahkan ke Persekutuan dengan cara merasuahnya dengan membawa sipenyandang ke Mekkah sama ada untuk mengerjakan haji atau umrah.
Hal seperti ini bukan sahaja lucu dan absurd, tetapi menunjukkan kedangkalan sesetengah dalam berfikir dan membuat analisis atau melihat kebenaran seperti yang sedia terpapar.  Lupakah kita, dalam tradisi UMNO apabila ada Perdana Menteri membawa seseorang Menteri mengikuti rombongannya, maka itu, tanpa sebarang keraguan, menunjukkan tahap keyakinan dan rasa rapat Perdana Menteri kepada Menteri itu.  Keyakinan dan rasa sedemikian menjadi lebih tinggi dan bermakna apabila rombongan tersebut adalah rombongan menunaikan haji – kemuncak ibadat dalam Islam.

-21/11/2011



Selasa, 15 November 2011

SEMUA UMAT ISLAM ADALAH "ANAK" LUQMAN AL HAKIM










25 pesanan Luqman Al Hakim




01 – Hai anakku: ketahuilah, sesungguhnya dunia ini... bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam ke dalamnya. Bila engkau ingin selamat, agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan SAMPAN yang bernama TAKWA, ISInya ialah IMAN dan LAYARnya adalah TAWAKKAL kepada ALLAH.

02 – Orang – orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari ALLAH. Orang yang insaf dan sedar setalah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima kemuliaan dari ALLAH juga.

03 – Hai anakku; orang yang merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kepada ALLAH, maka dia tawadduk kepada ALLAH, dia akan lebih dekat kepada ALLAH dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada ALLAH.

04 – Hai anakku; seandainya ibubapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang dilakukanmu, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman.

05 – Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.

06 – Dan selalulah berharap kepada ALLAH tentang sesuatu yang menyebabkan untuk tidak menderhakai ALLAH. Takutlah kepada ALLAH dengan sebenar benar takut ( takwa ), tentulah engkau akan terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat ALLAH.

07 – Hai anakku; seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seorang yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak melamunkan hal hal yang tidak benar. Ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah daripada memberi pengertian kepada orang yang tidak mahu mengerti.

08 – Hai anakku; engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkat batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih lagi daripada semua itu, adalah bilamana engkau mempunyai tetangga (jiran) yang jahat.

09 – Hai anakku; janganlah engkau mengirimkan orang yang bodoh sebagai utusan. Maka bila tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya dirimulah saja yang layak menjadi utusan.

10 – Jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu telah memberikan akibat yang berbahaya.

11 – Hai anakku; bila engkau mempunyai dua pilihan, takziah orang mati atau hadir majlis perkahwinan, pilihlah untuk menziarahi orang mati, sebab ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi sahaja.

12 – Janganlah engkau makan sampai kenyang yang berlebihan, kerana sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu adalah lebih baiknya bila makanan itu diberikan kepada anjing sahaja.

13 – Hai anakku; janganlah engkau langsung menelan sahaja kerana manisnya barang dan janganlah langsung memuntahkan saja pahitnya sesuatu barang itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan.

14 – Makanlah makananmu bersama sama dengan orang orang yang takwa dan musyawarahlah urusanmu dengan para alim ulamak dengan cara meminta nasihat dari mereka.

15 – Hai anakku; bukanlah satu kebaikan namanya bilamana engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah bagaikan orang yang mencari kayu bakar, maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal ia masih mahu menambahkannya.

16 – Hai anakku; bilamana engkau mahu mencari kawan sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura pura membuat dia marah. Bilamana dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan kamu,maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak demikian, maka berhati hatilah.

17 – Selalulah baik tutur kata dan halus budi bahasamu serta manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang melebihi sukanya seseorang terhadap orang lain yang pernah memberikan barang yang berharga.

18 – Hai anakku; bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.

19 – Jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau mengharap sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riya~ yang akan mendatangkan cela pada dirimu.

20 – Hai anakku; janganlah engkau condong kepada urusan dunia dan hatimu selalu disusahkan olah dunia saja kerana engkau diciptakan ALLAH bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.

21 – Hai anakku; usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi orang lain.

22 – Hai anakku; janganlah engkau mudah ketawa kalau bukan kerana sesuatu yang menggelikan, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah engkau bertanya sesuatu yang tidak ada guna bagimu, janganlah mensia siakan hartamu.

23 – Barang sesiapa yang penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada berkata yang mengandungi racun, dan sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari berkata kotor tentu akan menyesal.

24 – Hai anakku; bergaullah rapat dengan orang yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara kata katanya bagaikan tanah yang subur lalu disirami air hujan.

25 – Hai anakku; ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke keranjang atau bakul sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang membuat beban orang lain. Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka. Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.See More